A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Thursday, January 30, 2014

Sekali BerPengakap, Selamanya BerPengakap....


Logo Persekutuan Pengakap Malaysia

Pengakap, mungkin ramai yang kurang endah dengan sumbangan mereka dalam masyarakat  kerana kita biasanya hanya didedahkan dengan kegiatan Pengakap semasa bersekolah sahaja. Dulu, Pengakap juga dikenali dengan nama 'Anak Serigala'. Beruniform lengkap, berbasikal sekeliling kampung untuk menjalankan aktiviti dari rumah ke rumah bagi melaksanakan 'Minggu Kerja'. Namun bila anak-anak ini meninggalkan dunia persekolahan, maka dunia Pengakap juga tinggal dalam kenangan.


Syahmi (kiri) juga anak Pengakap...

Syahmi dan rakannya Uwais....

Hakikatnya, Pengakap  merupakan organisasi yang menggalakkan generasi muda untuk membentuk keyakinan diri, berdisiplin, bertanggung jawab juga mengasah bakat kepimpinan seseorang semenjak dari usia 8 tahun lagi. 'Sekali BerPengakap, Selamanya BerPengakap',  ungkapan keramat bagi mereka yang benar-benar 'jatuh hati' dengan organisasi ini.


Sumber : Skim Latihan Pengakap Kanak-Kanak
(Persekutuan Pengakap Malaysia)

Sumber :  Skim Latihan Pengakap Remaja
(Persekutuan Pengakap Malaysia)

Pengakap menyediakan latihan-latihan tertentu bagi anggotanya untuk menguasai kemahiran mengikut tahap kumpulan umur. Pengakap Kanak-Kanak (8-13 thn), Pengakap Muda (13-16th), Pengakap Remaja (16-18thn), Pengakap Kelana (18 thn ke atas).


Namun, seseorang Pengakap amat mengimpikan untuk meraih anugerah tertinggi sepanjang penglibatan mereka dalam berpengakap iaitu memperolehi Sijil Diraja Pengakap Raja. Nilai sijil yang sangat tinggi dimana dengan kemurahan hati dan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di Malaysia untuk menandatangani sijil berkenaan. Ujian-ujian yang sangat mencabar dilalui bagi membuktikan keupayaan diri sebelum seseorang Pengakap itu layak untuk menggenggam sijil berkenaan.


Logo Pengakap Raja

Sumber : Skim Latihan Pengakap Remaja
Persekutuan Pengakap Malaysia


Sengaja saya memperkatakan tentang Pengakap dalam post saya kali ini kerana ingin merisik khabar bagaimana agaknya nasib anak-anak autisme dalam organisasi ini? Adakah mereka juga diberi peluang yang sama sebagaimana mereka di sesetengah negara? Di U.S,  Autism and Scouting Program diwujudkan bertujuan untuk melibatkan golongan autisme ini dalam aktiviti Pengakap yang sangat berfaedah.


Semoga suatu hari nanti, di negara kita juga akan lahir pihak-pihak yang berkesedaran untuk menubuhkan organisasi seumpamanya bagi membantu golongan autisme agar diberi peluang untuk berPengakap dalam erti kata yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Aamiin...


Kiri, Muhammad Syawal Aiman abang kepada Syahmi
baru saja dianugerahkan dengan sijil  'Pengakap Raja'.....tahniah

Kanan, Syawal telah berjaya menuju ke matlamatnya....
Syahmi  pula bagaimana??
Syawal dan rakan-rakannya....



                   

Saturday, January 18, 2014

Eczema - Atopic Eczema


Eczema berasal dari perkataan Greek 'ekzein' bermaksud  'to boil out'. Sejenis penyakit kulit yang kronik serta wujud dalam pelbagai keadaan. Eczema sebenarnya terdiri dari beberapa jenis. Namun, saya hanya ingin membincangkan tentang Atopic Dermatitis/Atopic Eczema yang biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak selain dikenali juga sebagai Infantile Eczema.


Pelbagai jenis Eczema....

Kulit penderita penyakit ini biasanya memberi reaksi secara abnormal dan sangat mudah mengalami keradangan. Biasanya kulit menjadi kering, kemerah-merahan serta gatal-gatal namun ia bukan sejenis penyakit berjangkit. Sangat mudah menular jika permukaan kulit terdedah terutamanya jangkitan bakteria Staphylococcus aureus. Bahagian-bahagian yang mudah mendapat jangkitan iaitu di bahagian lenturan sendi seperti siku dan lutut. Berlaku pada kanak-kanak dan akan berkurangan mahupun ada yang  lenyap sama sekali apabila mereka dewasa sementara sesetengah kes pula berterusan seumur hidup.


