Pages - Menu

Monday, October 16, 2017

Bukan Mudah!


Hari pertama PT3 yang lalu....ibu memerhati kamu dari jauh

Bukan mudah untuk menyedarkan masyarakat tentang kehadiran insan-insan autisme di sekeliling mereka. Keperluan mereka, kelainan yang ada, kecenderungan dan sebagainya. Kita mewakili  golongan minoriti, tentulah amat sukar untuk memberi kefahaman kepada masyarakat luar secara total.

Umpamanya, dengan kewujudan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sesebuah sekolah harian biasa adalah diharap dapat menyedarkan pelajar tipikal di sekolah tersebut tentang kehadiran insan-insan istimewa. Mungkin tidak semua dapat di'buka'kan mata dan minda mereka, namun sekurang-kurangnya ikhtiar ini dapat mengurangkan jurang keperluan berpendidikan tiap anak-anak sama ada yg tipikal mahu pun yang istimewa.


Zahirnya tiada siapa yang dapat membezakan antara yang istimewa dengan
yang tipikal (Syahmi pelajar istimewa, duduk no 2 dari kiri)

Bagaimana pula keadaannya bila pelajar istimewa diinklusifkan ke sekolah-sekolah biasa? Terkontang-kanting si pelajar istimewa berkenaan ke sana ke mari cuba mengimbangi kemampuan diri dengan rentak rakan tipikal yang lain.

Jadi, siapakah yang berperanan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat sekolah tentang kehadiran pelajar istimewa berkenaan? Tentulah jawapannya, ibubapa kepada pelajar tersebut. Tugas berat sebenarnya, bukan perkara mudah. Ibubapanya kena berani menampilkan diri dalam mesyuarat PIBG, mengenali AJK PIBG merupakan laluan terbaik ke arah memperkenalkan anak istimewa kita yang turut sama belajar di sekolah berkenaan.

Ayah,  memperkenalkan Syahmi kepada YDP PIBG sekolah 

Inilah antara usaha yang nampaknya sangat praktikal dilakukan supaya anak istimewa kita mendapat pembelaan di kalangan masyarakat sekolah. Disamping itu, jangan lupa juga untuk mengeratkan perhubungan dua hala dengan guru-guru sekolah terutama yang mengajar si anak istimewa berkenaan.

Jika bukan kita, siapa lagi? Buang ke tepi rasa malu, rasa sendirian dalam masyarakat sekolah. Sila ke depan, ikut rentak dan gelombang mereka yang berhempas-pulas memastikan kecemerlangan pelajar dan tidak secara langsung demi menaikkan nama sekolah juga. Jika tidak, pasti anak kita akan 'lemas' bersendirian.

Inilah nasihat dan perkongsian dari pengalaman menjadi ibubapa kepada pelajar istimewa yang belajar di aliran perdana. Semoga bermanfaat....


Thursday, October 12, 2017

Hikmah PT3 2017


Hanya pada Mu Ya Allah....

ALHAMDULILLAH...tamat sudah PT3 2017. Kertas akhir Bahasa Arab 8.00am hingga 10.00am tadi. Kelihatannya raut muka Syahmi manis terpampang ketika keluar dari bilik peperiksaan. Mungkin berpuas hati menjawab soalan kertas Bahasa Arab yang merupakan subjek yang paling diminatinya.

Syukur sangat atas kurniaan-Nya, kesihatan si anak yang sangat baik sepanjang bulan-bulan terakhir menjelangnya peperiksaan, kelas-kelas tambahan yang bertali arus dan sebagainya. Sementara ibu juga diizinkan-Nya untuk  membimbing si anak hingga ke garisan penamat. Walau kekadang semput mengejar masa, ibu gagahi juga demi anak.

Berapa 'A' target dalam PT3? Semua manusia mahukan yang terbaik. Namun kita kena rasional, dan tahu keupayaan si anak. Ibu sedar, ibu kurang menumpukan kamu kepada subjek Sains, sebab ibu pun lemah dalam penguasaan subjek tersebut. Tercari-cari juga guru persendirian untuk mengajar Syahmi. Malangnya sampai ke sudah tak jumpa-jumpa gerangannya. Syahmi pun sibuk dengan kerja kursus IB yang bertali arus. Tiada masa untuk ke kelas tuition. Namun, ibu agak terkilan bila Syahmi mengadu Kertas Soalan Sains yang paling sukar untuk dijawab.


Bersembang dengan kawan-kawan sebelum memasuki
bilik peperiksaan

Terima sajalah apa yang mendatang. Kita telah berusaha sedaya upaya. Cuma, pengalaman menghadapi PT3 kali ini agak menyedihkan pada peringkat awalnya. Pengasingan CBK (Calon Berkeperluan Khas) dengan pelajar tipikal yang lain membuatkan Syahmi sedih. Ditambah pula dengan anxiety yang melanda ketika menghadapi peperiksaan besar seperti PT3. Menangis dia menghadapi situasi dirinya dipisahkan dari kawan-kawan.


Pelajar lain berada di dewan sekolah untuk menjawab kertas PT3

Manakala, inilah bilik yang dikhaskan untuk Syahmi ketika menjawab
soalan PT3 2017

Diiring Cikgu Raja Nordiana menuju ke kelas pengasingan untuk
menjawab kertas peperiksaan
Ibu sebenarnya sayu melihat situasi dimana Syahmi diiring oleh seorang guru untuk ke bilik pengasingan yang terletak agak jauh dari dewan sekolah. Berjurai-jurai airmata Syahmi disaksikan orang ramai termasuk ibubapa dan guru-guru. Tiap kali peperiksaan dimulakan,  peristiwa yang sama berulang, ramai ibubapa lain yang tertanya-tanya, "Kenapa budak tu diasingkan ke bilik peperiksaan lain? Demam ke?"

