A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, June 30, 2014

Hari Pertama Berpuasa....1435H





            Cepatnya masa berlalu, Ramadhan kembali lagi dengan menawarkan berganda-ganda pahala buat mereka yang membuat kebaikan. Seperti biasa, Syahmi sudah faham erti puasa, sudah biasa dengan aktiviti yang seharusnya dilakukan bila Ramadhan menjengah.


             Di sekolah, awal pagi Syahmi serta kawan-kawan akan ke surau untuk membaca Surah Yassin serta melakukan Solat Sunat Dhuha dan Solat Sunat Hajat, sementara waktu rehat pula mereka  bertadarrus di kelas. Pembelajaran diteruskan seperti biasa tambahan pula UPSR semakin dekat.


Tamat waktu persekolahan, berlari-lari anak menuju ke
kereta untuk balik ke rumah

             Hari pertama berpuasa dan bersekolah, tentulah cabaran besar buat si anak. Kedudukan kelas di tingkat teratas bangunan sekolah, beg yang berat dengan buku-buku menjadikan si anak berada dalam keletihan terutamanya ketika matahari berada di atas kepala. Cuaca yang panas terik kini, betul-betul mencabar kanak-kanak untuk berpuasa.



Wajah-wajahnya yang sedang diuji dengan kesabaran
 (hari pertama berpuasa)

           Saya percaya, selepas beberapa hari berpuasa, pasti Syahmi boleh menyesuaikan dirinya dengan kehadiran Ramadhan. Dalam usia 12 tahun, dia pasti mampu melakukannya. Semoga dianugerahkan oleh-Nya  kesihatan yang terbaik buat anak ini...aamiin



Wednesday, June 18, 2014

Dia Kena Rotan....



Aduh! Pedih juga bila kena rotan


Peraturan :  Cikgu Fatimah menetapkan, murid-murid yang memperolehi markah kurang dari 70% bagi subjek Sains yang diajarnya akan dirotan di tapak tangan sekali, jika memperoleh markah kurang dari 60% pula,  maka akan dirotan sebanyak dua kali di tapak tangan.


Kali ini, Syahmi dah 'terkena'. Semenjak Tahun 4 lagi Syahmi bergurukan Cikgu Fatimah bagi subjek Sains, belum pernah sekali pun Syahmi melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Cikgu Fatimah. Namun Peperiksaan Pertengahan Tahun 2014, Syahmi hanya memperolehi markah 68%. Saya faham Syahmi memperolehi markah sedemikian kerana pada hari peperiksaan dijalankan, dia sakit perut hinga terpaksa ke tandas berulang kali. Syahmi hanya menjawab 2 paper dari 4 matapelajaran kesemuanya.


Bahan Kecemerlangan (BK8)
Matapelajaran Sains 

Maka terpaksalah anak ini menadah tangan untuk merelakan dirinya dirotan di tapak tangan (rotan pengajaran dari seorang guru). Banyak kali juga saya memperingatkan anak saya supaya belajar  menerima hukuman dari guru dengan seadanya jika dia melakukan kesalahan. Buat pertama kalinya, dia dirotan di tapak tangan bersama beberapa kawan-kawan yang lain. Jika kawan-kawannya berwajah selamba ketika menerima hukuman, Syahmi menadah tangan sambil bergenang airmata, "Menangis sedikit sahaja", menurut kata Mustaqim rakan sekelasnya.


Alhamdulillah......saya bangga anak saya tidak mengamuk apabila dirinya diperlakukan demikian. Syahmi dengar nasihat saya. Syahmi kena belajar menjadi seperti kawan-kawan tipikal yang lain. Kuatkan diri, mengaku kesilapan dari setiap kesalahan yang dilakukan. Walau saya tidak pernah menjentiknya sekali pun, tapi Syahmi kena faham dia tidak 'immune' ketika di dunia luar. Anak istimewa tidak menjanjikan diri kamu terkecuali dari sebarang bentuk hukuman pengajaran.


Lain kali Syahmi kena pastikan prestasi Syahmi sentiasa melepasi tahap yang Cikgu Fatimah kehendaki. Berusaha dengan lebih kuat, supaya UPSR nanti Cikgu Fatimah boleh tersenyum bangga dengan pencapaian kamu anak ku. Walaubagaimana pun, tahniah diucapkan juga kerana Syahmi berjaya mendapat keputusan 4A 1B dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun yang lalu. Untuk pengetahuan, hanya 4 org murid yang memperolehi 5A dalam peperiksaan tersebut. InsyaAllah dengan baki masa yang tinggal, Syahmi masih berpeluang untuk memperbaiki kelemahan yang ada......


