A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Wednesday, July 27, 2016

Tetamu Istana



Pengakap Raja merupakan anugerah tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia. Pada 25hb Julai 2016 bersamaan hari Isnin, di Istana Syarqiyyah, Bukit Chendering, Kuala Terengganu,  Muhammad Syawal Aiman berusia 20 tahun (abang kepada Syahmi), telah menjadi penerima anugerah Pengakap Raja bersama sebilangan rakan sepasukan yang turut menerima anugerah serupa.

Tahniah Aiman, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Perancangan lancar setakat ini untuk melakar kecemerlangan dalam kehidupan. Semoga lebih bersinar di masa akan datang. InshaAllah.....



Tuesday, July 19, 2016

Majlis Pemuafakatan Pelajar Tingkatan 2 SMK (A) Sheikh Abdul Malek



Melangkah kaki masuk ke kawasan sekolah pada hari ini dengan seribu debaran. Orang lain mungkin boleh senyum lebar dengan keupayaan si anak dalam pembelajarannya di sekolah. Sedangkan kita ibubapa pada anak istimewa, faham sangat tentang keperluan si anak yang sedikit berbeza dengan anak-anak tipikal yang lain. Kekurangan golongan ini menyebabkan si anak istimewa terpaksa bekerja keras dalam menyaingi mereka. Begitulah perasaan ibubapa anak istimewa apabila si anak berada dalam kelas inklusif.

Bercakap dari hati ke hati, segala perkembangan si anak terutama behaviornya di sekolah. Maklumbalas guru kelas tentang tingkahlaku dan prestasi pembelajarannya.

" Ustazah, saya datang ke sini hanya untuk mengetahui perkembangan Syahmi dalam menyesuaikan tingkahlaku ketika berhadapan masyarakat sekolah. Saya mahukan dia tahu menghormati gurunya, hak rakan-rakan sekeliling, dan bijak mengendalikan diri dalam situasi tertentu. Saya tidak mengejar A, dalam subjek pembelajarannya. Dapat bersekolah seperti orang lain juga, telah dikira membanggakan. Di luar sana, berapa ramai anak-anak yang senasib dengannya tidak dapat bersekolah."

Seperti biasa, airmata ibu bergenang walau berkali-kali berjanji pada diri sendiri tidak akan menangis lagi bila berdepan dengan pihak lain apabila berbincang tentang hal anak istimewa kami. Tidak sekering mana hati si ibu apabila membicarakan tentang anaknya.

Guru Tingkatan  2 Al Tirmizi, Ustazah Saiedah binti Embong
bersama pelajarnya. Syahmi (kanan sekali)

Maklumbalas Ustazah Saiedah, Guru Tingkatan 2 Al Tirmizi terhadap perkembangan Syahmi amat melegakan hati. "Saya masih belajar puan untuk menjadi pendidik yang memahaminya semasa di sekolah. Tuan Pengetua juga telah mengambil langkah awal, memperingatkan kepada seluruh guru-guru Tingkatan 1- Tingkatan 3 tentang kehadiran anak istimewa autisme dalam sekolah kita. Nota yang puan beri hari tu, menjadi panduan kami semua." (Nota yang dimaksudkan, surat panjang lebar dari ibu buat pihak sekolah yang mencatatkan tentang kekurangan/kelainan yang ada pada si anak autisme bernama Syahmi). "Kami akan cuba sebaik mungkin membantu anak puan. Kedudukan Syahmi di dalam kelas 8/29, sementara keseluruhan pelajar 73/227. Berkelakuan baik. Prestasi pembelajarannya sederhana.

Apa lagi yang harus diucapkan selain dari kata syukur kepada-Nya. Alhamdulillah, semoga perjalanan kamu sentiasa dirahmati-Nya wahai anak ku Syahmi. Walau bukan yang terbaik, pencapaian ini sudah cukup membanggakan ibu dan ayah. Kita cuba pertingkatkan lagi subjek-subjek yang lemah di masa akan datang, InshaAllah....

Keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 2, 2016

Mampu tersenyum bersama rakan-rakannya, ibulah yang
paling gembira







Tuesday, July 12, 2016

Dwi Sambutan...Hariraya Dan Kenduri Kahwin



Ramai-ramai berkumpul di kampung untuk menyambut hariraya. Penat hingga terjelepok rasanya. Menyambut tetamu, kunjung mengunjung sanak saudara, tak kering tangan bagi mereka yang menyediakan makanan di dapur.

Bilik air berebut, seterika pun berebut, semuanya lumrah bila adik beradik berkumpul di kampung menjelang hari raya. Penat mengharungi suasana begini namun tetap menggembirakan hati, membuahkan kerinduan hingga kini terhadap sanak saudara.

