A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Sunday, January 25, 2015

Brain Gym....



Fungsi Otak Kanan dan Otak Kiri

Otak terbahagi kepada dua hemisfera, kiri dan kanan. Penggunaan kedua-dua hemisfera secara optimal melahirkan individu yang hebat. Sayangnya ramai di antara kita tidak dapat mengimbangi penggunaan ke dua-dua bahagian ini dan perlu dirangsang bagi mengaktifkan semula daya kerja bahagian otak melalui rangkaian gerakan tubuh. Brain Gym, dipelopori oleh pasangan suami isteri Dr Paul Dennisson dan Gail Dennisson dimana telah memperkenalkan rangkaian pergerakan tubuh yang simple bagi meningkatkan daya kerja otak secara opitimum.


Dr Paul Dennisson dan isteri Gail Dennisson

Brain Gym dikatakan membantu golongan yang mengalami masalah pembelajaran seperti autisme dalam meningkatkan daya fokus, lebih relax, mengurangkan stress dan juga meningkatkan keupayaan mereka menerima pembelajaran.


4 PACE - Positive, Active, Clear, Energetic...


Turutan pergerakan ini dikenali sebagai 4 PACE (Positive, Active, Clear, Energetic). Tiap langkah yang disyorkan mempunyai matlamat tersendiri. Brain Gym dimulakan dengan :-


1. Minum air (Energetic)

Sebelum melakukan aktiviti, minum segelas air. Didapati air berfungsi umpama 'greese yang melancarkan pergerakan roda'. Memberi tenaga kepada seseorang untuk memulakan aktiviti.

Minum air 

2. 'Brain Buttons' (Clear)

Senaman ini bagi melancarkan aliran darah ke otak seolah-olah menjadi      
'switch on' kepada otak untuk memulakan daya kerja.

Cara-caranya :   Letakkan ibu jari serta jari telunjuk dan manis yang dijengkalkan ke bahagian tulang dada (sternum - kedudukannya seinci di bawah tulang selangka). Tekan seperti kadar denyutan nadi manusia dalam keadaan biasa atau buat gerakan membulat.

Dalam masa yang sama, telapak tangan yang sebelah lagi diletakkan di atas bahagian pusat lalu diberi sedikit tekanan ke atasnya. Lakukan kedua-dua pergerakan di atas serentak selama 30 saat. Kemudian gerakkan mata ke kiri dan ke kanan. Tukar tangan, ulang pergerakan yang sama.
                                                             

Brain Buttons

3. 'Cross Crawls' (Active)

Pergerakan bersilang ini membantu mengkoordinasi bahagian otak kanan dan otak kiri dalam menyalurkan informasi. Ia dapat membantu seseorang dalam menguasai kemahiran mendengar, membaca, mengeja, menulis juga kefahaman.

Cara-caranya :   Lakukan pergerakan dalam keadaan berdiri atau duduk. Letakkan tangan kanan ke bahagian lutut kiri yang diangkat kemudian letakkan tangan kiri ke atas lutut kanan yang diangkat. Lakukan seperti anda sedang berkawad.

Pergerakan ini hendaklah berterusan selama kira-kira 2 minit.


Cross Crawls

4. 'Hook Ups' (Positive)


Pergerakan in lebih kepada proses membantu individu mendapatkan ketenangan, mengawal rasa gemuruh ketika hendak menghadapi temuduga, peperiksaan mahupun berucap di hadapan khalayak.

Cara-caranya :   Lakukan pergerakan dalam keadaan berdiri atau duduk. Silang kedua belah kaki di bahagian pergelangan kaki. Silangkan pula tangan kanan dan kiri di bahagian pergelangan tangan, kemudian masukkan ke dalam hingga tangan yang bersilang tadi menyentuh bahagian tengah dada.

Bernafas dengan selesa hingga beberapa ketika. Hasilnya, kita akan dapati lebih tenang dan mengurangkan masalah gemuruh.

Duduk atau Berdiri

Brain Gym ini tidak terbatas hanya kepada pergerakan seperti yang dibincangkan di atas sahaja. Terdapat berpuluh-puluh lagi pergerakan yang boleh dilakukan untuk merangsang penggunaan otak kita secara optimal seperti pergerakan Lazy 8s, Thinking of an X, Double Doodle dan sebagainya.


