Sudah lama saya menyimpan hasrat nun jauh di sudut hati, enggan lantang bersuara kerana dikhuatiri kami ibubapanya dianggap 'very demanding' oleh pihak-pihak tertentu. Namun tahun 2013 ini, telah dibuka jalan oleh-Nya bagi pihak sekolah melantik seorang guru Pendidikan Khas bagi memantau perkembangan anak yang diinklusifkan seperti Syahmi di aliran perdana. Mungkin inilah yang dinamakan 'Guru Pendamping' walau bukan 100% seperti yang dilaksanakan oleh NASOM. (Kita juga harus rasional dalam membuat perbandingan antara perkhidmatan yang berbayar dengan perkhidmatan percuma).
Cikgu Rosma + Syahmi...kolabrasi yang ditunggu-tunggu |
Alhamdulillah, tahun 2013 Cikgu Rosma binti Jasni telah diamanahkan oleh pihak sekolah menjadi Guru Pendamping Syahmi. Cikgu Rosma merupakan bekas guru yang mengajar Syahmi semasa di Pra Pendidikan Khas tahun 2008. Kini, beliau memikul tugas yang semakin berat iaitu dengan tugas asalnya sebagai guru di Pra PPKIBP juga guru yang memantau perkembangan murid inklusif di aliran perdana.
Bagaikan 'orang mengantuk yang disurung bantal'. Begitulah perasaan kami sebagai ibubapanya. Memandangkan progam inklusif ini boleh diumpamakan seperti kes terpencil, maka kelemahan di sana-sini memang tidak dinafikan wujud. Namun kami amat berbangga kerana pihak sekolah telah mengambil tindakan terbaik bagi memperbaiki kelemahan tersebut dengan menempatkan guru tertentu bagi memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak inklusif.
Semoga, ia menjadi titik tolak buat Syahmi lebih menyerlahkan kebolehan yang ada. Selamat kembali berkolabrasi antara Cikgu Rosma dan Syahmi. Komitmen guru ini terhadap tugasnya telah terbukti sejak dari dulu dan amatlah kami hargai.....
Besarnya pengorbanan guru.....terima kasih cikgu! |
No comments:
Post a Comment