A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Thursday, May 31, 2012

Bahang Kehangatan Nak Balik Kampung!

Rumah kampung di negeri Perak
           
               Balik kampung memang seronok! Tambah pulak bagi kami yang bermukim jauh beratus-ratus batu dari ayah bonda. Sekali sekala balik memang ramai yang sambut kepulangan kami dengan pelbagai cerita. Maklum ler orang tua-tua selalu kata, jauh bau bunga, dkat bau t**k!


              Bagi kami yang nak balik ke kampung, kena juga bawa sedikit sebanyak buah tangan untuk orang kampung. Takkan nak berlenggang-kangkung jer, tak manis rasanya. Adab orang kita,  kena dijaga. Biar semua gembira, tiada yang terasa atau terluka.


Rangup.....colek dengan lada!

              Kalau dah menetap di Kuala Terengganu sekian lama, buah tangan yang menjadi kebiasaannya dibawa untuk orang kampung tentulah keropok lekor mahupun keropok keping. Sekilo dua memang tak cukup, pokoknya "kalah yang membeli menang bagi yang  memakannya" hehehe.... jangan terasa pulak. Begitulah  hakikatnya kalau makan keropok memang terlagi-lagi hingga  tak sedar berkilo-kilo dah habis, perut masih belum kenyang.


Ada  yang sempat bergambar dengan gajah-gajah liar di Lebuhraya Timur Barat!


             Menyusuri perjalanan yang jauh lagi memenatkan dari Kuala Terengganu ke Kuala Kangsar  melalui  Lebuhraya Timur Barat dengan jaraknya kira-kira 400km memerlukan kenderaan yang tip top kondisinya.  Servis dulu kenderaan sebelum memulakan perjalanan, paling tidak tukar minyak hitamnya, balancing tayar kena dibuat tiada kompromi. Harus diingat perjalanan nanti akan merentasi tulang belakang negara, Banjaran Titiwangsa yang mencecah awan! Nyaman, tapi awas kadang-kadang segala jens binatang liar kita boleh jumpa semasa di perjalanan. Gajah, b**i hutan, monyet dan spesies burung kenyalang pun pernah kelihatan di udara semasa merentasi banjaran tersebut.


              Semoga perjalanan kami dilindungiNya dari segala mara bahaya. Ayah bonda dan kaum kerabat di Kuale, lusa kami akan ke sana. Tunggu ketibaan kami sekeluarga untuk bercuti di kampung. Di kepala, laksa dan cendol semuanya dah terbayang untuk dirembat dan disebat. Walau bagaimanapun, air tangan mak juga tetap menjadi pilihan No 1! 

Tuesday, May 29, 2012

Mengapa Kuala Terengganu sesak bila musim cuti sekolah?

                      Kuala Terengganu menjadi sesak dengan ribuan kenderaan dari luar bila cuti sekolah. Hotel, motel, homestay semuanya penuh dengan pelancong luar dari serata pelusuk negara mahupun luar negara. Biasanya, kenderaan di jalanraya tak seteruk mana.....tapi bila musim cuti sekolah sesak menjadi-jadi.


Mercu tanda menyambut kedatangan pelancong dari luar!

                      Mengapakah Kuala Terengganu jadi sesak dengan pelancong luar bila musim cuti sekolah? Senang saja jawapannya.....Negeri Cantik, Budaya Menarik. Walaupun saya bukan anak negeri Terengganu, namun saya turut merasakan  betapa bertuahnya anak tempatan di negeri limpahan minyak ini. Pembangunan sangat ketara, dengan budaya tidak dilupakan.


                       Pertama-tamanya tentulah kerana makanan  tempatan yang beraneka.  Pelbagai jenis menu tempatan yang menjadi buruan pelancong seperti Nasi Dagang, Nasi Kerabu, Nasi Kuning, Laksam, Keropok Lekor, Sata, Ketupat Sotong dan sebagainya. Kebanyakannya berasaskan ikan segar sebagai sumber protein utama di negeri ini. Rasanya sedap, lazat hingga menggigit jari!


