A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, October 24, 2015

Lupa Sekejap...



Dia asyik dengan gadgetnya. Ke sana ke mari berkepit dengan gadgetnya. Berbuih mulut ibu untuk menyedarkan keburukan obsessnya yang itu. Tapi kali ini ibu berjaya meletakkan obsessnya ke tepi buat seketika. Bagaimana caranya?


Kawasan Rekreasi di Taman Tamadun Islam....

Ke Pulau Wan Man kami pagi Jumaat yang lalu. Pulau Wan Man terletaknya Masjid Kristal, Taman Monumen dan taman rekreasi bagi yang ingin mengeluarkan peluh. Pertama kali kami ke sana menyewa 4 Riding Bicycle dengan harga RM31.80 untuk setengah jam.


Awas! brek di tangan...hihihi

30 minit masa diperuntukkan, kita boleh berbasikal mengelilingi tasik di Pulau Wan Man sebanyak 3 kali mengikut kelajuan biasa (bukan perlumbaan). Pada mulanya saya ingatkan ia perkara mudah. Rupa-rupanya, berpeluh ketiak, peha semua anggota badan dibakar lelemaknya bila mengayuh basikal berkuasa 4 kayuhan orang dewasa ini. Mungkin bagi mereka yang cukup stamina, biasa bersenam, tidak menjadi masalah besar agaknya.


Giliran Syahmi menjadi driver.....

Sukanya dia hingga tak terkata, terutama apabila pemandu bertukar ganti. Kepercayaan yang diberi padanya untuk mengawal steering dan menggunakan brek tangan nampaknya tidak disia-siakan. Namun, sesekali tersentap kami dengan brek mengejutnya apabila dilihatnya kenderaan di hadapan...hihihi.

Seronok memang seronok, datanglah ke sini bagi sesiapa yang berminat untuk mencuba sesuatu kelainan. Santai bersama keluarga, sambil membentuk keyakinan diri anak-anak untuk mencuba sesuatu yang baru.

Teringat saya apabila si anak mencelah semasa kami bersembang-sembang sepanjang perjalanan 30 minit itu. Katanya "Saya nak cuba bawak basikal ni, nanti dah besar saya boleh juga ambil lesen memandu". Alhamdulillah, si anak berjaya melupakan gadgetnya seketika dengan syarat digantikan dengan aktiviti lain yang menarik minatnya.

Jom kita ke sini lagi di lain masa.....





Wednesday, October 21, 2015

Kaedah 'Rawatan' Untuk Autisme....



Bagaimana merawatnya?


Tiada ubat? Kecewa ibubapanya apabila mengetahui bahawa autisme itu dikatakan tiada penawarnya. Tiada kajian yang benar-benar membuktikan autisme boleh dipulihkan sepenuhnya melalui ubat-ubatan. Tiada jalan singkat, namun kombinasi kaedah tertentu amat disyorkan bagi membantu meminimakan permasalahan mereka.


Kombinasi 'rawatan' yang dimaksudkan termasuklah :


A. PENDIDIKAN KHAS

Bermakna anak yang mengalami masalah ini tidak boleh menerima pembelajaran sebagaimana kebanyakan kanak-kanak lain. Masalah yang dihadapai oleh golongan ini dapat dikesan di awal usia lagi sementara dalam kes-kes tertentu pula, hanya boleh dikesan ketika si anak memasuki usia persekolahan. Mereka sebaiknya dimasukkan ke aliran Pendidikan Khas dimana guru-guru terlatih mengendalikan anak-anak istimewa ditempatkan.

Masalah pembelajaran dikenalpasti apabila seseorang individu :

                       - Sukar menyatakan kehendak dan memahami apa yang
                         diperkatakan oleh orang lain.
                       - Masalah membaca, menulis dan mengira atau memahami arahan.
                       - Sukar berkawan
                       - Tidak dapat mengurus diri
                       - Tingkah laku tidak terkawal semasa di sekolah


B. MODIFIKASI TINGKAHLAKU

Seperti yang diketahui, individu autisme mengalami masalah tingkahlaku, umpamanya sukar menunggu giliran, cenderung untuk mencederakan diri sendiri , mengamuk dan lain-lain lagi. Sebagai ibubapa, tingkahlaku anak-anak ini perlu diperbetulkan dari awal supaya tidak berkekalan hingga mereka dewasa.

Melalui Modifikasi Tingkahlaku, beberapa method yang digunapakai oleh pakar dalam mengatasi masalah ini umpamanya seperti Terapi ABA, Count and Mand dan sebagainya. Teknik-teknik ini diperkenalkan bagi menerapkan tingkahlaku positif di kalangan anak-anak istimewa .


C. TERAPI PERTUTURAN DAN  TERAPI CARA KERJA

Mereka dalam pelbagai versi, ada yang non verbal dan ada pula yang verbal. Didapati anak-anak yang non verbal lebih mudah tantrum jika dibandingkan dengan yang verbal. Ibubapa seharusnya membawa anak masing-masing ke bahagian Terapi Pertuturan di hospital bagi mendapatkan khidmat nasihat juga terapi yang berkesan dalam merangsang pertuturan anak-anak.

