A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Tuesday, January 29, 2013

Mengenal Apa Itu Epilepsi......


             Epilepsi lebih dikenali sebagai sawan di kalangan orang Melayu. Malangnya masyarakat kita kerap menghubungkan penyakit ini sebagai gangguan kuasa ghaib. Lebih malang lagi ada yang beranggapan bahawa penghidap epilepsi sebagai 'gila' atau terencat akal mahupun melibatkan masalah mental. Hakikatnya epilepsi adalah panggilan nama bagi pelepasan (cetusan elektrik) jirim kelabu yang berlaku sekali sekala, secara tiba-tiba, cepat dan keluar dengan banyak. TERDAPAT KAJIAN YANG MENUNJUKKAN 40% DARI MEREKA YANG MENGALAMI AUTISME ADALAH PENGHIDAP EPILEPSI.


Ada Yang Mengumpamakan Sebagai 'Ribut Elektrik'
                             

             Kebanyakan pesakit epilepsi mempunyai tahap kecergasan otak yang normal dan ada kalanya yang melebihi purata normal. Mereka boleh bekerja juga menyertai aktiviti lasak cuma dengan syarat iaitu tidak mengendalikan senjata merbahaya, mengendalikan mesin atau jentera berat. Malahan mereka juga boleh berkahwin. Ramai yang menganggap bahawa penghidap epilepsi akan melahirkan zuriat yang cacat sedangkan hakikat yang sebenarnya SESIAPA SAJA  boleh mendapat penyakit ini tidak kira ahli profesional doktor, jurutera dan sebagainya.


             Sawan disebabkan oleh pelepasan elektrik dari otak yang berlebihan dalam sekumpulan sel otak secara mengejut, selalunya dalam jangka masa yang pendek. Sewaktu sawan, neuron di dalam bahagian otak (topi sel-sel saraf menghasilkan pelepasan elektrik) boleh melepaskan sebanyak 500 kali sesaat, yang mana mengganggu aktiviti-aktiviti normal saraf, kelenjar dan otot.
                       

             Secara mudahnya ia boleh dikatakan sebagai satu gangguan di mana aliran isyarat di dalam otak menjadi celaru. Kebiasaannya seseorang penghidap epilepsi itu akan mengalami sentakan, menggigil dan terkejang-kejang, bunyi kuat seperti berdengkur atau rebah ke tanah, mahupun gabungan ketiga-tiganya sekali.

                           
Kesan Serangan Terhadap Individu
                                       

              Sekiranya gejala-gejala kecil berulang terhadap seseorang individu biasanya berkelakuan pelik dengan menjerit-jerit tanpa sebab, termenung dan ada juga yang berlari tanpa pakaian (perlakuan yang tidak disedari) maka bawalah mereka ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Mereka perlu dibantu seawal mungkin. Keterangan ahli keluarga atau saksi lain yang berada di tempat kejadian amat diperlukan memandangkan ianya berlaku tanpa  disedari oleh pesakit itu sendiri.


             Tanda-tanda paling ketara membezkan epilepsi dengan masalah lain ialah apabila SAWAN BERULANG dan ada waktu bebas di antara kedua-duanya, pesakit kelihatan normal, serta sifat serangan yang serupa. Setiap kali selepas serangan, pesakit berasa bingung, termenung dan biasanya mengalami sakit kepala.
                                   
             Doktor akan menentukan rawatan yang bersesuaian samada selepas temujanji pertama setelah maklumat lengkap diperolehi mahupun melakukan beberapa ujian selanjutnya samada EEG, rakaman video-EEG, CT scan, dan MRI. Bantulah golongan ini dengan mendapatkan rawatan awal oleh mereka yang berkepakaran.

                               
                                   


Saturday, January 19, 2013

Ke mana Teman, Di mana Rakan?




Semoga perbezaan ....tidak menghalang erti persahabatan


                       Walau fizikal mereka tiada yang kurangnya jika dibandingkan dengan anak-anak tipikal, namun penyandang autisme tetap berbeza dari segi sosial, pertuturan dan tingkahlakunya. Ini yang menyebabkan teman-teman di sekeliling akan menjauhkan diri dari si autisme.

