A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, August 30, 2013

Meriah Merdekaraya SKSB II 2013



Kami anak-anak merdeka....merdeka....merdeka

               Kelmarin sambutan berkembar Merdekaraya 2013 dilangsungkan di sekolah. Makan kuih raya, menyanyikan lagu-lagu raya bagi menghidupkan suasana raya di sekolah. Warga sekolah memakai baju yang beraneka warna. Berseri-seri semua yang ada tidak mengira guru, kakitangan pentadbiran sekolah, kakitangan sokongan (pembersihan kawasan), pengawal keselamatan apatah lagi murid-murid keseluruhannya.


                Bagi Syahmi, hariraya menjadi perkara kedua dalam sambutan tersebut. Yang lebih menarik perhatiannya adalah sambutan kemerdekaan. Bersemangat menyanyikan lagu-lagu patriotik sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang kebanggaannya. Lihatlah bila gambar berbicara!


Bersemangat ketika menyanyikan  lagu patriotik
semasa perhimpunan di sebelah paginya

Mereka bersemangat patriotik!

Semangat yang luarbiasa!
     
                     Biar tiada kuih raya jangan tiada bendera, begitulah persepsi si anak istimewa. Layu matanya bila mendengar lagu raya yang mendayu-dayu, segar tiba-tiba bila mendengar lagu.......31 Ogos nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad. Al Fatihah buat beliau penyanyi tersohor ini.....

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka! Merdeka!
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah
Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka
Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka!
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka
Ulang rangkap pertama hingga akhir
Ulang rangkap empat dan lima
MERDEKA! 4x


Jalur Gemilang


Wednesday, August 21, 2013

Berbicara Tentang Apraxia/Dyspraxia/Aphasia



Apraxia dan Dyspraxia merupakan permasalahan yang sama cuma Dyspraxia berada di dalam keadaan yang lebih ringan. Apraxia bermaksud masalah neurological  dimana seseorang akan mengalami kehilangan keupayaan untuk melakukan aktiviti fizikal yang sepatutnya mampu dilakukan atau bersedia untuk melakukannya.


            
Apraxia berlaku disebabkan oleh kerosakan otak akibat kemalangan, trauma, stroke, tumor di bahagian otak dan Alzheimer. Kerosakan  bahagian tertentu di otak, boleh mengganggu kebolehan saraf untuk menghantar isyarat ke anggota badan yang lain. Gangguan yang dimaksudkan termasuklah kehilangan kebolehan bertutur dan  keupayaan untuk melakukan pergerakan.


Awas!

Namun, Apraxia juga berlaku di kalangan kanak-kanak yang dilahirkan bersama dengan permasalahan ini (Childhood Apraxia of Speech). Berhati-hatilah jika pertuturan anak-anak kita sukar difahami kerana kemungkinan mereka juga mengalami masalah Apraxia. Didapati dalam kes-kes kanak-kanak yang dilahirkan dengan Apraxia, berlaku 8 kali ganda keatas kanak-kanak lelaki jika dibandingkan dengan kanak-kanak perempuan. Dikatakan juga separuh dari kanak-kanak Autisme mengalami Apraxia. Namun, tidak semua kanak-kanak yang mengalami Apraxia mengalami Autisme. Menurut pakar juga, 50% dari kanak-kanak Autisme di Amerika Syarikat mengalami Apraxia.


Apraxia/Dyspraxia terbahagi kepada beberapa iaitu :

1)   APRAXIA VERBAL -  ketidakupayaan mengkoordinasi mulut dengan pertuturan.

2)  APRAXIA OCULOMOTOR -  ketidakupayaan menggerakkan mata.

3)  APRAXIA IDEATIONAL - ketidakupayaan melakukan siri-siri urutan dalam pergerakan seperti mandi, makan, memakai pakaian dan seumpamanya.

4)  APRAXIA CONSTRUCTIONAL -  ketidakupayaan untuk menyalin, melukis, melakukan kiraan mudah.

5)  APRAXIA IDEOMOTOR - ketidakuapayaan untuk memberi tindakbalas yang tepat mengikut arahan.