Sata
Laksam
Keropok lekor
Ketupat sotong
Nasi Dagang
 
                        Seterusnya tentulah tempat-tempat menarik yang ada di sini yang menjadi tumpuan ramai. Memang banyak lokasi -lokasi untuk dikunjungi. Kalau setakat sehari dua, memang tidak mencukupi masa untuk meronda-ronda di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu bagi melengkapkan lawatan ke tempat-tempat tersebut. Kalau ke sini, nasihat saya standby cuti lama sikit.....kalau tidak rugi duit minyak jer dengan perjalanan yang agak jauh untuk sampai ke sini.


Muzium Negeri Terengganu

Taman Tamadun Islam

Pantai Batu Buruk

Masjid Terapung


Masjid Kristal

                       Pengekalan budaya oleh penduduk setempat juga menjadi aset bagi negeri bertuah ini. Batik, songket, tembaga juga ukiran kayu adalah antara hasil tangan anak tempatan yang sangat halus buatannya. Disinilah syurga kepada penggemar-penggemar produk hasil tangan bangsa Melayu yang semakin dilupakan.


Songket


Batik Sutera

Ukiran Kayu


Tembaga Terengganu
   
                      Kemudahan penginapan juga banyak samada  hotel-hotel juga homestay persendirian yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Dari yang mahal, sederhana juga hotel budget dan  homestay merata-rata. Tapi kena booking awal sikit takut nanti kena tidur dekat masjid jer....hehehe



Primula Hotel

Grand Continental
Permai Inn Hotel
Seri Hoover Hotel

                     Sepatutnyalah Kuala Terengganu sesak dengan pelancong ketika musim cuti sekolah. Package yang lengkap untuk membawa keluarga ronda-ronda sambil melihat-lihat tempat orang. Cuma kami penduduk tempatan memang resah bila cuti sekolah tiba sebab.....nak beli ikan sekilo pun kena ambil masa berjam-jam untuk sampai ke destinasi.

                     Privacy kami telah diragut!  Bukan marah cuma mengeluh..... Selamat datang ke Kuala Terengganu....terima kasih kerana kedatangan anda semua ke mari telah membantu menjana ekonomi kami penduduk tempatan!
           

Sunday, May 27, 2012

Yeah...yeah.....Cuti sekolah datang lagi!

                         Termenung panjang memikirkan apa bentuk pengisian yang terbaik di musim cuti sekolah kali ini buat Syahmi. Kalau boleh nak kurangkan dia dengan aktiviti mengadap laptopnya. Perut pun dah gendut disebabkan kurangnya aktiviti yang mengeluarkan peluh. Apa kata kita buat aktiviti yang luarbiasa.....lain dari hari-hari sebelumnya.....main layang-layang di Pantai Batu Buruk.

'Angry Bird' menjadi pilihan Syahmi
                   
                         Pilihan Syahmi tentunya layang-layang Angry Birds, yang lain-lain Doraemon, Ultraman, Dora semua tu not in trend......Harga RM10 satu, bila time cuti-cuti gini. Kalau hari-hari biasa hanya RM8....biarlah usahawan kecil  nak kaut sedikit keuntungan. Kalau kita nak buat pun bukan senang....hehehe

                   
                       Bagi yang tidak berpengalaman  bermain dengan layang-layang  maka di sinilah spot yang paling baik. Sejahil-jahil mana pun seseorang tu tentang cara nak menaikkan layang-layang.....Pantai Batu Buruk  menjanjikan pengalaman cukup menarik.  Gerenti layang-layang akan naik setinggi-tinggi yang kita mahu dek kerana angin pantai yang cukup kuat.

'Angry Bird' dah naik ke udara!

                      Jangankan Syahmi, ayah pun teruja sebab selama hari ni asyik dok tengok orang lain yang main. Kali ini, kita sendiri yang mencuba.....rasa tak nak balik pulak. Berat dah ni......kalau dah tersangkut dengan  hobi baru!  Patutlah orang tua-tua di kampung-kampung sebelah Pantai Timur ni masih bermain dan pandai menghasilkan Wau buatan sendiri untuk dimainkan di sebelah petang ketika musim panas dan berangin gitu...


Pantai Batu Buruk, Syahmi bersama layang-layangnya!
                     
                     Ramai yang menghabiskan masa di waktu petang bermain layang-layang di Pantai Batu Buruk. Ada yang asyik bermain hingga terlepas talinya lalu  tersangkut layang-layang di pokok-pokok ru. Jangan risau, esok kita boleh beli yang lain.... yang lebih angry dari Angry Bird!