              

Saturday, June 14, 2014

Teruja....(Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu)



Dari jauh :  Siapa tu???

Dekat sikit :   Kita kenal-kenalan....

Dekat betul-betul :  Wahh,,,,Tumpang aura keimanan beliau....aamiin
Syahmi bersama Tuan Guru Harun Din

Thursday, June 12, 2014

Dia Terapist Cara Kerja Pertama Syahmi.....



               Opah dah berusia, jalan pun seperti anak-anak berusia setahun dua. Bertatih perlahan-lahan ke sana ke mari dan kadang kala terpaksa bertongkat. Solat pun dah tak larat nak berdiri, sejak beberapa tahun kebelakangan ini Opah bersolat secara duduk di atas kerusi. Lapan puluh satu tahun usianya. Atok baru saja meninggalkannya kira-kira setahun yang lalu. Tapi Opah bernasib baik kerana ada anak-anak yang sanggup membantunya ke sana ke mari.


Opah Syahmi.....
lahir tahun 1933, sekarang berumur 81 tahun

Opah baru kembali dari menunaikan umrah 2 minggu lalu. Opah pernah mengerjakan haji tahun 1991 bersama suami (Atok). Ketika itu Perang Teluk di Tanah Arab. Ramai jemaah Malaysia dan dunia keseluruhannya menunda untuk menunaikan haji pada tahun tersebut kerana bimbangkan keselamatan masing-masing semasa di sana. Namun Opah tetap memegang prinsip, ajal maut di tangan Tuhan. Maka dikhabarkan bahawa jemaah pada tahun tersebut amat berkurang hingga memberi kemudahan pada yang pergi menunaikan haji dengan lebih selesa. Tahun tersebut juga merupakan Haji Akhbar (Wukuf jatuh pada hari Jumaat). Rezeki Opah lah nampaknya....


Opah dibantu anak-anak bagi mengerjakan
umrah baru-baru ini

Opah bukan golongan terpelajar, hanya belajar peringkat rendah sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu. Bila Jepun datang ke Tanah Melayu, maka menyoroklah anak-anak dara di kampung ketakutan dari ancaman. Tiada diberi peluang untuk menyambung pelajaran lagi oleh keluarganya. Hanya membantu ibubapanya di kampung, berbendang, menjaga adik-adik di rumah juga memasak untuk keluarga.


Tetapi sebagai seorang anak, saya dapat menilai Opah seorang yang sangat cerdik. Dari tindakan dan pemikiran, dia sangat bijak orangnya. Cergas dan cerdas, cukup sekadar mengambil pemakanan cara orang kampung, nasi dari beras yang dituai sendiri di bendang, rendang ayam hasil dari ayam peliharaan dan sembelihan sendiri, ulam-ulaman yang dipetik dari sekitar halaman rumah. Namun sebagai manusia biasa, hukum alam tidak mampu diubah, Opah tetap dimamah usia akhirnya....

                 
Ketika usia Syahmi lapan bulan, Opah selalu mengajar Syahmi 'Tepuk Amai-Amai'. Tapi baby Syahmi ketika itu buat tidak endah. Opah merungut "Kenapalah cucu yang ini tidak pandai mengajuk".....('Tepuk Amai-Amai' yang diajarinya). Namun tiap kali bertemu, Opah tidak jemu-jemu mengajarnya hingga dia boleh mengajuknya walau tidak sekerap bayi-bayi normal. Sebenarnya kemahiran bertepuk tangan di kalangan bayi dapat merangsang perkembangan motor dan kognitif mereka.


Tepuk Amai-Amai
Belalang Kupu-Kupu
Tepuk Biar Pandai
Boleh Upah Susu


Terima kasih Opah.....sekarang baru saya sedar Opah menjadi Terapist Cara Kerja Syahmi yang pertama. Biar orang lain tidak nampak sumbangan Opah, tapi rangsangan awal yang Opah berikan sebenarnya amat bermakna dalam perkembangan positif si anak. Tidak perlu masuk 'U', dengan idea orang dulu-dulu Opah juga mampu menjadi Terapist Cara Kerja.

Sayang Opah.....



                   

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...