Pages - Menu

Friday, May 31, 2013

Antara Coretan Perjalanan Penuh Harapan Si Anak Autisme.....



Mereka berada di bawah AUTISM SPECTRUM DISORDER. Spektrum, disebabkan keadaan mereka yang berbeza-beza antara satu sama lain. Ada yang severe, ada yang dikategorikan sebagai mild autisme serta sebilangannya pula yang diklasifikasikan sebagai high-function seperti Sindrom Asperger. Namun, insan istimewa ini masih berlindung di bawah naungan yang sama, dipanggil Autisme. Autisme adalah berpunca dari gangguan neurobiologis yang mempengaruhi fungsi otak hingga menjejaskan interaksi sosial serta kemampuan berkomunikasi seseorang.

Mereka Berlindung Di bawah Naungannya
         
Kepelbagaian keadaan yang menyebabkan masyarakat keliru untuk mengenali dan memahami bahawa mereka insan istimewa yang dilahirkan ke dunia sebagai medan ujian sejauh mana kesabaran kita menghadapinya. Namun, izinkan saya menumpukan di sini tentang perjalanan seorang insan mild autisme bernama Muhammad Syahmi Asyaff yang kini berusia 11 tahun. Anak yang bertuah ini merupakan anak kedua/bongsu dalam keluarga kami.


Nama saya Muhammad Syahmi Asyraff
           

Dilahirkan secara pembedahan pada 7hb September 2002, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu disebabkan komplikasi kelahiran (big baby). Lahir sempurna secara lahiriahnya, montel dengan berat 4.4kg. Membesar seperti kebanyakan bayi yang lain, meniarap, menjulur, mengangkat tubuh ke depan dan ke belakang,tanpa mengalami proses merangkak lalu terus maju untuk duduk, berdiri dan seterusnya berjalan seiring dengan peningkatan usianya. Tidak pandai bermain tepuk amai-amai seperti kebanyakan kanak-kanak di awal usia. Si anak juga enggan lagi menyusu ketika usianya 14 bulan. Tidurnya juga sering terganggu dengan bunyi-bunyian yang kuat seperti bunyi mercun, persekitaran yang bising walau hanya dengan hilai tawa ahli keluarga. Sehingga usianya 2 tahun, si anak masih belum mengeluarkan sebarang bunyi seperti da da da, ma ma ma seperti kanak-kanak lain. Namun kelainan ini tidak tidak menjadi masalah pada sangkaan awal kami.


Memekup telinga dengan bunyi yang nyaring

Si anak membesar dengan gembira, sihat malahan lebih comel dari anak-anak yang lain. Dua tahun lebih usianya, dia mula bermain dengan objek pelik secara luar biasa. Menyusun dalam barisan barang-barang yang menjadi minatnya seperti botol-botol air berkarbonat, asyik dengan objek yang berputar seperti tayar juga memekupkan kedua belah telinga apabila mendengar bunyi-bunyi nyaring seperti bunyi dari mesin pengisar dan sebagainya. Ketika usianya 3 tahun, si anak mula mengeluarkan perkataan namun amat sukar difahami seperti 'cheeee' baginya yang bermaksud lori dan lama kelamaan semakin banyak bahasa-bahasa pelik keluar dari mulutnya.


Ketika usianya empat tahun, mula timbul kerisauan di hati ibubapa dan tertanya-tanya, "Kenapa si anak  lambat bercakap?" Namun kami masih tidak terfikir untuk mendapatkan nasihat dari  mereka yang berkepakaran. (mungkin kami masih mengharap agar si anak tidak mengalami sebarang masalah). Akhirnya si anak mula mengeluarkan patah-patah perkataan yang jelas dan kadang-kala hanya mengulangi perkataan yang didengarinya. Walaupun begitu, kami mengakui bahawa kebolehan pertuturannya amat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya. *Highlight bermaksud antara simptom autisme yang ada pada si anak


Kad OKU Syahmi......