Pergerakan angka 8 (tidur) memfokus kepada ibu jari
yang sedang melakukan pergerakan  tersebut

'Double Doodle' -  melukis objek semetri samada di atas kertas
 atau hanya imaginasi melukis menggunakan kedua-dua belah tangan

Program ini  sangat digalakkan untuk dipraktikkan kepada anak-anak yang mengalami masalah pembelajaran. Sangat mudah, boleh dilakukan di mana-mana. Tidak memerlukan gelanggang yang besar. Ruang tamu, bilik tidur, dalam bilik darjah juga sudah mencukupi. Tidak memerlukan peralatan yang mahal. Hanya perlukan disiplin untuk melakukannya, secara bersendirian atau dalam kumpulan kecil.


Sebagai usaha menerapkan nilai-nilai keIslaman dalam setiap aktiviti kita, jangan lupa diselitkan zikir-zikir dan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dalam pergerakan Brain Gym ini. Semoga ia menjadi aktiviti yang lebih bermakna. InsyaAllah....

Jom kita mulakan hari ini juga!


Tuesday, January 20, 2015

Meremang Bulu Roma.....


Meremang bulu roma mendengarnya...

Gegar se Malaysia kerana persembahan mereka kelmarin dalam Anugerah Juara Lagu 2014. Seniman jalanan membuat kejutan besar apabila diberi peluang untuk naik ke pentas. Biar cacat penglihatan, biar tiada rupa, tapi bakat mereka sangat menakjubkan. Semoga Roman Cinta membuka mata pihak di luar sana dalam mengenengahkan  bakat insan-insan istimewa.


Azmi Saat.....vokalis Caliph Buskers

Tahniah Edry Abdul Halim kerana memberi kepercayaan kepada golongan ini. Mereka telah berjaya membuktikannya....Tahniah...Tahniah...Tahniah  buat semua yang terlibat.


Kelmarin, Anugerah Juara Lagu ke 29.......bersama Caliph Buskers

Monday, January 19, 2015

Belayar Sendirian....



Sendirian menghadapi cabaran.....

Tahun 2015, Syahmi tidak lagi dibawah naungan PPKI. Sudah tiba masanya kamu sendirian mengendalikan kehidupan di sekolah. Tiada lagi guru pendamping kamu dari PPKI. Belajar menangani cabaran kehidupan bersama warga sekolah yang asing dengan dunia anak istimewa. Sesungguhnya, melangkahkan kaki ke sekolah menengah cabarannya tentulah lebih hebat dari sekolah rendah dulu.


Tapi ibu/ayah tahu, kamu tak segusar ibu/ayah, kerana kamu masih mentah dengan kerenah dunia luar. Pengalaman hidup masih cetek untuk menilai permainan manusia di luar sana. Nasihat demi nasihat diberi, ingatan demi ingatan diulang-ulang supaya kamu bersedia menghadapi situasi dari semasa ke semasa. 


Kisah 'songkok'....

Kelmarin Syahmi telah mula mengadu, kawannya minta songkoknya untuk dipakai disebabkan empunya diri terlupa memakainya ketika ke sekolah. Mungkin pelajar berkenaan telah mula sedar, Syahmi target mudah untuk dibuli. Tapi nasib baik Syahmi mampu menggunakan pemikirannya dengan berkata "Kalau awak pakai songkok saya, nanti saya yang dipersalahkan kerana tidak memakai songkok di sekolah". Kejadian tersebut berlalu begitu sahaja tanpa pengetahuan gurunya. 


Jauh saujana mata memandang....kelas Syahmi berdekatan dengan
surau sekolah (kubah surau berwarna kuning)

Syahmi juga minta dihantarkan ke sekolah lebih awal dari biasa disebabkan jarak pintu masuk sekolah dengan kelasnya agak jauh. Kira-kira 8 minit masa diambil jika berjalan kaki. Kemudian berpatah balik ke tapak perhimpunan setiap pagi yang tentunya memakan masa. Nampaknya dia telah mula sedar akan tanggungjawabnya sebagai pelajar dan tidak mahu dirinya didenda berjalan kaki mengelilingi padang sekolah jika terlewat sampai ke tapak perhimpunan.


