Pages - Menu

Wednesday, October 31, 2012

No More Cakap-Cakap Belakang!!!



                        Inilah kejayaan yang ditunggu-tunggu dari anakanda Syahmi. Berbaloi rasanya penat lelah si ibu menjadi guru untuk anaknya kerana Syahmi telah membawa pulang berita gembira. Syahmi telah berjaya memperolehi markah 95% bagi matapelajaran Matematik dalam Peperiksaan Akhir Tahun yang lalu.


Matematik

                        Harus diingat bahawa Matematik merangkumi 2 kertas iaitu Kertas 1(Objektif) dan Kertas 2 (Jawapan dengan jalan kira). Syahmi berjaya memperolehi 36/40 bagi Kertas 1 sementara 40/40 iaitu markah penuh untuk Kertas 2 (dialah satu-satunya pelajar yang memperolehi markah penuh dari keseluruhan pelajar aliran perdana Tahun 4 di sekolahnya).  Menjadikan jumlah peratusannya 95%. Untuk pengetahuan semua, hanya 13 pelajar yang memperolehi gred 'A' dari kelasnya dan Syahmi antara yg terbaik itu. Syabas anakanda!


Jawapan Kertas 1 (Objektif)


Kertas 2 (Jawapan dengan jalan kira)


Muka Surat 2



Muka Surat 3

Muka Surat 4


Muka Surat 5



Muka Surat 6

Muka Surat 7

                        'Cakap-cakap belakang' yang sampai ke telinga saya apabila Syahmi memperolehi markah di kalangan yang terbaik antara pelajar di aliran perdana, seolah-olah ada yang mencurigai kemampuan sebenar anak istimewa sepertinya. Ada yang kata " Markah kesian jer tu". Ada juga yang kata "Agaknya kalau tak dibagi markah yang baik, mesti dia melalak menangis"(semasa Tahun 1). Dan ada juga yang kata "Mungkin meniru" dan sebagainya.......

                         Semoga kejayaan kali ini dapat mengubah sedikit persepsi mereka-mereka yang mencurigai keupayaan anak istimewa. Jadikan 'cakap-cakap belakang' ini sebagai motivasi. Dengan harapan, Syahmi lebih berjaya lagi di tahun-tahun mendatang...InsyaAllah

Friday, October 26, 2012

Bukan Berkorban Apa Saja......



Pilihan yang terafdhal........Unta


Seterusnya lembu .....atau yang sejenisnya seperti kerbau


Dan yang ini........atau yang sejenisnya seperti biri-biri, kibasy


                   Pokoknya binatang-binatang ternakan pilihan ini selamat dari kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau anggota lain yang boleh dimakan, sihat yang tidak berpenyakit serta cukup umur. Seekor unta atau lembu atau kerbau itu boleh dikongsikan oleh 7 orang samada di kalangan ahli keluarga mahupun yang lain, walau tidak sama maksudnya samada aqiqah atau qurban.  Manakala bagi seekor kambing ianya hanya untuk seorang tidak boleh dikongsikan.


                    Afdhalnya binatang ternakan yang dibuat korban adalah yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tidak bersih putihnya, kemudian yang sebahagian dari badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah kesemuanya.


                    Bukan berkorban apa saja.....kerana binatang ternakan tertentu sahaja yang sah disembelih untuk dibuat korban sebagaimana dituntut menerusi Surah Al Hajj Ayat 34 dengan perincian yang secara detail melalui hadis-hadis nabi. Wallahualam......




SELAMAT MENYAMBUT HARIRAYA KORBAN
DARI KAMI SEKELUARGA




                                   
                     

Thursday, October 25, 2012

Kelebihan Lelaki Berkhatan



Tanggungjawab Seorang Ayah!
               

