Pages - Menu

Sunday, April 24, 2016

Jom Tonton Redha bersama Sahabat Faqeh Terengganu


Program SFT Menonton Redha di TGV Cinemas, Kerteh

Beramai-ramai bersama Sahabat Faqeh Terengganu ke Mesra Mall, Kerteh dengan menaiki bas merupakan pengalaman menarik. Anak-anak berlari-lari ke sana ke mari di dalam bas dengan selesa. Semuanya kerana Jom Tonton Redha. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Yayasan Pembangunan Keluarga, Terengganu yang sudi menaja sebuah bas untuk kemudahan kami ke Kerteh, perjalanan berjarak kira-kira 140km dari Kuala Terengganu - Kerteh.


Promosi Redha
Sebelum tayangan dimulakan
Penyampaian cenderahati kepada YM Tunku Mona
selaku Pengarah Filem Redha
Sesi beramah mesra dengan artis
Dari kiri, Harith, Syahmi dan Nam Ron
Tak puas lagi? Terus bergambar sebelum beredar....
Sahabat Faqeh Terengganu yang terdiri dari ibubapa kepada anak-anak
istimewa autisme, down syndrome, cerebral palsy, global development
delay, bergambar bersama anak masing-masing

Menonton sebagai tanda sokongan kepada Pengarah filem Redha YM Tunku Mona Riza yang komited menghasilkan sebuah filem tentang anak autisme. Filem ini juga dikira sebagai naskhah terbaik oleh produksi tempatan yang menggarapkan realiti kehidupan ibubapa yang mempunyai anak istimewa autisme.


Tahniah kepada para pelakon yang mendokong watak-watak utama seperti Nam Ron, Jun Lojong, Nadia Nisa dan si cilik Harith Haziq. Kagum dengan kebolehan Harith Haziq yang melakonkan watak sebagai individu autisme ketika kecil, amat berkesan hingga sukar untuk dicari kesilapannya.


Bagi mereka yang belum menyaksikan filem ini, sila ke panggung terdekat untuk sama-sama menyaksikan sebuah karya tempatan yang baik dan ilmiah. Kalau bukan kita menyokong produk tempatan, siapa lagi?


Jom Tonton Redha....




Thursday, April 21, 2016

Terbaik Belum Tentu Dapat Menarik Perhatian



Filem Redha Arahan Tunku Mona Riza

Sana sini kita baca komen-komen dari mereka yang telah menonton filem ini di panggung. Dari pengkritik filem, pelakon tersohor yang mengatakan bahawa filem ini mempunyai nilai kemanusiaan yang jarang-jarang diketengahkan oleh pendokong industri perfileman tempatan. Syabas kepada penerbit dan pengarahnya yang begitu berani melaburkan modal untuk menghasilkan filem REDHA.


Namun, khabarnya filem ini kurang mendapat sambutan masyarakat negara kita yang rata-ratanya ke panggung hanya sekadar untuk mendapatkan hiburan. Kisah keluarga yang berjuang untuk menerima kehadiran seorang anak autisme dengan redha. Pahit maung ibubapa melawan persepsi negatif masyarakat terhadap golongan istimewa ini. Maka, filem-filem begini kurang mendapat tempat di hati mereka. Tidak hairanlah setiap kali tayangan hanya beberapa kerat sahaja yang datang.


Sedih, kecewa memang ada. Namun sokongan ibubapa anak istimewa autisme seluruh negara nampaknya tidak berbelah bahagi terhadap filem ini. Sampai bila masyarakat kita hendak membuka minda dalam mencari ilmu? Yang 'lagho' kita sanjung, kita agungkan. Yang bermanfaat kita tak pandang sebelah mata.


Menangis keluar airmata darah sekali pun, tidak mampu menyakinkan masyarakat kita untuk menonton karya-karya terbaik begini. Masyarakat kita sukakan hiburan yang mampu mengasyikkan umpama cerita cinta Romeo and Juliet, bisa mentertawakan hingga pecah perut, bisa menyajikan hero dan heroin yang cun melecun, mahupun yang menyeramkan biar pun ianya tahyul semata-mata namun dapat meremangkan bulu romanya.


