A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, June 28, 2013

Terapi Pertuturan - Alat Bantu Yang Mudah Lagi Murah



KEPENTINGAN TERAPI PERTUTURAN


Masalah pertuturan berlaku disebabkan oleh faktor fizikal juga mental. Faktor fizikal termasuklah seperti seseorang yang mengalami masalah sumbing. Manakala faktor mental, adalah seperti mereka yang dikategorikan mengalami masalah pembelajaran. Masalah ini perlu diatasi supaya golongan ini dapat memperbaiki kualiti hidup serta tampil dengan keyakinan diri yang tinggi dalam hubungan  bermasyarakat.
     
     
ALAT BANTU TERAPI PERTUTURAN (INTERVENSI AWAL)


Ibubapa yang mula mengesyaki berlakunya kelewatan pertuturan pada si anak, sebaik-baiknya  jangan berlengah lagi untuk melakukan sendiri intervensi awal. Kekadang, dalam tempoh kita mendapatkan pengesahan dari pihak yang berkepakaran tentang permasalahan si anak,  secara tidak disedari kita telah membuang masa dalam membantu perkembangan pertuturannya. Lakukan sendiri di rumah dengan alatan yang mudah diperolehi di pasaran bagi melatih pergerakan dan keupayaan mulut mereka. Yang penting, pastikan alatan ini berupaya menarik perhatian si anak serta selamat digunakan. Mudah diperolehi, lagi pun murah harganya! Antaranya ialah :



Meniup wisel. Pilihlah wisel yang berwarna terang

         
Meniup belon berwarna dengan
  lukisan watak animasi kegemaran mereka
   

Meniup dan menyedut minuman
menggunakan straw
       

Meniup lilin 


Letakkan bola ping pong di atas permukaan air
 lalu ditiup

Meniup 'Party Blower'

Meniup Kincir Angin buatan sendiri atau yang
 dijual di pasaran


Jika kita berkemahuan dan berkesungguhan, langkah yang seterusnya haruslah diteroka seperti idea-idea yang biasa digunakan oleh ahli terapi.  Perabut baru, kereta besar lagikan  mampu dimiliki, inikan pula hendak berbelanja seringgit dua demi masa depan si anak. Usaha ibubapa yang berterusan amat diperlukan bagi merangsang anak-anak untuk bercakap.  Alat bantu lain yang mampu dimiliki oleh kita seperti :



Echo Microphone yang mengeluarkan gema bagi
 merangsang si anak bercakap

Hand Puppet untuk sesi perbualan

       
Finger Puppet yang sangat menarik
       

Kad Imbasan yang bersaiz kecil serta berlamina supaya
mudah dibawa ke mana-mana


Menggalakkan mereka membuat kerja tangan seperti origami
 sambil menyebut juga menyentuh bahan


Indoor aktiviti seperti bermain  'Snake & Ladder' sambil
menggalakkan komunikasi dua hala


Sebenarnya pelbagai bahan lagi boleh dijadikan alat bantu kepada sesi terapi pertuturan. Cuma daya kreativiti kita diperlukan untuk menggalakkan mereka bertutur dengan betul. Sebagai ibubapa, jangan mengharapkan guru atau ahli terapi sahaja yang mengendalikan sesi terapi pertuturan. Kita juga harus melengkapkan ilmu serta membantu anak-anak kita semasa di rumah seperti melayan mereka bercakap dengan betul. Jangan sekali-kali memperlekehkan anak-anak ini kerana ia boleh melemahkan semangat mereka.


Anak-anak istimewa dianugerahkan hanya buat ibubapa yang istimewa untuk menyahut cabaran membesarkannya. Yakini pada janji Dia yang Maha Mengetahui.....kita mampu sebenarnya melaksanakan tanggungjawab itu. Jangan tangguh-tangguh lagi, lakukan sendiri terapi pertuturan di rumah sambil mengeratkan kasih sayang dengan si manja kita.
                     

Wednesday, June 26, 2013

Amalan Doa Untuk Ibubapa Yang Telah Meninggal Dunia...



Hanya  3 PERKARA yang dapat membantu si mati....