           Berkhatan ketika musim cuti sekolah, menjadi perkara lumrah bagi kebanyakan ibubapa untuk melangsaikan tanggungjawab terhadap keperluan wajib ke atas anak-anak lelaki terutamanya. Berkhatan adalah pembedahan kecil yang dilakukan bagi membuang sebahagian dari kulit hujung zakar.  Ianya sebagai tuntutan agama kita yang mementingkan kebersihan rohani dan jasmani umatnya. Antara kelebihan berkhatan ialah:


          1.   MENGELAK JANGKITAN KUMAN DI SALUR KENCING

                Dibuktikan melalui kajian bahawa bayi lelaki yang berkhatan mempunyai
                kebarangkalian 10 kali lebih rendah kadar jangkitan kuman di salur kencing          
                berbanding dengan yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman di salur kencing
                boleh mengakibatkan kes yang serius, jika tidak dirawat boleh merosakkan
                fungsi buah pinggang atau kuman akan merebak ke bahagian tisu badan yang
                lain.

         2.    KEBERSIHAN- MENGELAKKAN SMEGMA

                Smegma iaitu longgokan putih dan berbau busuk yang terhasil dari kotoran saki baki air
                kencing yang bertakung di bahagian kulit berlebihan di hujung zakar. Bahagian ini
                amat sesuai menjadi tempat pembiakan kuman kerana sifatnya yang mudah
                tercedera dan lembap.

                Manakala smegma ialah najis yang boleh membatalkan air wuduk dan sembahyang.
                Selain dari itu, ia menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada bahagian zakar
                seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Kesannya  menyebabkan rasa sakit
                yang serius dan kesukaran membuang air kecil kepada penghidapnya.


         3.    Mencegah HIV

                Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) telah mengeluarkan kenyataan penting pada 28hb
                Mac 2007 tentang kaedah pencegahan kuman HIV. Kenyataan berbunyi " kajian saintifik
                membuktikan tanpa keraguan bahawa lelaki berkhatan dapat mengurangkan kadar
                perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Seeloknya berkhatan dilakukan
                dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan
                komplikasi procedure lebih rendah".

                Berkhatan juga telah mula diamalkan di negara yang berisiko tinggi akan jangkitan HIV
                seperti di beberapa buah negara benua Afrika.


         4.    MENGURANGKAN RISIKO KANSER

                Kanser zakar, prostat bagi lelaki serta kanser serviks (pangkal rahim) dan kanser payu
                dara dikalangan wanita merupakan jenis-jenis kanser yang dapat dikurangkan risikonya
                melalui berkhatan.

                Kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah faktor penting yang
                membawa kepada kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati boleh
                berlindung di bawah kulit hujung zakar lelaki dan dipindahkan melalui persetubuhan.
                Kajian juga menunjukkan bahawa jika semua lelaki berkhatan maka 20% kadar
                berlakunya kanser serviks dapat dielakkan. Virus yang sama juga boleh mencetuskan
                kanser payu dara di kalangan wanita.

                Kajian juga mendapati bahawa kanser zakar juga rendah di kalangan mereka yang
                berkhatan ketika di awal usia iaitu pada unur kurang dari setahun.

                Begitu juga kanser prostat di beberapa negara Eropah di kalangan lelaki berkhatan
                adalah 2 kali lebih rendah dan begitu juga dengan penyakit kelamin. Ini menyebabkan
                berkhatan kini menjadi amalan masyarakat bukan Islam juga.


           Ramai dari kita yang tertanya-tanya apakah hukumnya berkhatan bagi anak istimewa? Pernah saya terbaca dalam blog www.ZARIFI DAUD.com yang menerangkan tentang keperluan mengkhatankan anak istimewa(terencat akal) menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada sidang ke 77, 10-12 April 2007. Mereka telah membincangkan tentang keperluan berkhatan bagi pesakit haemophillia (penyakit keturunan yang menjejaskan keupayaan badan untuk mengawal  pembekuan darah di dalam badan) serta kanak-kanak terencat akal.
             
           Bagi pesakit haemophillia, tidak diwajibkan keatas mereka kerana proses berkhatan  boleh membawa kemudharatan kepada penghidapnya. Manakala bagi kanak-kanak terencat akal, kewajipan berkhatan adalah bergantung kepada tahap kecacatan otak yang dialaminya. Gugur segala kewajipan melaksanakan ibadah termasuk berkhatan  ke atas kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak yang teruk. Namun kebersihan anggota tersebut haruslah dijaga dengan baik oleh keluarganya.