     
                       Siapa boleh memahami keadaan seseorang yang sukar mengikut rentak anak-anak zaman kini yang petah berbicara dengan bahasa rojaknya termasuklah bahasa sms, bahasa ciptaan masa kini yang pelik bunyinya. Perbualan menjadi hambar kerana si anak autisme hanya berbicara dalam bahasa yang seolah-olah mengikut skrip malahan  tidak juga pandai berjenaka dan terlalu 'lurus' dalam segala hal.


Menangis menjadi senjatanya!


                        Disebut pula tentang tingkahlaku anak autisme, yang sedikit terkebelakang dari teman seusia juga mewujudkan lagi jurang sosial antara mereka. Menangis bila diusik, cepat naik angin jika ada rakan yang hendak berkongsi sesuatu yang menjadi kesayangannya, enggan menyertai rakan-rakan untuk bermain antara masalah-masalah yang boleh merenggangkan kemesraan sesama mereka.


                        Disebabkan faktor inilah, anak autisme sangat mendambakan suasana pergaulan di kalangan anak-anak tipikal seawal usianya bagi dijadikan ikutan dan teladan dalam memperbaiki kelemahan diri. Namun siapakah yang sanggup menerima mereka seadanya? Mohonlah pada-Nya moga hadir jua rakan-rakan sebaya yang ikhlas menemani dan membantu anak ini bagi menjadi insan biasa.yang berjaya.
                     

Semoga ramai  lagi yang sudi  menerima  kehadiran  Syahmi........


                        Sebagai minoriti dalam masyarakat, kewujudan insan autisme seolah-olah keganjilan bagi mereka yang masih kurang arif tentang autisme itu sendiri. Bukan salah didikan, bukan salah asuhan. Tapi kelainan ini yang dijadikan-Nya sebagai mewarnai kehidupan di dunia. Menuntut kesabaran mereka di sekeliling, mensyukuri nikmat yang diperolehi serta mendekatkan kita dengan Ilahi.
                        

Friday, January 18, 2013

Check List Simptom Autisme!


Jangan Pandang Ringan Check List ini!


Jika anda dapati anak-anak anda +ve dalam check list ini tidak kira beberapa atau sebahagian mahupun keseluruhan darinya, maka tindakan seterusnya adalah untuk mendapatkan nasihat pakar perubatan bagi mendapatkan  kepastian. Jangan berdiam diri kerana ia merupakan 'kelainan' yang perlu ditangani segera bukan untuk dilengah-lengahkan..

Mayo Clinic sebuah pusat perubatan terkenal di Amerika Syarikat, telah mengklasifikasikan simptom-simptom autisme kepada 3 bahagian utama iaitu :


Sosial......


                      1.  KEMAHIRAN SOSIAL
                         
                           -  Gagal memberi tindak balas bila namanya dipanggil
                           -  Lemah eye-contact
                           -  Mendengar tetapi buat-buat tidak mendengar
                           -  Tidak suka didakap
                           -  Tidak dapat menilai perasaan orang lain
                           -  Lebih suka bermain bersendirian dalam dunianya sendiri

                   

Pertuturan



                      2.  PERTUTURAN
                   
                           -  Lewat perkembangan pertuturan dibandingkan dengan anak-anak normal
                           -  Hilang kebolehan bertutur sesuatu perkataan atau ayat yang telah dikuasai
                              sebelumnya
                           -  Tidak bertentang mata apabila meminta sesuatu dari seseorang
                           -  Bertutur dalam nada yang pelik - bahasa robot
                           -  Gagal memulakan perbualan atau memanjangkan perbualan        
                           -  Kerap mengulangi perkataan tertentu tetapi tidak faham dalam
                              penggunaannya



Tingkahlaku


                      3.  TINGKAHLAKU

                           -  Pergerakan berulang-ulang seperti bergoyang, berputar, mengepakkan
                               tangan
                           -  Terikat pada rutin dan terganggu jika rutin berubah
                           -  Sentiasa bergerak
                           -  Tertarik pada objek berputar seperti tayar atau kipas angin yang sedang
                               berpusing
                           -  Reaksi berlebihan terhadap cahaya, bunyi, bau, sentuhan juga kesakitan
                           -  Mencederakan diri sendiri seperti menghantukkan kepala
                           -  Tidak pandai meniru, berpura-pura dengan sesuatu permainan
                           -  Pemilihan makanan yang amat terhad dan pelik
                           -  Sangat tertarik pada sesuatu objek secara detail tetapi tidak memahami
                              gambaran sebenarnya subjek