Scary Bird....Layang-layang 'Burung Hantu'

Friday, May 25, 2012

Aku Lemah Tanpa Kamu!

                            Lemah dan amat terkilan rasanya bila mendapat tahu seorang sahabat telah kehilangan anak kesayangannya seorang insan istimewa autisme. Dalam usianya 20an beliau telah pergi meninggalkan keluarganya secara tiba-tiba menemui penciptanya.  Maka tinggallah semua termasuk si ibu yang amat menyayanginya.....sepenuh hati tiada bandingannya.


Semua kita akan ke sana!

                            Di mana hendak dicari kekuatan dalam menempuhi saat-saat seperti ini?  Saya sangat respect dengan sahabat ini kerana boleh bangun dari rasa sedihnya atas kehilangan seorang yang dianggap seperti buah hatinya. Walau di hati tiada siap yang tahu, namun keupayaannya berinteraksi di laman sosial untuk  berkongsi saat-saat pemergian si buah hati amat mengagumkan saya.  Yang pergi tetap pergi,  malah semakin jauh meninggalkan kita yang tinggal di dunia.....sedangkan kita yang masih bernafas di dunia ini semakin dekat dengan panggilan-Nya. Itu hakikat yang tidak boleh kita elakkan.....


                           Bagaimana pula jika kita ibubapanya yang dijemput Ilahi terlebih dahulu?  Ke mana anak syurga kita akan ditempatkan. Inilah persoalan yang sering menghantui pemikiran ibubapa kepada anak-anak syurga ini. Bagi yang ada adik beradik,  mungkin harapan boleh disandarkan kepada adik beradiknya, itu pun belum boleh dijamin sepenuhnya.  Jadi bagaimana agaknya jalan penyelesaiannya?


                           Kebimbangan ini menyebabkan ramai ibubapa pada anak-anak istimewa autisme yang bertungkus lumus serta  berhabis-habisan berikhtiar untuk membebaskan anak masing-masing supaya menjadi insan 'senormal' mungkin yang boleh menguruskan diri sekurang-kurangnya. Itulah harapan ayah bonda agar mereka boleh berdikari suatu ketika nanti. Namun harapan masih tetap ada........tiada yang mustahil bagi anak autisme.  Harus diingat bahawa ada antara mereka yang boleh belajar hingga ke menara gading. Merekalah sumber inspirasi kita semua!


                           Percayalah pada janji Tuhan keatas hambaNya kerana sesunggunya Dia tidak akan memungkiri segala janji-janji-Nya.....kita sebagai ibubapa hanya mampu berusaha yang terbaik untuk anak-anak anugerahNya ini.  Tawakkal kepada-Nya.....pasti ada jalan terbaik buat mereka penghuni syurga ini nanti.  InsyaAllah.....Sesungguhnya kehadiran mereka telah membuat kami ibubapanya  lebih menyerlahkan kekuatan diri!

                         
                          Buat arwah Jai (Kak Ani Alfio Raldo), pastinya tempat terbaik menunggu mu di sana...al fatihah.

                     
                           

Monday, May 21, 2012

Jangan Lepas Tangan.......

Lepas tangan.......
             
                   Orang  kita selalu bersikap lepas tangan dalam banyak hal. Buat kerja sambil lewa. Kemudian lepas tangan, ertinya lepaskan tanggungjawab pada orang lain. Kepentingan diri didahulukan, biar orang lain mengambil alih tugas.....apa aku kisah?

                 
                    Hantar anak ke sekolah.....tapi pensel, pemadam, pen semua tak disediakan. Buku tulis entah ke mana, buku teks tinggal di rumah. Bagaimana anak-anak hendak belajar jika kelengkapan tiada. Kalau hari-hari masih dengan keadaan yang sama, tentu cikgu pun naik angin. Anak sendiri menjadi mangsa keadaan kerana sikap lepas tangan kita. Sebagai ibubapa kita harus memastikan anak-anak ke sekolah dengan segala kelengkapan persekolahan serta pastikan juga  homework disiapkan.


Sedarkah kita,  ada anak-anak lain yang terpaksa didukung untuk ke sekolah!


