A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Wednesday, August 31, 2016

31 Ogos Kembali..



Hari Kemerdekaan negara kembali lagi. Kalau dulu, kami sekeluarga bercuti berempat ke mana-mana. Kini si abang telah tiada bersama. 'Merdeka'lah kamu melayari hidup sendirian di rantau orang tanpa sokongan keluarga.

Rasa sunyi menguasai kami seisi rumah, bagaikan tempang sebelah kaki untuk menapak. Rasa kehilangan yang amat sangat. Ibu terbiasa dengan anak-anak yang sentiasa di sisi. Bila seorang pergi, rasa sedih dan kesunyian melanda.


Dulu berempat, kini tinggal bertiga....

Ibu mu percaya, kamu boleh melalui hari-hari bergelar siswa di sana. Cuma ibu yang menjadi pungguk rindukan bulan. Biarlah masa mengajar ibu mu menyesuaikan diri dengan kehidupan yang semakin sepi dari anak-anak.

Selamat menyambut hari kemerdekaan negara buat semua. Sayangi keluarga, sayangi semua yang ada di sekeliling kita sementara masih diberi peluang bernafas oleh-Nya. Cari titik persamaan, raikan perbezaan. Pasti negara kita akan aman,  damai dan bertambah kuat melalui pancaroba yang mendatang.

Merdeka, Merdeka, Merdeka....


"Dalam melihat bintang-bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi"
-Muhammad Syawal Aiman-

Wednesday, August 10, 2016

Terbanglah Kamu Tinggi-Tinggi....



Kira-kira19 tahun dulu....Syawal Aiman dan Ibu

Membicarakan tentang Syahmi merupakan perkara biasa di sini. Bukan disebabkan dia anak bongsu yang lebih dimanjakan, tapi kerana Syahmi seorang anak istimewa yang perlukan perhatian istimewa juga jika dibandingkan dengan Si abang.

Namun Si abang tidak pernah dilepaskan dari pandangan mata kami. Ke mana-mana jua masih dalam perhatian. Tidak sewenang-wenangnya keluar rumah sesuka hati. Masih sentiasa diawasi. Sesekali si abang merungut kerana dia tidak sebebas kawan-kawannya.

Tahun ini, genap 20 tahun usia Si abang. Telah menamatkan alam persekolahan hingga ke Tingkatan 6. Walaupun dilahirkan di Taiping, Perak, pendidikannya dimulakan dan diakhiri dengan alam persekolahan di Terengganu.

Namun seramai mana pun anak-anak yang kita ada, tidak menjanjikan mereka akan berada di bawak 'ketiak' ibubapanya sampai bila-bila. Seorang demi seorang akan pergi melangkahkan kaki mencari kehidupan masing-masing.

Si abang akan melanjutkan pelajarannya keluar dari daerah kami akhirnya. Mendapat tempat untuk menyambung pengajian  di UPSI, Tanjung Malim, Perak (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) Dengan Kepujian). Alhamdulillah, akhirnya apa yang dicita-cita berada dalam genggaman. Kursus ini  merupakan  pilihan pertama permohonan UPUnya dulu.

Maka bermula 29hb Ogos nanti, jadi orang Tanjung Malim pulak nampaknya Si abang. Tinggallah Syahmi di sini bersama ibu dan ayah. Sunyi kehidupannya tanpa Si abang,  tiada lagi teman 'bergaduh', bermanja dan sebagainya.

Kehidupan perlu diteruskan, bertabah dan bersangka baik terhadap apa yang telah diaturkan-Nya. Dia lebih mengetahui atas segala. Sesungguhnya penghijrahan itu merupakan tuntutan agama.

Semoga Abang Syawal Aiman berjaya mengharungi kehidupan di tempat orang nanti. Kenapa ibu hari-hari berleter dengan kesilapan kamu Syawal Aiman? Kerana inilah bekalan untuk kamu jadikan ingatan bila ibu dan ayah tiada lagi di sisi. Jadikan leteran itu, sebagai lampu kuning sebelum melakukan sesuatu yang tidak baik. InshaAllah, ibu doakan kamu sentiasa berada dalam keberkatan dan kerahmatan-Nya selalu..aamiin.


Suatu ketika, Syawal Aiman dengan Syahmi Asyraff

  

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...