A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Sunday, November 30, 2014

Tetamu Ku, Menteri Besar....




Cerita dulu-dulu, saya pernah menghadiri majlis yang turut dihadiri oleh beliau yang ketika itu masih lagi berada di posisi sebagai Exco Pendidikan Negeri Terengganu. Majlis yang dimaksudkan adalah Majlis Penyampaian Bantuan Wang Tambang Persekolahan Murid-Murid Penddikan Khas (ketika itu Syahmi di Pra Pendidikan Khas). Syahmi merupakan salah seorang yang menerima bantuan berkenaan. Majlis tersebut diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu.

Kejadian yang amat mengharukan berlaku apabila seorang anak isimewa telah meluru secara tiba-tiba naik ke atas pentas lalu duduk di ribaan tetamu kehormat tersebut iaitu YB Tuan Hj Ahmad Razif bin Abdul Rahman ketika itu. Majlis terpaksa diberhentikan sebentar, dan dengan selamba YB tersenyum lalu memeluk si anak dengan kata-kata "Tengok ni, anak istimewa dengah hati yang ikhlas tidak takut-takut untuk naik ke pentas bersama saya. Kalau anak tipikal, mampukah mereka melakukan tindakan yang sama?"


YAB Dato' Hj Ahmad Razif Bin Abdul Rahman
(Menteri Besar Terengganu)

Cerita sekarang, hari Rabu 3hb Dec 2014 ini nanti dikhabarkan MB Terengganu akan berkunjung ke pondok usang saya. Beliau akan melakukan press conference atas kejayaan 2 orang anak istimewa negeri Terengganu yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR lalu termasuk Syahmi. Rasa nak jatuh jantung saya mendengar berita ini. Saya doakan majlis berjalan dengan lancar. Bagaimana mungkin saya boleh calm down jika tetamu saya nanti seorang Menteri Besar Terengganu? Tak tidur malam dibuatnya.....

Relax lah hati....orang besar atau orang biasa, dia tetap manusia yang mempunyai rasa yang sama. Semoga beliau tergolong dalam pemimpin yang 'cakna' pada rakyat bawahannya. Walau hamba rakyat negeri Perak, namun tetap berbangga dan berterima kasih menumpang di negeri Dato' yang indah...

Selamat Datang YAB Dato' Ahmad Razif bin Abdul Rahman serta rombongannya ke pondok usang kami di Lorong Budiman, Batu Buruk....
            

Thursday, November 27, 2014

Tahniah anakanda....


         
Syukran, syukran, syukran.....5A yang sangat berbaloi-baloi. Penat lelah si anak, guru-guru, ibu di rumah telah membuahkan hasil. Menghadiri kelas tambahan sebelah petang dan malam di sekolah, kelas tuition private antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini.

Perjalanan masih jauh....banyak lagi cabaran yang harus kita lalui. Ibu dan ayah bangga sebab kamu telah memberi kepuasan pada guru-guru kamu. Kejayaan kamu merupakan kebanggaan mereka. Penat lelah mereka terbayar sedikit sebanyak dengan kejayaan kamu serta kawan-kawan semua. Bergaya melangkah kaki ke alam persekolahan peringkat menengah nanti, meninggalkan seribu kenangan ketika di SKSB II.

Selamat tinggal Sek Keb Seri Budiman II....kamu tetap di hati kami....


Keratan akhbar .....Star 27.11.2014

Sinar Harian....27.11.2014

Kosmo....27.11.2014

Metro....27.11.2014
Utusan Malaysia....30.11.2014

Teganukita.com

Teganukita.com

Monday, November 17, 2014

Yang Istimewa Dalam Filem/Drama....



Autisme Dalam Filem/Drama....

Beberapa filem/drama bermutu dihasilkan oleh karyawan luar negara yang mengisahkan perjalanan kehidupan insan istimewa autisme mahupun kategori lain yang tergolong dalam masalah perkembangan intelektual. Sesungguhnya, kehidupan golongan istimewa ini  difilemkan bagi menyedarkan masyarakat erti kemanusiaan terhadap kita sesama manusia. Tiada sesiapa yang meminta dilahirkan dengan sebarang kekurangan, namun percayalah setiap kejadian-Nya, tiada yang sia-sia.....