Eczema di kalangan kanak-kanak....

Dikatakan juga anak-anak yang mengalami eczema biasanya mudah mengalami alahan-alahan lain seperti asma. Tiada penawar bagi menyembuhkan masalah ini, namun mengelakkan diri dari pencetus masalah ini dapat membantu disamping pengambilan ubat-ubatan yang disyorkan.



FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA ATOPIC ECZEMA


Faktor-faktor berlakunya Atopic Eczema

Tidak diketahui punca yang sebenar, namun faktor-faktor tertentu dipercayai menggalakkan serangan Atopic Eczema. Kebanyakan pakar percaya bahawa masalah ini bersangkutan dengan faktor genetik. Biasanya mereka juga akan mengalami masalah alahan seperti asma dan 'hay fever'(demam disebabkan alahan). Walau bagaimana pun, ada juga pihak yang menyangkalnya dengan alasan tidak semua penghidap Atopic Eczema mengalami asma mahupun 'hay fever' dan begitulah sebaliknya. Namun dari kes-kes yang ditemui, kebanyakannya berlaku di kalangan ahli keluarga.


Selain dari itu, faktor persekitaran seperti tahap pencemaran yang tinggi, boleh mengaktifkan gejala Atopic Eczema terutama individu yang menghidapnya melalui faktor warisan. Berhati-hatilah dengan agen yang biasanya disebut-sebut menjadi pencetus Atopic Eczema seperti habuk, hama, asap rokok, bulu binatang, minyak wangi dan kosmetik tertentu, klorin, pelarut, bunga serta debunga, detergent, sabun dan sebagainya.


Selain persekitaran, alahan pada makanan tertentu juga menjadikan permasalahan ini menjadi-jadi seperti kacang tanah, gandum, kerang, telur, ikan tertentu, produk tenusu dan lain-lain lagi. Mengelakkan bahan-bahan ini merupakan jalan terbaik untuk meredakan Atopic Eczema.

             
Lapisan kulit pelindung yang pecah diburukkan lagi dengan kehadiran cairan menyebabkan bakteria Staphylococcus aureus amat mudah membiak lalu permasalahan menjadi semakin serius. Ilustrasi di bawah dapat menggambarkan keadaan ini dengan lebih mudah difahami.

       
Ilustrasi ini  lebih mudah untuk difahami...credit to Dr Micheal Cork and
The National Eczema Society  (Regd  Charity no 1009671)


KOMPLIKASI


               Jangkitan bahagian kulit - kulit luar akan tercedera/terluka apabila sering digaru dengan kerap.
                                                      Biasanya jangkitan dari bakteria Staphylococcus aureus sangat
                                                      mudah berlaku.


               Neurodermatitis -   gatal-gatal yang berpanjangan menyebabkan kawasan tersebut digaru-garu,
                                           dan akhirnya membentuk tompokan parut yang kekal dan tebal juga berwarna
                                           kemerah-merahan, lebih gelap dari kulit yang asal.


               Komplikasi mata -  bagi yang mengalami severe Atopic Eczema, komplikasi mata boleh terjadi
                                            dimana kegatalan serius berlaku di sekeliling kelopak mata. Tanda-tanda
                                            seseorang mengalami komplikasi di bahagian mata, mata berair, radang
                                            kelopak mata (blepharitis) dan lapisan kelopak mata (konjunktivitis). Jika
                                            ini berlaku, sila berjumpa doktor dengan kadar segera.



LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN DI RUMAH

               1.  Kenalpasti serta elakkan pencetus keadaan yang menyebabkan keradangan
                    menjadi lebih serius.

               2.  Aplikasikan krim anti kegatalan atau calamine lotion di tempat yang mengalami
                    masalah.

               3.  Seboleh-bolehnya elakkan menggaru. Pastikan kuku sentiasa pendek, pakai
                    glove ketika tidur.

               4.  Mandi dengan air suam.

               5. Guna sabun yang bersifat mild soap.

               6. Gunakan pelembab terutama di bahagian kaki, lengan dll.

               7. Gunakan pakaian yang menggunakan 'smooth-texture' kain cotton. Elakkan
                   texture yang kasar dan ketat. Pakaian yang bersesuaian ketika bersukan supaya
                   dapat menyerap peluh.