Memasuki usia lima tahun, kami mendaftarkan si anak ke tadika biasa. Hanya seminggu di sana, kami dipanggil untuk bertemu guru serta pengurus tadika tersebut dengan khabaran 'sedih' bahawa si anak dikhuatiri mengalami masalah tertentu melalui pemerhatian dan pengalaman mereka mengendalikan kanak-kanak terdahulu. Lalu mereka mengesyorkan kami untuk membawa si anak ke hospital bagi mendapatkan pandangan dari pihak yang berkepakaran. Maka bermulalah episod perjuangan kami sekeluarga apabila Pakar Psychiatrist dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu mengesahkan bahawa si anak mengalami Mild Autisme. Tindakan seterusnya adalah mendaftarkan si anak ke Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mendapatkan kad Orang Kelainan Upaya (OKU).


Walau pedih dan sedih dengan title OKU yang dipegang oleh si anak, sebagai ibubapa kita harus memikirkan masa depan mereka. Dengan kad tersebut, anak kita akan mendapat pelbagai keistimewaan. Pembelajaran mereka akan dikhaskan bersama-sama dengan rakan senasib dengan asuhan dari guru-guru terlatih. Peruntukan wang elaun sebanyak RM150-00 sebulan bagi tiap-tiap pelajar OKU, di samping kebajikan mereka yang lebih terbela seperti pengecualian bayaran untuk perkhidmatan di hospital kerajaan, peluang melanjutkan pelajaran yang terbuka luas mengikut kuota yang ditetapkan kepada golongan OKU serta berbagai lagi kemudahan lain.


Syahmi (duduk, No 2 dari kiri) semasa menduduki kelas
 Pra Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran
di Sek Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu

Sebagai ibubapa, kita jangan cepat putus asa. Segalanya belum berakhir kerana perjuangan baru di garisan permulaan. Tahun 2008, si anak ditempatkan di Pra Pendidikan Khas bagi menimba ilmu dari guru-guru terlatih. Banyak perubahan terhasil berkat kerjasama guru dan asuhan kita sebagai ibubapa di rumah di samping ilmu dan nasihat yang digunapakai dari temujanji yang dihadiri dengan Pakar Psychiatrist dan Speech Therapist. Si anak mula boleh menguasai 3M (membaca, menulis, mengira) dalam usianya enam tahun.


Syahmi (duduk, paling kanan) bersama murid istimewa yang lain,
di Pendidikan Khas, Sek Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu

Ketika berusia tujuh tahun, si anak telah diletakkan di dalam Kumpulan Pertama di kelas Pendidikan Khas selama 3 bulan. Alhamdulillah...nampaknya si anak bernasib baik kerana dapat menunjukkan prestasi baik dalam pembelajarannya dan menemukan kami dengan sekolah yang mempunyai pengalaman dalam mengendalikan Program Inklusif. Si anak telah ditawarkan untuk menyertai Program Inklusif yang bertujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak Pendidikan Khas yang berpotensi dalam pembelajaran dan boleh mengimbangi tingkah lakunya bersaing secara sihat di aliran perdana bersama-sama murid tipikal yang lain.


Bermula dari March 2009, si anak telah dipindahkan ke aliran perdana secara inklusif di dalam kelas pertama iaitu Kelas 1 Al Ghazali bersama 30 orang lagi murid-murid biasa. Pelbagai cabaran dilalui, namun si anak tampil menyerlah di dalam peperiksaan yang dijalankan. Namun dari segi sosialnya, si anak bergelut dengan persekitaran baru yang dikelilingi dengan rakan tipikal dan guru biasa yang tidak terlatih untuk menangani kehendak anak isitmewa. Ketika ini, peranan ibubapa teramatlah penting untuk membantu si anak yang pastinya mengalami kejutan dengan persekitaran barunya, menjadi jambatan antara guru biasa yang mendidik di sekolah dengan keperluan si anak yang berkelainan. Kerjasama ini dapat diterjemahkan hasilnya melalui peningkatan pencapaian si anak, baik dari segi pembelajarannya mahupun sosialnya.