                    Habis waktu sekolah pula anak orang lain balik ke rumah dengan van sekolah mahupun berbasikal ke rumah dan ada yang ibubapa sendiri menjemputnya di sekolah.....tapi bagi ibubapa yang suka lepas tangan, dibiarkan anak-anak berkeliaran di kawasan sekolah menunggu ibubapa yang tidak kunjung  tiba untuk menjemputnya, Tidak hairanlah kes culik menjadi-jadi kerana penjahat diberi peluang seluas-luasnya untuk menjayakan misi mereka.

                 
                   Sebelah petang pulak, anak-anak dibiarkan bermain-main sepuas rasa di luar rumah dengan anak jiran tetangga. Ibubapa lepas tangan tanpa sesiapa yang memantau. Anak-anak tetap dengan perangai anak-anaknya.......bermain dengan benda-benda yang membahayakan dan ada kalanya  masuk ke rumah jiran-jiran buat aksi yang pelbagai. Bukankah mengganggu orang namanya tu?


Bermain biar kena pada masa dan tempatnya!

                      
                         Jangan amalkan budaya lepas tangan dalam mendidik anak-anak....apatah lagi anak-anak istimewa. Kasihani mereka.... jangan biarkan masyarakat memandang rendah pada anak-anak istimewa kita.    Biar bermasalah pembelajaran, kelengkapan sekolah mesti disediakan....biar berkerusi roda, hak anak ke sekolah kena diutamakan.....walau  tidak pandai bersosial, biar kita sama-sama turun padang memberi perhatian supaya anak-anak istimewa kita tidak ditertawakan.


                         Saya sekadar mengingatkan sahabat yang lain dan tidak lupa pada diri sendiri  yang terpilih untuk menerima anugerah istimewa dariNya, sebab ada antara kita yang terlupa menjalankan peranan sebagai ibubapa kepada anak istimewa serta menyahut ujian Allah ini......
                       
           

Percayalah,  anak istimewa untuk ibubapa yang istimewa juga!

                    

Tuesday, May 15, 2012

Guru Dulu....Guru Sekarang (Selamat Hari Guru 2012)




                                                                   Guru Dulu........Guru Sekarang


                                    Zaman dulu........cikgu lulus sekolah rendah Darjah Enam.
                                    La ni................. .cikgu lulus universiti, paling tidak Tingkatan Enam

                                    Zaman dulu.........cikgu makan gaji ratusan ringgit berkorban diri.
                                    La ni .................. cikgu makan gaji plus bonus juga insentif.

                                   Zaman dulu.........cikgu pegang rotan ke sana ke mari.
                                   La ni................    cikgu jinjing laptop sana sini.

                                   Zaman dulu.........cikgu berbasikal ke sekolah.
                                   La ni ...............    cikgu berebut parking kereta pulak dah.

                                   Zaman dulu.........cikgu berselendang ikat di tengkuk.
                                   La ni..................  cikgu memilih bertudung litup.

                                   Zaman dulu.........cikgu ditakuti murid
                                   La ni................... cikgu  pulak takutkan murid.

                                   Zaman dulu........ cikgu balik rumah, matahari terpacak atas kepala.
                                   La ni..................  cikgu balik rumah, matahari dah terbenam tak nampak
                                                               cahaya.

                                   Zaman dulu....... .cikgu rotan, mak bapak pasrah.
                                   La ni.................. cikgu rotan, mak bapak marah.

                                   Zaman dulu........ cikgu mengajar di depan, murid mendengar di belakang.
                                   La ni.................. cikgu mengajar di depan, murid tubik ikut pintu belakang.

                                  Zaman dulu........ cikgu amat dihormati dan disanjung tinggi.
                                  La ni..................  cikgu zaman ICT, kena lebih berhati-hati kerana ramai yg
                                                               jadi pemerhati....              
                                 

SELAMAT HARI GURU


                                       
                                       



               
                                     

Monday, May 14, 2012

Hadiah hari lahir ibu.....

             
Selamat Hari Lahir Ibu

               Esok 15hb Mei hari lahir ibu.....seminggu yang lalu ibu mula  menerima hadiah satu persatu dari anak-anaknya Syawal dan Syahmi.  Walau tidak bernilai dari segi wang ringgit, tapi amat BESAR ertinya bagi seorang ibu. Beberapa kejayaan dibawa pulang oleh kedua-dua anak  menjadi pembakar semangat buat si ibu untuk membesarkan mereka sehingga berjaya.

