A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, April 26, 2013

Warna-warni PRU Ke 13 .......

         
D
Dalam berpolitik jangan sampai 'tergigit' ......


                    Bila musim pilihanraya, masyarakat bertelagah sesama sendiri. Adik beradik enggan mengaku saudara, suami isteri tidak tidur bersama gara-gara fahaman politik yang berbeza. Mengapakah ini berlaku?

                   .Sebangsa, seagama, seketurunan tapi kerana fahaman politik yang tidak sekata, hubungan yang hakiki ditolak ke tepi. Alangkah baiknya kita berlapang dada dan sama-sama mendoakan kebaikan dan diberi petunjuk oleh-Nya dalam membina sebuah negara yang diredhai.

                     Ambillah sesuatu itu dari sudut yang baik. Bagi anak-anak seperti Syahmi replika segera yang wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan amat menarik minatnya. Ia adalah hasil usaha dan kreativiti masyarakat kita di merata pelusuk negara. Berjalan-jalan sekitar Kuala Terengganu di hari minggu , maka inilah antara hasil-hasil terbaik yang dapat dirakamkan untuk tatapan semua. Jangan terasa hati pendokong parti-parti selain dari BN dan PAS sebab di Terengganu ni hanya 2 parti yang dominan. Parti lain tak nampak rupa!


Penarik Beca di Batu Rakit, Kuala Terengganu

Boat Peronda Polis Marine di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu


Timbang biar sama beratnya! Lokasi Tok Jembal, Kuala Terengganu


Formula One di Batu Rakit, Terengganu


Penyu mendarat di Gong Pak Maseh, Kuala Terengganu


Wau Bulan setinggi 20 meter di Kedai Buluh, Marang, Kuala Terengganu


Awas! meriam di Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu

Harley Davidson di Batu Rakit, Terengganu


Kapal selam naik ke udara di Jalan Budiman, Kuala Terengganu


                      Dalam kebanyakan perayaan, mungkin tidak sehebat kali  ini idea-idea kreatif yang dapat  dizahirkan terutamanya oleh orang kita. Namun, pada keesokan hari pengundiannya tiada lagi replika-replika ini dapat menjamu mata serta mencuit hati kita. Segala poster dan replika ini akan diturun semula serta dimusnahkan demi mematuhi peraturan pihak yang berwajib.


                      Semoga bertemu lagi dalam PRU ke 14 dengan idea yang lebih kreatif semestinya......

Wednesday, April 24, 2013

Kenapa Mesti Berjauh Hati???



Jauh Hati........

                     Dalam banyak perkara, saya cuba membiasakan diri dengan label OKU pada anak saya. Saya cuba berlapang dada  bila mendengar suara-suara sumbang memperlekehkan golongan ini. Kekadang ada juga  keinginan untuk bersuara mempertahankan mereka bila ada pihak yang cakap lebih-lebih tentangnya. Namun demi perhubungan sesama manusia.....lebih baik didiamkan saja.


                     Dulu, semasa anak saya di Pra Pendidikan Khas (2008) kelasnya hanya terletak bersebelahan dengan kelas Pra Sekolah. Kebiasaannya ibubapa akan menjenguk-jenguk anak masing-masing di tingkap bila waktu pembelajaran sudah hampir tamat. Tiba-tiba muncul seseorang bertanya kepada saya  "Anak awak yang mana satu? ". Jawab saya, "Anak saya kelas sebelah.... (Pra Pendidikan Khas maksudnya)". "Ohhhhhhh....." katanya sambil memberi riak muka seolah-olah Pendidikan Khas hanya untuk golongan kelas ke dua. Ku pujuk hati, bersabarlah dengan ujian Tuhan. Tidak salah rasanya kita berada di bawah sekali-sekala supaya melatih diri menjadi insan yang tawadhu'.


                      Namun bagi si anak, tiada beza antara label tersebut dengan yang lain. Mungkin disebabkan usianya yang hanya 11 tahun dan masih tidak mengerti bahawa di luar sana ramai yang memandang sepi terhadap insan-insan sepertinya.