               8. Gunakan Home Humidifier yang bersesuaian dengan budget. Ia bertujuan
                   untuk menambahkan kelembapan udara di dalam rumah kerana udara yang
                   kering dan panas akan memburukkan keadaan kulit yang gatal-gatal dan
                   kulit yang menggelupas.
                 
                                         
                                                   
Portable Humidifier
             

RAWATAN

Kita harus sedar bahawa penyakit ini tiada sesuatu yang dapat menyembuhkannya secara total. Rawatan hanya sekadar membantu mengurangkan keradangan, kegatalan serta menghalang dari serangan yang menjadi-jadi di masa hadapan. Mengelakkan persekitaran juga makanan yang boleh menimbulkan alahan kepada individu tersebut, tidak bermakna  Atopic Eczema berjaya dikawal sepenuhnya. Oleh itu, ubat-ubatan tertentu disyorkan doktor untuk membantu keradangan menjadi lebih serius.


Ubat-ubatan berbentuk krim/losyen/salap Corticosteroids (kegunaan luar sahaja) dicadangkan dengan preskripsi doktor. Antibiotik pula diambil jika penderita mengalami jangkitan bakteria  di permukaan kulit yang mengalami keradangan. Manakala, bagi yang mengalami kegatalan yang kronik, antihistamines boleh membantu bagi mendapatkan masa tidur yang lebih baik.


Kita hendaklah mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu dalam pengambilan ubat-ubatan seperti Corticosteroids. Ia mengandungi tahap kekuatan yang berbeza dengan kesan sampingan yang harus diterangkan kepada pesakit terlebih dahulu.
                 

PENUTUP


Memandangkan ramai di kalangan anak autisme juga dikatakan mengalami Eczema di peringkat kanak-kanak lagi,  maka sebaiknya kita mempersiapkan diri untuk mengetahui serba sedikit berkenaan dengannya. Tidak rugi untuk menambah ilmu pengetahuan.......

Wallahualam

                  

Tuesday, January 14, 2014

Binatang Peliharaan Juga Membantu Mereka



Binatang peliharaan....(sekadar hiasan)

           Binatang peliharaan dapat membantu ASD (Autism Spectrum Disorder) dalam berinteraksi  ;

           ' MEREKA TELAH MENUNJUKKAN PENINGKATAN POSITIF DALAM BERSOSIAL APABILA BERSAMA BINATANG.'  Inilah kesimpulan yang diperolehi oleh pengkaji Marguerite E O'Haire dari University Of Queensland, Australia yang diterbitkan oleh journal  PLOS ONE.


Bersama Si Comel.....(sekadar hiasan)

             Kajian telah mengambil sample kanak-kanak autisme yang berusia 5-13 tahun. Didapati interaksi sosial mereka dengan orang dewasa juga rakan-rakan yang tipikal di tahap yang lebih baik apabila bersama binatang dibandingkan dengan alatan permainan. Interaksi yang dimaksudkan termasuklah percakapan, fizikal contact juga lebih bersedia untuk bertentang muka dengan pihak lain. Selain itu, perlakuan mereka juga bertambah memberangsangkan seperti mudah senyum, tertawa dan kurang merengek, menangis juga mengerutkan dahi.


Yang ini pun sesuai....hamster (sekadar hiasan)

            Oleh itu, kelebihan ini boleh digunakan dalam membantu golongan ini untuk meningkatkan interaksi dan bersosial dengan guru-guru, therapist juga rakan-rakan di sekeliling mereka. Saintist mengesyorkan supaya binatang (peliharaan tentunya) dijadikan method dalam  intervensi mahupun di dalam kelas jika terbukti ia boleh mengurangkan stress golongan ini dari persepsi  kelas yang dikelilingi dengan cabaran bersosial juga aktiviti 'pemangsaan'.

              Ayuh, kita mulakan memelihara binatang peliharaan di rumah dulu!


Mungkin inilah sebabnya....


            






Sunday, January 12, 2014

UPSR 2014...




Pejam celik, pejam celik Syahmi sudah berada di Tahun 6. Syahmi akan menduduki UPSR bulan September nanti. Penting sangatkah UPSR ni? Sebenarnya, UPSR ni tidaklah begitu penting. Cuma ianya sebagai medan menguji pencapaian murid-murid untuk melangkah kaki ke peringkat menengah.