          Hampir 70% kanak-kanak autisme ada masalah terencat akal dalam tahap yang berbeza, maka bagi pendapat saya sebagai ibubapa kita mestilah menilai sendiri tahap anak istimewa kita. Namun dalam kemajuan yang ada,  berbagai procedure yang dijamin selamat dapat dilakukan supaya anak-anak istimewa kita juga merasai pengalaman berkhatan seperti yang dituntut oleh agama. Wallahualam....



Tahun ini giliran Syahmi.......semoga dipermudahkanNya
             

            

Tuesday, October 23, 2012

Kejayaan Juga Ujian DariNya....


                      Kalau Siti Nurhaliza menjadi kebanggaan semua.....segala gerak geri menjadi tumpuan. Apa yang dibuat semuanya 'kena' bagi sebahagian besar kita. Anugerah diterima hingga penuh almari......namun jangan lupa bahawa ini juga merupakan bentuk ujian supaya kita sentiasa mensyukuri limpahan nikmat dariNya.

Siti Nurhaliza suatu ketika dulu....

                      Bukan maknanya hendak membandingkan kejayaan Siti Nurhaliza dengan secubit kejayaan yang dicapai oleh Syahmi kini. Jauh sangat jaraknya umpama Bumi dengan Pluto.....Cuma rasa bangga sebagai ibubapanya dengan beberapa kejayaan Syahmi sepanjang tahun 2012.  Usaha kami mula menampakkan hasil walau sebelum ini  tiada siapa yang 'cakna' dengan kemampuannya.


                      Tujuan saya hanya untuk mengingatkan diri sendiri supaya tidak alpa dengan kejayaan anak yang sekelumit ini......jangan ada rasa riak dan sombong atas kurnian-Nya. Masih jauh perjalanan Syahmi untuk menempuh ranjau kehidupan. Beringat-ingatlah bahawa kebiasaannya kita lebih mengingati-Nya apabila kita susah.......namun bila kita senang  berapa ramai antara kita yang ingat pada-Nya?


                      Kalau dulu Syahmi hanya berada dalam dunianya sendiri, bersekolah di aliran perdana sendirian tanpa sesiapa yang menghargai kewujudannya di sekolah. Nampaknya sekarang masyarakat sekolah mula sedar potensi anak istimewa ini dengan beberapa kejayaan mengharumkan nama sekolah bagi tahun 2012 dan insyaAllah di masa-masa akan datang....

 
Antara pencapaian tahun 2012 (Tempat Ke tiga Tilawah
 Al Quran Pringkat Negeri Terengganu)


                       Sebenarnya, kejayaan menjuarai Tilawah Pendidikan Khas Peringkat Daerah Kuala Terengganu serta tempat ke tiga Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman dan menjuarai juga Pertandingan Esei Peringkat Daerah Kuala Terengganu Selatan kategori Pelajar Pendidikan Khas merupakan pencetus semangat anak ini untuk mengembangkan kebolehannya.

   
                      Semoga Syahmi sentiasa berkeyakinan bahawa anak istimewa juga boleh menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat!


                     

Saturday, October 20, 2012

Agenda Anak-Anak Vs Agenda Ibubapa Bila Cuti Sekolah Tiba.....



Demam exam udah 'kebah'......result belakang kira



Kalau dah meminjam.....kenalah dipulangkan kepada
 yang berhak (Pinjaman Buku Teks)



Senyum ada makna ni....
               


Nasib baik destinasi tempatan jer yang ditagih......



Sedangkan si ayah........berat memikirkan  banyak
hal sebelum beragenda



Thursday, October 18, 2012

Elaun RM150 Lesap........Anak 'Selekeh' Ke Sekolah

             
                  Dulu RM50 sahaja, namun ia telah dinaikkan ke RM150 sebulan bermula 2009. Elaun Murid Khas (EMK) merupakan antara kemudahan yang diperolehi oleh murid pemegang kad OKU selagi mereka belajar di sekolah-sekolah kerajaan, pusat-pusat Pemulihan Dalam Komuniti mahupun pusat-pusat pendidikan anak-anak istimewa kelolaan NGO yang diiktiraf seperti Nasom.


