Pages - Menu

Friday, September 14, 2012

Syahmi di mata kami....


                             Tiada yang terlalu istimewa tentang anak ini walau dia dikategorikan sebagai insan istimewa. Sama seperti anak-anak lain, cuma suatu ketika sejarah pernah tertulis bahawa anak ini pernah membuat langkah kami sekeluarga terhenti seketika dengan pengesahan dia anak autisme.

Ketika usianya 3 tahun tiada siapa yang menjangka dia anak istimewa
                           
                            Namun kami sentiasa dipermudahkanNya dalam mengendalikan anak bertuah ini. Memang dia mengalami lewat perkembangan dalam beberapa aspek. Contohnya bermasalah dalam pertuturan dimana dia memulakan patah-patah perkataan yang nyata sebutannya ketika berumur 4 tahun lebih. Sebelumnya dia hanya bertutur dalam bahasanya yang sukar difahami. Kelebihannya dia tidak hyperaktif malahan sangat berdisiplin pendek kata 'perfectionist'.


                            Disebabkan dia lambat didiagnose oleh pihak hospital, maka Syahmi hanya mula bersekolah ketika umurnya 6 tahun di Pra Pendidikan Khas. Sebelumnya, dia hanya berada di rumah dididik oleh si ibu samada dari segi pertuturan mahupun pembelajarannya. Pengurusan diri juga seperti ke tandas adalah dibawah bimbingan ibunya. Pernah kami daftarkannya ke tadika biasa ketika usianya 5 tahun, namun ditolak dengan alasan dia anak istimewa.


Syahmi duduk ke 2 dari kiri ketika di Pra Pendidikan Khas


                            Semasa dia dimasukkan ke Pra Pendidikan Khas, anak ini telah pun dilengkapkan serba sedikit tentang pembelajaran asas ABC hingga Z serta huruf Jawi, sementara membilang nombor 123 hingga 50 juga pengurusan diri. Cuma di awal persekolahannya di Pra Pendidikan Khas, Syahmi enggan melakukan aktiviti mewarna dan menulis seperti kanak-kanak kebiasaannya. Namun  atas kerjasama gurunya, sedikit demi sedikit dia dapat didisplinkan untuk memberi fokus terhadap gerak kerja menulis.


Syahmi 'graduan' Pra Pendidikan Khas (2008)


                           Ketika umurnya 7 tahun, dia telah diserapkan ke aliran perdana secara inklusif atas nasihat Penolong Kanan Pendidikan Khas. 3 bulan pertama berada di dalam kelas inklusif, dia agak ketinggalan membuat kerja sekolah disebabkan kurang mahir menulis. Pernah gagal menjawab keseluruhan soalan peperiksaan bulanan. Pernah juga tertidur di kelas. Namun pengetahuannya tidak kurang hebatnya dibanding dengan rakan-rakan yang lain.


                          Proses untuk menyesuaikan dirinya di aliran perdana mengambil sedikit masa. Kerjasama guru-guru di aliran perdana amat diperlukan untuk memahami kehendak anak istimewa ini. Kekadang wujud juga salah faham antara guru-guru dengan  anak ini kerana dia mempuyai persepsi yang amat rigid. Contohnya ketepatan masa, Syahmi akan gelisah sekiranya loceng telah berbunyi sementara si guru masih meneruskan pengajarannya di dalam kelas.


Syahmi kanan sekali bersama-sama rakan di sekolah
 ketika menyambut 'Merdekaraya'

                          Semenjak di Tahun 1 hingga kini dia berada di Tahun 4, perkembangannya amat positif. Dari segi pembelajaran, pencapaiannya seiring dengan rakan-rakan normal yang lain. Dari segi sosial masih ketinggalan, namun sesekali saya dapat melihat situasi dimana dia bersembang dengan rakan-rakan sekelasnya tentang topik yang diminatinya. Ketika waktu tamat sesi persekolahan harian, dia juga mampu tersenyum riang beriringan dengan yang lain menuruni anak tangga menuju ke kereta untuk balik ke rumah.


                           Mungkin bagi yang membaca post saya kali ini, dapat menggambarkan perkembangan anak ini berjalan semudah yang dicoretkan. Hakikatnya, episode-episode suka dan duka, gembira dan kecewa, bangga dan terhina sering bersilih ganti untuk sampai ke tahap ini.  Perjalanan masih jauh,  saya tidak meletakkan harapan yang menggunung pada anak ini. Hanya satu dipohon padaNya, bukan sainstist bukan jua ahli di bidang-bidang professional lain. Besarnya harapan semoga anak ini dapat berdikari dan mencapai apa yang terbaik yang dihajatinya serta menjadi pencetus semangat pada yang senasib dengannya. Sesungguhnya hanya pada Mu tempat kami meminta........

                       
                         
                            

No comments:

Post a Comment