Jauh berjalan minggu lepas. Tidak dijangka pun, semuanya perancangan last minute. Cuti 3 hari, Jumaat, Sabtu dan Ahad termasuk cuti Awal Muharram. Duduk di rumah pun rasa boring, jadi angkat beg pakaian terus start injin kereta...vroom, vroommmmm
|
Jom Kita.... |
Destinasi kami tentunya ke Tanjung Malim menziarah anak bujang di sana. Tak lengkap rasanya kalau berjalan-jalan tanpa anak bujang yang itu. Kami memilih perjalanan melalui Tasik Kenyir, kemudian ke Gua Musang dan Cameron Highlands, turun ke Simpang Pulai, Perak menuju Highway PLUS ke selatan menuju Tanjung Malim.
Memulakan perjalanan kira-kira 12.30pm, hari Jumaat dari Kuala Terengganu. Sepanjang pemanduan ke Tasik Kenyir dan seterusnya ke Cameron Highlands sangat lancar dan tenang kerana tidak banyak kenderaan menggunakan laluan ini. Pemandangan di kiri kanan jalan menarik, dengan hutan semulajadinya. Sesekali kelihatan kawanan monyet bermain-main berlari ke sana ke mari di tepi jalanraya. Ada juga yang terkorban di atas jalanraya kerana dilanggar kenderaan yang lalu lalang.
|
Menghampiri Bandar Gua Musang |
|
Singgah sebentar di Masjid Long Tan, Cameron Highlands |
|
Caption terbaik semasa di Cameron Highlands |
Kami sampai di Cameron Highlands selepas waktu Asar. Berhenti sebentar untuk solat jamak qasar di Masjid Long Tan. Kemudian meneruskan perjalanan ke Simpang Pulai, dan naik ke Highway PLUS arah selatan. Makan malam di RnR Tapah lebih kurang sejam. Perjalanan diteruskan, hati berbunga-bunga kerana semakin hampir dengan UPSI, Proton City, dimana Si Abang belajar.
Jam 9.30pm kami selamat sampai di Kolej Zaaba, UPSI. Anak bujang telah sedia menunggu di pintu masuk. Kami makan malam di kafe kolej kediamannya, kemudian ke bandar Tanjung Malim untuk mendapatkan penginapan.
|
Kira-kira 9.30pm, kami sampai di UPSI, Proton City |
Perancangannya, keesokkan hari kami ke Kuala Lumpur dengan komuter dari Tanjung Malim. Jadi, malam tu kami berempat tidur lena disebabkan keletihan dilambung perjalanan yang jauh beratus batu (lebih 500km). Penginapan di daerah ini agak mahal, sedangkan kemudahan yang disediakan ala-ala hotel budget. Berbezalah jika dibandingkan dengan hotel-hotel di Kuala Terengganu yang selesa dengan scenary yang cantik. Nak buat macam mana kan?
Esoknya, kami ke Stesen Keretapi Tanjung Malim untuk menaiki komuter ke Kuala Lumpur. Tambang lebih kurang RM10, perjalanan memakan masa 2 jam untuk sampai ke KL Central. Berbaloi-baloi rasanya kerana perkhidmatan terbaik, selesa dan bersih. Tentu Syahmi suka dengan pengalaman ini kerana dia memang dahaga dengan aktiviti seumpamanya.
|
Memulakan perjalanan dari Stesen Keretapi Tanjung Malim |
|
Penuh sesak dengan manusia..... |
KLCC destinasi yang dituju, bertukar dari stesen komuter ke stesen LRT. Kecanggihan pengangkutan masa kini memungkinkan kami sampai ke sana hanya lebih kurang 20 minit. Beberapa ketika di KLCC, melihat keterujaan Syahmi dengan mercu tanda tersebut.
|
Anak beranak di KLCC... |
|
Keterujaan.... |
Planetarium merupakan lokasi yang diidam-idamkan untuk meneroka ilmu sains kegemarannya. Bagi pemegang kad OKU, tidak dikenakan sebarang bayaran masuk. Sejam lebih Syahmi di sana, namun masa tidak mencukupi untuk menghabiskan semua bahan yang dipamerkan. Syahmi buat muka frust, namun setelah dipujuk-pujuk dia memberi syarat, lain kali kita kena ke sini lagi..hihihi
|
Excited! |
|
Lain kali kita ke mari lagi... |
Walau hanya beberapa ketika di Kuala Lumpur, kami sempat bertemu Uncle Wan dan keluarganya. Terima kasih Wan, kerana meluangkan masa melayan kami di KFC, KLCC. Sejam penuh makna, maklumlah dah 4 tahun tak berjumpa. Anak masing-masing pun dah besar panjang, dah masuk alam remaja. Mereka anak autisme yang mild keadaannya. Sekali pandang, tidak akan siapa perasan mereka insan istimewa autisme.
|
Bertemu kenalan lama, Uncle Wan n family.. |
|
Tingkah laku dan penampilan yang seakan-akan sama
Syahmi n Danish |
Pada hari yang sama, kira-kira jam 7.00pm kami bertolak balik dari KLCC ke KL Central menaiki LRT. Lalu meneruskan perjalanan dengan komuter menuju Tanjung Malim semula. Seharian yang agak memenatkan, merasai pengalaman berdiri dalam komuter berhimpit-himpit keadaannya dari destinasi ke satu destinasi, kerenah manusia yang pelbagai. Nampaknya Syahmi tetap cool dan teruja, sebab trip kali ini memang memenuhi citarasanya.
Sampai di Tanjung Malim kira-kira pukul 10.20pm, bergegas semula ke Kolej Zaaba untuk makan malam lalu berkereta balik ke hotel. Tidur lena Syahmi malam tu dengan mimpi indah berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Si Abang pun ikut sama tidur di hotel, berpeluk-pelukkan dua beradik tidur lena hingga ke pagi.
Esoknya, kami sarapan ala kadar lalu bertolak ke Kuala Kangsar untuk menjenguk Opah di kampung sebelum meneruskan perjalanan balik ke Kuala Terengganu melalui jalanraya Timur Barat. Si Abang kami tinggalkan dengan sedikit rasa sedih bercampur gembira melihat gaya kehidupannya di sana. Dia udah pandai berdikari, penuh dengan aktiviti di kampus. Semoga kamu dilindungi-Nya selalu Syawal Aiman.
Wow, jauh perjalanan kami kali ini! Melebihi 1000km, tentulah Si Ayah yang penat berlebihan kerana dia yang memandu kereta. Hari Ahad, jam 11.30pm kami sampai di Kuala Terengganu. Terima kasih Almeera, lain kali kita vroooom lagi.