                  Sesungguhnya kasih sayang anak-anak kepada insan yang bergelar ibu dan bapa tidak harus terhenti hanya ketika mereka masih berada di dunia. Rasullullah SAW pernah bersabda bahawa "Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali 3 perkara iaitu :  a) Sedekah yang ditinggalkan semasa hidup,  b) Ilmu yang dimunafaatkan,  c) ANAK YANG SOLEH YANG MENDOAKAN KEDUA IBUBAPANYA". (Hadis Riwayat Luqman Hakim)


                  Pemberian paling berharga yang amat diharapkan oleh ibubapa kita semasa mereka di alam barzakh adalah doa dari anak-anaknya. Manakala tidak akan terputus pula rezeki seseorang selagi dia tidak meninggalkan doa kepada kedua orang tuanya dalam sehari (baik yang hidup mahupun yang telah tiada). Begitulah besarnya ganjaran Allah kepada anak-anak sekalian. Rebutlah peluang besar ini. Buatlah yang terbaik untuk mereka yang mana suatu ketika telah menjaga kita dengan penuh kasih sayang.





                               Bermaksud : Ya Allah! Sampaikalah seumpama pahala bacaan
                               ku kepada roh BAPA ku (sebut nama si mati)

                               Ya Allah! Ampunilah dosanya, kasihani dan sejahterakan dia
                               maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya, lapangkan
                               kuburnya dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih .  





                               Bermaksud : Ya Allah! Sampaikanlah seumpama pahala bacaan
                               ku kepada roh IBU ku (sebut nama si mati)

                               Ya Allah! Ampunilah dosanya, kasihani dan sejahterakan dia
                               maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya, lapangkan
                               kuburnya dan rahmat-Mu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih.



                                                                         AL FATIHAH




                             Sesungguhnya, dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali


                                                                  -WALLAHUALAM-





Sunday, June 23, 2013

Panggilan Sangkaratulmaut.....Al fatihah


Allahyarham Haji Zakaria bin Haji Nordin
         
           Al fatihah......buat ayahanda Hj Zakaria bin Hj Nordin. Beliau pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selamanya dalam usia 84 tahun pada hari Selasa, 18hb June 2013 bersamaan  9 Syaaban 1434H. Bertahun-tahun beliau mengalami penyakit lemah jantung, paru-paru berair, dan hingga ke akhir hayatnya mengalami kegagalan buah pinggang. Menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 10.00pm, di rumahnya di Kpg Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak.

     
            Jam 10.00pm, saya  menerima panggilan dari kampung. Katanya  "Apak (ayahanda) tenat....mereka sedang membantunya mengucap"....lalu panggilan terputus. Rupanya panggilan buat ku merupakan panggilan sangkaratul maut buat ayahanda ku. Menurut kata mereka,  ayahanda menarik nafas kuat sebanyak dua kali.....sambil kumat-kamit mulut cuba mengucap Dua Kalimah Syahadah lalu perlahan-lahan pergi meninggalkan dunia yang fana.


Al Fatihah buat Hj Zakaria bin Hj Nordin.....
moga berbahagialah ayahanda di sana

           Tiada lagi ayahanda kami di dunia ini. Tiada lagi seorang yang sangat perfectionist dalam banyak hal. Segalanya dilakukan dengan tertib. Sangat sayu bila dia telah tiada. Bagaikan sebahagian dari nyawa kami dibawanya pergi bersama. Berbaktilah pada ibubapa selagi mereka masih hidup. Tinggallah bonda hidup tanpa teman. Inilah tanggungjawab anak-anak menemani bonda yang telah uzur supaya tidak terasa kehilangan seorang suami yang selama 63 tahun sentiasa di sisi baik ketika susah mahupun senangnya.


Tiada doa, sebaik doa dari anak-anak yang soleh
 dan solehah buat ayahanda di sana
       
          Semoga diperkukuhkan hubungan antara kami adik beradik. Banyakkan amalan kebaikan, hindari segala kemungkaran. Meninggalkan anak yang soleh dan solehan adalah saham terbaik buat ayahanda kita di sana. Ingatlah, bahawasanya yang pergi tetap pergi buat selamanya.....yang tinggal wajib berlumba untuk menyiapkan diri kita semasa di sana nanti. Berpeluh di dahi dengan raut wajah yang berseri ketika nafas ayahanda terhenti. Semoga ayahanda di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman....aamiin

             


              

Monday, June 17, 2013

Hari Bapa Tanpanya...


         
                 Kelmarin 16hb June 2013, sambutan Hari Bapa. Masing-masing menyambutnya dengan pelbagai cara. Beruntunglah bagi mereka yang masih mempunyai bapa. Keluar makan sekeluarga, jalan-jalan dan berbagai-bagai cara lagi boleh dilakukan untuk meraikan seorang insan bernama bapa. Hanya panggilan yang berbeza, ada yang panggil ayah, abah, papa, daddy dan sebagainya. Namun, pengertiannya tetap sama.


Mengapa ni?

