Pages - Menu

Thursday, June 12, 2014

Dia Terapist Cara Kerja Pertama Syahmi.....



               Opah dah berusia, jalan pun seperti anak-anak berusia setahun dua. Bertatih perlahan-lahan ke sana ke mari dan kadang kala terpaksa bertongkat. Solat pun dah tak larat nak berdiri, sejak beberapa tahun kebelakangan ini Opah bersolat secara duduk di atas kerusi. Lapan puluh satu tahun usianya. Atok baru saja meninggalkannya kira-kira setahun yang lalu. Tapi Opah bernasib baik kerana ada anak-anak yang sanggup membantunya ke sana ke mari.


Opah Syahmi.....
lahir tahun 1933, sekarang berumur 81 tahun

Opah baru kembali dari menunaikan umrah 2 minggu lalu. Opah pernah mengerjakan haji tahun 1991 bersama suami (Atok). Ketika itu Perang Teluk di Tanah Arab. Ramai jemaah Malaysia dan dunia keseluruhannya menunda untuk menunaikan haji pada tahun tersebut kerana bimbangkan keselamatan masing-masing semasa di sana. Namun Opah tetap memegang prinsip, ajal maut di tangan Tuhan. Maka dikhabarkan bahawa jemaah pada tahun tersebut amat berkurang hingga memberi kemudahan pada yang pergi menunaikan haji dengan lebih selesa. Tahun tersebut juga merupakan Haji Akhbar (Wukuf jatuh pada hari Jumaat). Rezeki Opah lah nampaknya....


Opah dibantu anak-anak bagi mengerjakan
umrah baru-baru ini

Opah bukan golongan terpelajar, hanya belajar peringkat rendah sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu. Bila Jepun datang ke Tanah Melayu, maka menyoroklah anak-anak dara di kampung ketakutan dari ancaman. Tiada diberi peluang untuk menyambung pelajaran lagi oleh keluarganya. Hanya membantu ibubapanya di kampung, berbendang, menjaga adik-adik di rumah juga memasak untuk keluarga.


Tetapi sebagai seorang anak, saya dapat menilai Opah seorang yang sangat cerdik. Dari tindakan dan pemikiran, dia sangat bijak orangnya. Cergas dan cerdas, cukup sekadar mengambil pemakanan cara orang kampung, nasi dari beras yang dituai sendiri di bendang, rendang ayam hasil dari ayam peliharaan dan sembelihan sendiri, ulam-ulaman yang dipetik dari sekitar halaman rumah. Namun sebagai manusia biasa, hukum alam tidak mampu diubah, Opah tetap dimamah usia akhirnya....

                 
Ketika usia Syahmi lapan bulan, Opah selalu mengajar Syahmi 'Tepuk Amai-Amai'. Tapi baby Syahmi ketika itu buat tidak endah. Opah merungut "Kenapalah cucu yang ini tidak pandai mengajuk".....('Tepuk Amai-Amai' yang diajarinya). Namun tiap kali bertemu, Opah tidak jemu-jemu mengajarnya hingga dia boleh mengajuknya walau tidak sekerap bayi-bayi normal. Sebenarnya kemahiran bertepuk tangan di kalangan bayi dapat merangsang perkembangan motor dan kognitif mereka.


Tepuk Amai-Amai
Belalang Kupu-Kupu
Tepuk Biar Pandai
Boleh Upah Susu


Terima kasih Opah.....sekarang baru saya sedar Opah menjadi Terapist Cara Kerja Syahmi yang pertama. Biar orang lain tidak nampak sumbangan Opah, tapi rangsangan awal yang Opah berikan sebenarnya amat bermakna dalam perkembangan positif si anak. Tidak perlu masuk 'U', dengan idea orang dulu-dulu Opah juga mampu menjadi Terapist Cara Kerja.

Sayang Opah.....



                   

No comments:

Post a Comment