Pages - Menu

Saturday, January 19, 2013

Ke mana Teman, Di mana Rakan?




Semoga perbezaan ....tidak menghalang erti persahabatan


                       Walau fizikal mereka tiada yang kurangnya jika dibandingkan dengan anak-anak tipikal, namun penyandang autisme tetap berbeza dari segi sosial, pertuturan dan tingkahlakunya. Ini yang menyebabkan teman-teman di sekeliling akan menjauhkan diri dari si autisme.

     
                       Siapa boleh memahami keadaan seseorang yang sukar mengikut rentak anak-anak zaman kini yang petah berbicara dengan bahasa rojaknya termasuklah bahasa sms, bahasa ciptaan masa kini yang pelik bunyinya. Perbualan menjadi hambar kerana si anak autisme hanya berbicara dalam bahasa yang seolah-olah mengikut skrip malahan  tidak juga pandai berjenaka dan terlalu 'lurus' dalam segala hal.


Menangis menjadi senjatanya!


                        Disebut pula tentang tingkahlaku anak autisme, yang sedikit terkebelakang dari teman seusia juga mewujudkan lagi jurang sosial antara mereka. Menangis bila diusik, cepat naik angin jika ada rakan yang hendak berkongsi sesuatu yang menjadi kesayangannya, enggan menyertai rakan-rakan untuk bermain antara masalah-masalah yang boleh merenggangkan kemesraan sesama mereka.


                        Disebabkan faktor inilah, anak autisme sangat mendambakan suasana pergaulan di kalangan anak-anak tipikal seawal usianya bagi dijadikan ikutan dan teladan dalam memperbaiki kelemahan diri. Namun siapakah yang sanggup menerima mereka seadanya? Mohonlah pada-Nya moga hadir jua rakan-rakan sebaya yang ikhlas menemani dan membantu anak ini bagi menjadi insan biasa.yang berjaya.
                     

Semoga ramai  lagi yang sudi  menerima  kehadiran  Syahmi........


                        Sebagai minoriti dalam masyarakat, kewujudan insan autisme seolah-olah keganjilan bagi mereka yang masih kurang arif tentang autisme itu sendiri. Bukan salah didikan, bukan salah asuhan. Tapi kelainan ini yang dijadikan-Nya sebagai mewarnai kehidupan di dunia. Menuntut kesabaran mereka di sekeliling, mensyukuri nikmat yang diperolehi serta mendekatkan kita dengan Ilahi.
                        

No comments:

Post a Comment