                      Suatu ketika sedang mengisi borang dari pihak sekolah untuk diisi oleh ibubapa di rumah. Disebabkan kurang pasti dengan nombor kad pengenalan si anak dan malas nak menyelongkar dokumen penting tersimpannya Surat Beranak, lalu saya cuba bertanya pada empunya diri " Ingat tak nombor kad pengenalan Syahmi? Lalu dia menjawab, " Tengok kad OKU!". Tersintak saya mendengarnya, kerana dia faham dirinya mempunyai kad OKU, sedangkan saya tidak endah langsung tentang kewujudan kad tersebut dan biasanya saya lebih bergantung pada Surat Beranak untuk sebarang maklumat peribadi anak-anak. Seboleh-bolehnya saya tak mahu tengok kad OKU anak saya. Mata terus memandang padanya namun rasa sayu menyelubungi diri.......kenapa mesti  ibubapa yang berjauh hati?
                 
                 

Jatuh jua airmata ku!


                   


                     


                   


                   


                     

Thursday, April 18, 2013

Guru Pelatih.......


Kenangan Bersama Sir Asnawi dan Sir Hadi

                       Guru pelatih datang dan pergi. Hinggap sementara kemudian berlalu dengan kenangan dan pengalaman sebagai pendidik berhadapan dengan anak bangsa. Awal tahun 2013, Sek Keb Seri Budiman II menerima 3 orang guru pelatih lelaki iaitu Sir Asnawi, Sir Hadi dan Sir Hafiz. Mereka hanya berada di sini 3 bulan untuk menjalankan Latihan Praktikum sebagai pelatih IPG Kampus Batu Rakit, Terengganu.



Jika baik budi bahasa, ke mana pergi semua orang suka!


Kemesraan yang terpancar antara guru dan anak didiknya...

                        Sir Asnawi mengajar Syahmi Matematik, mesra peribadinya serta amat disenangi semua murid. Rasanya guru praktikal kali inilah, yang paling berjaya menambat hati semua warga sekolah. Sebagai ibubapa kepada anak didiknya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sir Asnawi, Sir Hadi dan Sir Hafiz kerana telah beberapa bulan menaburkan bakti serta menceriakan anak-anak kami di SKSB II.



Sir Asnawi memberi tunjuk ajar kepada Syahmi dalam permainan catur


                       Terima kasih ke tiga-tiganya, tentu sekali warga SKSB II merasai kehilangan yang amat sangat dengan kemesraan anda bertiga. Nampaknya tiada lagi panggilan 'Sir Asnawi ' dalam diari kehidupan anak istimewa ini kerana tempoh Latihan Praktikum anda bertiga di SKSB II berakhir pada hari ini 18hb April 2013....namun di hati pastinya tidak akan lupa!


                       Secara tidak disedari, walaupun cikgu-cikgu bukan berpengkhususan di bidang Pendidikan Khas namun telah melalui pengalaman mengajar seorang anak istimewa autisme yang diinklusifkan di aliran perdana seperti Syahmi. Mungkin tak ramai guru pelatih lain yang melalui pengalaman seperti ini.


                       Selamat Maju Jaya ........


                   
Thanks for the 'Great Smile' Sir  .........


Wednesday, April 17, 2013

Surah An-Naba' - Berita Besar



Sebahagian dari petikan Surah An-Naba'


                                  In Shaa Allah jika tiada halangan, kami memilih Surah ke 78 dalam naskhah
             Al Quran iaitu Surah An-Naba' yang bermaksud Berita Besar  untuk dibawa Syahmi ketika
             Majlis Tilawah Quran Pendidikan Khas, Peringkat Daerah Kuala Terengganu (2013) tidak
             lama lagi.