Syawal -  Johan
 (Choral Speaking Daerah Kuala Terengganu)
Syawal - Ketiga
 (Choral Speaking Peringkat Negeri Terengganu)

                                                                           
Syahmi - Johan
(Tilawah Al Quran Peringkat Daerah K.Terengganu)
             
                  Ini semua sudah memadai untuk ibu tersenyum kepuasan. Biar imej diri tergadai dek panas mentari, asalkan anak-anak selesa ke sekolah, biar poket kering asalkan berusaha demi masa depan anak-anak!......Buat Syawal dan Syahmi, ibu dan ayah bangga dengan kejayaan kamu setakat ini. Teruskan menggenggam kejayaan!

                  Sementara si ayah masih memikirkan apa hadiah untuk hari lahir ibu tahun ini?  Kalau Datuk 'K', mungkinlah mampu untuk menyediakan kereta mewah sebagai hadiah hari lahir Datuk CT. Sayangnya ayah bukan Datuk 'K'......hanya insan biasa. Syukur dengan apa yang ada.....alhamdulillah.

Masih memikir hadiah apa untuk hari lahir ibu!



Wednesday, May 9, 2012

Masanya sudah tiba!

             Esok 10hb Mei 2012.........masanya sudah tiba. Fasa seterusnya bagi Syahmi untuk mengasah bakatnya mengaji Al Quran dalam Tilawah Pendidikan Khas Daerah Kuala Terengganu.  Bukan kemenangan disasarkan, cukup sebagai pendedahan awal anak ini supaya lebih berkeyakinan bila di khalayak ramai.


Sesi latihan.....semoga kamu berjaya Syahmi!

             Semoga dipermudahkan olehNya perjalanan anak syurga kami.  Ibu dan ayah amat bersyukur kerana  telah mendapat kerjasama seorang  guru Pendidikan Khas, Puan Rosma binti Jasni ( gambar di atas: bertudung pink) yang juga bekas guru Syahmi ketika di Pra Pendidikan Khas tahun 2008. Sokongan guru ini tiada penamatnya walau Syahmi telah berada di aliran perdana selama 4 tahun.


Kombinasi yang mantap!!!!

              Terima kasih Cikgu Ros.....perwatakan lemah lembut, tapi tegas orangnya. Bekas graduan UPSI ini seolah-olah  penyuluh jalan untuk melahirkan Syahmi yang ada sekarang. Dari tidak tahu menulis, menangis tidak henti-henti di Pra Pendidikan Khas hinggalah Syahmi di Tahun 4 aliran perdana, guru inilah yang banyak mengambil tahu tentang perkembangan Syahmi.  Alhamdulillah......masih ada insan semulia guru ini.



Hanya Allah yang layak menilai  segala jasa mu .....Cikgu Rosma
              

Saturday, May 5, 2012

Tahukah mereka......

          Setiap dari kita yang bernama manusia mahukan yang terbaik, tiada cacat celanya kerana itu lumrah semulajadi manusia. Kalau mencari pasangan terutamanya yang si jejaka tentunya mahukan si dara yang tidak ditebuk tupai, walaupun dia sendiri tergolong dalam kalangan 'tupai' durjana.


Kalau yang buruk siapa yang mahu?

         Malangnya tidak semua yang terbaik bagi kita adalah  benar-benar baik untuk dimiliki. Allah maha mengetahui akan setiap kurniaan-Nya. Begitu juga dengan kehadiran anak-anak istimewa dalam sesebuah keluarga. Bukan mudah hendak menerima hakikat bahawa anak yang dikandung dan dilahirkan itu tidak sempurna seperti insan-insan lain.


         Ada diantara kami yang dipilih-Nya untuk menerima anugerah seumpamanya mengambil masa bertahun untuk mengembalikan kekuatan. Kekuatan bukan datang dengan sendiri, malah ianya harus dicari di sana sini. Siapa yang ambil peduli, yang menambahkan resah di dada memang ramai. Yang menghina secara terang-terang mahupun dalam diam tidak kurang jumlahnya. Semuanya ini harus kami ibubapanya tempuhi. Jika kurang iman di dada, ke lembah kekufuran kami terperusuk kerana tertanya-tanya mengapa aku yang menerima ujian sebegini?