Manakala, Terapi Cara Kerja pula lebih kepada membantu mereka menguasai kemahiran motor halus dengan lebih baik seperti menulis, menggunting dan sebagainya. Objektif  terapi cara kerja adalah untuk membantu anak-anak bermasalah ini supaya dapat berdikari dalam kehidupan sehariannya.


D. SOCIAL SKILL TRAINING

Seseorang yang mengalami masalah sosial skill seperti individu autisme, memerlukan pendedahan supaya mereka boleh mengatasi kekurangan mereka ketika berhadapan dengan masyarakat. Contohnya masalah 'eye contact', kesukaran mentafsir emosi dan sebagainya.

Namun dikatakan tiada pengkhususan pengajian setakat ini yang melayakkan seseorang disahkan sebagai terapist dalam bidang Kemahiran Sosial. Kita hanya boleh mendapatkan khidmat nasihat dari mereka yang telah biasa mengendalikan kes-kes autisme seperti Terapist Pertuturan, Terapist Cara Kerja juga Pakar Psychologist.


E. UBAT-UBATAN

Menurut kajiannya, tiada ubat yang specifik dapat membantu menyembuhkan autisme. Namun ubat-ubatan yang dimaksudkan ini merupakan ubat yang mendapat kelulusan doktor bagi menangani masalah bersama yang wujud pada individu autisme seperti epilepsi, anxiety dan sebagainya.


Tidak salah untuk kita berikhtiar. Namun sebagai umat Islam, kita harus percaya kepada kekuatan doa sebagai senjata utama orang mukmin. Yakinlah Allah mendengar rintihan hamba-Nya. Sesungguhnya Maha Suci Allah berkuasa atas segalanya....

Sunday, October 18, 2015

Tolonggggg!




Dulu kira-kira 35 tahun yang lepas, saya hanya bertemu dengan terma-terma yang begini ketika saya di Tingkatan 4 (maaf kalau saya tersilap). Budak-budak era millenium kini, Tingkatan 1 telah mula diperkenalkan dengan ALGEBRA. Pembolehubah yang diwakili oleh simbol huruf-huruf, biasanya a,b,c,x,y,z dan sebagainya.





ALGEBRA diasaskan oleh tokoh Islam ternama Al-Khwarizmi yang kini istilahnya terus digunapakai oleh seantero dunia. Perkataan ALGEBRA itu sendiri berasal dari perkataan Arab, al-Jabr yang bermaksud penyempurnaan. Terbukti Islam mampu melahirkan cerdik pandai dalam bidang Matematik.


Muhammad Ibn Musa Al-Khwarizmi
(1780-1850)

Kalau Peratusan, Perpuluhan, Pecahan, Poligon,  Syahmi masih boleh follow dengan mudah. Tapi bila masuk ALGEBRA sedikit kompius nampaknya. Masalah keturunan tu, sebab saya pun pernah lalui pengalaman yang sama.

Dulu-dulu, mak ayah tidak kisah tentang pembelajaran anak-anak. Jadi, mak ayah kebanyakannya tidak tahu menahu tentang masalah yang dihadapi oleh anak mereka dalam pembelajaran, malahan anak-anak sendiri yang perlu  berinisiatif untuk mencari penyelesaian seperti bertanya kawan. Kelas tuition tidak begitu popular dulu, hanya anak-anak orang berada sahaja yang mampu untuk menyertainya. Namun tidak dinafikan 'produk' zaman dulu lebih berkualiti kerana kejayaan dicapai atas usaha sendiri. Tidak perlu 'disuap' seperti kebanyakan pelajar generasi kini.

InshaAllah....pelan-pelan kayuh Syahmi. Kita mulakan dari basic dulu, ibu juga boleh menajamkan minda yang kelihatannya kian mengarat. Maklumlah, usia dah hampir ke separuh abad. Sebelum hari peperiksaan, akan ibu pastikan ALGEBRA telah berada 'dalam tangan' Syahmi dan 'dalam tangan' ibu juga.

Walau kamu bukannya Al-Khawarizmi, tapi ibu percaya Syahmi juga mampu dengan usaha dan keizinan-Nya...aamiin


Mudah kan???



Saturday, October 17, 2015

Besar Cabarannya....


14 days to go....Syahmi akan menghadapi exam akhir tahun. Kena banyak kerja ni. 14 hari nak cover semua subjek. Huhuhu...menangis tak berlagu dibuatnya. Saya terpaksa melakukan usaha tarikkk...lepas, tarikkk...lepas (umpama main layang-layang). Maksudnya panggil dia buat latihan....kemudian lepaskan semula dengan minat dia menghadap gadgetnya. Nak fokus pada pelajaran 100%...tak munasabah rasanya.