6)  APRAXIA LIMB-KENETIK - ketidakupayaan melakukan pergerakan betul dengan menggunakan tangan dan kaki.

7)  BUCCOFACIAL APRAXIA - ketidakupayaan mengikut arahan yang diberi melalui riak muka mahupun pergerakan bibir seperti batuk,bersiul dan sebagainya.


Dalam memperjelaskan tentang Apraxia yang luas skopnya, saya lebih menekankan di sini kepada kanak-kanak yang dilahirkan dengan permasalahan Apraxia (Childhood Apraxia of Speech). Kanak-kanak yang mengalami Verbal Apraxia mempunyai peluang yang cerah untuk menunjukkan kemajuan dalam pertuturan. Bantuan yang diperlukan termasuklah menghadiri sesi Terapi Pertuturan dan Terapi Carakerja. Sebagaimana Autisme, Childhood Apraxia of Speech juga masih menjadi tanda tanya faktor yang menjadi penyebab berlakunya ketidakupayaan ini. Harus diingat bahawa penyandang Apraxia jenis ini (CAS) tidak terjejas kebolehan intelektual mereka sama sekali.


Apa pula yang dikatakan Aphasia? Aphasia berlaku juga kepada mereka yang mengalami Apraxia disebabkan kerosakan bahagian otak di bahagian pertuturan. Akibatnya penghidap Aphasia akan mengalami ketidakupayaan melakukan aktiviti seperti  membaca, menulis, bertutur juga memahami percakapan orang lain. Kebiasaannya,  ia dialami oleh pesakit stroke, infeksi dan tumor di bahagian otak.


Kali ini saya hanya sekadar berkongsi pengetahuan yang sedikit dengan para pengunjung blog berkenaan dunia Apraxia. Tidak hairanlah, yang berkepakaran juga sukar untuk melakukan diagnose terhadap permasalahan kanak-kanak yang pelbagai dan hampir-hampir serupa.

Semoga sedikit sebanyak dapat memberi manfaat pada semua. Wallahualam.....





Saturday, August 17, 2013

Terjengok-Jengok Lehernya......



              Dimuakan salah, dihadkan pun bukan perkara mudah. Cabaran besar anak-anak zaman kini berhadapan dengan dunia gadget yang serba canggih. Cabaran besar juga pada ibubapa untuk membataskan obsess anak-anak terhadapnya. Raya tahun ini kami balik ke kampung tanpa lappy masing-masing. Ditinggalkan di rumah dengan harapan untuk beraya seperti dulu-dulu, bersembang, bergurau senda sesama sanak saudara.


Terjengok-jengok si angsa mencari makanan!

              Bila dihadkan, beginilah jadinya. Terjengok-jengok, panjang lehernya seperti angsa mencari makan.  Sekali-sekali bertanya pada si  ibu, "Kena minta izin dulu kalau nak pinjam?" Sebagai ibubapa, sayu di jiwa bila mendengar keluhan si anak itu.....Kejamkah kami terhadap kamu anak ku?


Syahmi (terkiri)....lihat jari telunjuknya!!!!

Syahmi (terkiri)....masih sempat untuk tumpang sekaki!
           
              Bukan senang bagi kami di pihak ibubapa untuk membatukan hati dalam melawan kehendak si anak yang tidak terbatas ini. Bukannya tiada kebaikan dan kelebihan dalam aktiviti tersebut, cuma kelekaan yang berlebihan menjadi musuh utama. Mencari titik keseimbangan yang payahnya.....


              Sampai hatikah kami membiarkan si anak di dalam keadaan sedemikian, bukan senang bagi si anak hendak melawan arus semasa yang dilambakkan dengan pelbagai gadget terkini!


           


              

Friday, August 16, 2013

Tutup Buku Raya.....Buka Buku Sekolah




                1 Syawal memang ditunggu.....lebih seminggu berlalu terasa bagaikan semalam takbir bergema. Bagaikan semalam juga bermain pelita, bunga api di halaman rumah. Bagaikan semalam juga berbaju sedondong seisi keluarga ke rumah sanak saudara bermaaf-maafan sambil menjamah juadah hari raya.