Antara pencapaian Syahmi dalam matapelajaran Matematik (kiri),
 Bahasa Melayu (tengah), Pendidikan Islam (kanan)

Antara lakaran kejayaan yang dicapai setakat ini : Juara Tilawah Al Quran Pendidikan Khas
Peringkat Daerah (kiri), Tempat Pertama Pertandingan Menulis Esei Pendidikan Khas Peringkat Daerah (tengah),Tempat Ketiga Tilawah Al Quran Pendidikan Khas Peringkat Negeri Terengganu (Kanan)


'Alah bisa, tegal biasa', si anak akhirnya belajar sedikit demi sedikit bersosial melalui rakan-rakannya. Namun tidak dinafikan ada kalanya wujud konflik yang menuntut lelehan airmata samada di pihak si anak mahupun kita ibubapanya. Sangat mudah untuk dihikayatkan tapi pengalaman si anak yang diinklusifkan sangat menguji kesabaran ibubapa. Pihak sekolah juga seharusnya memberi peluang sama rata bagi melahirkan insan istimewa yang berjaya sebagaimana yang dinikmati oleh anak kami di Sek Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu.


Tahun demi tahun diinklusifkan, banyak pendedahan diberikan pada anak ini umpamanya penyertaannya di dalam  Tilawah Al Quran Pendidikan Khas, Pertandingan Penulisan Esei Pendidikan Khas, dilantik menjadi Pengawas Sekolah dan mengetuai bacaan doa semasa perhimpunan mingguan sekolah. Ini membuktikan  keprihatinan pihak sekolah dalam memberikan peluang pendidikan yang sama rata terhadap anak-anak di Pendidikan Khas.


Perlantikan Pengawas sekolah (kiri), penyertaan dalam Tilawah Al Quran (tengah),
 mengetuai bacaan doa semasa perhimpunan mingguan sekolah (kanan)

Namun, tidak dinafikan bahawa peluang yang diperolehi anak ini  tidak dapat dinikmati oleh sebahagian besar anak-anak di Pendidikan Khas. Sebagai ibubapa, teruskan usaha membantu anak masing-masing bersesuaian dengan kemampuan mereka. Perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan cabaran.


Dalam usia si anak yang kini hampir mencecah 11 tahun, harapan kami hanyalah untuk menyaksikan si anak mampu berdikari demi masa depannya. Berjaya dalam kehidupan di dunia juga di akhirat kelak. Lahirnya ke dunia, untuk mengajar kami menjadi ibubapa yang lebih redha dan sabar dengan setiap ketentuan-Nya......Sekian.





2 comments:

  1. Tahniah kepada Puan kerana anak autistik Puan berjaya mengatasi 'limitation' yang biasa dialami oleh kanak kanak yang autistik. Pada pendapat saya keadaan anak Puan tidaklah seberat kanak kanak autistik lain.

    Anak saya berumur 5 1/2 tahun dan kini telah hampir setengah tahun menghadiri sek pen khas. Namun secara ikhlas saya nyatakan, saya tidak nampak sebarang perubahan dan perubahan dari segi kenolehan bertutur. Anak saya masih belum pandai bertutur. Dia hanya pandai mengulang apa yang kita sebut tanpa memahami apa yang dia sebut.

    Keep writing...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana kunjungan ke laman ini. Sebenarnya usia 5 1/2 tahun, masih mempunyai harapan besar utk mencapai perubahan yg sangat baik. Dalam usia tersebut, Syahmi baru saja didiagnose dan belum juga pandai menulis, membaca dan mengira. Syahmi baru nampak cahayanya masa umurnya 6 tahun lebih.

    Jangan putus asa, teruskan membantu anak istimewa tuan/puan spt banyakkan bercakap dengannya, expose dia dgn persekitaran walau mereka di luar sana kekadang memberi reaksi hingga melukakan hati kita. Saya percaya, anak puan juga mampu spt Syahmi, yakin boleh!

    ReplyDelete