Bukan sampai berguni....cuma RM150 sebulan

                 Bagi yang 'Ada' tidak banyak nilainya kalau setakat RM150 sebulan......tapi bagi yang 'Tiada' jumlah tersebut sangat-sangat membantu mereka untuk menampung keperluan anak-anak istimewa masing-masing bersekolah. Sewajarnyalah elaun ini diwujudkan bagi membantu ibubapa 'terpilih' dengan anugerah anak istimewa untuk diberi pendidikan sewajarnya di sekolah.


                 Namun Elaun Murid Khas ini kekadang menjadi satu masalah kepada pihak sekolah untuk menguruskannya. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Pelbagai kerenah manusia ada apabila membicarakan soal  'wang'. Ada segelintir ibubapa yang mengambil kesempatan ke atas elaun tersebut untuk dibelanjakan  bagi tujuan yang tidak bertanggungjawab.


                  Kerana segelintir yang buat hal.....semua ibubapa menerima tempiasnya. Buku Simpanan BSN terpaksa disimpan oleh pihak sekolah untuk tujuan pemantauan, jumlah pengeluaran juga telah dihadkan dek kerana penyalahgunaan oleh pihak-pihak yang terbabit.


Yang selekeh bukan identiti anak-anak Pendidikan Khas!
                 
                   Bertambah malang lagi, ada ibubapa yang sanggup membiarkan anak-anak istimewa ke sekolah tanpa kelengkapan yang sepatutnya. Baju lusuh, stokin koyak rabak, kasut tidak pernah dibersihkan hingga menyebabkan masyarakat luar  memandang sinis terhadap anak-anak di Pendidikan Khas. Kasihan anak-anak istimewa, sedangkan mereka telah diberi elaun tetap untuk pendidikan mereka. Sepatutnya, ke sinilah elaun itu disalurkan supaya anak-anak istimewa juga dijaga ketrampilan diri ketika ke sekolah. Lebih menyedihkan lagi apabila guru meminta bantuan kewangan untuk menjalankan aktiviti di sekolah, ramai juga yang buat tak kisah.....

               
                  Jangan kita bersangka bahawa anak-anak istimewa tidak menjanjikan apa-apa untuk masa depan. Rezeki di tangan Tuhan, amanahNya harus kita jaga dengan menunaikan haknya. Mereka juga selayaknya dilayan seperti anak-anak tipikal lain malahan sepatutnya lebih istimewa dari setiap sudut.....renung-renungkanlah.....
                 
                 

               
                  

Monday, October 15, 2012

Apa itu Program Inklusif ...........

                       

Apabila anak-anak kita didiagnose sebagai insan autisme, ramai yang tertanya-tanya ke mana anak kita akan ditempatkan untuk persekolahannya. Sebenarnya anak autisme juga berhak mendapat pendidikan seperti anak-anak tipikal yang lain. Cuma kerenah masyarakat yang masih belum mencapai tahap kesedaran yang tinggi terhadap Autisme itu sendiri membuatkan ibubapa berasa kecewa untuk memilih penempatan yang bersesuaian buat anak masing-masing. Tadika biasa akan menolak kemasukan anak-anak istimewa dengan pelbagai alasan.


Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran yang diadakan di sekolah-sekolah kerajaan, juga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti  yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah antara pusat-pusat yang menerima kemasukan anak-anak autisme disamping program kendalian pihak NGO seperti Nasom. Ada juga di kalangan ibubapa yang mempunyai anak autisme yang berpotensi di bidang akademik dengan  tingkahlaku yang terkawal, maka golongan ini juga tidak disia-siakan dan diwujudkan program tertentu demi masa depan golongan berkenaan.