                 Esok 10 Syawal 1434H, maknanya hari raya juga telah masuk hari ke 10. Ramai yang sibuk menghadiri rumah terbuka di sana-sini. Ada juga di kalangan kita yang telah atau sedang berpuasa sunat 6 bagi merebut ganjaran besar yang dijanjikan-Nya.

                 Esok dan lusa juga murid/pelajar mula kembali ke sekolah. Cukup-cukuplah dengan mood raya tu, murid/pelajar kena lebih serius dengan pelajaran masing-masing memandangkan penggal terakhir persekolahan dipenuhi dengan cabaran peperiksaan. Lebih berdebar lagi bagi mereka yang akan menduduki UPSR, PMR, SPM. Bukan masanya untuk bermain lagi, masing-masing mesti serius untuk melakukan 'pecutan' terakhir.

                 Jadual Syahmi selepas ini memang ketat termasuk menyertai Tilawah Pendidikan Khas Peringkat Negeri Terengganu di Dungun, Terengganu. Kemudian, jadual persekolahan akan kembali kepada asal, kegiatan kokurikulum, kelas KAFA juga peperiksaan akhir tahun.

                  Selamat Maju Jaya Anak-Anak Semua.......

               
Esok mula ke sekolah...

Thursday, August 15, 2013

Tarik Upih.....Tarik Sampai Penumpang Tercicirrrrr



Apa yang dikatakan 'Upih'? Kanak-kanak zaman kini tentunya kurang arif tentang upih, kerana ianya tidak mendapat tempat lagi dengan suasana masa kini yang lebih mementingkan gadget. Upih adalah pelepah pinang yang telah mati, gugur sendiri ke tanah tanpa perlu dibantu oleh manusia.


Kalau dulu, upih dijadikan oleh nenek kita sebagai alas pembungkus makanan seperti dodol, lempok dan seumpamanya supaya tahan lebih lama. Makanan boleh diperhangatkan (bukan dibakar) berkali-kali hanya dengan membungkusnya menggunakan upih yang tebal dari struktur pelepah pinang. Lebih mesra alam jika dibanding dengan zaman kini yang menggunakan bahan dari plastik/polistrin untuk menyimpan makanan malahan ianya terbukti juga merbahaya untuk kesihatan.


Makanan seperti dodol/lempok yang dibungkus
menggunakan upih pinang

Tarik Upih merupakan permainan tradisional yang menjadi kesukaan kanak-kanak zaman dulu. Balik ke kampung kali ini, kami mencuba untuk memperkenalkan permainan ini kepada si anak autisme saya. Apakah episod kelakar yang sempat dirakam oleh lensa kamera agaknya?


Belajar dulu gaya untuk jadi penumpang

Kakunya Syahmi dengan kenderaan 'baru' nya....


Mulakan perjalanan yang menggelikan kekadang menyakitkan
di bahagian punggung

Akhirnya Syahmi hampir tercicir kerana lemah kawalan terhadap
 imbangan dek kerana badan yang gempal.....hihihi

Apa-apa pun terima kasih pada Abang Munir (sepupu Syahmi) kerana
melayannya dengan baik dan sabar
               
Pengalaman baru bagi Syahmi, lain kali kita cuba lagi. Kena biasakan diri dengan aktiviti luar yang seumpamanya. Seminggu tanpa lappy di kampung, Syahmi asyik merajuk, kekadang merayu untuk menggunakan lappy sepupunya untuk melepaskan rindu terhadap obsessnya, kesiannnnn Syahmi.


Selagi wujudnya pokok pinang, selagi itulah 'Upih Pinang' akan mudah didapati di mana-mana. Kita manfaatkan sebaik mungkin hasil alam semulajadi kurniaan-Nya....
               

Aidil Fitri 1434H Bersama Sahabat Autisme Malaysia


                
                 Berlalu sudah 1 Syawal 1434H, mood 'balik kampung' sudah usai......yang tinggal hanyalah kenangan bersama sanak saudara di sana. Bagi ibubapa anak-anak autisme, hari-hari perayaan merupakan hari penuh debaran dan dugaan kerana terpaksa menempuhi cabaran menyesuaikan si anak dengan masyarakat luar yang rata-ratanya kurang mengerti tentang autisme.