                     Sambutan Hari Bapa tahun ini berkebetulan juga si ayah ke luar daerah bertugas. Maka beginilah ekspresi si anak menyambut Hari Bapa.  Hanya melalui telefon berbicara, tentu tidak sama jika si bapa di sisi. Seminggu tiada, terasa begitu lama.  Memang terkesan amat nampaknya, kesian dia....


                     Sibukkan diri dengan aktiviti persekolahan sementara menunggu ayah pulang hujung minggu nanti. Kita boleh raikan Hari Bapa sekeluarga. Sesungguhnya  penghargaan buat si bapa bukannya sehari, tapi selagi nyawa dikandung badan. Beruntunglah Syahmi masih punya AYAH.......

                   
Syahmi Sayang Ayah......

Friday, June 14, 2013

Cerita Sang Cengkadak Dengan Rahsia Posisi Tidur


Sang Cengkadak

                  Pada suatu hari, terserempak di halaman rumah Sang Cengkadak yang hinggap di atas dedaun pokok bunga raya. Maka Si ibu cepat-cepat memanggil Si anak untuk diperlihatkan gurauan orang lama dengan aksi serangga tersebut.


                  Cengkadak cengkudu, macam mana Syahmi tidur? Sang Cengkadak pun menggeliatkan badannya lalu menunjukkan aksinya. Tertawalah si anak kerana melihat bagaimana keadaan tidurnya sebagaimana yang diaksikan oleh Sang Cengkadak. Kalau anak-anak zaman dulu,  mereka akan mempercayai bulat-bulat pada mitos tersebut. Anak-anak zaman kini, segalanya kena diiringi dengan fakta. Kalau tidak, kantoi kita hendak menjawab hujah yang bertubi-tubi dari Si anak.


                  Kata orang, posisi kita tidur menceritakan sifat seseorang yang sebenarnya kerana ketika itulah keadaan semulajadi di bawah sedar tanpa agenda tersembunyi. Pendek ceritanya, tiada istilah lakonan lagi apabila kita menikmati masa tidur yang lena. Kalau jenis yang tidur berdengkur, maka berlagulah dengan iramanya. Air liur basi meleleh pun tidak boleh ditapis lagi.


Starfish lagaknya!
       
                Bagi yang tidur terlentang seperti starfish lagaknya, dikatakan seorang yang sangat percaya kepada diri sendiri, berjiwa bebas, nyaman serta memuja kepada kecantikan. Tetapi mereka juga boros dalam perbelanjaan namun rezekinya juga lumayan.


Bersilang kaki.....amboi 3x

                    Ada juga di kalangan mereka yang tidur sambil bersilang kaki. Yang ini pula dikatakan sangat obsess pada diri sendiri juga tidak suka pada perubahan. Bersendirian lebih digemarinya. Yang pasti mereka kurang bercakap. SYAHMI ANAK AUTISME SAYA TERGOLONG DALAM POSISI YANG INI.


Meniarap..

                   Apa kata dengan posisi yang ini iaitu tidur meniarap. Tidur yang sebegini adalah tidak digalakkan dalam agama kita. Menurut katanya, golongan ini berfikiran sempit, ego juga keras kepala. Sukar menerima kritikan walau mempunyai kepercayaan diri yang sangat tinggi.


Seperti janin dalam kandungan gayanya......
               
                 Tidur meringkuk seolah-olah janin manusia di dalam kandungan ibunya. Mereka dikatakan mempunyai keperibadian yang sangat sensitif, cemburu, pendendam dan mementingkan diri sendiri.
                 

Posisi miring ke kanan 

                   Manakala yang tidur miring sebegini amat baik keperibadiannya. Lembut, bersopan, jujur dan penuh dengan kasih sayang. Posisi yang beginilah yang amat dituntut oleh agama,  cenderung memaafkan orang lain, berfikiran terbuka. Kehidupan yang bahagialah milik mereka....In Shaa Allah


Tutup semua dari kepala ke kaki.....hehehe

                    Auummm Chak! Tidur dengan posisi begini menunjukkan keperibadiannya yang suka menyimpan rahsia diri serapat-rapatnya. Pemalu dan lemah serta akan menguncikan diri di kamar apabila menghadapi masalah. Pendek kata, mereka tergolong dalam golongan yang memilih untuk  menangis sendirian.

                     Posisi tidur pada malam hari amat penting untuk keselesaan fizikal dan mental kita keesokkan paginya. Jika tersalah posisi tidur, anda boleh merasakan kesakitan dan tidak selesa dengan bahagian-bahagian tubuh yang terkesan dek kerana posisi tidur yang tidak betul. Tidak salah rasanya kita mengikut apa yang dianjurkan oleh agama kita. Biasakan memilih apa yang lebih baik walau ianya tidak menjadi kebiasaan kita.....


