A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, February 21, 2015

Bagaikan Mimpi.....



Tujuan saya menyertai aktiviti Sahabat Faqeh Terengganu, hanya untuk membiasakan anak saya dengan persekitaran bermasyarakat. Mungkin Syahmi telah boleh mengaji, telah boleh membaca, boleh belajar seperti anak-anak tipikal. Tapi kekurangannya masih ada terutama dalam bersosial.


Semenjak beberapa bulan menghadiri aktiviti mingguan SFT, saya dapat rasakan dia telah boleh menerima keluarga besar SFT dengan pelbagai ragam. Jika di rumah, Syahmi hanya ada ibu, ayah dan abang. Di kampung pula, yang ada hanya sepupu yang telah dewasa dengan Opah dan mak chik-mak chik yang bukan saingannya untuk bermain.


Kelmarin saya berouting dengan sebuah keluarga SFT, berekreasi di Lagoon Kuala Ibai. Jalan-jalan, ambil udara tepi laut yang segar...memang mengasyikkan. Pemandangan cantik, orang tak ramai mana. Meniti beting-beting pasir, diiringi dengan silauan matahari terbit.


Beting pasir hanya kelihatan ketika air surut...

Jalan-jalan sedut udara pagi...

Bertemujanji dengan sebuah keluarga kenalan Autisme Malaysia juga Sahabat Faqeh Terengganu di sana, berbual-bual sambil melayan anak-anak bermain. Syahmi enggan bermain di taman permainan. Alasannya,"Saya dah besar dan tak sesuai lagi untuk menggunakan peralatan yang ada". Mungkin ada kebenarannya, dia telah pun mencapai ketinggian 156cm dengan berat 65kg.


Bersama Ustazah Haniza Hashim n famili yang juga merupakan kenalan
di Autisme Malaysia dan Sahabat Faqeh Terengganu

Semoga ukhwah berkekalan hingga ke jannah

Apabila telah puas bermain, kami pun hendak beredar. Kelihatan dari jauh Syahmi memimpin tangan Faiz (anak sahabat tadi). Sebagai anak bongsu, bukan mudah Syahmi hendak menzahirkan keprihatinan terhadap orang lain selain dari ahli keluarganya yang terdekat. Bagaikan mimpi saya melihatnya.....alhamdulillah


Caring....

Alhamdulillah....


Tuesday, February 10, 2015

Permudahkan Urusan Orang Lain, Permudahkan-Nya Jua Urusan Kita....Aamiin




Hema....

Dari jauh Hema datang....nun dari selatan tanahair, Johor Darul Takzim. Terkejut dengan kesungguhannya untuk bertemu ku. Bukan saudara, bukan kenalan rapat. Hanya melalui muka buka. Dia masih menuntut jauh di Australia. Beliau balik ke Malaysia dua bulan untuk melengkapkan kajian PhD nya yang bertajuk penglibatan ibubapa dalam fb Autisme Malaysia.


Masakan aku dipilihnya? Mengapa aku? Tapi memang tidak dinafikan, status perkongsian tentang anak ku saban hari di fb Autisme Malaysia membuktikan penglibatan aktif ku di sana. Hingga ada pihak yang boring dengan status-status tersebut kerana asyik-asyik post Samsul Muariff Saroni yang muncul di AM.


Pertemuan pertama, namun seperti telah kenal lama. Biasalah, memang aku jenis yang 'banyak mulut'. Beberapa jam bekerjasama memberikan maklumbalas, akhirnya Hema mengundur diri. Sebelah petangnya, kami ke Teluk Ketapang untuk menikmati Ikan Celup Tepung bersama keluarga masing-masing.


Syahmi dan Syamir...boleh ngam walau baru bertemu....
Syahmi melayan tetamu....
Menghormati tetamu merupakan tuntutan agama...

Keesokkan hari, sebelum mengucapkan selamat jalan, kami ke kedai jualan keropok lekor untuk menjadi buah tangan yang akan dibawa baliknya ke Johor. Semoga Hema berjaya memperolehi PhD dan kembali ke Malaysia dengan gelaran Dr Hema Rosheny Mustafa.

Semoga jumpa lagi dik....










Sunday, February 1, 2015

Apakah Yang Dimaksudkan 'Stimming'....





'Stimming' merupakan ringkasan dari perkataan Bahasa Inggeris iaitu 'self-stimulatory behaviour'. Perkataan 'stimming' biasanya disebut dalam persekitaran mereka yang terlibat dengan golongan yang mengalami gangguan autisme, samada ibubapa, adik beradik, guru pendidikan khas, terapist dan pakar-pakar dalam bidang berkenaan.


Antara Pergerakan 'Stimming'

 'Stimming' iaitu pergerakan berulang-ulang yang biasa kita lihat berlaku di kalangan mereka yang mengalami autisme termasuklah mengoyak-ngoyakkan kertas/tisu, berpusing-pusing sambil mendepangkan tangan, menghisap ibu jari, menggoyangkan kepala, 'body rocking', menggigit kuku dan jangan berasa pelik jika mereka juga ada yang akan  mengeluarkan bunyi luar biasa dipanggil 'humming'. Pergerakan ini biasanya terjadi apabila mereka mengalami rasa marah, cemas, teruja mahupun gembira yang teramat sangat.


MENGAPA 'STIMMING'?

