Antara contoh perkataan berimbuhan.... |
Sila jangan keliru, kerana saya masih lagi membicarakan tentang autisme bukannya ingin menjadi guru Bahasa Melayu. Cuma kali ini saya hendak menekankan tentang kelemahan anak autisme apabila berdepan dengan perkataan berimbuhan dalam menjawab soalan peperiksaan mahupun perbualan seharian.
Jenis Perkataan Berimbuhan |
Perkataan berimbuhan terbahagi kepada empat iaitu, Imbuhan Awalan, Imbuhan Akhiran, Imbuhan Apitan dan Imbuhan Sisipan. Imbuhan Awalan seperti bercakap, terkejut, melompat dan seumpamanya manakala Imbuhan Akhiran adalah lukisan, makanan, tekanan dan sangat biasa kita temui dalam penggunaan seharian. Apa yang dikatakan Imbuhan Apitan dimana kata dasarnya yang diapit antara dua imbuhan seperti melaksanakan, perjuangan, kekotoran dan lain-lain lagi. Jangan lupa, terdapat juga Imbuhan Sisipan contohnya gentar jadi gementar, tapak jadi telapak,cucuk jadi cerucuk dan sebagainya .
Sering kali saya terdengar si anak salah menggunakan perkataan berimbuhan dalam perbualan seharian. Pernah saya membelek jawapan peperiksaan Kertas II Bahasa Melayu yang lalu, di sini saya dapatkan sesuatu yang jelas untuk dikongsikan bersama berkenaan permasalahan ini. Soalan kepada kertas jawapan ini berbunyi 'Tuliskan CATATAN yang bertajuk Melawat ke tempat menarik pilihan anda'.
Petikan dari lampiran jawapan dimana kesalahan penggunaan perkataan berimbuhan 'Pengambilan' sepatutnya diganti dengan 'Mengambil' |
Sebenarnya, bukan sahaja anak-anak autisme yang berdepan dengan masalah ini. Kanak-kanak tipikal juga turut mengalami masalah yang sama namun tak seserius anak autisme. Tiada jalan lain lagi bagi membantu anak ini selain dari menekankan aktiviti membaca serta bantuan dari ahli keluarga untuk memperbetulkan kesilapan dalam perbualan sehariannya.
Semoga informasi ini dapat memberi kefahaman tentang masalah penggunaan bahasa anak-anak istimewa autisme samada dari segi penulisan mahupun dalam pertuturannya. Bukan mudah untuk menguasai sesuatu bahasa, namun ianya tidak mustahil kerana ada insan istimewa autisme yang boleh menguasai beberapa bahasa dengan baik. Segalanya mungkin.....In Shaa Allah
No comments:
Post a Comment