Dia dah di Tingkatan 1. Bila ibubapa dijemput ke sekolah untuk menghadiri Program Temu Murni, maka berdebar-debar juga perasaan si ibu berhadapan Guru Kelasnya. Bila anak istimewa berada di sekolah menengah biasa, saya tidak lagi seaktif dulu mencampuri urusan gurunya dalam pendidikan dan pembelajaran anak istimewa saya.
Bukan bermaksud nak lepas tangan, tapi saya mahukan anak saya berdikari. Cuba menyelesaikan masalah sendiri. Namun saya sentiasa bertanya itu dan ini semasa si anak di rumah. Setakat ini nampaknya tiada sebarang masalah berbangkit terutama dari gurunya. Selagi guru tidak menghubungi saya, anggaplah gurunya boleh menguruskan kerenah anak murid yang ini. Semoga anggapan ibu, benar belaka....
Berhadapan dengan Guru Kelasnya, Puan Wan Normah, mendamaikan hati kita disebabkan keramahan beliau menerima tetamu di kalangan ibubapa anak-anak didiknya. Menurut katanya, prestasi si anak SEDERHANA dengan kedudukan dalam kelas 9/31 sementara keseluruhan 89/291. Bermakna anak saya dalam kedudukan 3 kelas terbaik dari 8 kelas semuanya. Mampu untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik jika dibimbing dengan betul. Sosialnya baik, tidak menganggu kawan, cuma kurang senang jika diganggu orang lain. Kekadang dia masih kurang memahami komunikasi yang pantas.
Sejuk hati ibu mendengar feedback seorang guru terhadap perkembangan anak muridnya. Harapan ibu sebenarnya lebih kepada sosial si anak. Akademik perkara ke 2 yang harus difikirkan. Ibu telah 6 bulan memastikan si anak belajar menangani tantrum, bertolak ansur dengan kawan, menghormati guru-guru dan sebagainya.
Mungkin cikgu tidak tahu, di awal tahun dulu anak saya masih terkial-kial untuk mengenakan tali kasutnya, terkial-kial juga mengenakan butang lengan panjang baju sekolahnya, mengikat tali lehernya. Sedangkan kawan-kawan tipikal yang lain telah jauh ke depan menguasai kemahiran-kemahiran tersebut. Itulah perjuangan anak istimewa masalah pembelajaran apabila digandingkan dengan anak-anak tipikal. Sekarang Syahmi telah boleh menguasai kemahiran asas tersebut...alhamdulillah
Pelan-pelan kayuh Syahmi, InshaAllah setiap usaha tiada yang sia-sia. Senyum kamu ketika bersama kawan-kawan membuatkan hati ibu berbunga-bunga. Kipidap Syahmi.....ibu percaya kita tidak salah memilih sekolah ini untuk meneruskan pembelajaran mu di peringkat menengah.....
Nak balik dah..... |
No comments:
Post a Comment