Apa ditunggu, apa lagi dinanti? Tindakan pantas ibubapa dapat membantu anak-anak kita yang berkelainan. Anda tidak berseorangan dalam hal ini. Dapatkan bantuan mereka yang berkepakaran bagi membimbing para ibubapa yang masih cetek ilmu dan pengalaman tentang dunia Autisme.


Autisme bukannya sesuatu yang perlu digeruni tetapi ia merupakan cabaran dari-Nya untuk menguji sejauh mana kesabaran manusia yang bergelar ibubapa.
                   
    

Wednesday, January 16, 2013

Kalaulah Syahmi Anak Kampung!




Awas!

                    KALAULAH Syahmi tinggal di kampung, tentu dari kecil lagi kami biarkan dia lepas bebas bermain dengan saudara maranya. Tentu masalah pergaulannya tak perlu diajar kerana kehidupan sekelilingnya mengajar dia lebih berdikari. Tentu sepupunya yang akan menjadi body guard Syahmi jika dibuli orang.


                   Tentu bahasanya juga pekat slang orang Perak! Air jadi ayor, bercakap jadi berlabun, gigit jadi kokak dan lain-lain bahasa orang kampung di Perak. Tentu juga ke sekolah naik basikal ramai-ramai dengan rakan-rakan. Tak perlu employ si supir untuk dihantar dan diambil ketika bersekolah.


Berbasikal ke sekolah.....


                   Tentunya tiada kad OKU dilayangkan padanya. Apatah lagi ke sekolah Pendidikan Khas agaknya. Tentu dia seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya. Pandai bersosial, kalau ada kekurangan pun sedikit sebanyak orang sekeliling boleh terima.


                    Namun  segalanya telah ditentukan Allah dan sebagai hambaNya kita mesti redha dengan apa yang tertulis.  Awas, kerana berkalau juga dikhuatiri akan membuka pintu amalan syaitan!


                    Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasullullah s.a.w pernah bersabda : "MUKMIN YANG KUAT LEBIH DISUKAI OLEH ALLAH DARIPADA MUKMIN YANG LEMAH. NAMUN PADA KEDUA-DUANYA ADA KEBAIKAN. BERJAGA-JAGALAH TERHADAP PERKARA YANG BOLEH MENDATANGKAN KEBAIKAN KEPADA ENGKAU, PINTALAH PERTOLONGAN DARIPADA ALLAH. SEKIRANYA ENGKAU DITIMPA SESUATU MUSIBAH, MAKA JANGAN ENGKAU BERKATA : "KALAULAH AKU LAKUKAN BEGINI MAKA SUDAH PASTI YANG LAIN AKAN BERLAKU. TETAPI KATAKANLAH : " ITU MERUPAKAN TAKDIR ALLAH DAN DIA MELAKUKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA, SESUNGGUHNYA KALAU AKAN MEMBUKAKAN PINTU AMALAN SYAITAN. ' (RIWAYAT MUSLIM)

                       
                         
                Huraian hadith:

                    1. Kekuatan seseorang Muslim itu bukan sahaja diukur dari segi fizikal tetapi juga
                    dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.

                    2. Orang yang sentiasa berwaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan
                    mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil
                    mencerminkan ketekwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan
                    kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kemenangan dan
                    kesedihan semata tetapi persayabahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang
                    tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.

                    3. Ucapan 'kalau' tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa
                    kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa
                    berfikiran positif dan sentiasa ingat bahawa segala yang baik itu datangnya dari
                    Allah sementara yang buruk itu adalah datangnya dari kelemahan diri kita sendiri.
                    Oleh itu,Islam menyuruh umatnya bertawakkal kepada Allah SWT dalam
                    melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu  tidak akan
                    berlaku tanpa keizinan-Nya jua.