Bagi yang cemerlang keputusannya, mampu berdikari dalam usia yang tersangat mentah, bolehlah masuk ke asrama penuh. Manakala bagi yang suam-suam kuku juga tiada yang dinafikan hak untuk bersekolah. Semuanya layak naik ke tingkatan satu.

         
Namun berlainan pula kisahnya dengan nasib anak-anak istimewa di Pendidikan Khas. Keupayaan mereka selalunya diragui. Kebiasaannya anak-anak istimewa kurang diletakkan harapan untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan. Namun sesekali ada yang menyerlah, maka mereka akan menjadi buruan wartawan untuk dijadikan berita panas keesokkan harinya. Dalam kehangatan berita tersebut, jangan lupa masih terdapat kes-kes anak istimewa yang terpinggir kerana dinafikan hak untuk menduduki peperiksaan awam.



Keratan akhbar Utusan Malaysia 3.11.2013

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131103/ke_03/Jangan-pinggirkan-anak-saya#ixzz2q8hh7yVi
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Janganlah dianiaya mereka. Kandungan Surat Pekeliling di bawah sudah cukup untuk menjamin hak anak-anak istimewa bagi menduduki peperiksaan awam semenjak tahun 1998 lagi. (Saya tidak pasti samada pekeliling ini masih digunapakai hingga sekarang atau wujud yang lebih terkini dengan penambahbaikkan di sana sini). Diharap, jaminan ini bukan hanya jaminan kosong.

Semoga tiada lagi kejadian yang seumpamanya berulang......


Surat Pekeliling yang menyatakan  kebenaran bagi
anak istimewa menduduki peperiksaan awam


               





Friday, January 10, 2014

Rasa Bimbang, Cemas, Khuatir Yang Berlebihan... (Anxiety)


Mereka yang mengalami masalah neurologi biasanya mengalami
rasa bimbang, cemas dan khuatir yang berlebihan...(anxiety)

Rasa bimbang, cemas, khuatir bila berhadapan dengan sesuatu keadaan yang membahayakan, mahupun keadaan yang boleh menimbulkan tekanan merupakan perkara normal bagi setiap individu. Namun, ianya menjadi masalah jika reaksi yang berlebihan seseorang apabila menghadapinya.  Rasa bimbang ini sangat sinonim dengan mereka yang mengalami masalah neurologi sebagaimana autisme. Namun keupayaan mereka menghadapi masalah ini berbeza antara satu sama lain.


Rasa bimbang, cemas dan khuatir yang berlebihan ini boleh memberi kesan terhadap fizikal juga minda seseorang. Menurut kata pakar 80% dari golongan ASD (Autisme Specrum Disorder) mengalami masalah ini. Simptom-simptom yang biasanya ditunjukkan oleh kanak-kanak autisme apabila mengalami masalah ini seperti :

                             - gelisah
                             - sakit kepala/pening
                             - sakit perut
                             - 'head banging'
                             - menggigit kuku
                             - menarik-narik rambut
                             - enggan ke sekolah, prestasi menurun
                             - kesukaran menumpukan perhatian
                             - mengelak dari aktiviti sosial
                             - sukar tidur
                             - stimming seperti spinning, hand flapping
                             - kebimbangan, cemas, khuatir yang berterusan


* Oleh itu, ramai bijak pandai yang berpendapat bahawa simptom autisme di atas dapat diatasi jika perasaan bimbang, cemas dan khuatir ini dapat diselesaikan.

(Senarai di atas merupakan simptom-simptom anxiety - rasa cemas yang berlebihan bukan autisme)


MENGAPA BERLAKU?

Terdapat banyak faktor yang merangsang perlakuan ini terutamanya sensory processing yang berbeza. Sentuhan biasa bagi manusia normal, namun bagi golongan ini sentuhan yang sama dirasakan tidak selesa atau sakit buat mereka. Keadaan ini boleh menimbulkan tekanan jika dibiarkan berterusan.

Stress jika tidak dikawal....

Mereka juga bermasalah untuk mentafsir dan memahamkan tindakbalas orang di sekeliling dalam sesuatu keadaan. Dunia ini penuh dengan perkara-perkara yang mengelirukan bagi mereka. Manakala bagi yang belum boleh berkomunikasi, kesukaran untuk menyampaikan maksud menyumbang kepada perlakuan yang amat mencabar seperti yang tersenarai di atas.