                 Bertemu sahabat Autisme Malaysia, Linda Rosmaidi di kediamannya dekat Padang Rengas, Perak. Mengenali si anak istimewa, Zarif yang sangat ceria tingkahlakunya. Si anak mula bercakap sepatah dua kata dengan perkataan yang sedikit 'pelat', namun si anak telah mula menunjukkan minat untuk menulis. Mesra dalam pergaulan walau pertama kali bertemu. Eye contact yang sangat bagus! Menjadi tanda tanya pula di hati saya, autisme ke dia?

               
Autisme ke Si Comel???

Mesra bagaikan telah kenal lama....

                  Kami pula dikunjungi oleh beberapa sahabat Autisme Malaysia, Saudara Hasfizal Moktar serta isteri Pn Marina Ariff, Pn Nor Hayati Mohamad Sulaiman dan suami serta Pn Mayzatt Maisya dan suami. Kesempatan masing-masing berhari raya di kampung, merupakan peluang terbaik untuk berkumpul sesama kami bagi mengeratkan silaturrahim.


Deretan ibu-ibu anak istimewa berhari raya......

Bukan saja tetamu....tuan rumah (Syahmi)
pun tumpang sekaki menjamu selera!

Hanya 3 keluarga.....sudah cukup unuk menggamatkan suasana!

                  Sesekali ramai-ramai berkumpul begini memang meriah dengan keletah anak-anak yang pelbagai ragam. Mak, ayah asyik bersembang, kekadang terbabas juga si anak hingga ada yang terkena cakaran kucing peliharaan, ada yang menyusun kerusi macam keretapi dan macam-macam hal lagi.

                  InsyaAllah, tahun hadapan kita jumpa lagi jika diizinkan-Nya......

Wednesday, August 7, 2013

Misi Ramadhan 1434H....



Hari ini merupakan hari terakhir umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan 1434H.  Pada mereka yang bertakwa, hari ini juga merupakan hari kesayuan di jiwa kerana esoknya kita telah kehilangan tawaran/ganjaran berlimpahan dari-Nya yang hanya ada di bulan yang barakah ini. Tahun depan belum tentu lagi kita diizinkan-Nya untuk bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya.


Namun, bagi kanak-kanak seperti Syahmi mungkin rasa gembira sukar dibendung lagi, melonjak-lonjak kegembiraan untuk menyudahkan misi berpuasa penuh bagi Ramadhan kali ini. Semoga hari ini dia mampu menghabiskan ibadah puasanya seperti hari-hari yang lalu, bersahur tanpa banyak kerenahnya, berbuka tanpa demand makanan yang pelik-pelik. Alhamdulillah.....


Yang pasti.....esok hari raya....esok hari raya......

                 
Selesai sudahhhhhhh......alhamdulillah



         "Ya Allah! Izinkan ku bertemu Ramadhan yang satu lagi..."

 Aamiin .....

Tuesday, August 6, 2013

Ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1434H




Selamat Hari Raya Aidilfitri Dari Kami Sekeluarga


                                   BERSEMPENA DENGAN KETIBAAN 1 SYAWAL 1434H INI,

                                   KAMI SEISI KELUARGA INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT

                                   HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN PADA SEMUA

                                   PENGUNJUNG 'AUTISM A GIFT FROM HEAVEN'. 



                                   SAYA SANGAT BERBESAR HATI DENGAN SOKONGAN ANDA 

                                   SEMUA. SEMOGA HARI YANG MULIA INI DAPAT DISAMBUT 

                                   DENGAN PENUH KEINSAFAN.



                                   JUMPA LAGI!
                       



  


                                   

Mampukah Mengubah Mereka Ke Permainan Tradisi?



Mereka sangat obsess terhadap IT

Tidak perlu buang duit, menjimatkan, membantu anak-anak bersosial, tidak secara langsung dapat juga memberikan pendidikan berguna pada perkembangan si anak. Permainan tradisi kita menjadi kebanggaan generasi lampau, namun disebabkan kemajuan IT menyebabkan anak-anak zaman kini tidak berminat untuk menjadikannya sebahagian dari aktiviti seharian. Rata-rata ibubapa kepada anak autisme, mengakui bahawa anak autisme, sangat obsess dengan gadget yang ada di pasaran.


