Pages - Menu

Thursday, January 19, 2012

Berkawan Bagi Anak Autistik

Berkawan bagi kanak-kanak normal

                 Apabila kita menceritakan perihal kanak-kanak, kawan adalah elemen penting dalam kehidupan mereka. Biasanya kanak-kanak lebih memberi keutamaan kepada kawan-kawannya dibandingkan dengan ahli keluarganya sendiri. Seboleh-bolehnya mereka ingin sentiasa bersama dalam menjalani aktiviti  seharian. Berkongsi suka duka, hilai tawa dan sebagainya.  Ini adalah situasi normal dalam dunia kanak-kanak.


                   Berkawan bagi anak autistik adalah sesuatu yang sukar bagi mereka kerana golongan ini mempunyai  dunianya yang tersendiri dimana kita sebagai insan normal sukar memahaminya. Mereka lebih suka menyendiri dan bercakap dengan imaginasi sendiri yang kadang-kala boleh ditafsirkan sebagai 'kurang waras' bagi sesetengah daripada kita  yang tidak mengenali dunia hakiki insan istimewa ini. Namun harus diingat, kita tidak harus membiarkan mereka hanyut dengan dunianya sahaja, malahan tugas besar kita sebagai ibubapa untuk menarik mereka supaya boleh bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.


                   Sebenarnya, kelmarin 18hb Januay 2012 adalah tarikh bersejarah dalam hidup Syahmi Asyraff kerana buat pertama kalinya saya menyaksikan dia menerima kawan-kawan dalam persekitarannya semasa menyertai acara merentas desa di sekolah. Dia boleh berinteraksi dua hala dengan kawan-kawan sambil nampak bersahaja serta enjoy bersama-sama mereka dalam menamatkan acara sukan tersebut.


Syahmi mendapat kawan baru! 
Kawan-kawan ku
               Saya rasa situasi ini terjadi kerana wujudnya faktor penarik seperti kerjasama antara kawan-kawan yang ingin membantu dan prihatin terhadapnya. Kawan-kawan yang dimaksudkan adala senior-senior di Tahun 6 yang lebih matang dari usianya. Nampaknya mereka lebih bijak menyelami rasa hati Syahmi jika dibandingkan dengan rakan sebaya di kelas. Saya tidak menyalahkan teman sebayanya di kelas, sebagai ibubapa saya amat memahami rakan sekelas juga masih belum memahami karektor seorang insan autisme seperti Syahmi .


               Tidak rugi rasanya tindakan proaktif saya sebelum ini bermesra dengan mengenali anak-anak Tahun 6 ini sambil memperkenalkan siapa Syahmi kepada mereka.  Sambil duduk-duduk di sebelah petang sementara menunggu Syahmi masuk ke kelas Fardhu Ain, saya mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan anak-anak Tahun 6 bercerita tentang anak autisme saya. Yang menggelikan hati, pertanyaan seorang daripada anak Tahun 6 ini yang bertanyakan saya tentang perasaan saya yang mempunyai anak istimewa. Kalau dulu, memang tiada dalam kamus hidup saya tentang OKU, dan saya juga tidak menyelami perasaan menjadi ibubapa yang menerima ujian Allah dalam bentuk sedemikian. Tapi sekarang tidak lagi, kerana saya berbangga dengan hadirnya dia dalam hidup saya. Saya tidak malu-malu lagi untuk memberitahu dunia sekali pun bahawa saya memiliki anak istimewa.


                Sebagai tanda penghargaan kepada kamu semua wahai kawan-kawan baru Syahmi...uncle hasilkan post ini beserta photo-photonya sekali untuk menjadi bahan tatapan kamu semua serta umum. Uncle sangat menghargai kerjasama kamu dalam mewujudkan perkembangan positif Syahmi. Kalau tiada kamu semua...siapa lagi yang akan membantu Syahmi? Terima kasih dan terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi memahami situasi Syahmi  kepada TENGKU AIMAN, MOHD FAHMI dan NASHRI DANIAL murid Tahun 6 di Sek Keb Seri Budiman II (2012)....



   

No comments:

Post a Comment