                 
BAGAIMANA MENGURUSKANNYA?

Mustahil untuk menguruskannya secara total, namun mengurangkan rasa bimbang, cemas dan khuatir yang berlebihan ini sudah dikira mencukupi. Sebenarnya, mereka harus diberi peluang untuk menguruskan sendiri tahap kebimbangan, cemas dan khuatir yang berlebihan itu demi masa depan.

Kita boleh membantu dengan beberapa pendekatan seperti :

a.  Mengenalpasti perkara-perkara yang mencetus kepada kebimbangan, cemas dan
kekhuatiran mereka melalui isyarat yang diberi. Biasanya ibubapa lebih arif dengan
tingkah laku si anak.

- rutin berubah
- persekitaran berubah
- sensitiviti terhadap sensori
- takut pada objek-objek tertentu seperti lipas, belon dan sebagainya

Pastikan keadaan-keadaan ini didedahkan pada si anak sedikit demi sedikit supaya
situasi ini menjadi kebiasaan bagi mereka.


b.  Bantu si anak untuk mengenalpasti keadaan bila mana mereka berada dalam
kebimbangan, cemas dan khuatir. Contohnya, denyutan jantung yang laju dari biasa,
tapak tangan berpeluh dan sebagainya.

Mungkin juga lebih memudahkan pemahaman mereka dengan cara melukis gambaran
anggota badan yang mengalami tindak balas dari rasa bimbang, cemas dan kekhuatiran
tersebut


c.  Relaksasi

Pelbagai cara yang sesuai, mungkin dengan mempraktikkan:

- kiraan 1-10 perlahan-lahan
- melompat atas trampoline 50 kali
- tarik nafas dalam-dalam 5 kali
- menutup mata beberapa ketika
- mengalih perhatian kepada perkara-perkara yang menarik minatnya
                 
Latih mereka mengalihkan rasa kebimbangan,cemas dan kekhuatiran ini kepada
sesuatu aktiviti yang dapat menenangkan diri mereka.


d. Teknik Visual

Social  Stories dalam bentuk bergambar untuk memudahkan pemahaman golongan ini. Jika mereka bimbang ke sekolah, visualkan aktiviti si ibu di rumah semasa mereka di sekolah  seperti memandu pulang ke rumah, memasak di dapur, berkebun di halaman rumah dan sebagainya. Juga visualkan aktiviti yang sepatutnya si anak lakukan semasa di sekolah, seperti menulis, membaca, makan, bermain dll.

Jika berlaku perubahan dalam rutin mereka, seharusnya dinyatakan lebih awal secara perlahan-lahan supaya mereka lebih bersedia. Buatkan schedule dalam bentuk visual terhadap sesuatu perubahan seperti jadual kelas renang yang terpaksa dibatalkan kerana jurulatihnya tidak dapat hadir. Terlalu mendesak juga boleh menimbulkan kebimbangan, cemas dan seumpamanya.


e. Latih mereka menghadapi situasi tertentu seperti cemas apabila berada di kedai gunting rambut. Biasakan mereka melihat adik beradiknya sedang memotong rambut di sana dengan selesa. Berbincang dengan si 'barber' tentang keadaan si anak supaya dapat dilakukan di sebelah petang ketika pelanggan lain telah selesai.

Latihan yang konsistant dengan kerjasama semua pihak dapat menenangkan mereka dan memahamkan mereka dengan sesuatu situasi.
                   
                   
Sebelum menutup bicara, ingin saya berkongsi pendapat pihak yang mendakwa bahawa kebimbangan, cemas dan kekhuatiran yang berlebihan berlaku pada ASD (Autism Spectrum Disorder) bersangkut-paut dengan ketidaknormalan saiz AMYGDALA autisme iaitu bahagian otak manusia yang memproses emosi  untuk berfungsi dengan betul. Setakat mana kebenaran fakta ini, biarlah mereka yang pakar merungkaikannya.

Bagi yang beragama Islam, pentingnya anak-anak kita didedahkan dengan hafalan surah-surah yang terkandung dalam kitab-Nya bagi memantapkan jiwa anak-anak istimewa ini. Membiasakan diri sentiasa berwuduk. Kepada siapa lagi untuk kita mengadu jika bukan kepada pencipta-Nya?

Wallahualam......

Kedudukan AMYGDALA...



Friday, January 3, 2014

Dia Istimewa...




