Kadang-kala terdetik jua di hati kalaulah anak istimewa kita berupaya melangkah ke mainstream, alangkah bahagianya. Teringin amat rasanya melihat mereka duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan anak-anak tipikal. Perasaan ini pernah timbul ketika awal-awal anak saya memulakan pembelajaran di Pra PKIBP dulu.
Syahmi duduk di depan sekali (barisan meja paling kiri) dalam kelas di mainstream 5 Al Ghazali, Sek Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu |
Akhirnya, impian jadi kenyataan apabila si anak diinklusifkan ke mainstream pada tahun berikutnya. Macam-macam rasa pula timbul, berdebar ada, jauh hati makin bermaharajalela, kekadang berjerebu di hati, siapa yang tahu? Melangkahnya kaki si anak ke mainstream bermakna tugas ibubapa menjadi semakin mencabar untuk mengimbangi keperluan pembelajaran melawan kekangan semulajadi si anak.
Minggu peperiksaan tiba, hati ibubapa bimbang samada si anak dapat menjawab soalan sehingga selesai. Maklumlah, anak-anak autisme mengalami masalah menulis yang agak serius. Lenguh tangan, letih dan pelbagai rungutan yang biasa keluar dari mulut si anak bila menulis banyak-banyak. Dalam peperiksaan, tiada istilah lenguh, letih dan sebagainya. Hendak atau tidak, murid kena selesaikan juga menjawab kesemua soalan.
Syahmi (terkiri) sedang menjawab kertas soalan peperiksaan |
Mungkin bagi ibubapa anak-anak tipikal, tiada kegusaran tentang makan pakai si anak semasa di sekolah. Biasanya anak tipikal telah boleh menguruskan diri apabila mereka melangkahkan kaki ke sekolah. Tapi anak istimewa kita tidak! Makanannya tertentu, jika tersalah makan kembung perut, cirit birit lalu berdering telefon dari pihak sekolah yang mengkehendaki kita mengambil si anak yang mengadu kurang sihat.
Begitu juga masalah pengurusan diri ketika di bilik air. Kebiasaannya, si anak sukar bertolak ansur dengan kebersihan tandas sekolah. Mereka mahukan yang terbaik, tiada bau hancing, bersih keadaannya kerana itu yang dipraktikkan di rumah. Wujudkah tandas sekolah yang bersih seperti di rumah? Hakikatnya di negara kita mungkin 1 dalam 1000 agaknya kes-kes kebersihan tandas yang dititikberatkan. Oleh itu, jalan penyelesaiannya si anak lebih rela menahan diri dari melepaskan hajatnya, ditangguh-tangguh selagi terdaya.
Jika bercerita tentang pergaulannya dengan guru di sekolah, kecut perut kita dibuatnya. Si anak terlalu lurus dan sukar membaca emosi orang lain. Cakap mengikut fakta, walaupun hakikatnya kehidupan kita kena cakap beralas. Maksud biar sampai, tapi tidak pula menyinggung hati cikgu terutamanya. Malangnya anak autisme tiada nikmat tersebut. Bukan dibuat-buat, itulah kekurangan insan autisme. Maafkanlah mereka wahai guru-guru terutamanya.......Namun saya percaya dan tidak ragu-ragu lagi bahawa anak saya sangat menurut perintah, cikgu! Kalau pandai mengambil hatinya, pasti cikgu dapat mencungkil nilai-nilai positif yang ada padanya.
Sedikit demi sedikit si anak bergaul dengan teman sebaya.... |
Pada teman-teman di sekolah, kelainan yang ada padanya kekadang dijadikan bahan usikan, ejekan dan celaan. Namun ada juga di kalangan mereka yang sangat mengambil berat tentangnya. Apa-apa berlaku, cepat-cepat dikhabarkan pada si ibu. Jadi lebih mudah untuk kita mengetahui dan monitor keadaan yang berlaku. Setakat ini tiada lagi kejadian yang serius terjadi, cuma yang biasa-biasa dan seharusnya kita menganggapnya sebagai cabaran sambil si anak menimba pengalaman. Kalau dulu, waktu rehat si anak hanya ke kantin bersendirian untuk makan. Tapi sekarang tidak lagi, beramai-ramai beriringan dengan teman untuk makan di meja sambil berbual mesra.
Kekadang hati tertanya-tanya apakan terjadi bila si anak meningkat remaja seterusnya dewasa kelak? Mampukah dia membawa diri dengan persekitaran yang mencabar serta mengikuti syllibus pembelajaran yang kian mendesak. Hanya Dia yang Maha Mengetahui kesudahannya. Kita hanya mampu berusaha.
Pada ibubapa di luar sana yang memiliki anak istimewa di mainstream, sabarlah menghadapi masalah/kerenah si anak dengan masyarakat sekeliling di sekolah. Cabaran tetap datang, bersyukurlah dengan peluang yang diberi jika dibandingkan dengan anak-anak lain di Pendidikan Khas yang tidak berpeluang melangkahkan kaki ke mainstream. Kuatkan semangat kita untuk menjadi tempat si anak merebahkan bahunya ketika gundah, sambil perlahan-lahan membina keyakinan diri mereka. Kalau bukan kita ibubapanya, siapa lagi yang harus menggalas tanggungjawab ini???
Saya hanya sekadar meluahkan rasa agar apa yang terbuku di hati dapat dikongsi bersama-sama mereka yang benar-benar mengerti.......
No comments:
Post a Comment