Mereka di tempatkan di aliran perdana

Bagi anak-anak autisme di Pendidikan Khas yang boleh menguasai beberapa mahupun sebahagian besar dari matapelajaran akademik, mereka akan diberi peluang ke kelas biasa iaitu di aliran perdana bagi mengikuti pembelajaran normal. Inilah yang dinamakan Program Inklusif dimana ia terbahagi kepada 2 iaitu:


                          1.   INKLUSIF SEPENUH MASA

                            -  Murid mengikuti pembelajaran di kelas biasa seperti murid biasa
                            -  Senarai nama kekal dalam daftar Pendidikan Khas
                            -  Guru kelas biasa boleh merujuk kepada guru di Pendidikan Khas
                               (guru pendamping) sekiranya terdapat sebarang masalah dari segi
                               pembelajaran mahupun tingkahlaku
                            -  Mereka juga diberi peluang untuk menduduki peperiksaan seperti
                               UPSR/PMR/SPM dan sebagainya


                           2.    INKLUSIF SEPARA

                              -  Murid mengikuti pembelajaran di kelas biasa untuk matapelajaran
                                  tertentu sahaja
                              -  Waktu yang selebihnya mereka mengikuti kelas khas
                              -  Senarai nama murid pada daftar Pendidikan Khas
                              -  Guru Pendidikan Khas terlibat sebagai pembimbing atau guru
                                  pendamping
                              -  Mengambil ujian matapelajaran terlibat, sama seperti murid biasa



Program ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada anak-anak yang dikategorikan di bawah Masalah Pembelajaran tetapi mempunyai kebolehan di bidang akademik bersaing dengan rakan-rakan di aliran perdana. Hak mereka tidak dinafikan malahan mereka diberikan pendedahan peringkat awal lagi dengan rakan sebaya supaya dapat membentuk insan yang berdikari serta berkeyakinan diri.


Program ini masih banyak lagi yang perlu dibuat penambahbaikkan supaya potensi anak-anak autisme lebih terserlah terutamanya dengan kerjasama guru-guru dan rakan-rakan di aliran perdana.

Saturday, October 13, 2012

Membantu Mewujudkan Komunikasi Berkesan Dengan Anak Autisme

             

Kanak-kanak tipikal biasanya mula bertutur secara semulajadi ketika umurnya satu setengah atau dua tahun. Perbendaharaan kata pula boleh berkembang hingga menguasai 10,000 patah perkataan ketika menjangkau umurnya 7 tahun. Tapi bagi kanak-kanak autisme, nikmat ini harus dicari dan dibantu oleh pihak-pihak tertentu terutamanya ibubapa serta dari mereka yang berkepakaran.


Mudah bagi orang lain......tapi sukar bagi si Autisme


Seringkali kita mengalami situasi dimana kanak-kanak autisme tidak mengendahkan apabila dipanggil atau diberi arahan. Ini menimbulkan salah anggap kita terhadap mereka yang dikatakan mengalami masalah pendengaran. Bagi membantu golongan ini untuk berkomunikasi dengan berkesan terdapat beberapa langkah yang perlu dipraktikkan oleh mereka disekelilingnya iaitu:

                               
a.  BERI ARAHAN DENGAN JELAS DAN RINGKAS

Dahului arahan dengan menyebut nama untuk menarik perhatiannya." Syahmi, mari duduk di sini." (sambil menunjukkan arah anak tersebut harus duduk). Elakkan arahan yang kurang jelas seperti "Mari ke mari dan duduk di sebelah saya". Ia boleh menyebabkan arahan ini disalahtafsirkan dan merangsang mereka bertindakbalas negatif seperti mengatakan Tidak!


b.  ELAKKAN MENGGUNAKAN KATA DUA MAKNA DAN BERBUNGA

Kanak-kanak autisme tidak boleh memahami perkataan yang terselindung atau kiasan. Contohnya jika dia melakukan sebarang kesalahan, elakkan dari mengeluarkan kata-kata berbentuk sindiran seperti "Bagus" kerana mereka akan menyangka kita bersetuju dengan tingkahlakunya dan jangan terperanjat jika mereka akan mengulanginya lagi.


c.  ELAKKAN MENGGUNAKAN PERKATAAN "JANGAN"

Digalakkan kita mengucapkan sesuatu yang lebih positif dan konstruktif. Walaupun bukan mudah, tapi inilah sebaik-baiknya cara untuk merangsang perkembangan terbaik kanak-kanak autisme. Sebagai contohnya,  "Jangan buang sampah itu" adalah lebih positif jika kita berkata  "Buang sampah dalam tong sampah".