Zzzzzzzzzz.........(sekadar hiasan)

ADHD : Membataskan Makanan Tertentu Mungkin Dapat Membantu Mereka


           
                        ADHD atau singkatan dari  Attention Deficit Hyperactivity Disorder ( Masalah kurang daya tumpuan dan hiperaktif).  Kanak-kanak ADHD selalu resah serta sukar duduk diam. Mereka tidak dapat memberi tumpuan pada sesuatu perkara beserta dengan  tingkahlaku yang  tidak seiring dengan perkembangan usia. Perlakuan yang tidak normal, impulsif juga aktif secara bersendirian dan tidak mengendahkan dengan sesiapa yang menegurnya.

Kelenjar adrenal yang menghasilkan adrenalin (Epinefrin) dan  Kortisol

                         Gula dikatakan menyumbang kepada perlakuan hyperaktif kanak-kanak. Ia merupakan kalori yang sangat cepat diserap oleh tubuh manusia serta menyebabkan meningkatnya paras adrenalin di kalangan kanak-kanak. Hormon adrenalin mempercepatkan degup jantung serta merangsang untuk mempercepatkan gerak tubuh terhadap sesuatu tekanan. Kesan yang paling nyata adalah peningkatan dalam energy. Gula semulajadi bersumberkan buah-buahan umpamanya adalah jauh lebih baik untuk diambil disamping gula dari sumber semulajadi lain seperti yang terdapat dalam makanan berkarbohidrat, nasi umpamanya.


Pewarna dapat mengaburi mata kita!

                         Pengawet, pewarna dan yang seumpamanya merupakan bahan kimia yang harus dibatasi pengambilannya. Penggunaan bahan-bahan ini hanyalah bertujuan untuk memastikan pengeluaran produk secara lebih ekonomikal. Oleh itu kita jangan mudah tertipu kerana pewarna hanya bertujuan untuk menarik perhatian pengguna sementara pengawet pula bertujuan bagi memanjangkan jangkahayat sesuatu produk. Berperananlah sebagai ibubapa yang bijak untuk menyuap ke mulut anak-anak kita dengan pilihan makanan yang terbaik dari segi kesihatan.


Hindari kafein!


                             Ramai diantara kita yang tersalah sangka bahawa kafein hanya terdapat di dalam kopi.  Tahukah kita kafein juga terkandung di dalam teh, kuaci, cokelat, minuman bersoda, kebanyakan pil-pil menurunkan berat badan dan sebagainya. Kesan-kesan pengambilan kafein terhadap seseorang individu seperti menyumbang kepada masalah gangguan/sukar tidur, dehidrasi dan juga ketagihan. Oleh itu, cubalah meminimakan pengambilan kafein dalam kehidupan anak-anak ADHD kita.


                             Sebagai ibubapa, jangan berputus asa untuk berikhtiar dan berusaha selagi mampu bagi membantu anak-anak. Kalau bukan kita.....siapa lagi?

                          

Wednesday, June 5, 2013

Keliru Bila Berhadapan Dengan Perkataan BERIMBUHAN


Antara contoh perkataan berimbuhan....

Sila jangan keliru, kerana saya masih lagi membicarakan tentang autisme bukannya ingin menjadi guru Bahasa Melayu. Cuma kali ini saya hendak menekankan tentang kelemahan anak autisme apabila berdepan dengan perkataan berimbuhan dalam menjawab soalan peperiksaan mahupun perbualan seharian.


Jenis Perkataan Berimbuhan

Perkataan berimbuhan terbahagi kepada empat iaitu, Imbuhan Awalan, Imbuhan Akhiran, Imbuhan Apitan dan Imbuhan Sisipan. Imbuhan Awalan seperti bercakap, terkejut, melompat dan seumpamanya manakala Imbuhan Akhiran adalah lukisan, makanan, tekanan dan sangat biasa kita temui dalam penggunaan seharian. Apa yang dikatakan Imbuhan Apitan dimana kata dasarnya yang diapit antara dua imbuhan seperti melaksanakan, perjuangan, kekotoran dan lain-lain lagi. Jangan lupa, terdapat juga Imbuhan Sisipan contohnya gentar jadi gementar, tapak jadi telapak,cucuk jadi cerucuk dan sebagainya .


