Pages - Menu

Wednesday, September 21, 2016

Penyu Menangis Siapa Yang Tahu...



Juara Yang Hampir Dilupakan...

Dulu saya pernah memuja suaranya. Dia pernah bergelar juara dari sebuah pertandingan nyanyian di sebuah saluran TV ternama. Imejnya yang selamba, raut wajah Melayu, tidak terlalu cantik, namun manis tetap miliknya. Suara yang tidak terikut-ikut suara penyanyi wanita lain, mantap dan penuh perasaan.

Itu cerita dulu. Kini dia telah berusia lewat 40an. Bukan semua penyanyi bernasib baik sebagaimana Siti Nurhaliza. Bakat sahaja tidak mencukupi untuk dijulang di persada. Kemunculan dia di bidang ini kurang mendapat sambutan, Namun bagi saya kebolehan dia bernyanyi tetap mengagumkan.

Takdir menemukan kami di sebuah sekolah rendah 4-5 tahun lalu di mana kami masing-masing mempunyai anak autisme. Sama-sama berulang-alik menghantar anak bersekolah Pendidikan Khas. Dia tidak memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai nama suatu ketika dulu di bidang nyanyian. Penampilannya amat selamba. Namun, saya yang tersentak apabila mendengar lontaran suaranya apabila bertutur kata. Lantas mengingatkan saya kembali suara lunaknya ketika memenangi pertandingan nyanyian tersebut sekitar tahun 1990an.

Sedihhh....kini dikhabarkan dia telah beberapa tahun berpisah dengan suaminya. Saya tetap bersimpati dengan apa yang berlaku. Bukan senang seorang ibu yang mempunyai anak istimewa hendak mengimbangi kebahagiaan diri, suami, anak-anak dan masyarakat sekeliling dalam menempuh cabaran kehidupan. Namun dia tetap tabah menutup pahit getir kehidupannya.

Khabarnya dia telah kembali mencuba nasib dalam bidang seni berbekalkan bakat yang ada walau kini berada di pertengahan usia. Namanya kembali menjadi sebutan setelah berjaya menjadi finalists sebuah pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh sebuah stesen TV beberapa tahun lalu. Semoga rezekinya bertambah baik.

Ingatan saya tetap terpahat bagaimana situasi dia mengurus anak istimewanya suatu ketika, bekejar ke sana ke mari bagi memastikan keselamatan si anak semasa di sekolah. Menjadi buah mulut masyarakat sekolah kerana kurangnya awareness tentang autisme.


Siapakah DIA.....

Siapakah dia? Biarlah menjadi rahsia saya. Jikalaulah namanya tersohor sebagaimana Zarina Zainuddin, Edry KRU mungkin juga jalan cerita kehidupan beliau bersama anak istimewanya menjadi buruan wartawan untuk dikongsikan dengan masyarakat. Sayang sekali dia hanya artis biasa.

Sesekali saya terkenang nasibnya, terasa bersyukur amat kerana ujian yang saya lalui tidak sehebat dirinya. Saya tetap mendoakan dia memperoleh sesuatu yang terbaik untuk kehidupannya yang mendatang...aamiin


Pemyu Menangis Siapa Yang Tahu?


No comments:

Post a Comment