                                  Berdasarkan surah tersebut, ia menceritakan tentang keadaan yang
             berlaku pada Hari Kiamat serta balasan atas setiap yang kita lakukan semasa di dunia. 
             Terima kasih Syahmi,  kerana kamu ayah berusaha mendapatkan  makna surah ini yang
             memberi peringatan  pada diri sendiri,  SETAKAT MANA PERSEDIAAN KU  UNTUK
             MENGHADAPI HARI YANG DIBERITAKAN ITU (HARI KIAMAT)?
         


Beginilah struktur kejadian Hari Kiamat yang digambarkan

                   
Fakta-fakta Tentang Neraka menurut Surah An-Naba'

                         
                                       Bagi Syahmi, tentunya dia akan cuba membaca surah ini sebaik mungkin
              seperti yang ditunjukajar. Menang kalah perkara kedua. Pengalaman tahun lalu mungkin
              dapat membantu  anak ini menempuhi cabaran.


                                       Semoga segalanya berjalan lancar serta dipermudahkan-Nya....

Friday, April 12, 2013

Ketar Lutut.....Laju Degup Jantungnya!


Debaran!

Kebanyakan kita pasti akan rasa gugup bila berhadapan dengan orang ramai. Siti Nurhaliza sekali pun tetap akan merasa debarannya bila hendak melangkah kaki ke pentas. Inikan pula kita orang kebanyakan yang hanya naik ke pentas sekali sekala. Tentu berpeluh dibuatnya......Bagaimana dengan anak autisme seperti Syahmi?


Antara pengalaman Syahmi berhadapan dengan orang ramai

Syahmi juga tidak boleh lari dari perasaan ini. Beberapa kali Syahmi di pentas, memang kami ibubapanya juga terasa debarannya dan berdoa semoga Syahmi mampu menyerap debaran yang dialami dengan baik. Bermula dengan penyertaan dalam beberapa majlis Tilawah Al Quran, juga kesempatan untuk menyampaikan hafazan surah di Majlis Hari Raya Autisme Malaysia (2012), dirasakan pengalamannya masih belum  mencukupi. Tentunya kena diperbanyakkan lagi pendedahan buat anak ini.


Nun di pentas sana, Syahmi sedang mengepalai bacaan
 doa semasa perhimpunan sekolah

Baru-baru ini melalui inisiatif guru pendampingnya Puan Rosma, idea untuk mengenengahkan Syahmi bagi mengepalai bacaan doa semasa majlis perhimpunan sekolah telah berjaya dilaksanakan. Ini merupakan tindakan serampang dua mata, sambil membiasakan Syahmi berhadapan dengan orang ramai juga memenuhi tugasan tiap Pengawas lelaki yang diarahkan mengetuai bacaan doa secara bergilir-gilir di pentas. Tentunya sektor Pendidikan Khas sekolah berasa bangga dengan penyertaan anak pendidikan khas dalam acara seperti ini. Sekurang-kurangnya, anak pendidikan khas juga mampu menyumbang sesuatu buat sekolahnya.


Kini bulan April/Mei datang lagi. Majlis Tilawah Quran Pendidikan Khas kembali dan dengar khabarnya kali ini Syahmi akan memasuki dua acara iaitu Tilawah dan Hafazan Quran. Ayat-ayat telah dipilih, semoga Syahmi mampu menggalas tugas berat ini. Masih awal untuk memperkatakan tentang peluang meraih kejayaan, kerana persediaan baru saja bermula.


Doakan kejayaan Syahmi........
                   


                            

Monday, April 8, 2013

Cerita Pilihanraya Di Mata Syahmi......


Mengundi hak individu yang melepasi
umur 21 tahun


                                     Cerita pilihanraya amat sensitif bagi kelompok tertentu, dan ada juga
                      yang tidak ambil kisah tentangnya. Bagi kanak-kanak, apalah sangat kefahaman
                      mereka berkenaan pilihanraya. Yang ada hanyalah sekadar kemeriahan warna-
                      warni 'perang bendera' serta 'perang poster'.


