Pages - Menu

Saturday, July 25, 2015

Pok Chik Dah Pergi....







Pok Chik dah 'pergi'. 'Pergi' meninggalkan dunia ini, 'pergi' meninggalkan anak isteri yang disayanginya, teman-temannya, harta dunianya. Yang dibawa ke sana hanyalah amalannya semasa di dunia. 'Pergi'nya Pok Chik kelmarin dulu setelah mengalami serangan jantung di rumah dan akhirnya tidak dapat diselamatkan lagi walaupun telah dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.


Pok Chik pergi dalam umur yang masih muda, 48 tahun. Namun ajal kita hamba-Nya tidak mengenal usia. Segalanya telah ditentukan semenjak azali lagi. Mulianya hati Pok Chik, tiada tolak bandingnya. Zahirnya sahaja kita boleh tahu Pok Chik seorang yang sangat penyayang. Sangat cakna dengan budak-budak. Kerap dilihat di sekolah bersama si isteri untuk menghantar dan mengambil puterinya yang sebaya dengan anak istimewa ku, Syahmi. Kerap juga Pok Chik menyertai aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah.


Keratan akhbar Sinar Harian 2011 - Pok Chik (kanan sekali),
Ayah Syahmi (kiri sekali) dalam Acara Murid 1 Sukan 1 Malaysia yang berlangsung
di padang Sek Keb Seri Budiman II

2012 - Peristiwa yang membuat saya amat terharu, Pok Chik mententeramkan Syahmi yang
keletihan setelah menamatkan acara Larian Merentas Desa sekolah


Pok Chik kerap mendengar cerita tentang Syahmi melalui puteri jelitanya. Puterinya juga amat mengambil berat tentang hal-hal Syahmi. Jika berlaku sesuatu yang kurang enak terhadap Syahmi semasa di dalam kelas, pasti puteri Pok Chik yang akan menyampaikan khabar kepada saya. Alhamdulillah... sebagaimana Pok Chik, puteri Pok Chik juga berhati mulia umpama bidadari syurga yang Allah turunkan untuk membantu Syahmi semasa di sekolah.


Biar Pok Chik telah tiada, kebaikan Pok Chik pasti kekal mengiringi Pok Chik. Allah tidak pernah alpa, setiap kebaikan pasti akan mendapat ganjaran dari-Nya. Berbahagialah Pok Chik hendaknya di sana, semoga roh mu dicucuri rahmat. Permudahkanlah Ya Allah  urusan seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan. Al fatihah.


2014 - Tinggal kenangan Syahmi bersama Pok Chik


No comments:

Post a Comment