d.   BERCERITA

Kita perlu bercakap dengan kanak-kanak autisme. Berceritalah tentang apa yang sudah, sedang dan akan berlaku. Terangkan dengan ringkas supaya mudah mereka memahaminya. Elakkan bercakap terlalu laju kerana ia akan menyulitkan mereka untuk memahaminya. Jika kita tidak bercakap dengannya maka kanak-kanak ini akan terus menyendiri dan menyebabkan perkembangan pertuturannya terbantut.


e.   ELAKKAN BAHASA KEDUA

Adalah lebih baik jika kita mengelakkan daripada mengajar bahasa kedua kepada kanak-kanak autisme kerana ia akan mengelirukan mereka. Kebiasaannya Bahasa Inggeris adalah bahasa yang paling mudah dikuasai oleh kanak-kanak autisme. Namun dalam konteks negara kita Malaysia, Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantara di sekolah menyebabkan ibubapa terpaksa mendedahkan dua bahasa kepada anak autisme masing-masing.


f.   ELAKKAN MEMBERI RESPOND DENGAN MIMIK MUKA

Kanak-kanak autisme sukar memahami mimik muka yang ditunjukkan. Mereka sukar membaca fikiran kita dan tidak memahami jika kita menyatakan rasa marah seperti mengerutkan wajah. Adalah lebih baik kita menjelaskan dengan ringkas supaya mudah difahaminya.


f.   PENGHARGAAN

Berilah peluang mereka untuk berkata-kata. Jangan mematahkan semangat mereka ketika hendak bertutur. Bersabarlah menunggu mereka menghabiskan pertuturannya dan berilah pujian bila mereka telah mencuba untuk bertutur dengan baik.


Memandangkan kanak-kanak autisme mempunyai kondisi yang berbeza antara satu sama lain, maka ada pendekatan yang bersesuaian dengan si A, tetapi tidak sesuai pula pada si B. Sebagai ibubapanya kita haruslah mengenalpasti pendekatan terbaik untuk membantu perkembangan pertuturan anak-anak kita.

Kerjasama kita yang berada di sekelilingnya akan memberi kepercayaan kepada insan istimewa ini untuk berani berkomunikasi secara lebih berkesan. Hargailah mereka.....
             
       
                                   
                               
                                  

Wednesday, October 10, 2012

Bukan Senang Jadi Guru Kepada Anak Istimewa....



Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) adalah antara cabang Pendidikan Khas yang ditubuhkan untuk memberi peluang pendidikan yang samarata kepada golongan kelainan upaya khususnya yang bermasalah pembelajaran. Di sini, mereka diberi kesempatan untuk merasai suasana  persekolahan seperti mana anak-anak tipikal di aliran perdana dengan melibatkan diri dalam setiap aktiviti yang dirancang.

Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) Sek Keb Seri Budiman II
           
Di sinilah guru-guru terpilih ditempatkan untuk mendidik anak-anak istimewa supaya menjadi golongan yang mampu hidup berdikari  serta mengembangkan potensi diri ke tahap optimum. Diharap, akhirnya nanti anak-anak didik yang dikasihi menjadi warga yang bertanggungjawab.


Penampilan seperti anak tipikal......cuma guru-guru terlatih sahaja
 yang tahu dimana kelemahan yang harus diperbaiki
                 
Bukan mudah menjadi pendidik kepada golongan yang rendah keupayaan mental, mengalami gangguan emosi dan tingkahlaku. Selain dari menumpukan kepada akademik, mereka juga harus diterapkan dengan kemahiran pengurusan diri dan pengurusan tingkahlaku menyebabkan tenaga pengajar berkelayakan seharusnyalah dari kalangan mereka yang mempunyai tahap KESABARAN yang tinggi., BERTOLAK ANSUR, BERDISIPLIN, serta sentiasa BERFIKIRAN POSITIF.


Bukan hanya sekadar bercakap semasa mengajar, pendidik juga harus menggunakan kreativiti masing-masing seperti menggunakan kaedah nyanyian dan permainan serta alat bantuan mengajar bagi menarik perhatian anak-anak istimewa ini. Guru-guru juga harus bersedia untuk melakukan kerja-kerja di luar dari bidang tugasnya apabila dikehendaki.