Syahmi, namanya kini mula menjadi sebutan guru-guru Tingkatan 1, Sek Men Keb (A) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Bukan kerana kecemerlangan pelajarannya, dia tidak secemerlang mana, tapi lebih kepada dia anak istimewa. Guru-guru ambil cakna tentang 'kelainan' yang ada padanya supaya tindak-tanduknya tidak disalahanggap, juga masalahnya dapat ditangani oleh masyarakat sekolah secara tepat.


Saya berharap, anak saya sentiasa dilindungi-Nya dari unsur-unsur yang kurang baik. Ditemukan dengan insan sekeliling yang baik-baik serta di kalangan mereka yang mengerti....aamiin.

Saturday, January 17, 2015

LembaranTentang Anak Ku Untuk Cikgu dan Kawan-Kawan Semua.....


Muhammad Syahmi Asyraff bin Samsul Muariff

Assalamualaikum....


Bukan mudah seseorang ibu/ayah untuk menerima kenyataan mempunyai seorang anak yang mengalami ketidaksempurnaan di sisi manusia. Oleh kerana setiap kejadian merupakan kehendak dari-Nya, sebagai hamba kita mesti belajar menerima ketentuan-Nya dengan redha.


Syahmi, mula-mula didiagnose ketika usia 5 tahun oleh Pakar Perunding Psychiatrist Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah pada tahun 2007. Memulakan persekolahan di tadika biasa, kemudian diarahkan untuk membuat pemeriksaan lanjut setelah guru-guru di sana mengesan beberapa 'kelainan' ada padanya.


Beberapa bulan kemudiannya, Syahmi disahkan mengalami 'Mild Autisme' setelah melalui beberapa sesi perjumpaan dan pemerhatian dengan pihak yang berkepakaran. Saya mendaftarkannya ke JKM sebagai pemegang kad OKU, lalu memulakan pembelajarannya di Pra Pendidikan Khas di SK Seri Budiman II.


Simptom-simptom autisme yang ada pada dirinya seperti :

                                       1. Lewat pertuturan (mula bertutur ketika usia 5 thn)
                                       2. Lemah eye-contact (mengelakkan pertembungan  mata)
                                       3. Lemah skill motor halus (lambat  menulis, mewarna, melukis dll)
                                       4. Lemah skill motor kasar (berbasikal, berlari  dll)
                                       5. Masalah sensory (sangat sensitif pada bunyi, makanan)
                                       6. Masalah sosial (lebih suka menyendiri)
                                       7. Low Muscle Tone (tapak kaki rata, keadaaan struktur kaki
                                           yang berbeza dari yang tipikal)
                                       8. Anxiety


Pihak hospital mengesyorkan Syahmi dibawa untuk menjalani terapi pertuturan di hospital. Sementara ibubapa melakukan kesinambungan terapi di rumah bagi mempercepatkan perkembangan positifnya. Tiada kajian yang menunjukkan bahawa autisme boleh disembuhkan sepenuhnya. Seseorang individu autisme hanya boleh dibantu untuk diminimakan kekurangan yang mereka alami dengan terapi serta pendedahan dengan masyarakat.


Setakat ini, Syahmi telah banyak menampakkan perubahan serta berjaya meminimakan kekurangan yang ada padanya. Namun untuk membandingkan keupayaan anak ini dengan anak-anak tipikal yang seusia dengannya, tidak adil rasanya kerana anak ini mengalami masalah gangguan neurologi semulajadi yang kompleks hingga memberi kesan kepada bahagian-bahagian tertentu dalam kehidupan sehariannya.


Alhamdulillah, anak ini lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan insan senasib dengannya, kerana dikurniakan kebolehan untuk menerima pembelajaran akademik seiring dengan anak tipikal yang seusia. Namun saya pasti Syahmi tergolong dalam IQ biasa, bukan autisme genius seperti Albert Einstein. Saya terpaksa menekankannya di sini disebabkan persepsi banyak pihak yang keliru dan  menganggap anak autisme tergolong dalam kumpulan manusia genius. Malahan hakikat menunjukkan bahawa tiada insan autisme yang benar-benar bersamaan antara satu sama lain. Mereka berada dalam spektrum masing-masing.