                   Sengaja saya membangkitkan isu 'kalau' ini kerana kita sebagai manusia biasa yang banyak kelemahannya, kekadang terdetik jua di hati kecil kita istilah 'kalau' yang seolah-olah kita tidak redha dengan  ujianNya yang menganugerahi kita dengan anak istimewa. Sama-samalah kita merenung sejenak serta cuba memperbaiki diri masing-masing.

\
                   Wallahualam....
                                

Friday, January 11, 2013

Bukan Senang Hidup Menumpang.....


                       
Pokok menumpang - Tanduk Rusa
       
                         
Kenapa istilah 'menumpang' yang saya cuba bincangkan kali ini? Bukan kerana istilah ini nampak negatif, saya mengambilnya secara positif  supaya menjadi penyuntik semangat ibubapa anak istimewa yang mengikuti program inklusif di mainstream untuk bersaing bagi mencapai prestasi gemilang. Istilah ini sebenarnya bukan lahir dari saya tapi secara kebetulan dari seorang guru yang hanya bertujuan memahamkan ibubapa tentang konsep 'menumpang' bagi pelajar yang diinklusifkan.


Program inklusif sebenarnya hanya melibatkan pelajar-pelajar istimewa yang disyorkan menjalani pembelajarannya bersama-sama anak normal di mainstream. Namun harus diingat bahawa pelajar inklusif hanya 'menumpang' belajar di sana manakala urusan lain masih dibawah seliaan Pendidikan Khas seperti urusan pendaftaran masuk tiap-tiap sesi persekolahan, pembayaran yuran hinggakan kehadiran anak-anak inklusif ke sekolah juga adalah di bawah pemantauan mereka di Pendidikan Khas.


Memandangkan pelajar yang terlibat dalam program inklusif ini merupakan kes-kes yang terpencil, maka banyaklah kekeliruan timbul di sana sini. Guru-guru di mainstream juga kekadang terkeliru dan tiada tempat bertanya jika berhadapan sesuatu kes yang perlukan penyelesaian segera. Sebagai ibubapa kita harus benar-benar rasional menerima keadaan ini. Elakkan dari cepat melenting supaya keadaan tidak menjadi kusut kerana perjalanan anak kita di sekolah masih jauh.

           

Kekadang hati ku retak jua!


Sebagai ibubapa pernah juga terjadi episode 'hati ku retak'. Suatu ketika semasa Syahmi di Tahun 1 (akhir tahun), dimana penyerahan semula buku teks Tahun 1 dan penerimaan buku teks Tahun 2 dijalankan. Sedang kawan-kawan lain menggendong buku-buku pinjaman Tahun 2 dengan gembiranya, Syahmi pula hanya berlenggang dengan tangan kosongnya serta kecewa kenapa dia tidak turut menerima buku teks yang baru seperti kawan-kawan yang lain. Meruap-ruap darah naik ke ubun-ubun rasanya bila anak saya bertanya saya kenapa dia tidak diberikan  buku teks seperti yang lain.  Bila dikemukakan pada pihak sekolah, jawapannya disebabkan tiada 'hitam putih' dari pihak atasan sama ada anak saya layak/tidak layak untuk menerima bantuan buku teks....huhuhu.


Perkara seperti ini amat remeh bagi sesiapa yang tidak 'terkena', tapi bagi kami ibubapanya ia amat 'menyentap' rasa. Namun saya masih boleh mengawal emosi supaya anak saya tidak menjadi mangsa keadaan. Alhamdulillah ....tahun-tahun yang seterusnya tiada lagi perkara yang seumpamanya berulang. Mungkin guru-guru yang menguruskan pengagihan buku teks masih belum biasa dengan procedure yang harus dibuat memandangkan pelajar inklusif hanyalah kes-kes yang terpecil.


Menjadi hiasan di laman-laman rumah dan taman

       
Saya berharap suatu hari nanti biarlah anak inklusif menjadi seperti Si Tanduk Rusa yang tidak lagi menumpang di pokok-pokok hutan. Biarlah anugerah ini menjadi penghias taman juga di laman-laman rumah berlandskap menarik.


Tinggallah Si Tanduk Rusa di tempat yang lebih baik kerana kehidupan 'menumpang' biasanya tidak dipandang orang. Bukan maksud saya hendak menakutkan ibubapa lain yang mempunyai anak yang diinklusifkan....cuma memberi peringatan supaya kita lebih bersedia menghadapi rintangan.
                     