Nampak remeh.....tapi itulah tugas seorang
 guru Pendidikan Khas

Kemahiran Hidup juga diajar kepada anak-anak istimewa ini seperti bercucuk tanam, berternak, memasak dengan penekanan terhadap penggunaan alat-alatan supaya mereka berupaya mengendalikannya dengan mengutamakan faktor keselamatan. Aktiviti luar kelas bagi anak-anak istimewa ini amat penting bagi membina keyakinan diri mereka. Sebagai contoh, PPKIBP Sek Keb Seri Budiman II telah menjalankan aktiviti luar kelas yang padat sepanjang tahun dimana ia memerlukan komitmen yang tinggi dari guru-guru untuk turun padang bagi menjamin agar matlamat asal aktiviti tercapai.


                -   TERAPI AIR - Renang
                                                 
     
Terapi air untuk meningkatkan keyakinan diri

Terapi Air adalah aktiviti  yang kerap diadakan.
         
                -   LAWATAN KE MINI ZOO KEMAMAN


Melalui jambatan gantung.

Kelakar .....anak-anak istimewa kita.


                -   MERENTAS DESA PERINGKAT SEKOLAH


Tiada yang menyangka  mereka anak istimewa!


Menunggu isyarat untuk dilepaskan...... 
                       
                 -    KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG 2012.



Anak-anak Pendidikan Khas juga diberi peluang menunjukkan
 kebolehan dalam acara balapan


   
Acara lompat jauh 


                 -   SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT SEKOLAH


Perarakan Maulidur Rasul yang turut melibatkan semua warga sekolah
 termasuk warga PPKIBP

Berpegangan tangan demi keselamatan anak-anak didik
                   

                  -   BERKONGSI PENGALAMAN MENAIKI KERETAPI DARI TUMPAT-PASIR MAS        



Pengalaman menaiki keretapi

       
                   -   SAMBUTAN HARIJADI ANAK-ANAK ISTIMEWA

                     
Sambutan harijadi kali ke 3 tahun 2012
         
                  -   HARI KOKURIKULUM 2012 :  Masakan


Memasak bagi anak-anak istimewa yang berbakat
sambil dibantu gurunya

Sudah tersedia.......jemput makan!

                    -   SAMBUTAN MERDEKARAYA PERINGKAT SEKOLAH


Puteri-puteri Pendidikan Khas turut sama mengibarkan bendera
kebanggaan  kita....Jalur  Gemilang
Persembahan pentas anak-anak Pendidikan Khas
semasa sambutan Merdekaraya
         
                    -   SAMBUTAN HARIRAYA BERSAMA WARGA PPKIBP DAN IBUBAPA.


Guru-guru turut membantu menyediakan
 makanan untuk tetamu

Antara tetamu yang hadir...
   
                      -   KEM SOLAT BERJEMAAH

Anak-anak didik diajar bagaimana
 mengambil air sembahyang

Solat berjemaah......anak istimewa juga boleh!
               

                   -   PERKHEMAHAN BADAN BERUNIFORM PERINGKAT SEKOLAH



Anak istimewa juga menunjukkan kebolehan dalam pertunjukan
pentas semasa program perkhemahan 

 
Anak-anak Pendidikan Khas juga diberi peluang untuk
menikmati lemang buatan sendiri
                 

                           Mudah diucapkan tapi bukan mudah untuk dilaksanakan amanah ini. Bilangan murid yang tidak ramai, bukan menjadi tiket untuk bekerja sambil 'goyang kaki'. Mendidik anak-anak istimewa ini memerlukan komitmen yang sangat tinggi dari tenaga pengajarnya.

Bayangkan jika di rumah, kita hanya mendidik seorang anak istimewa namun ada kalanya  timbul jua rasa penat, putus asa dan sebagainya. Bagaimana pula jika anak-anak istimewa ini  dengan pelbagai jenis masalah  pembelajaran diletakkan di bawah satu bumbung???

Sesungguhnya, hanya guru istimewa sahaja yang mampu mendidik anak-anak istimewa......istimewa jiwa dan raganya berbakti demi masa depan anak didik sekalian.  Terima kasih cikgu.....


                         
Inilah antara 'guru-guru istimewa' yang mencurahkan baktinya
di PPKIBP Sek Keb Seri Budiman II