                                     Yang berlambang dacing ke, bulan purnama ke, roket ke atau bulan
                       sabit....semua menjadi perhatiannya. Cuma si anak pernah bertanya, mengapa
                       lambang-lambang tersebut dipilih? Lagi dahsyat pertanyaannya, mengapa
                       orang Islam ada banyak parti? Tak dapek den nak menjawabnyo! Masih
                       terlalu mentah untuk kamu memahaminya...wahai anak ku! Kami yang dah
                       berusia ni pun, kekadang terkeliru dengan corat-coret politik dalaman negara.

                                   
Kalau dah berkibar begini, tentu kanak-kanak suka melihatnya!

Jangan lupa calon yang pernah mencatatkan sejarah pilihanraya
negara bertanding di Kuala Terengganu


                                          Pihak mana sekali pun berjaya berada di singgahsana  Putrajaya
                          dalam pilihanraya nanti, amatlah diharapkan supaya janji dapat ditunaikan.
                          Semoga negara kita terus aman dan berdaya saing, agar anak-anak kita yang
                          menjadi pewaris bangsa di masa akan datang masih berpeluang mengecapi
                          kemakmuran yang ada. Jangan, janji hanya tinggal janji. Rakyat jelata amat
                          mendambakan pemimpin yang terbaik untuk mengemudi negara kita.                

                                       
                                           Selamat mengundi, In Shaa Allah kali ini kami akan membuang
                          undi di DUN Batu Buruk. Nama aje 'buruk', hakikat sebenar tempatnya
                          menarik!
                                       
                                     

Saya Pilih Mengundi!
                                         
                       
                         

                       

                                   


                         


                           

Friday, April 5, 2013

Rabun Warna (Colour Blindness)


Imej hitam putih!


Imej hitam putih seperti TV zaman 70an dulu... Biasanya inilah tanggapan orang ramai tentang rabun warna. Hakikatnya, rabun warna BUKAN bererti buta warna sepenuhnya. Golongan  ini hanya mempunyai persepsi terhadap sesuatu warna itu berbeza dan ketidakmampuan mengecam warna ini dipandang dari sudut biasa, baik satu warna ataupun seluruh warna.


Masalah ini selalunya dipandang remeh oleh masyarakat. Sukar mengesannya di peringkat awal usia. Kebanyakan kes rabun warna adalah disebabkan faktor keturunan. Ia lebih didominasi oleh kaum lelaki. Terdapat juga kes dimana rabun warna ini berlaku apabila telah dewasa disebabkan faktor penyakit.
                 
 


                   
                   
BAGAIMANAKAH TERJADINYA RABUN WARNA?


Lapisan retina yang terletak di belakang mata mempunyai 2 jenis sel iaitu sel rod dan sel kon. Kedua-duanya bertindakbalas balas dengan cara yang berbeza terhadap cahaya. Sel rod sangat sensitif terhadap cahaya walaupun di dalam cahaya yang malap. Tetapi sel ini tidak dapat membezakan warna. Inilah faktor yang menyebabkan kita hanya mendapat bayangan hitam, kelabu atau putih apabila di malam hari.


Manakala sel-sel kon pula, bertindak terhadap cahaya yang lebih terang dan berwarna. Terdapat 3 jenis sel kon dimana tiap satunya bertindak kepada warna merah, hijau dan biru. Seseorang yang mengalami rabun warna, akan mengalami kekurangan dalam salah satu  atau lebih antara sel-sel tersebut.  Walaupun demikian, tahap permasalahan tidak bersamaan antara seseorang individu dengan individu rabun warna yang lain.
                         

                         PUNCA RABUN WARNA


                         a. Faktor Genetik

                          Kebanyakan kes adalah disebabkan gen rabun warna yang diturunkan
                          daripada ibu kepada anak lelaki. Manakala wanita lebih bernasib
                          baik kerana mempunyai bahan baka yang  boleh mengatasi masalah ini.
                          Namun tahap permasalahan tidak berubah dengan peningkatan umur.

