Pages - Menu

Friday, January 10, 2014

Rasa Bimbang, Cemas, Khuatir Yang Berlebihan... (Anxiety)


Mereka yang mengalami masalah neurologi biasanya mengalami
rasa bimbang, cemas dan khuatir yang berlebihan...(anxiety)

Rasa bimbang, cemas, khuatir bila berhadapan dengan sesuatu keadaan yang membahayakan, mahupun keadaan yang boleh menimbulkan tekanan merupakan perkara normal bagi setiap individu. Namun, ianya menjadi masalah jika reaksi yang berlebihan seseorang apabila menghadapinya.  Rasa bimbang ini sangat sinonim dengan mereka yang mengalami masalah neurologi sebagaimana autisme. Namun keupayaan mereka menghadapi masalah ini berbeza antara satu sama lain.


Rasa bimbang, cemas dan khuatir yang berlebihan ini boleh memberi kesan terhadap fizikal juga minda seseorang. Menurut kata pakar 80% dari golongan ASD (Autisme Specrum Disorder) mengalami masalah ini. Simptom-simptom yang biasanya ditunjukkan oleh kanak-kanak autisme apabila mengalami masalah ini seperti :

                             - gelisah
                             - sakit kepala/pening
                             - sakit perut
                             - 'head banging'
                             - menggigit kuku
                             - menarik-narik rambut
                             - enggan ke sekolah, prestasi menurun
                             - kesukaran menumpukan perhatian
                             - mengelak dari aktiviti sosial
                             - sukar tidur
                             - stimming seperti spinning, hand flapping
                             - kebimbangan, cemas, khuatir yang berterusan


* Oleh itu, ramai bijak pandai yang berpendapat bahawa simptom autisme di atas dapat diatasi jika perasaan bimbang, cemas dan khuatir ini dapat diselesaikan.

(Senarai di atas merupakan simptom-simptom anxiety - rasa cemas yang berlebihan bukan autisme)


MENGAPA BERLAKU?

Terdapat banyak faktor yang merangsang perlakuan ini terutamanya sensory processing yang berbeza. Sentuhan biasa bagi manusia normal, namun bagi golongan ini sentuhan yang sama dirasakan tidak selesa atau sakit buat mereka. Keadaan ini boleh menimbulkan tekanan jika dibiarkan berterusan.

Stress jika tidak dikawal....

Mereka juga bermasalah untuk mentafsir dan memahamkan tindakbalas orang di sekeliling dalam sesuatu keadaan. Dunia ini penuh dengan perkara-perkara yang mengelirukan bagi mereka. Manakala bagi yang belum boleh berkomunikasi, kesukaran untuk menyampaikan maksud menyumbang kepada perlakuan yang amat mencabar seperti yang tersenarai di atas.

                 
BAGAIMANA MENGURUSKANNYA?

Mustahil untuk menguruskannya secara total, namun mengurangkan rasa bimbang, cemas dan khuatir yang berlebihan ini sudah dikira mencukupi. Sebenarnya, mereka harus diberi peluang untuk menguruskan sendiri tahap kebimbangan, cemas dan khuatir yang berlebihan itu demi masa depan.

Kita boleh membantu dengan beberapa pendekatan seperti :

a.  Mengenalpasti perkara-perkara yang mencetus kepada kebimbangan, cemas dan
kekhuatiran mereka melalui isyarat yang diberi. Biasanya ibubapa lebih arif dengan
tingkah laku si anak.

- rutin berubah
- persekitaran berubah
- sensitiviti terhadap sensori
- takut pada objek-objek tertentu seperti lipas, belon dan sebagainya

Pastikan keadaan-keadaan ini didedahkan pada si anak sedikit demi sedikit supaya
situasi ini menjadi kebiasaan bagi mereka.


b.  Bantu si anak untuk mengenalpasti keadaan bila mana mereka berada dalam
kebimbangan, cemas dan khuatir. Contohnya, denyutan jantung yang laju dari biasa,
tapak tangan berpeluh dan sebagainya.

Mungkin juga lebih memudahkan pemahaman mereka dengan cara melukis gambaran
anggota badan yang mengalami tindak balas dari rasa bimbang, cemas dan kekhuatiran
tersebut


c.  Relaksasi

Pelbagai cara yang sesuai, mungkin dengan mempraktikkan:

- kiraan 1-10 perlahan-lahan
- melompat atas trampoline 50 kali
- tarik nafas dalam-dalam 5 kali
- menutup mata beberapa ketika
- mengalih perhatian kepada perkara-perkara yang menarik minatnya
                 
Latih mereka mengalihkan rasa kebimbangan,cemas dan kekhuatiran ini kepada
sesuatu aktiviti yang dapat menenangkan diri mereka.


d. Teknik Visual

Social  Stories dalam bentuk bergambar untuk memudahkan pemahaman golongan ini. Jika mereka bimbang ke sekolah, visualkan aktiviti si ibu di rumah semasa mereka di sekolah  seperti memandu pulang ke rumah, memasak di dapur, berkebun di halaman rumah dan sebagainya. Juga visualkan aktiviti yang sepatutnya si anak lakukan semasa di sekolah, seperti menulis, membaca, makan, bermain dll.

Jika berlaku perubahan dalam rutin mereka, seharusnya dinyatakan lebih awal secara perlahan-lahan supaya mereka lebih bersedia. Buatkan schedule dalam bentuk visual terhadap sesuatu perubahan seperti jadual kelas renang yang terpaksa dibatalkan kerana jurulatihnya tidak dapat hadir. Terlalu mendesak juga boleh menimbulkan kebimbangan, cemas dan seumpamanya.


e. Latih mereka menghadapi situasi tertentu seperti cemas apabila berada di kedai gunting rambut. Biasakan mereka melihat adik beradiknya sedang memotong rambut di sana dengan selesa. Berbincang dengan si 'barber' tentang keadaan si anak supaya dapat dilakukan di sebelah petang ketika pelanggan lain telah selesai.

Latihan yang konsistant dengan kerjasama semua pihak dapat menenangkan mereka dan memahamkan mereka dengan sesuatu situasi.
                   
                   
Sebelum menutup bicara, ingin saya berkongsi pendapat pihak yang mendakwa bahawa kebimbangan, cemas dan kekhuatiran yang berlebihan berlaku pada ASD (Autism Spectrum Disorder) bersangkut-paut dengan ketidaknormalan saiz AMYGDALA autisme iaitu bahagian otak manusia yang memproses emosi  untuk berfungsi dengan betul. Setakat mana kebenaran fakta ini, biarlah mereka yang pakar merungkaikannya.

Bagi yang beragama Islam, pentingnya anak-anak kita didedahkan dengan hafalan surah-surah yang terkandung dalam kitab-Nya bagi memantapkan jiwa anak-anak istimewa ini. Membiasakan diri sentiasa berwuduk. Kepada siapa lagi untuk kita mengadu jika bukan kepada pencipta-Nya?

Wallahualam......

Kedudukan AMYGDALA...



No comments:

Post a Comment