Azami Budak Kacamata |
Memang dijangka, dia seorang yang bijak. Bila berada bersamanya, penuh dengan soalan-soalan 'maut'. Kekadang tak terjawab oleh kita yang jauh berusia darinya. Penampilan serius, eye contact masih lemah, muka selamba yang langsung tidak menunjukkan sebarang emosi sama ada suka, sedih dan sebagainya.
Azami Menjadi Imam Ketika Solat Dhuha Dalam Perjumpaan Mingguan Sahabat Faqeh Terengganu |
Pertama kali bertemu dengannya dalam perjumpaan mingguan Sahabat Faqeh Terengganu suatu ketika dulu, saya tidak nampak kemesraan di wajahnya. Lama kelamaan dia boleh menerima kehadiran kita walau raut wajah masih serupa. Serius, namun mahu bersoal jawab dengan kita. Maknanya ada interaksi dua hala walau emosi tidak menunjukkan apa-apa. Selamba...
Alhamdulillah...kelmarin saya mendapat berita dari ibunya, Azami Budak Kacamata telah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR 2016. Riuh rendah masyarakat mempertikaikan format baru UPSR yang telah banyak memerangkap pelajar hingga ramai yang gagal memperolehi keputusan terbaik, Azami satu-satunya calon UPSR di sekolahnya yang memperolehi 6A.
Tahniah, tahniah pada ibubapanya yang tidak pernah jemu membantu si anak. Kejayaan ini bukan datang dengan bergolek. Banyak duka dan airmata mendahului kejayaan ini. Dengar khabarnya, Azami juga akan memhon masuk ke sekolah Abang Syahmi, Sek Men Keb (A) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Mungkin ini merupakan jalan terbaik memandangkan guru-guru di sana telah pun terdedah kepada 2 pelajar autisme terdahulu, Abang Syahmi dan Abang Ahmad Danial walau karakter masing-masing sedikit berbeza.
Namun, jangan pernah kita berkata, autisme yang bijak seperti Azami Budak Kacamata ini telah 'sembuh' sepenuhnya dari simptom-simptom autismenya. Salah persepsi yang sedemikian kerana autisme merupakan masalah seumur hidup seseorang. Kita hanya mampu meminimakan sahaja permasalahan mereka bukan menyembuhkannya 100 peratus.
Perjalanan hidup mereka penuh dengan duri ranjau sebenarnya. Penerimaan kawan-kawan sepersekolahan, guru-guru di sekolah menengah nanti, semuanya akan menjadi halangan bagi mereka untuk menyesuaikan diri. Walau bagaimana pun, sebagai ibubapa kita tidak harus berputus asa. Selagi terdaya, kita bantu mereka supaya dapat hidup berdikari sebagai persediaan bila kita telah tiada nanti. InshaAllah....
Abang Syahmi bersama Azami Budak Kacamata |
No comments:
Post a Comment