                          b. Penyakit

                          Samada disebabkan penyakit yang mengganggu fungsi retina manusia,
                          kencing manis, gangguan saraf optik yang menyebabkan kerengsaan
                          pada saraf, mahupun disebabkan pengambilan ubat-ubatan seperti
                          tamozifen yang diambil untuk mengelakkan kanser payu dara, serta
                          sesetengah ubat bagi penyakit artritis reumatoid.

                          c. Penuaan

                           Peningkatan umur akan menyebabkan individu hilang keupayaan untuk
                           mengekalkan tahap pengecaman warna.

                          d. Kekurangan Vitamin A

                           Kekurangan vitamin A juga dikatakan mendorong kepada masalah rabun
                           warna. Vitamin A boleh diperolehi dari sumber haiwan, sayuran dan
                           buah-buahan. Antara contohnya minyak ikan, keju, kangkung, bayam,
                           lobak merah dan sebagainya.


Ishihara Colour Blindness Test

Antara ujian yang dilakukan bagi permasalahan
 rabun warna
               

                          JENIS RABUN WARNA


                          Menurut dunia perubatan, rabun warna terbahagi kepada 3 jenis iaitu:

                       
                          a. TRIKROMASI - berlaku apabila perubahan sensiviti warna dari satu jenis
                              atau lebih sel kon. Apabila terjadi kelemahan pada warna biru ia dinamakan
                              tritanomali (rabun warna yang paling biasa berlaku). Bila kelemahan jatuh
                              pada warna merah, ia dinamakan protranomali. Manakala bagi yang lemah
                              terhadap warna hijau ia dinamakan deutromali.

                           b. DIKROMASI - berlaku apabila satu dari 3 sel kon tiada. Apabila sel kon
                               yang sensitif terhadap warna merah tiada ia dinamakan sebagai protanopia.
                               Manakala apabila ketiadaan sel kon yang sensitif terhadap warna hijau,
                               dinamakan pula deuteranopia. Begitu juga apabila ketiadaan sel kon yang
                               sensitif kepada warna biru, maka dinamakan sebagai tripanopia.

                           c. MONOKROMASI - berlaku apabila kehilangan atau kurangnya semua
                               penglihatan warna sehingga yang kelihatan hanya warna hitam dan putih
                               pada warna typical dan sedikit warna pada jenis warna atypical.
                       


ANTARA PERMASALAHAN AKIBAT RABUN WARNA


Bagi kanak-kanak, apabila telah meningkat usianya ke 5 tahun, mereka yang mengalami rabun warna akan menghadapi masalah pembelajaran terutamanya dalam aktiviti mewarna, melukis juga apabila hendak mengendalikan komputer. Jika ada diantara mereka  yang masih belum dapat membezakan warna contohnya antara warna merah dan hijau, maka segeralah berjumpa doktor untuk pengesahan lanjut.


Bantulah golongan ini supaya mereka tidak berada di dalam dunianya tersendiri kerana tidak sedar bahawa warna yang dilihat sebenarnya tidak betul. Pengesanan awal dapat membantu mereka keluar dari kekeliruan terhadap warna. Contohnya ibubapa kena melabel warna sebenar pada pensel warna anak-anak supaya mereka dapat memilih warna yang betul ketika melakukan aktiviti mewarna.


Bagi yang dewasa pula, mereka akan berhadapan dengan masalah hendak memilih warna pakaian yang diperlukan. Begitu juga dengan kekeliruan fungsi lampu isyarat apabila memandu. Jangan putus asa kerana biasanya mereka yang mengalami rabun warna akan diajar mengikut susunan lampu isyarat bukannya menerusi warnanya. Namun masalah masih berlaku sekiranya memandu di waktu malam atau di dalam hujan lebat. Dapatkan surat pengesahan doktor bagi mengenalpasti tahap kerabunan warna bagi pertimbangan sewajarnya oleh pihak yang berwajib.


