Pages - Menu

Saturday, July 27, 2013

Hati Umpama 'Kembang Semangkuk' .....Sejukkkkk


Kembang Semangkuk......nama saintifiknya
Scaphium Marcopodum
               
                  Ramai yang bertanya, bagaimana tuan/puan boleh menerima keadaan si anak yang mengalami autisme? Bagaimana melayan kerenahnya, bagaimana menangani persepsi masyarakat sekeliling, bagaimana hendak menghadapinya?


                   Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui, kerana kami dikurniakan hati umpama 'kembang semangkuk'. Direndam dengan sedikit air sahaja, maka akan berubah dari butiran yang keras seperti batu lalu berkembang menjadi jelly hingga boleh menjadi penawar jika dimakan terutamanya untuk menyejukkan tubuh badan. Kami berasa besar hati apabila si anak menunjukkan perubahan +ve walau hanya seinci. Hinggakan boleh membina segunung kesabaran dalam melalui cabaran mendidik mereka.

Dengan rendaman di dalam sedikit air , butiran keras
 kembang semangkuk bertukar menjadi jelly
                                                     
                   Bukan menidakkan kenyataan, kerana ada kalanya kami juga terasa 'down'......putus asa, jauh hati, terbuku hati, makan hati di sebabkan faktor-faktor tertentu. Namun demi si anak perasaan itu tidak  boleh berterusan membelenggu kami.  Jika kami mengalah, dimana lagi tempat si anak hendak mengadu? Sebenarnya kami sentiasa berlari mengejar setiap detik masa untuk membantu si anak agar menjadi insan yang boleh berdikari di dalam hidupnya di masa akan datang.


                    Mungkin ibubapa lain tidak mengetahui, kami amat bergembira bila si anak mula bercakap sepatah dua walaupun sepatutnya ketika itu selayaknya dalam usia tersebut mereka telah boleh berpidato seperti anak tipikal yang sebaya. Kami bersyukur walau si anak hanya merangkak-rangkak menulis A,B dan C sedangkan anak-anak normal yang lain telah boleh menulis dengan kemas dan cantik. Kami juga redha apabila si anak dipandang sinis oleh segolongan masyarakat yang kurang memahami apabila si anak  mempersembahkan  perangai 'cantiknya' di shopping complex, di majlis perkahwinan dan sebagainya.

                                                 
Lazat diminum....Li Chi Kang dimana terdiri
dari ramuan yang beraneka termasuk
kembang semangkuk
                     Mungkin ibubapa lain, hanya bergembira bila si anak dapat 8A, 9A dalam peperiksaan. Namun bagi kami cukuplah sekadar anak dapat menguasai 3M dan jika mampu, sama-sama masuk ke dewan peperiksaan  seperti pelajar lain. Bila ada yang cemerlang dalam pelajarannya, berkerumunlah wartawan dan jurugambar TV mahupun suratkhabar untuk berkongsi kejayaan 'luarbiasa' si anak. Kes-kes yang terpencil seperti inilah yang membakar semangat kami ibubapa anak istimewa ini untuk meneruskan perjuangan.


                     Semoga hati kami terus bersabar menerima ujian ini, bersyukur walau hanya memperolehi dengan nikmat yang sedikit, tiada iri hati dengan kejayaan orang lain, redha dengan apa ketentuan-Nya kerana Dia sedang menunjukkan kami jejak-jejak ke syurga dalam mendidik anak-anak istimewa....aamiin


                     


                 
                         

                                                                               

No comments:

Post a Comment