Di sini, disenaraikan beberapa judul filem/drama yang pernah saya tonton untuk dikongsi bersama anda semua. Antaranya termasuklah :


Temple Grandin....

1)   Temple Grandin, filem yang dihasilkan pada tahun 2010, diarahkan oleh Mick Jackson. Pelakon utama yang memegang watak Temple Grandin ialah Claire Danes.

Mengisahkan tentang kehidupan seorang wanita yang mengalami autisme bernama Temple Grandin. Flashback tentang zaman awal kanak-kanaknya yang tidak berkomunikasi, tantrum. Bagaimana ibunya berjuang dalam membesarkan si anak yang dianggap pelik. Seterusnya zaman remaja, dunia kolejnya hingga ke universiti dan berjaya menggenggam ijazah kedoktoran dalam bidang Sains Haiwan.

                                                   
Rain Man.....

2)   Filem ini juga disyorkan untuk ditonton oleh semua terutama pada mereka yang ingin mendalami tentang kehidupan seorang yang mengalami autisme.  Rain Man yang dilakonkan oleh bintang utama Dustin Hoffman sebagai Raymond (an autistic savant) dan Tom Cruise sebagai Charlie Babbitt. Filem Amerika yang ini dihasilkan pada tahun 1988 dan diarahkan oleh Barry Levinson.

Cerita berkisarkan, Charlie yang baru mengetahui mempunyai saudara kandung yang bernama Raymond setelah harta warisan bapanya diwariskan sepenuhnya kepada anak yang mengalami autisme ini. Perjalanan kehidupan dua beradik ini bermula sehingga akhirnya mengubah persepsi Charlie terhadap abangnya seorang insan yang menderitai autisme.

Pernah menggondol beberapa anugerah Oscars semasa Academy Awards ke 61 (1989) antaranya Best Actor yang dimenangi oleh Hoffman.


Hikari to Tomo Ni.....

3)   Hikari to Tomo Ni (With The Light : Raising An Autistic Child), sebuah drama bersiri Jepun yang sesuai ditonton oleh ibubapa yang baru menyedari/mencurigai tentang keadaan si anak yang mengalami autisme.

Drama ini mengisahkan tentang Sachiko Azuma, seorang ibu muda yang melahirkan seorang bayi lelaki lalu diberi nama Hikaru. Hikaru membesar agak berbeza dari anak-anak yang sebaya, lewat bertutur, tidak suka pada bunyi-bunyi yang melampau serta sukar berubah dari rutin.

Suaminya Masato Azuma, pada peringkat awalnya enggan menerima 'kelainan' yang ada pada si anak. Malahan sering menyalahkan isterinya, begitu juga masyarakat sekeliling yang sering prejudis terhadap kanak-kanak yang sepertinya. Saksikan bagaimana perjuangan kental seorang ibu menghadapi situasi ini.


I am Sam.....
     
4)   Filem tahun 2001 bertajuk I Am Sam, diarahkan oleh Jessie Nelson. Dibintangi oleh  aktor Sean Penn yang melakonkan watak seorang bapa tunggal yang mengalami masalah perkembangan intelektual, Sam Dawson. Beliau mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Lucy (watak dilakonkan oleh Dakota Fanning).

Perjuangan seorang ayah bagi mengembalikan hak penjagaan anak kesayangannya yang pasti menyentuh hati penonton pastinya. Sean Penn telah dicalonkan dalam Academy Awards ke 74 (2002) bagi kategori Best Actor melalui filem ini.


Main Aisa Hi Hoon.....
           
5)   Main Aisa Hi Hoon (dalam Bahasa Inggeris I Am Like This) merupakan filem Hindi tahun 2002 yang merupakan 'remake' kepada filem I Am Sam. Dibintangi oleh Ajay Devgan, pelakon utama yang membawa watak sebagai Indraneel Thakur seorang bapa tunggal yang mengalami masalah perkembangan intelektual. Beliau membesarkan seorang anak perempuan yang bernama Gungun (Rucha Vaidya).