            Koleksi gambar-gambar ini hanyalah bertujuan untuk update blog sempena tahun 2014. Tiada topic khusus yang hendak dibincangkan. Namun si dia memang istimewa buat kami sekeluarga. ....


Siblings

Muhammad Syahmi Asyraff

You are not alone.....
Autisme Boleh

Family of four

Wednesday, January 1, 2014

Mengaji Lebih Mudah Dengan Al Quran Bertajwid


       
Huruf Hijaiyah....
Tiada rahsia, tiada kaedah specific untuk mengajar Syahmi mengaji kerana keupayaan dia seperti kanak-kanak tipikal lain dalam menyerap ilmu. Mudah untuk memahamkannya kerana dia seorang yang 'terang hati'. Jangan termalu kalau dia lebih bagus dalam ilmu tajwidnya dari kita yang dewasa.


Syahmi sebenarnya lewat sedikit belajar mengaji dibandingkan dengan mereka yang seusia disebabkan masalah lambat bercakap. Namun, dalam usianya 6 tahun dia telah mula mengenal huruf-huruf hijaiyah dengan baik hanya berdasarkan flash card oleh ibunya  di rumah juga melihat dari huruf-huruf hijaiyah yang tertera di dinding kelas Pra Pendidikan Khas yang diikutinya.
             
       
Iqra' terbitan Darul Kitab Sdn Bhd
Di Tahun 1 sebagai murid inklusif di aliran perdana, Syahmi terlibat sama dalam kelas J Qaf juga Kelas Tasmik yang diadakan selepas waktu sekolah. Di rumah, tugas ibu untuk mengajar Syahmi Iqra' namun si ibu masih kurang keyakinan kerana buntu dengan hala tuju si anak ketika itu. Masih dalam  pencarian ilmu tentang autisme. Mengembalikan semangat yang layu dek demam yang belum kebah kerana baru mengetahui tentang keadaan si anak yang dikatakan mengalami autisme.


Saya mula bersemangat dan yakin si anak juga mampu mengaji dengan baik setelah Syahmi menyertai Tilawah Al Quran Peringkat Sekolah. Walaupun dia tidak hebat dalam berlagu, tapi si anak amat hebat menghafal surah-surah. Dalam sesi latihan sebagai persediaan untuk menghadapi tilawah, Syahmi telah boleh menghafal 40 ayat dengan mudah berbanding dengan saya sendiri walau telah berulang-ulang kali dibaca.


J Qaf - antara latihan yang ditekankan
di sekolah
Kekaguman ini menyebabkan saya berusaha agar Syahmi dapat menguasai bacaan Al Quran dengan lebih baik. J Qaf yang diwujudkan dalam sistem pembelajaran masa kini amat membantu si anak untuk menguasai tajwid dengan lebih baik. Kemudian diberi kesinambungan di rumah dengan si ibu mengambil alih menjadi tenaga pengajar. Walau rakan-rakan sekelasnya ramai yang telah menamatkan bacaan Al Quran sehingga 30 juzuk, Syahmi masih berada di separuh perjalanan dan amat berharap sebelum naik ke tingkatan satu nanti Syahmi boleh menamatkan pembacaan 30 juzuknya....aamiin


Bagi merealisasikan agenda ini saya dapatkan sebuah Al Quran bertajwid, wakaf dan ibtida untuk memudahkan Syahmi menguasai pembacaan Al Quran. Memang jelas sangat perubahannya kerana pembacaan menjadi lebih mudah apabila dibantu oleh warna-warna yang mewakili hukum-hukum tajwid yang tertentu. Sangat kagum dengan hasil usaha cerdik pandai kita terhadap penghasilan Al Quran bertajwid ini.

Idea dan konsep Al Quran Bertajwid, Wakaf & Ibtida terbitan Telaga Biru oleh
Tan Sri Dato' Hj.Hassan bin Hj Azhari dan Prof.Madya Dr.Hj.Abd Rauf bin Tan Sri Hj.Hassan


Al Quran bertajwid
           

2014, Syahmi akan menghadapi UPSR. Jadual harian Syahmi juga dipenuhi dengan kelas tambahan di sebelah petang dan sebelah malamnya juga. Semoga ibu lebih kuat untuk mengimbangi masa dalam memenuhi tuntutan akademik mahupun pengisian rohani seperti solat, mengaji Al Quran dan sebagainya.  Semoga dipermudahkan-Nya....aamiin.


                 
                 

           



 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...