Hariraya Pertama - Sekeluarga beraya di Kuala Kangsar

Hariraya Pertama - Kuala Kangsar tetap di hati

Hariraya Pertama - 'Bodyguard'

Hariraya Kedua - Bertolak ke Ipoh untuk bertemu saudara mara
 di sana
Hariraya Kedua - Menziarah jiran tetangga dulu yang telah
lama ditinggalkan

Hariraya Kedua - Menziarah kubur Tok dan Embah di Perkuburan
Islam Gurap, Ipoh

Hariraya Kedua - Syahmi berpeluang mengetuai bacaan yasin dan doa
buat Embah di sana

Hariraya Kedua - Menziarah teman sepermainan si ayah zaman kanak-kanaknya.
 Am, insan istimewa yang kini telah menjangkau usia 43 tahun

Hariraya ketiga, kami mula sibuk membantu kakak yang akan mengadakan majlis kenduri kahwin puterinya, Nur Syafiqa Husna. Besar-besaran majlis nampaknya. kanopi didirikan bagaikan cendawan memutih. Dari jauh kelihatannya warna ceria menyambut menantu baru dalam keluarga ini. Hariraya keempat dipilih untuk diadakan acara gilang gemilang ini.


Hariraya Ketiga - Persediaan kenduri kahwin keesokkannya

Hariraya Ketiga - Semtuhan terakhir  sebelum  menjelang hari
yang dinantikan 

Hariraya Ketiga - Sebelah petang diadakan majlis akad nikah

Hari yang ditunggu-tunggu tiba jua akhirnya, berlangsung majlis perkahwinan puteri tunggal kakak, Nur Syafiqa Husna dengan Kushairi. Majlis dikunjungi tetamu dari jauh dan dekat, mengimbas kembali wajah-wajah lalu yang pernah mewarnai kehidupan ku. Ada yang telah tidak ku kenali, ada juga tersenyum kepuasan dengan pencapaian yang dikecapi manakala ada yang berwajah suram menanggung penyakit yang dihidapi. Maklumlah usia kami telah menjangkau separuh abad.

Sang Puteri disatukan dengan pasangannya, maka bertambahlah seorang lagi ahli keluarga besar kami. Semoga jodoh pasangan Syafiqa dan Khusairi kekal hingga ke jannah. Layari bahtera sesabar mungkin. Tiada kehidupan yang tidak diuji oleh-Nya. Susah senang ditempuhi bersama.


Hariraya Keempat - Selamat Pengantin Baru buat Syafiqa Husna
 dan Kushairi

Hariraya Keempat - Kami Keluarga Besar Tok Yan berkumpul kali ini untuk
 dwi sambutan Hariraya dan Kenduri Kahwin

Hariraya Keempat - Nampaknya Syahmi pun tidak mahu
ketinggalan...hihihi

Jumpa lagi dilain masa wahai adik beradik 'Keluarga Besar Tok Yan'. Empat hari berkampung beramai-ramai memang menggembirakan walau kadang kala penat dan letih dipanggang cuaca panas terik. Entah bila lagi dapat berkumpul begini. Berjaga hingga ke lewat pagi, bersembang-sembang sambil minum kopi. Sama-sama berjemaah dalam majlis tahlil.

Semoga kita semua dipanjangkan umur, sihat sejahtera selalu dengan rezeki yang melimpah-ruah. Dapat bertemu kembali, dalam suasana yang ceria begini. Jangan dilupakan kepada mereka yang telah mendahului kita. Al fatihah.....

Sunday, July 3, 2016

Raya Makin Dekat...



Opah di kampung

Bila raya kian menjelma, inilah seruan yang sentiasa mengiang-ngiang telinga anak-anak, cucu cicit supaya balik ke kampung. Seorang  nenek tua yang lebih mesra dipanggil Opah. Setelah Tok meninggal 3 tahun lalu, Opah bersendirian melalui hari-hari tuanya di kampung.

InshaAllah, kami semua akan balik nanti. Jangan risau Opah. Walau tiada lagi upayanya untuk menyediakan hidangan lemang dan rendang, kami tetap gembira Opah masih mampu senyum menyambut anak-anak, cucu dan cicit balik ke kampung.

Inilah masanya giliran kami anak-anak pula menyediakan segala keperluan, makan minum dan sebagainya bagi memeriahkan suasana hariraya.

Semoga Opah diberi kesihatan yang baik, tunggulah kepulangan kami di  malam raya nanti. Sayang Opah....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...