Apa kata kita imbau kembali zaman dulu-dulu. Kanak-kanak ke sana ke mari bermain di halaman rumah. Kekadang kerana leka bermain hingga tidak sedar senja sudah berlabuh, ayam itik sudah masuk reban, mereka masih bermain di halaman. Ibu-ibu  di rumah, terpanggil-panggil si anak...."balik, balik hari dah nak malam......"

Permainan Layang-Layang                    

Permainan layang-layang biasanya dibuat hasil daya kreatif kanak-kanak itu sendiri. Bukan seperti sekarang, layang- layang banyak dijual di kedai-kedai dengan harga yang murah. Buluh yang telah diraut, kertas warna mahupun kertas suratkhabar lama, benang, gam merupakan bahan utama dalam menghasilkan layang-layang. Sangat mencabar kreativiti seseorang, dimana faktor keseimbangan perlu dititikberatkan bagi menghasilkan layang-layang yang sempurna sebelum berjaya dinaikkan di udara.


Permainan Terompah Gajah/Gergasi

Terompah Gajah/Gergasi, permainan yang memerlukan tempurung jantan kelapa (berlubang) dan tali bagi dijadikan terompah. Permainan ini menguji keupayaan individu mengimbangkan badan ketika berdiri di atas kedua belah tempurung yang diikat dengan tali sementara kedua belah tangan menarik tali tersebut lalu bergerak ke hadapan. Terdapat juga permainan terompah gajah/gergasi yang popular dimainkan secara berkumpulan.

Permainan Tarik Upih

Tarik Upih pula merupakan permainan yang menggunakan upih/ pelepah pinang yang telah tua dan jatuh ke tanah. Dimainkan oleh sekurang-kurangnya dua orang individu dimana seorang darinya menjadi 'tukang tarik'. Manakala yang seorang lagi beraksi sebagai 'penumpang' yang duduk di atas upih. 'Tukang tarik' semestinya terdiri dari mereka yang mempunyai kekuatan otot lengan bagi menampung keupayaan menarik muatan 'penumpang'. Bagi si 'penumpang' pula, mungkin dapat mengalami keseronokan seperti punggung digeletek ketika upih ditarik. Tapi awas, jika terlanggar ketulan batu yang keras....Aduh! terasa jua sakitnya.
 
Permainan Batu Seremban/Selambut

Sementara permainan yang ini dinamakan Batu Seremban dan di sesetengah tempat juga dipanggil Batu Selambut. Biasanya lebih digemari oleh kanak-kanak perempuan. Bahan-bahan yang keras seperti guli, biji getah, batu kerikil, batu sungai dan seumpamanya boleh dijadikan 'buah' untuk permainan ini. Diperlukan sebanyak tujuh biji 'buah' kesemuanya. Dimainkan di tempat yang rata seperti di atas permukaan lantai. Secara amnya, permainan ini  mengkehendaki si pemain melambung dan menyambut semula 'buah'. Kemudian 'buah-buah' ditimbang untuk mendapatkan jumlah mata. Namun terdapat pelbagai peringkat dari yang paling mudah hinggalah ke peringkat yang lebih sukar bagi menamatkan cabaran bermain Batu Seremban.


Permainan Ketingting

Permainan Ketingting merupakan permainan yang bergelanggangkan tanah mahupun lantai yang rata. Dimainkan secara beramai-ramai, digoreskan tanah untuk dibuat petak-petak yang tertentu. Boleh juga digunakan serbuk kapur untuk menyediakan gelanggangnya. Gundu merupakan bahan yang perlu disediakan iaitu sebarang objek samada dari serpihan kaca, kepingan besi mahupun batu yang leper. Gundu akan dilemparkan betul-betul ke dalam petak kemudian pemain dikehendaki melompat sebelah kaki satu persatu petak-petak di gelanggang berkenaan.  Namun bukan semudah itu peraturannya kerana masih banyak peraturannya yang harus dipatuhi bagi melengkapkan permainan.