Sering kali saya terdengar si anak salah menggunakan perkataan berimbuhan dalam perbualan seharian. Pernah saya membelek jawapan peperiksaan Kertas II Bahasa Melayu yang lalu, di sini saya dapatkan sesuatu yang jelas untuk dikongsikan bersama berkenaan permasalahan ini. Soalan kepada kertas jawapan ini berbunyi  'Tuliskan CATATAN yang bertajuk Melawat ke tempat menarik pilihan anda'.


Petikan dari lampiran jawapan dimana kesalahan
penggunaan perkataan berimbuhan  'Pengambilan'  sepatutnya  diganti dengan 'Mengambil'

Sebenarnya, bukan sahaja anak-anak autisme yang berdepan dengan masalah ini. Kanak-kanak tipikal juga turut mengalami masalah yang sama namun tak seserius anak autisme. Tiada jalan lain lagi bagi membantu anak ini selain dari menekankan aktiviti membaca serta bantuan dari ahli keluarga untuk memperbetulkan kesilapan dalam perbualan sehariannya.


Semoga informasi ini dapat memberi kefahaman tentang masalah penggunaan bahasa anak-anak istimewa autisme samada dari segi penulisan mahupun dalam pertuturannya. Bukan mudah untuk menguasai sesuatu bahasa, namun ianya tidak mustahil kerana ada insan istimewa autisme yang boleh menguasai beberapa bahasa dengan baik. Segalanya mungkin.....In Shaa Allah


                         
                          

Tuesday, June 4, 2013

Aktiviti Cuti Sekolah.......


                         Lain orang lain caranya, ada yang memilih untuk membawa anak-anak melancong bagi mengisi masa cuti sekolah. Ramai juga yang balik ke kampung menziarah datuk dan nenek yang merindui cucu-cucunya. Ikut kemampuan masing-masing, kalau poket berisi maka jauhlah kita mengatur langkahnya. Tepuk dada, tanya selera.....lakukan yang terbaik asalkan kita sekeluarga bahagia.


                         Namun, cuti kali ini kami tak berkesempatan untuk membuka langkah jauh beriringan seisi keluarga kerana jadual masing-masing yang bercanggah. Si abang menyertai Jamboree Pengakap Antarabangsa di Melaka selama seminggu.


Melatih anak-anak berdikari......

Seronok si abang berjamboree.......
                       
                          Sementara, ibu,ayah dan Syahmi menuju ke Kuala Kangsar untuk menziarah Tok dan Opah yang uzur kerana sakit tua di kampung. Ini merupakan jadual 'wajib' bagi kami setiap musim cuti persekolahan. Tanggungjawab anak-anak dan  cucu-cucu terhadap ke dua orang tua di kampung, kerana kepulangan kita sentiasa di nanti mereka.


Syahmi dan Opahnya........

                         Musim cuti sekolah dipenuhi dengan undangan perkahwinan saudara mara. Kali ini lebih istimewa sebab undangan diterima dari pasangan mempelai yang juga guru sekolah Syahmi iaitu Sek Keb Seri Budiman II. Toleh kiri toleh kanan, kebanyakan tetamu ialah warga SKSB II dengan diiringi oleh keluarga masing-masing. Hinggakan sajian makanan juga disediakan oleh caterer yang mengusahakan penyediaan makanan di kantin sekolah. Ceria dan meriah dengan suasana seperti majlis 'anak beranak' ini.


Tumpang gembira melihat Cikgu Azizul jadi Raja Sehari......


Syahmi tumpang gembira.....Selamat Pengantin Baru Cikgu!

                          Selagi cuti sekolah belum berakhir, selagi itulah ibubapa sentiasa memikirkan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk memenuhi jadual anak-anak supaya tidak bosan di rumah. Jika si abang bercamping di Melaka, Syahmi pun teringin juga hendak bercamping sama.  Lagoon Kuala Ibai,  merupakan destinasi yang sesuai untuk berkhemah, nyaman di bawah teduhan pepohon rhu menghadap Laut China Selatan.

    
Senyum lebar dia.......

Berkhemah hingga ke petang......seronoknya

                           Beraktiviti sambil memastikan pengisiaan berguna buat si anak. Meluaskan perbendaharaan katanya, membina nilai murni terhadap mereka yang tua serta belajar bersosial dengan masyarakat sekeliling. Rugilah si anak jika beraktiviti tanpa memberi apa-apa makna kepadanya.


                          Jangan dilupa! Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Daerah yang akan berlangsung bila sekolah dibuka nanti. Syahmi kena perbaiki lagi mutu bacaan Surah An Naba dan fasihkan surah-surah pilihan untuk acara Hafazan.......semoga dipermudahkan-Nya...aamiin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...