 Ribuan ringgit untuk acupuncture  treatment  anak autisme 
     
        Ada juga diantara kami yang  berhabisan wang ringgit untuk menampung keperluan anugerah ini. Segala ikhtiar dicari, tidak kira di mana destinasi. Semuanya demi masa depan anak kami. Kekadang semangat kami meluap-luap dan kekadang pula jatuh tersungkur bila berhadapan cabaran.


        Apabila memiliki anak autisme....baru kita tahu betapa beratnya  bahu yang memikul. Hidup perlu diteruskan, pengorbanan suami isteri serta adik beradiknya yang lain sangatlah besar. Ada isteri-isteri yang terpaksa meninggalkan kariernya untuk menumpukan perhatian terhadap anak syurganya.  Imej entah ke mana dek kerana sibuk melayan kerenah anak istimewa di khalayak ramai. Bila di majlis kenduri-kendara pula, makan pun tak kenyang kerana  bergegas nak balik ke rumah dek keletah si anak syurga.


Majlis yang sebegini rasanya tidak sesuai untuk kami!
     
           Bukan memohon simpati, bukan juga mengungkit-ungkit, cuma kesedaran mereka di luar sana ditagih supaya anak-anak syurga kami difahami oleh masyarakat sekeliling. Janganlah dilayan anak-anak syurga kami sesuka hati, terutamanya kepada institusi yang terlibat secara langsung dalam pendidikan mereka.  Jangan harapkan pagar, pagar pula makan padi. Di mana lagi kami sebagai ibubapa hendak meletakkan harapan untuk sama-sama mendidik ahli syurga ini?  Segelintir yang 'buat hal'.....seinstitusi nama terpalit.

     
           Secara realitinya, buah yang ditebuk tupai  membawa makna bahawa isi buah tersebut adalah yang paling sedap jika dibandingkan dengan yang lain  kerana  si tupai mempunyai deria semulajadi untuk memilih isi yang terbaik. Jadi janganlah dibuang seperti sampah buah-buah yang telah ditebuk tupai kerana masih ada bahagian-bahagian lain yang masih baik isinya. Kalau buah durian, boleh di buat tempoyak yang lebih mahal harganya di pasaran.


         Begitu juga dengan anak syurga kami. Walaupun dilahirkan tidak sempurna seperti insan lain,  jangan kita lupa disebaliknya terdapat potensi diri mereka yang boleh dibangunkan oleh kita semua. Ini amanah besar-Nya untuk dipertanggungjawabkan  di akhirat nanti! Renung-renungkan lah..........

Wednesday, May 2, 2012

Awas! Kalau anak-anak lambat bercakap......

         Orang tua dulu-dulu tak ambil kisah pun kalau anak kecil mereka lambat bercakap. Kata mereka..... itu perkara biasa, cuma bagi kita sekarang yang rata-ratanya berpendidikan dan berkemudahan untuk mendapatkan maklumat maka jangan terlalu selesa dengan situasi tersebut.


Awal bicara si manja.....


         Kebiasaannya  ketika bayi kita berumur 12 bulan,  mereka telah boleh menggabungkan  perkataan seperti mama, papa walaupun hakikatnya mereka belum benar-benar memahami maksudnya. Seiring dengan peningkatan usia,  mereka akan mengalami perkembangan perbendaharaan kata serta dapat menggabungkan  perkataan.


         Jika peringkat-peringkat perkembangan ini tidak dialami oleh bayi-bayi kita, maka sebagai ibubapa jangan berlengah-lengah lagi. Seharusnyalah nasihat dari mereka yang pakar cuba kita dapatkan seawal mungkin supaya penilaian yang tepat dapat dilakukan. Ada banyak faktor yang menyebabkan bayi kita lambat bercakap antaranya berkait rapat dengan  masalah pendengaran, masalah melibatkan fungsi otak seperti terencat akal mahupun autisma.

Anak-anak amanah dariNya...


          Jangan panik,  sebagai ibubapa sememangnya anak-anak adalah amanah yang harus kita jaga dan akan dipertanggungjawabkan di sana nanti. Jangan kalah sebelum berjuang, tiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Jangan cuba-cuba untuk lari dari kenyataan. Bertindak dengan segera!

       
     

 
       


       

         

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...