Permainan Lari Dalam Guni

Lari Dalam Guni, itulah nama permainannya. Dapatkan guni besar yang biasanya diguna untuk mengisi padi dari sawah untuk dibawa ke kilang (berwarna coklat). Beberapa orang peserta dikehendaki untuk beradu tenaga berlari dengan keadaan menyarungkan guni seperti menyarung kain pelikat. Jika memakai kain pelikat, kaki masih boleh bergerak bebas untuk membuka langkah, tapi berjaga-jaga jika kaki disarung guni kerana kaki kita telah 'terpenjara' dan sukar bergerak bebas. Berlarilah sekuat hati jika mahukan kemenangan. Jika tersilap langkah, jatuh tersembam dibuatnya....hihihi


Permainan Congkak

Congkaklah antara permainan tradisi yang masih popular dimainkan hingga kini. Harus diingat bahawa congkak ketika zaman dahulu ianya dimainkan hanya berlantaikan  tanah. Lubang-lubang dikorek, serta buah yang biasanya digunakan adalah dari biji-biji getah, guli atau buah kabung/kantor yang tua dan berwarna kehitaman. Permainan ini boleh meningkatkan daya fokus seseorang, juga kecekapan dalam pengiraan. Orang dulu-dulu tiada alat kemudahan seperti kalkulator untuk mengira seperti sekarang. Mereka memerah otak untuk mendapatkan jawapan dalam pengiraan mudah.


Permainan Tuju Tin

Tuju Tin permainan diberi nama. Tin susu sejat/pekat manis yang telah digunakan menjadi bahan utama disamping sebiji bola tenis. Pemain yang ramai diperlukan bersesuaian dengan keluasan kawasan. Pemain dibahagi kepada dua kumpulan. Tin-tin disusun secara membukit oleh Kumpulan A kemudian Kumpulan B dikehendaki menjatuhkan susunan tin-tin dengan menujunya menggunakan bola tenis tadi. Jika susunan tersebut terjatuh, maka ahli Kumpulan A akan cuba mendapatkan bola tersebut untuk 'mematikan' jangkahayat Kumpulan B dengan menuju bola tersebut kepada salah seorang ahli Kumpulan B sebelum 'penuju' tin dan rakan-rakannya tadi berjaya menyusun semula tin-tin tersebut ke bentuk susunan yang asal.


Permainan Tuju Selipar

Terdapat satu lagi permainan yang kaedah permainannya serupa seperti permainan Tuju Tin iaitu Tuju Selipar. Selipar yang digunakan hendaklah lembut dan nipis supaya tidak sampai mencederakan pemainnya nanti. Perbezaannya hanyalah objek yang dituju adalah tiga belah selipar yang disusun menegak, berdiri menyokong antara satu sama lain. Sementara satu lagi selipar digunakan untuk menuju susunan selipar tadi.


Permainan Timbang Ceper
                         
Selain yang di atas, terdapat juga permainan Timbang Ceper dimana ianya amat digemari oleh kanak-kanak lelaki. Tidak memerlukan kawasan yang luas. Sekadar kawasan kecil yang rata permukaannya. Lima penutup botol yang diperbuat dari logam diperlukan. Pemain dikehendaki menjentik ceper tersebut supaya mengenai ceper yang satu lagi hingga selesai. Sesudah itu, ditimbang untuk mendapatkan mata. Sangat mudah, tanpa mengeluarkan peluh. Cukup sekadar menggunakan jari jemari kanak-kanak bagi meningkatkan kemahiran motor halus mereka. Amat menjimatkan kerana ceper tersebut amat mudah didapati di mana-mana, terutamanya di belakang restoran mamak!