                       
                     
                     
                     
                     
                     
                                   

Thursday, January 3, 2013

Mereka Dalam 1 Pasukan....Terima Kasih Cikgu!

Puan Mariati  Hussin
(Guru Kelas/ Bahasa
Melayu/Pendidikan Muzik)
En Othman Ismail
 (Guru Pendidikan Seni Visual)
En Salleh
(Guru Pendidikan Jasmani
dan  Kesihatan)
Ustaz Kamarulzaman
(Guru Bahasa Arab)
Puan Fatimah Abu Bakar
(Guru Sains)
Ustazah Aluzza
(Guru Pendidikan Islam)
Puan Maryam
(Guru Matematik)



En Yusof
(Guru Kemahiran Hidup)
Encik Abdul Wahab
(Guru Bahasa Inggeris)
Encik Wan Saiful Bahri
(Guru Sivik dan
Kewarganegaraan)

Puan Mariah
(Guru Kajian Tempatan)


 
                       
Jadual Waktu untuk sesi persekolahan 2013 - Kelas 5 Al Ghazali



                                        SEMOGA 5 AL GHAZALI AKAN TERUS CEMERLANG UNTUK 2013
                                                                 TERIMA KASIH CIKGU-CIKGU SEMUA

"A New Broom Sweeps Clean"



Penyapu /Broom

                     
                            Bukan kurang ajar! Tapi kali ini izinkan saya nak bercerita tentang penyapu.  Orang Melayu sangat sensitif bila disebut pasal penyapu. Di rumah orang kita, penyapu akan disimpan jauh dari pandangan tetamu....biasanya belakang pintu.  Penyapu dianggap sial dan hanya sesuai untuk memukul pencuri masuk ke rumah aje katanya. Wallahualam.......hanya Dia yang lebih mengetahui atas segala kejadianNya....


                            Pepatah Inggeris ada menyatakan "A New Broom Sweeps Clean". Kiasannya bermaksud, seseorang yang baru menjawat sesuatu  jawatan akan bersungguh-sungguh dalam tugasannya bagi membuktikan keupayaan diri.


"A New Broom Sweeps Clean"


                             Sebagai Pengawas baru di sekolahnya,  Syahmi sangat senang dengan uniform barunya. Tercapai juga impiannya walau selama ini hanya 'menelan air liur' bila melihat rakan-rakan lain berpenampilan segak begini...... Pakaian segak, prestasi kerja juga mesti baik. Semoga guru-gurunya dapat membantu Syahmi dalam memikul tanggungjawab ini.


Bangga tapi tetap berdebar dengan
 tanggungjawabnya!


                               Hari pertama persekolahan Syahmi mula mengeluh kerana waktu rehat yang terhad disebabkan tugasan barunya  mengawal murid-murid beratur untuk membeli makanan di kantin. Kalau dulu Syahmi sangat enjoy dengan makanan pelbagai pilihan seperti Nasi Ayam, Laksa, Keropok Lekor dan sebagainya. Namun kali ini kena makan dalam masa yang singkat. Tiada lagi 30 minit penuh untuk waktu makan-makan kerana perlu menjalankan tugas baru.


Tugas kena didulukan....makan kemudian.....hehehe
                             
                              Syahmi mesti berusaha untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru yang tentunya lebih mencabar. Jangan sia-siakan harapan pihak yang telah memberi kepercayaan. Banyak pihak melahirkan rasa bangga dengan pencapaian anak ini. Apatah lagi bagi kami ibubapanya. Terima kasih pada pihak sekolah yang membuka ruang kepada anak istimewa sepertinya untuk dicungkil potensi diri yang sebenar.


Sukanya dia........            

                                 Diharapkan Syahmi dapat menjalankan tugas dengan baik. Tingkatkan mutu kerja dari hari ke hari, 'jangan hangat-hangat tahi ayam'.  Percaya pada keupayaan diri, anak-anak Pendidikan Khas juga ada yang berkemampuan jika diberi peluang.  Semoga ramai lagi anak-anak kita yang berpeluang sepertinya....aamiin....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...