Deiva Thirumagal......
           
6)   Sementara sebuah filem Tamil yang juga merupakan 'remake' kepada I Am Sam, diberi judul Deiva Thirumagal (dalam Bahasa Inggeris God's Daughter). Filem dihasilkan pada tahun 2011 di mana pelakon utamanya ialah aktor Vikram Kennedy yang membawa peranan sebagai Krishna seorang bapa tunggal yang mengalami masalah intelektual. Krishna membesarkan seorang anak perempuan bernama Nila. Filem ini mempunyai asas plot yang diinspirasikan dari filem I Am Sam.


My Nam Is Khan....

7)   My Name is Khan, merupakan filem yang diarahkan oleh Karan Johar pada tahun 2010. Dibintangi oleh pelakon-pelakon ternama, Shah Rukh Khan dan Kajol yang juga dikenali sebagai 'Golden Pair' filem-filem Hindi setelah filem terakhir mereka Kabhi Khushi Khabie Gham dalam tahun 2001.

Mengisahkan tentang Rizwan Khan (watak yang dipegang oleh Shah Rukh Khan) dari keluarga Muslim di Mumbai, didiagnose mengalami Asperger Syndrome (berada di bawah autisme spektrum). Kemudian menetap di San Francisco bersama abangnya setelah kematian ibu. Di sana Rizwan bertemu dengan Mandira (watak dipegang oleh Kajol), seorang ibu tunggal beragama Hindu yang mempunyai seorang anak lelaki dari perkahwinan terdahulu. Mereka akhirnya berkahwin, namun konflik melanda akibat dari prejudis masyarakat barat terhadap masyarakat Islam di sana.


Koi....Mil Gaya......
       
8)   Sementara filem Hindi yang ini pula, Koi....Mil Gaya merupakan filem sains fiksyen yang diarahkan oleh Rakesh Roshan pada tahun 2003. Pelakon utama aktor Hrithik Roshan yang memegang watak sebagai Rohit anak kepada seorang saintist, Sanjay Mehra (watak dibawa oleh Rakesh Roshan). Setelah kematian bapanya, Rohit dilahirkan dengan masalah perkembangan intelektual serta tingkah lakunya yang  kebudak-budakan. Manakala heroin filem ini dipegang oleh aktress Pretty Zinta sebagai Nisha iaitu teman baik Rohit.

Watak alien yang diberi nama Jadoo sering membantu Rohit menggunakan 'special power'nya untuk meningkatkan daya pemikiran Rohit agar tidak mudah dibuli oleh masyarakat sekeliling. Filem ini pernah meraih beberapa anugerah dalam pesta filem di India, termasuklah Best Actor dan Best Movie, Best Director dalam Filmfare Awards.

       
Taare Zameen Par....
             
9)   Sebuah lagi filem Hindi tahun 2007, yang sangat menyentuh hati para penonton. Taare Par Zameen  (dalam Bahasa Inggeris Like Stars On Earth). Diarah oleh aktor terkenal Aamir Khan. Filem ini berkisarkan seorang kanak-kanak berusia 8 tahun yang mengalami Dyslexia bernama Ishaan Nandkishore Awasthi (dilakonkan oleh Darsheel Safary). Dyslexia merupakan masalah gangguan pembelajaran termasuk membaca, mengira, menulis dan mengeja.

Filem ini dibintangi oleh Aamir Khan yang melakonkan watak Ram Shankar Nikumbh seorang guru seni yang juga seorang instruktor kepada sebuah sekolah pendidikan kanak-kanak lewat perkembangan. Beliau berjaya menyedarkan sepasang suami isteri tentang masalah yang dihadapi oleh anak mereka dan memberi harapan baru pada keluarga tersebut. Taare Zameen Par banyak menerima award samada di India mahupun di Academy Awards pada tahun 2009 dimana telah dinobatkan sebagai Best Foreign Film.


After Thomas....
   