Apabila menceritakan tentang keadaan Syahmi ketika bersekolah, saya lebih menekankan kepada kekurangan yang ada padanya supaya lebih mudah guru-guru dan warga sekolah keseluruhannya mengetahui siapakah Syahmi. Beberapa bahagian yang menampakkan kekurangan yang ada padanya dibandingkan dengan anak-anak seusia dengannya seperti :


            a.  Mengalami masalah pertuturan, kadang kala sukar difahami pihak lain. Hanya
                 menggunakan ayat pendek. Jika menerangkan sesuatu, akan mengambil
                 sedikit masa untuk mengatur ayat terbaik yang termampu olehnya.

            b.  Boleh menerima arahan yang pendek, ringkas serta satu persatu. Seboleh-
                 bolehnya kena diperingatkan semula sekiranya menampakkan dia kurang faham.

            c.  Tidak mengalami masalah hyper tetapi dia tergolong dalam hypo autisme iaitu agak
                 pasif bila beraktiviti. Mempunyai otot yang tidak cukup 'firm' bagi melakukan
                 kerja. Mempunyai struktur kaki yang berbeza dari biasa (banana feet) juga mengalami
                 masalah tapak kaki rata.

            d.  Tidak mampu membaca ekspresi muka pihak lain. Tidak boleh menilai seseorang
                 samada pihak yang satu lagi sedang marah, bingung, bengang dan sebagainya.

            e.  Lurus hingga kadang-kala memerangkap diri sendiri. Sering dibuli, dijadikan
                 'kambing hitam'. Mudah pihak lain untuk memanupulasinya.

            f.  Tidak boleh menerima tekanan yang berlebihan, kebiasaannya dia akan menangis
                dan memberontak (merungut-rungut).

            g.  Lebih cenderung untuk bersendirian, dan akan diketepikan oleh kawan-kawan
                 kerana sikapnya yang sedemikian. Jika berbual, topiknya tidak menjadi kegemaran
                 rakan-rakan seusia. Lebih cenderung untuk bercerita tentang obsessnya sahaja.

            h.  Bermasalah dengan kemahiran  motor halus seperti mengetuk paku, menggenakan
                 butang di pakaian, menggunting dan sebagainya.

            i.   Cepat bosan dengan topik yang tidak menjadi kegemarannya mahupun topik
                 yang telah dibincang dan telah difahaminya. Mudah letih dan kadang kala tertidur di
                 dalam kelas.

            j.   Cepat resah, gelisah, bimbang apabila berhadapan dengan keadaan yang bukan
                 menjadi rutinnya. Tidak boleh menjangka apa yang akan terjadi.

            k.   Masih mengalami masalah sensory terhadap bunyi kilat dan petir. Reaksinya akan
                  menunjukkan ketakutan yang berlebihan dari sepatutnya, gelisah, kelam kabut dan
                  jantung yang berdegup laju.

            l.    Mengalami masalah pencernaan dan sensitif terhadap jenis-jenis makanan seperti
                  produk tenusu. Kesannya, sering mengalami ketidakselesaan seperti kembung
                  perut dan akan mengadu sakit perut.


Semoga penerangan ini dapat membantu pihak sekolah untuk memahami Syahmi Anak Berkeperluan Khas - Autisme. Pengalamannya dari masa ke masa berada dalam masyarakat merupakan pengajaran terbaik untuk anak ini memperbaiki kekurangan diri demi masa hadapannya. Semoga kehadiran anak istimewa di sekolah ini, dapat diterima seadanya.


Sekian, Terima Kasih.



Saturday, January 10, 2015

Esok Mula Sekolah...



Sama saja getaran di dada ketika memimpin tangannya melangkah kaki ke pra persekolahan dulu. Makin hampir masanya, degupan jantung makin laju. Esok, hari pendaftaran ke Sek.Men.Keb (A) Sheikh Abdul Malek. Hari ini saya telah pun mendapatkan segala keperluan seperti lencana, tali pinggang, tali leher sekolah untuk kegunaan si anak pada esok hari. Si anak akan melangkah kaki ke sekolah menengah sebagai pelajar Tingkatan 1.