       Kiri (Normal)                Kanan (Rabun Warna)


Namun, di kalangan mereka yang mengalami rabun warna ini terdapat alat optikal yang disyorkan bagi membantu mengatasi masalah tersebut seperti  kanta sentuh khas dan cermin mata dengan penapis warna yang dapat meningkatkan tona warna lalu membezakan  warna-warna defek dengan lebih mudah.


Yang pasti, bukan semua pekerjaan dapat dilakukan oleh mereka yang rabun warna. Pendawaian, tugas-tugas di makmal kimia, ketenteraaan, kepolisan, pengendalian kenderaan komersial adalah antara bidang tugas yang tidak sesuai diceburi oleh golongan ini.
   

Warna dari sudut pandangan individu normal (kiri) berbeza dengan
 pandangan dari sudut mereka yang mengalamai rabun warna merah-hijau (kanan)


Tahukah anda bahawa pengasas facebook Mark Zuckerberg ialah lelaki tampan yang mengalami masalah rabun warna. Beliau hanya mampu melihat warna biru secara sempurna tetapi tidak dapat mengenalpasti warna merah dan hijau (menurut temubual dengan majalah Time). Disebabkan faktor tersebut , beliau memilih warna biru dan putih sebagai warna tema facebook yang menjadi rangkaian perhubungan paling diminati oleh  masyarakat di seluruh dunia.


Jadikan mereka yang telah berjaya sebagai pembakar semangat buat mereka yang mengalami masalah rabun warna dalam memajukan diri masing-masing......





                       

Wednesday, April 3, 2013

Selagi Jantung Ku Berdegup....



Bersama mencari keredhaan-Nya.....
Memastikan keselamatan mu.....
Mengharungi ranjau kehidupan......
Bersemangat menempuhi kehidupan.....
Menikmati keindahan kurniaan-Nya....
Menemani mu ketika kesusahan......
Menunjukkan jalan yang terbaik buat mu......


                                  Semoga kamu bahagia di dunia dan di akhirat wahai anak ku.
                                       Jadilah kamu saham terbaik buat ayah di sana nanti.
                                               Ya Allah! Makbulkanlah permintaan ku ini...
                                                                   A A M I I N

Monday, April 1, 2013

April....Bulan Kesedaran Autisme






                       Nisbah yang semakin menggerunkan ibubapa serata dunia pastinya. Peningkatan yang amat ketara sejak akhir-akhir ini menyebabkan AUTISME menjadi bahan kajian para penyelidik. Namun masih banyak rahsia yang belum terungkap sepenuhnya dan hingga kini menjadi teka-teki.

                       Di negara kita, ibubapa mengeluh kerana terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan temujanji dengan pakar-pakar perunding bagi  pengesahan tentang keadaan anak yang dikatakan 'pelik' jika dibandingkan dengan kanak-kanak seusia. Begitu juga untuk perkhidmatan ST, OT dan sebagainya dimana ibubapa lebih sanggup mengeluarkan belanja yang besar bagi memperolehi perkhidmatan yang terbaik buat   anak masing-masing. Ini membuktikan kes-kes seumpamanya kian serius dan amat membimbangkan.

                      Bayangkan suatu masa nanti, bagaimanakah nasib anak-anak ini apabila dewasa kelak jika mereka tidak mendapat intervensi awal? Bagaimana pula dengan anak-anak yang berada di kampung-kampung dimana ibubapanya kurang mendapat pendedahan tentang masalah pembelajaran seperti AUTISME? 
                       
                      AUTISME bukan noktah terakhir dalam kehidupan individu......ia hanya sebuah perjalanan bagi menguji sejauhmana mereka disekelilingnya dapat menerima, memahami dan bertindak dengan lebih bijak. Ayuh kita sama-sama bangkitkan kesedaran semua pihak.......baik dari mereka yang berada di atas hinggalah ke masyarakat umum. 
                       

                          APRIL BULAN KESEDARAN AUTISME.....RAIKAN DENGAN WARNA BIRU
                                                 
               
Dont try to cure us, try to understand us!





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...