Permainan Tuju Guli

Guli merupakan permainan kanak-kanak dari dulu hingga kini. Ada yang diperbuat dari kaca dan ada juga dari seramik. Permainan Tuju Guli, boleh dimainkan oleh beberapa orang dalam suatu masa. Goreskan bentuk bulatan di atas tanah yang rata, kemudian dikumpulkan kira-kira 20 biji guli ke dalam bulatan berkenaan. Sebiji guli digunakan oleh semua pemain mengikut giliran untuk dituju kepada guli-guli yang berada di dalam bulatan supaya ianya terkeluar dari bulatan tersebut. Sesiapa yang berjaya menuju keluar guli dari bulatan tersebut maka, guli tersebut adalah miliknya. Kemenangan dikira dari jumlah guli
yang berjaya dimiliki oleh pemain.


Permainan Gasing
   
Mungkin gasing tidak harus dipinggirkan dalam tajuk kali ini. Gasing amat popular di kalangan penduduk Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutamanya. Gasing  dimainkan dalam dua cara iaitu menguji ketahanan gasing berpusing atau menguji kekuatan gasing apabila dipangkah. Bahan yang diperlukan antaranya, kayu yang sesuai untuk dibentuk menjadi gasing, besi bagi dijadikan paksi serta tali yang sesuai. Jika kanak-kanak zaman kini berbangga dengan Beybladenya yang dijual di kedai-kedai, kanak-kanak zaman dahulu juga tidak kurang hebatnya kerana berupaya membuat gasing dengan hasil tangan sendiri.


Permainan Konda Kondi

Konda Kondi, satu lagi permainan yang menjadi kegemaran kanak-kanak zaman dahulu. Memerlukan kawasan yang agak luas, dan boleh disertai oleh beberapa orang pemain. Hanya
memerlukan dua batang kayu, satu darinya berukuran setengah kaki, manakala yang satu lagi berukuran sekaki. Korek sebuah lubang kecil di atas tanah, lalu diletakkan kayu yang pendek tadi merentasi lubang tersebut. Kemudian dengan menggunakan kayu yang panjang, kuiskan kayu pendek tersebut sejauh mana terdaya. Harus dielakkan dari kayu yang dikuis itu dapat disambut oleh pihak lawan sebelum jatuh ke tanah kerana  ia akan mematikan jangkahayat pemain itu dan giliran akan bertukar tangan ke pemain yang lain. Mata dikira mengikut jaraknya kayu yang dikuis tadi mendarat dari lubang disukat menggunakan kayu yang berukuran sekaki  tadi.


Mampukah kita mengembalikan kegemilangan permainan tradisional di kalangan anak-anak zaman kini? Perkembangan IT yang begitu pesat menjadikan anak-anak kita terperangkap dengan dunianya tersendiri. Kurang melakukan aktiviti fizikal, kurang bergaul, kurang menghasilkan idea kreatif antara kelemahan yang wujud akibat terlalu obsess dengan gadget terkini.


Kepada kanak-kanak autisme, alangkah baik sekiranya kita sebagai ibubapa dapat mengimbangi minat mereka agar berupaya melibatkan diri dengan aktiviti seperti bermain dengan permainan tradisional kita.....bukan perkara mudah sebenarnya, tapi tidak mustahil!
       

Saturday, August 3, 2013

Terapi Cara Kerja - Sejarah Awal



 Sebenarnya, Cara Kerja  bukan bidang baru dalam dunia kesihatan. Cuma kita di Malaysia tidak terdedah dengan bidang ini tambahan pula ianya jarang-jarang sekali diperkatakan. Sedangkan ianya telah wujud semenjak era 1700-an lagi dimana sering dikaitkan dengan kerperluan merawat pesakit mental dimana ketika itu pesakit mental biasanya dirantai, digari, ditanggalkan pakaian lalu dipakaikan uniform 'Mad House' tanpa dibuka garinya.

Philipe Pinel 

Kemunculan Philipe Pinel pada tahun 1793, seorang doktor, ahli falsafah dan cendikiawan Peranchis telah merintis kepada pengenalan 'Rawatan Moral dan Cara Kerja' (Moral Treatment And Occupation) bagi membantu pesakit mental. Beliau percaya dengan pemulihan moral dapat membantu merawat emosi golongan ini serta meningkatkan keupayaan mereka bagi menjalankan aktiviti seharian. Beliau juga menyokong penggunaan literasi, muzik, senaman fizikal dan kerja sebagai satu cara untuk penyembuhan emosi.

