Filem Redha Arahan Tunku Mona Riza |
Sana sini kita baca komen-komen dari mereka yang telah menonton filem ini di panggung. Dari pengkritik filem, pelakon tersohor yang mengatakan bahawa filem ini mempunyai nilai kemanusiaan yang jarang-jarang diketengahkan oleh pendokong industri perfileman tempatan. Syabas kepada penerbit dan pengarahnya yang begitu berani melaburkan modal untuk menghasilkan filem REDHA.
Namun, khabarnya filem ini kurang mendapat sambutan masyarakat negara kita yang rata-ratanya ke panggung hanya sekadar untuk mendapatkan hiburan. Kisah keluarga yang berjuang untuk menerima kehadiran seorang anak autisme dengan redha. Pahit maung ibubapa melawan persepsi negatif masyarakat terhadap golongan istimewa ini. Maka, filem-filem begini kurang mendapat tempat di hati mereka. Tidak hairanlah setiap kali tayangan hanya beberapa kerat sahaja yang datang.
Sedih, kecewa memang ada. Namun sokongan ibubapa anak istimewa autisme seluruh negara nampaknya tidak berbelah bahagi terhadap filem ini. Sampai bila masyarakat kita hendak membuka minda dalam mencari ilmu? Yang 'lagho' kita sanjung, kita agungkan. Yang bermanfaat kita tak pandang sebelah mata.
Menangis keluar airmata darah sekali pun, tidak mampu menyakinkan masyarakat kita untuk menonton karya-karya terbaik begini. Masyarakat kita sukakan hiburan yang mampu mengasyikkan umpama cerita cinta Romeo and Juliet, bisa mentertawakan hingga pecah perut, bisa menyajikan hero dan heroin yang cun melecun, mahupun yang menyeramkan biar pun ianya tahyul semata-mata namun dapat meremangkan bulu romanya.
Tepuk dada tanya selera masing-masing. Semoga mereka yang kurang prihatin ini tidak dipilih oleh-Nya menerima anugerah anak istimewa dalam keluarga kerana sememangnya mereka tidak 'berkelayakan'. Wallahualam
Saya mewakili ibubapa kepada anak istimewa ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha pihak terbabit dalam menghasilkan sebuah filem yang hebat - REDHA - |
No comments:
Post a Comment