10)   Biasanya kita banyak menonton filem/drama dari Amerika. Namun kali ini sebuah drama keluaran British After Thomas yang dihasilkan pada tahun 2006, merupakan kisah benar yang berkisarkan cerita sebuah keluarga dengan cabaran mendidik seorang anak autisme. Kisah diadaptasi dari sebuah buku bertajuk ' A Friend Like Henry' oleh Nuala Gardner.

Kyle Graham (dilakonkan oleh Andrew Byrne) seorang anak autisme kepada sepasang suami isteri Rob (yang dilakonkan oleh Ben Miles) serta Nicola (watak dipegang oleh Keeley Hawes). Kyle lebih suka hidup dengan dunianya yang bersendirian bersama simptom-simptom autisme yang lain. Nicola hampir melalui jalan buntu untuk membantu Kyle, hinggalah hadirnya seekor anjing yang diberi nama 'Thomas' bersempena dengan karakter pujaan Kyle 'Thomas The Tank Engine'.

Akhirnya Kyle mula mengalami perubahan positif, berinteraksi dua hala, memahami perasaan 'Thomas' binatang peliharaan kesayangannya.


Mercury Rising....
11)   Filem Mercury Rising merupakan sebuah lagi kisah adaptasi dari novel Simple Simon. Filem aksi thriller ini dibintangi oleh Bruce Willis. Beliau memegang watak Art Jeffries seorang agen FBI yang melindungi Simon Lynch (lakonan Miko Hughes) berumur 9 tahun, iaitu seorang kanak-kanak autisme.

Simon dipercayai telah berjaya memecahkan kod cryphtographic rahsia NSA (National Security Agency) yang dinamakan 'Mercury'.Kebolehannya memaksa pihak terbabit untuk membunuh kedua ibubapa dan anak berkenaan. Jeffries cuba menyelamatkan Simon.


Good Doctor.....drama Korea

12)   Drama bersiri Korea bertajuk Good Doctor yang dikeluarkan pada tahun 2013. Dibintangi oleh Joo Won, Moon Chae-Won, Joo Sang-wook dan lain-lain. Joo Won memainkan peranan seorang autisme savant yang akhirnya menjadi seorang Peadatric Surgeon.

Park Shi-On (Joo Won), di waktu kecilnya berhadapan dengan seorang bapa yang panas baran. Shi-On memiliki seorang abang yang sangat ambil berat tentang dirinya. Namun si abang telah meninggal dunia akibat kemalangan kerana membela adiknya yang sering dibuli.

Saksikan drama perubatan yang mengisahkan perjuangan seorang autisme yang berusaha membuktikan dirinya mampu menjadi seorang doktor yang berkebolehan.


Diharap karyawan filem kita juga berupaya menghasilkan filem-filem bermutu yang mampu untuk menarik bilangan penonton ke panggung. Namun filem-filem yang sedemikian memerlukan kajian yang mendalam sebelum diterjemahkan dalam bentuk lakonan, bukan dibuat hanya seperti melepaskan batuk di tangga. Semoga menjadi kenyataan.....

Sunday, November 16, 2014

Kian Menghampiri....Selamat Tinggal SKSB II


Bermulanya di sini......Sek Keb Seri Budiman II

Cepatnya masa berlalu. Baru kelmarin dulu rasanya saya ke sana ke mari mencari pra sekolah yang menerima kehadiran anak saya untuk memulakan pembelajarannya. Lapan tahun yang lalu (2007), saya sangat bingung memikirkan hala tuju anak saya yang baru disahkan mengalami autisme.


Saya tidak pernah menyangka anak saya yang ini akan bersekolah di sini. Kebiasaannya ibubapa di daerah ini berebut-rebut untuk menyekolahkan anak masing-masing di sekolah-sekolah ternama seperti Sek Keb Sultan Sulaiman I (Sekolah Berprestasi Tinggi). Syawal, abang Syahmi juga bersekolah di Sekolah Keb Sultan Sulaiman 1 suatu ketika dulu. Syahmi juga saya daftarkan dia ke sekolah tersebut pada awalnya kerana ketika itu saya belum mengetahui bahawa dia anak istimewa.


