اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, April 14, 2017

Beautiful Mind...






'Beautiful mind'? Bukan semestinya bijak umpama Albert Einstein. Tidak ramai mana diantara mereka yang autisme terdiri dari bijak pandai apatah lagi genius. Cuma persamaan yang nyata, mereka mempunyai kelebihan dari segi keikhlasan, keluhuran, tidak pandai menipu, segalanya benar belaka, tiada agenda yang tersembunyi.

Kelmarin seseorang menyampaikan cerita tentang Syahmi di sekolah. Kata PK HEM sekolah, baru-baru ini Syahmi berjumpa dengannya. Syahmi bertanya tentang persaraan Tuan Pengetua nanti. Syahmi cadangkan pihak sekolah menyewa Bas Kite untuk membawa beliau ke rumah di hari terakhir persaraannya bulan Mei nanti. Kita hiaslah bas tu cantik-cantik cikgu, kemudian kita pakat naik bas yang berhias cantik bersama-sama mengiringi Tuan Pengetua balik ke rumahnya.


Bas Kite yang dimaksudkan Syahmi, merupakan
bas bandar yang selesa beraircond, berukir cantik di Kuala Terengganu

Bagaimana rasanya? Terkesima Tuan PK HEM dengan cadangan Syahmi apatah lagi keberanian satu-satunya pelajar istimewa autisme di sekolah untuk berjumpa dengannya bersama cadangan yang orang lain tidak pernah terlintas di kepala.

Adoiiii.....beraninya kamu anak ku. Kamu tidak pernah berprasangka buruk pada orang lain. Bagi kamu, semua orang sama. PK HEM, cikgu-cikgu adalah tempat kamu meluahkan rasa. Pelajar lain tidak akan seberani kamu untuk berjumpa dengan PK HEM hanya kerana hendak memberikan pendapat sebagaimana kamu. Kamu tidak kisah pun sama ada pentadbir sekolah mahu mendengar atau tidak akan cadangan kamu. Yang penting, kamu ingin menyampaikan hasrat kamu.

Ibu dan ayah tahu, kamu sangat menghormati dan menyayangi Tuan Pengetua sekolah. Kamu biasa berbual-bual dengannya bila berpeluang. Begitu juga dengan pentadbir sekolah yang lain termasuk PK KOKO, PK HEM. Cuma ibu dan ayah bimbang sebab approach kamu sebegini tidak dapat diterima oleh semua orang. Hanya mereka yang berpemikiran seperti kamu sahaja yang berupaya untuk melakukannya. 'Beautiful mind'.....semuanya yang positif, berfikir perkara yang baik-baik sahaja. Berfikir menjangkaui pemikiran biasa.

Hakikatnya dunia tak begitu Syahmi. Makin maju dunia, makin banyak perkara yang negatif menjadi ikutan. Nak buat baik susah, nak buat jahat ramai yang membantu. Perkara baik susah diterima, perkara jahat ramai yang bertepuk tangan. Ibu dan ayah bukan bermaksud menggalakkan kamu kepada perkara yang negatif. Tapi kamu kena berupaya melihat sesuatu itu di sudut yang negatif juga supaya kita lebih beringat-ingat dalam setiap tindakan.

Semoga makin bertambah usia kamu nanti, bertambah bijak membuat pertimbangan. Selamatkanlah anak kami dari pandangan keji dan hinaan masyarakat. Kau pimpinlah dia ke jalan yang Kau redhai...aamiin










0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...