Saya tak  risau dengan subjek Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan lain-lainnya. Saya risau amat dengan pretasinya dalam subjek Kemahiran Hidup Bersepadu. Dari peringkat rendah lagi, subjek ini masalah besar baginya. Terutama latihan amali. Mengetuk paku, memotong kayu, menggunakan alatan di bengkel yang pelbagai dan ada yang menghasilkan bunyi yang menggerunkannya.


Gergaji Jig alat pemotong kayu yang mengeluarkan bunyi
yang kuat....tentunya Syahmi tak boleh tahan....
Aktiviti yang menjadi masalah besar Syahmi.....
perlu dibimbing lagi

Topik yang ini lagi memeningkan kepala si anak, Jahitan....huhuhu


Banyak agenda yang tidak kurang pentingnya terpaksa dilupakan buat sementara waktu. Anak lebih penting dan memerlukan kita sebagai pendampingnya. Termasuklah memahamkan dia dengan topik-topik pembelajaran yang masih belum dikuasainya. Jangan lupa,  sebagai 'pententeram'nya juga.

Kekadang sebagai ibubapa, saya sering memikir bagaimana anak autisme hendak menyesuaikan dirinya dalam kelas biasa. Sedangkan guru-gurunya hanya guru biasa yang tidak arif tentang keperluan anak istimewa. Nak diluahkan, takut dikatakan kita ibubapa yang banyak kerenah. Pada siapa hendak kita suarakan....cakap salah, tak cakap pun salah. Itulah dilema anak istimewa bila digandingkan dengan yang tipikal. Ramai yang menganggap anak istimewa ini telah 'cure' sepenuhnya bila ditempatkan di aliran perdana. No no no no no....jika benar-benar sembuh, apa perlunya si anak memegang kad OKU?

Selagi terdaya, saya akan cuba bantu anak saya sebaik mungkin. Jangan pandang pada anak-anak tipikal yang cemerlang prestasinya (jeling sikit-sikit dibolehkan supaya anak kita tidak terlalu ketinggalan). Pandang pada anak-anak istimewa lain yang jauh lebih sukar membimbingnya. Baru hati rasa tenteram, legaaaaaa.....Selamat Berjuang Ibu.....wish untuk diri sendiri.




Wednesday, October 14, 2015

Maal Hijrah (1437H)



Selamat menyambut tahun baru mengikut kalendar Islam. Muharram kembali menjelma. Sebenarnya, ibu Syahmi memang dilahirkan pada 1 Muharram mengikut kata Opah. Maknanya Selamat Hari Lahir juga untuk ibu.

Mari kita semua berhijrah kepada yang lebih baik. Muhasabah diri, di mana kedudukan kita di sisi-Nya. Adakah lebih baik dari tahun lalu? Semoga kita semua diberikan taufik dan hidayah untuk memperbaiki diri masing-masing sementara nyawa dikandung badan.

Maafkan saya jika terkasar bahasa dalam menyampaikan sesuatu di maya ini. Kekadang dengan sebaris ayat sahaja mampu untuk mengguriskan hati pihak-pihak yang membacanya walau kita tidak bermaksud demikian. Segalanya adalah kekhilafan diri yang tidak disengajakan.

Selamat menyambut tahun baru 1437H.....





Wednesday, October 7, 2015

Autism : They Are Different....Not Less





Friday, October 2, 2015

Bukan Lawyer....Bukan Doktor....



Bukan Lawyer....Bukan Doktor

Bukan Lawyer...Bukan Doktor. Matlamat kami, hanya mahukan si anak hidup berdikari manakala kecemerlangan akademik merupakan perkara ke 2. Tidak bermakna menggenggam 'A' kalau hidup masih bergantung pada orang lain sepenuhnya. 'A' hanyalah sebagai bonus dalam memperkatakan tentang pencapaian anak istimewa autisme.

Awal-awal lagi kami berjuang untuk membebaskan anak istimewa kami dari diapersnya. Walau agak lewat dari anak tipikal, namun kami tetap berusaha supaya anak kami sama seperti anak tipikal yang lain. Kenapa? Untuk menjadikan si anak berdikari supaya dapat menguruskan dirinya. Supaya mereka  sama seperti anak tipikal yang lain.


Keupayaan Sendiri....

Bukan mudah mereka hendak berdikari jika masyarakat tidak memberi kerjasama. Meminggirkan mereka bukan jalan penyelesaian yang terbaik. Ia memberi kesan jangka panjang dimana anak istimewa kami tidak dapat mengembangkan potensi dirinya yang sebenar. Maka berterusanlah mereka dalam dunianya yang tersendiri.

Kami memikirkan masa depannya. Jika ibubapa masih ada, InshaAllah nasib mereka lebih terbela.   Tapi apabila kami telah tiada, pada siapa lagi mereka hendak bergantung? Bolehkah diharap kepada adik beradiknya?

Seharusnya mereka diberi peluang berada dalam masyarakat yang prihatin terhadap nasib golongan ini. Berikan mereka ruang dan peluang, mereka perlu diberi tunjuk ajar. Mulakan dari usia kanak-kanak mereka lagi kerana ia dapat membentuk keupayaan mereka yang sebenar.....InshaAllah





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...