Namun ketentuan Tuhan tiada siapa dapat menghalangnya. Hasil diagnosa doktor pakar telah 'memaksa' saya mencari sekolah yang mempunyai cabang Pendidikan Khas. Akhirnya Syahmi bersekolah di Sek Keb Seri Budiman II dari Pra PPKIBP hinggalah ke Tahun 6. Alhamdulillah.....walau berada di sekolah tidak ternama,  namun Allah telah menemukan Syahmi dengan sekolah yang mempunyai warga prihatin yang belum tentu dimiliki oleh sekolah-sekolah ternama. Apa ada pada nama?

         
Teman-teman Tahun 6 di aliran perdana...
               
Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, dan setiap permulaan juga pasti ada pengakhirannya. Terima kasih Sek Keb Seri Budiman II, anak saya akan meninggalkan sekolah ini dengan ilmu-ilmu berguna yang telah dicurahkan oleh guru-guru sekaliannya.


Hilang di mata namun di hati tidak akan lupa pada guru-guru yang pernah berperanan besar dalam membantu perkembangan penddikan Muhammd Syahmi Asyraff.....Cikgu Rosma Jasni (Guru Pra PPKIBP) Teacher Ling (bekas Guru PPKIBP), Puan Norliza (Guru Bahasa Melayu), Puan Zabedah (Guru Matematik) Puan Fatimah (Guru Sains) Sir Wahab (Guru Bahasa Inggeris), Ustazah Aluzza (Guru Pendidikan Islam) dan lain-lainnya. Semoga cikgu-cikgu semua sentiasa di berkati-Nya selalu....aamiin


Special thanks to Sir Wan Saiful Bahari, kerana dalam diam anda turut menyumbang kepada photo-photo yang menarik dalam setiap aktiviti yang melibatkan anak ini semasa bersekolah di SKSB II.


Terima kasih semua......

       
Guru-guru Sek Keb Seri Budiman II (2014)



         
                                                                                                                                                                                                                       

         

         
           
              

Wednesday, November 12, 2014

Majlis Graduasi PPKIBP SK Seri Budiman II



Alhamdulillah.... Majlis Graduasi tahun ini dibuat dengan begitu 'gah' di Auditorium Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada hari Khamis bersamaan 6hb Oktober 2014 yang lalu. Lapan belas pelajar akan melangkahkan kaki ke sekolah menengah, merupakan rekod 'graduan teramai' PPKIBP Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II setakat ini. Maka tahun hadapan, tiada kelihatan lagi muka-muka comel ini dari pandangan guru-guru. Tiada lagi Syahmi, tiada lagi Zahiruddin, tiada lagi Fawaz dan yang lain-lainnya.

Sepoi-sepoi angin bertiup dari Laut China Selatan
di sebelah kirinya...Auditorium Kesenian dan Kebudayaan Negara

Bukan mudah untuk melatih anak-anak Pendidikan Khas bagi menjayakan sebuah majlis yang seumpamanya. Namun, cacat cela di sana sini tidak menjadi hal kerana kita faham mereka anak-anak istimewa. Keletah mereka membuatkan kita terhibur.


Tetamu yang hadir merupakan ibubapa kepada anak-anak istimewa termasuklah Ustaz Azhar Idrus serta isterinya. Di auditorium yang selesa, berhawa dingin, majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat serta diikuti dengan penampilan khas bekas pelajar sekolah ini yang telah pun berusia 19 tahun dengan hafazan surah yang mengasyikkan. Adik Ahmad Fadhlur Ridhwan merupakan bekas Juara Hafazan Kebangsaan (Pendidikan Khas).