S.M.K. Sheikh Abdul Malek

SHAMS - Sek Men Keb (A) Sheikh Abdul Malek

Selesai pendaftraran....terus mengambil tempat duduk
masing-masing untuk program orientasi

Belajarlah kamu anak ku....ibu/ayah tinggalkan
kamu di tempat yang dikira terbaik demi masa depan kamu....aamiin

Semoga, langkah yang kita ambil hari ini mendapat keberkatan yang berkekalan untuk kamu di masa hadapan. Impian menggunung agar dewasa nanti menjadi insan yang lebih baik di dunia dan di akhirat. Makbulkanlah doa kami Ya Tuhan ku...aamiin

Monday, January 5, 2015

Dilema Awal Tahun...


Aamiin....

Awal tahun pelbagai cerita didengari berkenaan dengan pendidikan awal anak istimewa terutamanya. Ibubapa yang berkemampuan, bolehlah mendaftar si anak ke pusat-pusat pendidikan swasta yang mengkhusus dalam mengendalikan pendidikan anak-anak autisme. Ada juga ibubapa yang memilih untuk memasukkan si anak ke Program Pendidikan Khas di sekolah-sekolah harian kerajaan. Tidak kurang juga ramai yang berteduh di bawah PDK (Program Pemulihan Dalam Komuniti) di kawasan masing-masing.


Penddikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP)

Lebih mencabar bagi ibubapa yang hanya mengetahui kekurangan anak setelah mereka memulakan persekolahan di pusat/sekolah biasa selama beberapa minggu. Biasa berlaku pada anak-anak yang mengalami simptom-simptom yang sangat minima, hingga ibubapa terlepas pandang. Namun ianya akan dapat dikesan oleh guru tadika/sekolah yang berpengalaman mengendalikan pembelajaran awal kanak-kanak. Ibubapa akan dipanggil ke sekolah untuk dimaklumkan berita 'pilu' ini. Terkejut, 'denial' semua ada di peringkat permulaannya. Tidak tahu, buntu untuk memulakan langkah/jalan mana yang harus dituju.


Ada juga yang bernasib baik dan diterima masuk ke pusat/sekolah biasa bersama-sama anak tipikal. Jumlahnya taklah ramai mana, namun bagi anak-anak autisme yang betul-betul 'mild' keadaannya, laluan ini sebenarnya amat membantu si anak untuk belajar memperbaiki diri melalui pergaulan bersama mereka yang tipikal. Namun jumlahnya hanya beberapa kerat sahaja.


Bagi yang berilmu dan mampu, terdapat pula ibubapa yang memberanikan diri untuk 'homeschooling' anak masing-masing. Kena mendisiplinkan diri, kerja kuat demi membantu si anak. Kebiasaannya berlaku apabila si anak tidak dapat menyesuaikan keadaan ketika di pusat/sekolah dan ibubapa pula merasakan mereka mampu untuk memberi didikan terbaik mengikut corak yang dikehendaki.


'Konsep Homeschooling'

Bercerita tentang anak istimewa yang remaja. Masalah nak masuk ke sekolah menengahnya, mahupun kemasukan ke institusi pengajian tinggi. Kerenah birokrasi yang menjengkelkan kadang kala, menyebabkan ibubapa menjeruk hati mengenangkan nasib anak istimewa. Sistem pembelajaran di mainstream berubah pantas dari masa ke masa, namun pendidikan anak istimewa masih di takuk lama. Yang mampu belajar diletakkan bersama anak tipikal dengan harapan si istimewa mampu mengubah diri seiringan dengan yang tipikal.


Bagaimana hati tak resah, terutama bila awal tahun menjelma. Bertabahlah semua, semoga kita dipermudahkan urusan dalam menghadapi ujian ini...aamiin









Saturday, January 3, 2015

Salam Maulidur Rasul...(1436H)




Dia merindui kita, Dia juga mengingati kita hingga ke hujung nyawanya.  Marilah kita sama-sama berselawat kepada Dia, bukan untuk hari ini sahaja ...hingga ke hujung nyawa kita juga....InshaAllah


Kepada Semua Yang Mengaku Umatnya...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...