Tepuk dada tanya selera masing-masing. Semoga mereka yang kurang prihatin ini tidak dipilih oleh-Nya menerima anugerah anak istimewa dalam keluarga kerana sememangnya mereka tidak 'berkelayakan'. Wallahualam


Saya mewakili ibubapa kepada anak istimewa ini
ingin mengucapkan ribuan terima kasih
atas usaha pihak terbabit dalam menghasilkan
sebuah filem yang hebat
- REDHA -











Monday, April 18, 2016

Inklusif Penuh....



Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
sebagaimana rakan-rakan tipikal

INKLUSIF PENUH di sekolah biasa. Bagaimana keadaannya? Bersendirian melalui ranjau dan duri. Seorang pelajar berkeperluan khas, dikelilingi rakan tipikal dengan pembelajaran serta aktiviti persekolahan yang semakin mencabar. Seorang pelajar berkeperluan khas yang akan berhadapan dengan guru-guru biasa yang tidak terdedah dengan keperluan anak istimewa.

Kes-kes sebegini merupakan kes yang terpencil. Kes yang jarang-jarang berlaku menyebabkan ramai yang terlepas pandang. Anak-anak istimewa masalah pembelajaran yang boleh mengikuti pembelajaran sebagaimana pencapaian anak tipikal, akan diinklusifkan ke sekolah-sekolah biasa bersama anak tipikal yang lain.

Ramai ibubapa yang mendambakan anak-anak istimewa masing-masing belajar di aliran perdana. Namun jangan lupa, melangkah sahaja kaki si anak ke sekolah, ibuayah sentiasa berdebar dengan penerimaan masyarakat sekolah terhadap anak istimewa di sana.

Fahamkah guru dengan kehendak si anak istimewa tersebut?
Bolehkah mereka bertolak ansur dengan kekurangan yang ada padanya?
Tidakkah si anak menjadi bahan ejekan rakan-rakan tipikal yang lain?
Mampukah dia seiring dengan rakan-rakan yang lain dalam memenuhi tuntutan silibus pembelajaran yang semakin mendesak?

Bermacam-macam lagi persoalan yang timbul di kepala ibuayahnya. Berdoalah agar anak kita ditemukan dengan guru-guru hebat yang berjiwa 'emas' untuk membantu anak kita. Begitu juga rakan-rakan yang berada di sekelilingnya. Hadirkanlah insan-insan berhati mulia untuk membantu, melindungi serta menghargai kehadirannya.

Pada ibubapa di luar sana yang mempunyai anak istimewa, jangan terlalu bermimpi indah sekiranya si anak belum cukup mantap untuk bersaing dengan rakan-rakan tipikal di aliran perdana. Sebelum kita mengambil keputusan untuk menempatkan mereka di sana, haruslah memantapkan mereka dengan ilmu pengurusan diri juga kemahiran bersosial terlebih dahulu.

Ingat! Bukan bermakna jika si anak mampu menerima pembelajaran, secara automatik mereka layak untuk belajar di aliran perdana. Jangan korbankan jiwa mereka hanya kerana hendak mencapai matlamat kita untuk melihat si anak berada di aliran perdana. Buatlah pertimbangan sewajarnya......

Bukan menakut-nakutkan semua, sekadar berkongsi pengalaman yang ada. Wallahualam










Saturday, April 2, 2016

Autism Awareness 2016






Suatu ketika dulu (tahun 2008), Syahmi sedang dibantu guru ketika sesi terapi renang. Ini merupakan proses intervensi awal bagi kanak-kanak autisme. Banyak lagi sebenarnya aktiviti yang dapat membantu mereka dalam mengatasi kekurangan diri.

Oleh itu ibubapa jangan terus leka dalam penafian. Cepat bertindak. Mereka boleh diminimakan permasalahan yang dihadapi. Tiada bukti kukuh yang menujukkan mereka boleh disembuhkan sepenuhnya. Namun kita jangan putus asa.

Berusaha dan serahkan pada-Nya, kerana sesungguhnya Dia pengatur kehidupan hambanya....Inshaallah