Sebenarnya ramai ibubapa yang tidak mengetahui bahawa wujudnya anak istimewa di Sek Men Keb Agama Sheikh Abdul Malek. Tercengang-cengang mereka apabila mengetahui kes terpencil seperti ini dimana seorang anak istimewa digandingkan belajar di sekolah aliran perdana. Syahmi seorang pelajar inklusif.

Namun hikmah dari kejadian ini, ramai yang buka mata terhadap anak istimewa ini. Ada yang bersalaman dengan Syahmi dan menyatakan rasa bangga kerana anak ini mampu berada di kalangan yang tipikal. Masih ada dalam masyarakat kita insan-insan yang prihatin terhadap anak-anak istimewa. Alhamdulillah....

Ibu bangga dengan kamu Syahmi. Bukan kerana 'A' yang diburu, tapi kerana kamu anak istimewa, istimewa dalam segala-galanya. Kekadang ibu tak nampak keistimewaan kamu di mana, lalu Allah tunjuk secara 'cash' di depan mata. Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah. Jadikan kami hamba-hamba yang sentiasa bersyukur atas kurniaan Mu....aamiin

Terimalah keputusan nanti dengan hati terbuka....inshaAllah





Sunday, October 8, 2017

Debaran Di Kemuncaknya



Aamiin....

Esok PT3 bermula. Ya Allah ya Tuhan ku, telah habis daya buat kami ibubapanya, guru-gurunya untuk memberi ilmu pada Muhammad Syahmi Asyraff Bin Samsul Muariff. Kami serahkan segalanya kepada Kamu Ya Rabb. Semoga Engkau kurniakan ketenangan hati buat dia menghadapi Peperiksaan PT3. Permudahkanlah urusannya.

Semoga, kecemerlangan menjadi miliknya, juga milik rakan-rakannya dan menjadi manfaat kepada ummah di masa akan datang. Sesungguhnya Engkau jua yang maha mengetahui atas segalanya. Amiin



Thursday, October 5, 2017

Bila Obsessnya 'Menggila'...



Bas Kite.....

Autisme dan obsessi, tidak boleh dipisahkan. Masing-masing dengan obsessi terhadap sesuatu perkara/objek yang menarik perhatian mereka. Kita yang biasa ni tidak ambil kisah sahaja, tapi bagi mereka perkara/objek berkenaan amat mengasyikkan, bernilai dan perlu diteroka lebih lanjut.

Kalau dulu, di awal usianya dari 6-12 tahun. Syahmi amat berminat dengan dunia astronominya. Segala nama planet dihafalnya, fakta-fakta penting diintai melalui internet. Malamnya bermimpikan kisah angkasaraya. Hinggakan suatu ketika, dia pernah bercita-cita hendak menjadi angkasawan negara....hehehe

Kemudian obsessinya berubah kepada model-model kapalterbang. Berpuluh-puluh model airplane dibeli, yang mahal, yang murah semua dibeli. Yang dalam, yang dipesan dari luar negara seakan semua ingin dimilikinya.

Melalui perkampungan keropok...Kpg Losong

Kini 2017, obsessinya berubah kepada Bas Kite, iaitu bas-bas pelancongan negeri Terengganu. Bas yang sebahagian besar strukturnya dihiasi dengan ukiran kayu, lengkap dengan wifi serta berhawa dingin. Mengelilingi sekitar bandar Kuala Terengganu dengan tambang yang berpatutan (tidak melebihi Rm3 bagi satu trip perjalanan).

Obsessi kali ini, betul-betul memenatkan ibunya. Kalau boleh, setiap hari minggu kami kena menaiki Bas Kite bersamanya ke destinasi Masjid Terapung dan kadang kalanya ke Masjid Kristal. Kita yang biasa ni, tak ambil kisah sangat tentang kewujudan perkhidmatan bas ini. Tapi si anak autisme, obsessinya bukan alang kepalang. Segala sudut bas berkenaan diperhatikannya. Iklan-iklan, pamphlet yang dipamerkan dalam bas, butang loceng dan sebagainya.

Bas Kite.....

Hiasan dalaman yang cantik semestinya...

Minatnya bukan terhenti begitu sahaja. Beberapa video telah dihasilkannya sendiri lalu diupload ke dalam youtube. Sila ke link https://www.youtube.com/watch?v=GcBQ4A822Tk&t=85s. Inilah antara beberapa video yang telah dihasilkannya sendiri.

Sebagai ibubapa, layan sahajalah obsessinya itu. Bukan mahal mana pun kosnya. Cuma pengorbanan masa tu yang agak mencabar. Bayangkan satu perjalanan memakan masa sejam....tentu boringkan? Selagi mampu, selagi terdaya saya ikutkan juga. Obsessi ini bukan boleh ditahan-tahan.

Semua ini pengalaman kepada kita yang mempunyai anak istimewa autisme. Orang lain tidak akan  merasa pengalaman ini walau kekadang  boleh hilang sabar dibuatnya. Dugaan yang kecil ni, tak perlulah kita patah semangat. Ramai lagi insan di luar sana yang lebih besar dugaannya....tak gitu?


Mengajak teman  sekolahnya, Haddul merasai pengalaman menaiki Bas Kite.....