William Tuke
William Tuke seorang ahli agama yang dilahirkan di York, England melahirkan rasa kurang senang dengan layanan terhadap pesakit mental ketika itu. Beliau banyak menyokong dan mengembangkan rawatan secara moral ini dengan menekankan prinsip 'bertimbang rasa serta baik hati'. Pendapat beliau melalui cara kerja, agama dan aktiviti bermakna melahirkan kombinasi yang mantap untuk memaksimakan rawatan dan mengurangkan simptom sakit mental.


Sekitar 1840 - 1860, 'Rawatan Moral Dan Cara Kerja' ini mencapai tahap yang sangat baik dimana ianya juga telah digunapakai di hospital-hospital di Amerika. Seni dan kraf juga telah diperkenalkan untuk menggalakkan serta mewujudkan ketenangan di samping menimbulkan perasaan 'menjadi produktif' di kalangan pesakit.


Namun falsafah Pinel dan Tuke berkubur apabila berlakunya Perang Saudara (The American Civil War) di abad ke 19. Pada awal abad 1900-an, muncul pula seorang jururawat bernama Susan Tracy yang melibatkan diri dalam terapi cara kerja juga melatih bakal jururawat dengan menggunakan terma 'Jururawat Cara Kerja' kepada pelatih yang berjaya menamatkan latihan di bidang ini.

 
Pendokong utama NSTOP
 (The National Society For The Promotion Of Occupational Theraphy)

Kesinambungannya, pada tahun 1914 cadangan penubuhan organisasi yang memperjuangan bidang 'Cara Kerja' dimana akhirnya terlaksana jua apabila pada tanggal 15hb March 1917  'The National Society For The Promotion of Occupational Theraphy' ditubuhkan. Didokongi oleh Eleanor Clarke Slagle (pekerja sosial), George Edward Barton (arkitek kurang upaya), William Rush Dunton (Psychiatrist), Susan Johnson (guru seni/kraf, jururawat), Thomas Kidner (arkitek yang juga bekerja di pusat rehabilitasi tentera), Isabel G.Newton (sebagai setiausaha) dan Susan Tracey (jururawat). Pada  tahun 1923, NSTOP diubah namanya sebagai American Occupational Theraphy Association (AOTA) bagi meneruskan perjuangan di bidang berkenaan dari 1920 hingga 1930.

Perkembangan Terapi Cara Kerja Dunia

'The Great Depression' telah membantutkan perkembangan terapi cara kerja disebabkan kekurangan budget. Namun kemunculan Perang Dunia Ke 2, ahli terapi cara kerja mula digembelingkan tenaga untuk membantu tentera-tentera yang tercedera. Maka gerakan rehabalitasi digerakkan secara besar-besaran dalam tempoh 1940 -1960 bagi membantu mereka yang mengalami kecacatan fizikal juga tekanan emosi kerana peperangan. Teori 'keajaiban rawatan moden' ini telah dapat menyelamatkan banyak pesakit termasuklah pesakit mental, kecederaan tulang belakang, cerebral palsy, kecederaan otak dan sebagainya. Dalam tahun 1958, The Certified Occupational Theraphy Assistant (COTA) ditubuhkan bagi menampung keperluan ahli Terapi Cara Kerja  dengan memberikan latihan secara minima sebagai pembantu kepada ahli Terapi Cara Kerja.


Terapi Cara Kerja Bagi Memulihkan Tentera Yang Mengalami
Kecederaan Fizikal Mahupun Tekanan Emosi

Sekitar 1960-an, bidang ini terus berkembang apabila bidang perubatan diinstitusikan maka ahli-ahli Terapi Cara Kerja juga  terus diserap ke bahagian pesakit mental, mereka yang mengalami masalah perkembangan supaya dapat melahirkan individu yang produktif dalam masyarakat. Manakala dalam tahun 1980-an hingga 1990-an, bidang ini lebih menumpukan kepada pembinaan kehidupan individu yang berkualiti, termasuk di bidang pendidikan dan kesihatan. Sekian.


                   
                   
                   
                   


                   
       
   
               

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...