Mereka yang mengalami autisme, biasanya mengalami masalah sensory juga. Di kalangan mereka ada yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan bunyi yang melampau/berlebihan, bau yang kuat, mahupun berhadapan dengan perasaan yang terlampau marah, sedih mahupun gembira. Keadaan yang berlaku ini dinamakan 'sensory overload'.

Bagaimana mereka hendak mengatasi 'sensory overload' yang mereka hadapi ialah dengan melakukan pergerakan berulang-ulang/bunyi yang luar biasa ini. Memandangkan golongan ini mengalami masalah pertuturan dan sebahagiannya juga yang non verbal, maka 'stimming' dipercayai sebagai proses stimulasi diri bagi menenangkan mereka dalam menghadapi 'sensory overload' tersebut.


BAGAIMANA MENGATASINYA?

How to stop?

Adalah tidak digalakkan kita untuk menghentikan perlakuan 'stimming' ini selagi ia tidak memudharatkan mereka mahupun orang-orang di persekitaran. Begitulah syor yang dikemukakan oleh pakar-pakar di dalam dan di luar negara. Menghentikannya, akan mengundang kepada perlakuan yang lebih serius seperti mencederakan diri dan sebagainya.

Menerusi sebuah forum 'Talk About Autism', Claire yang mengalami masalah autisme menegaskan bahawa perbuatan menghentikan perlakuan 'stimming' di kalangan mereka seolah-olah mengajar si buta agar tidak menggunakan ke dua belah tangannya untuk merasa objek yang ada dalam sebuah bilik bagi mengetahui kedudukannya hanya kerana kita tidak suka pada perlakuan mereka itu. Menurut katanya lagi " It has a purpose. Stopping it in order to make others feel better seems bizarre to me"- merujuk kepada NEWS OUCH http://www.bbc.com/news/blogs-ouch-22771894


BAGAIMANA MENGAWAL DAN MEMINIMAKAN 'STIMMING' :-


Namun, kita digalakkan untuk cuba mengawal dan meminimakan perlakuan ini dengan beberapa cara seperti yang disyorkan oleh mereka yang berpengalaman :-


1.  Mengalihkan perhatiannya, jika si anak biasanya melakukan pergerakan 'flapping hand'
     urutkan bahagian tangannya perlahan-lahan atau memberi objek yang menjadi minatnya
     agar dapat mengalihkan tumpuannya. Jika si anak suka menutup dan membuka pintu pula,
     cuba mengalihkan 'stimming' mereka seolah-olah kita juga hendak masuk ke ruang yang
     sama menggunakan pintu tersebut dengan cara yang berhemah.
   

2.  Menyediakan zon selesa. Diajar sebagaimana kita melatih mereka untuk ke tandas.
     Membiasakan mereka supaya perlakuan 'stimming' hanya di zon yang selesa seperti di
     bilik tidur yang jauh dari pandangan mata pihak lain.


3.  Visualkan perlakuan 'stimming' tersebut supaya dapat dilihat kembali kejadian tersebut
     kerana biasanya ia berlaku tanpa mereka sedari.  Jika mereka tergolong dalam autisme
     yang boleh  bercakap dan dapat memahami, maka usahakan agar mereka memahami
     bahawa perlakuan tersebut tidak elok dilakukan dengan komunikasi secara lembut dan
     tenang, bukan memarahi atau menakut-nakutkan mereka.

     Boleh juga gunakan puppet sebagai medium untuk memperlihatkan 'stimming' seperti
     'flapping hand'. Cubalah agar mereka mengambil perhatian terhadap pergerakan
     'flapping hand' si puppet dan hentikan pergerakan tersebut sambil bertanyakan si puppet
     Are you scared?  Mad?.


4.  Jangan lupa tingkatkan skill motor si anak juga kemahiran pertuturan mereka kerana
     dikatakan 'stimming' berlaku di kalangan anak-anak yang mempuyai masalah- masalah
     ini. Terdapat kes yang dilaporkan, 'stimming' si anak dapat diminimumkan apabila
     skill motor dan kemahiran pertuturan dipertingkatkan. Oleh itu, Terapist Carakerja,
     Terapist Pertuturan, Pakar Psychiatrist merupakan pihak yang harus menggembeling
     tenaga dalam membantu autisme yang mengalami masalah 'stimming'.
         

ADAKAH 'STIMMING' BERLAKU HANYA DI KALANGAN AUTISME SAHAJA?

Tidak, manusia biasa juga menghasilkan perlakuan 'stimming' ini. Cuma ianya tidak begitu ketara dan tidak kelihatan pelik dari kebiasaan. Contohnya perlakuan menggoyang-goyangkan kaki, memintal rambut dengan jari, menggigit kuku dan sebagainya.


Menggigt kuku.....

Inilah antara perlakuan yang juga dinamakan 'stimming'. Menurut kata mereka yang berkepandaian, perbezaan 'stimming' di kalangan yang tipikal dengan yang autisme ialah apabila perlakuan 'stimming' tersebut boleh mengakibatkan terhalangnya proses pembelajaran serta terjejasnya fungsi kehidupan individu maka ia tergolonglah dalam simptom-simptom autisme.


Semoga post yang ini dapat membantu masyarakat dalam meningkatkan kesedaran terhadap autisme. Masyarakat bisa mencela, memandang dengan jelek perlakuan mereka apabila berada di khalayak terutamanya. Namun, kefahaman semua sangat didambakan agar dapat meleraikan segala salah anggap ini...InsyaAllah









LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...