Aturcara Majlis
Adik Ahmad Fadhlur Ridhwan serta ayahnya Cikgu Sabri... 
Tetamu yang menjadi perhatian semua.....Ustaz Azhar Idrus dan isteri
Syahmi dipakaikan 'Selepang  Graduasi' serta menerima
cenderahati dari Pn Guru Besar....
Bergambar bersama-sama dengan guru-guru yang mendidik
selama 7 tahun bersekolah di PPKIBP SKSB II .....
Tayangan slide menunjukkan aktiviti PPKIBP sepanjang tahun 2014 antaranya
- Syahmi sedang menduduki peperiksaan -
Jamuan makan tengahari yang lazat....
Syahmi.....layan diri
Sempat lagi Syahmi tumpang glamour......bergambar
dengan Ustaz Azhar Idrus di luar auditorium

Sesungguhnya kemeriahan Majlis Graduasi ini, tidak dapat menyembunyikan kesayuan hati saya untuk mengucapkan selamat tinggal pada seluruh warga SKSB II setelah beberapa tahun si anak belajar di sini. Kerjasama ibubapa dengan para pendidik sepanjang 7 tahun, amat membantu perkembangan si anak. Terima kasih cikgu-cikgu dan PM semua, guru mahupun murid akan bersilih ganti. Namun budi dan jasa akan tersemat sampai bila-bila.


Mungkin anak saya tidak pandai hendak menyatakan rasa hatinya terhadap 'perpisahan' ini. Namun saya percaya, dia tidak akan melupakan tempat jatuh bangunnya, sendu sedannya, tawa rianya di sekolah ini bagi memperbaiki diri untuk menjadi manusia yang berguna suatu masa nanti....TERIMA KASIH CIKGU.....
           


             


Sunday, November 9, 2014

Mesti Lulus Yang Ini Dulu.....



Tahun depan anak ini akan melangkah ke sekolah menengah....

          Tahun depan, si anak akan melangkah ke sekolah menengah. Hala tuju anak ini seterusnya bergantung pada keputusan UPSRnya nanti. Namun, sebagai ibubapa kita kena fikirkan juga bahagian-bahagian tertentu yang masih belum dikuasai oleh si anak. Mungkin selama ini si anak telah terbiasa ibubapa yang sentiasa bersedia membantunya.


Pernahkah anda terfikir?

Kemahiran yang ini tidak harus dipandang ringan. Jika di sekolah rendah, mungkin 'tie sangkut' dibekalkan bagi kemudahan murid-murd. Namun apabila masuk ke sekolah menengah, tiada lagi 'tie sangkut' dibenarkan. Hendak atau tidak, tiap pelajar lelaki terutamanya dikehendaki memakai tie mereka yang dewasa. Semoga anak saya dapat menguasai kemahiran ini sebelum 2015 menjengah.

       
Sangat memudahkan.....gambar dari Mr Google

Bagaimana dengan kemahiran mengikat tali kasut? Anak istimewa autisme biasanya mengalami masalah fine motor skills. Semasa di sekolah rendah dulu mungkin kita menyediakan mereka dengan kasut sekolah berzap-on. Apabila di sekolah menengah, kebiasaannya pihak sekolah hanya membenarkan pelajarnya memakai kasut bertali. Mereka perlu ditunjukajar sedikit demi sedikit setiap kemahiran tersebut. Mungkin mudah bagi anak-anak yang tipikal, tapi agak sukar bagi seseorang anak istimewa untuk melakukannya.


Pelbagai jenis ikatan tali kasut.....gambar dari Mr Google
         
Proses pembelajaran anak istimewa berbeza sekali jika dibandingkan dengan anak tipikal. Kesabaran kita mendidik anak istimewa akan  menjanjikan perkembangan yang memberangsangkan. Jangan dipandang ringan walau hanya sebesar zarah pencapaian mereka itu. Berikan sokongan dan penghargaan atas setiap pencapaian mereka yang sedikit itu, kerana yang sedikit itu lama-lama akan menjadi bukit.


Semoga anak saya dapat menguasai kemahiran asas ini dengan baik kerana persaingan mendatang akan lebih hebat lagi apabila berada di kalangan mereka yang tipikal di peringkat menengah nanti. Jika perkara-perkara asas yang ini pun belum lulus, bagaimanakah agaknya yang lain-lainnya?


Cepat, cepat jangan berlengah lagi...yang ini mesti lulus dulu!


         
           
                   

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...