Pages - Menu

Monday, January 30, 2017

Kongsi Pengalaman - Masalah Autisme Bersekolah Di Mainstream



Kehadiran mereka di mainstream merupakan kes terpencil, jarang-jarang berlaku. Kebiasaannya kita hanya melihat anak-anak istimewa belajar di sekolah-sekolah pendidikan khas yang dikhususkan kepada permasalahan mereka.


Sekolah dimana Syahmi anak istimewa kami belajar hingga kini

Banyak cabaran yang harus dilalui oleh si istimewa apabila berada di kalangan mereka yang tipikal. KITA HARUS FAHAM BAHAWA SI ISTIMEWA INI BERADA DI MAINSTREAM BUKAN DISEBABKAN MEREKA TELAH SEMBUH DARI AUTISMENYA. Mereka disyorkan untuk berada di mainstream atas keupayaan mereka menyesuaikan diri bagi mengikuti silibus di mainstream dan bergaul bersama rakan-rakan tipikal.

Namun dalam perlaksanaan program ini, si istimewa akan berhadapan dengan beberapa masalah termasuk :

1.  Pihak sekolah sendiri kurang berkeyakinan dengan kemampuan si istimewa untuk bersaing dengan rakan-rakan yang lain. Khususnya kepada sekolah-sekolah yang tidak mempunyai sayap pendidikan khas dan kurang kefahaman tentang masalah autisme.

Kesannya, hari pertama/pendaftaran lagi akan kedengaran rungutan guru-guru untuk 'berhelah' dalam menerima kemasukan anak istimewa sebagai anak didik mereka.

2.  Kekangan yang ada pada si istimewa, menyebabkan mereka terkebelakang jika dibandingkan dengan rakan-rakan tipikal yang lain. Contohnya dalam isu pemakaian uniform sekolah, mengena butang, mengikat tali kasut, mengikat tali leher yang masih terkial-kial untuk menyelesaikannya. Begitu juga kelemahan menulis dan aktiviti fine motor juga gross motor yang lain.

Kesannya, aktiviti paku memaku bagi subjek Kemahiran Hidup Bersepadu, aktiviti sukan bagi Pendidikan Jasmani akan berhadapan dengan masalah yang besar bagi mereka untuk menyudahkan tugasannya.

3.  Pandangan 'pelik' rakan-rakan terhadap si istimewa ini. Tantrum, anxiety, masalah sensory akan membuatkan si istimewa menzahirkan tingkahlaku yang sangat berbeza dari yang tipikal.

Kesannya, si istimewa akan ditertawakan, dibuli, ditakuti oleh rakan-rakan lain. Mereka akan terpinggir tanpa pembelaan.

4.  Kebolehan yang ada terpendam begitu sahaja kerana guru-guru tidak dapat mencungkil kelebihan yang ada pada mereka. Guru-guru biasa tidak terlatih dalam mengendalikan si istimewa.


Suatu ketika, Syahmi sangat aktif dalam menyertai tilawah dan hafazan
peringkat sekolah. Sekarang tidak lagi kerana tiada pihak yang dapat mencungkil
kelebihan yang ada padanya

Kesannya, kekuatan yang ada pada mereka dibazirkan. Mereka hanya sekadar menumpang di mainstream, menyaksikan pencapaian rakan-rakan lain dalam pelbagai bidang. Tiada siapa yang berani mengetengahkan kebolehan mereka.

5.  Stigma negatif dengan title OKU, menyebabkan masyarakat sekolah tidak memandang mereka sebagai satu 'aset'. Kehadiran mereka lebih kepada 'liability' yang tidak mendatangkan keuntungan kepada sekolah.

Kesannya, si istimewa terpaksa bersaing dengan yang tipikal, meletakkan kekurangan diri ke tepi. Seolah-olah persaingan yang kurang adil bagi insan istimewa ini yang memang lahir dengan kelemahan di suatu sudut berbanding dengan rakan-rakan yang lain.

Inilah pengalaman saya yang mempunyai anak autisme di mainstream. Tidak dinafikan, kebanyakan ibubapa pasti mengimpikan anak autisme masing-masing dapat belajar di mainstream. Harapan kami hanya ingin meihat mereka di sana dapat meningkatkan keupayaan bersosial ketika bersama mereka yang tipikal.

'Untung sabut timbul, untung batu tenggelam', begitulah perumpamaannya bila si istimewa di mainstream. Kerjasama pihak sekolah amat perlu, guru-guru dan masyarakat sekolah harus diberi kefahaman tentang insan istimewa ini kerana merekalah yang berperanan penting dalam memicu kecemerlangan si istimewa di mainstream.

Semoga, masalah ini mendapat perhatian oleh pihak bertanggungjawab. Didengari dan diperhalusi agar program inkusif pelajar istimewa di mainstream mencapai matlamatnya. Mereka juga boleh berjaya jika diberi peluang dan ruang...InshaAllah.








       

Friday, January 13, 2017

Allah Knows....



YM Tunku Mona Riza (Direktor Filem Redha) menghiasi dinding pejabatnya dengan
cenderamata dari anak-anak autisme seluruh negara

Perancangan Allah sangat tepat. Dulu, kami menangis kerana uniform tadika berwarna pink itu. Uniform yang inilah membuatkan hati saya retak seribu. Dipakai hanya seminggu, terpaksa dilipat dan disimpan sebagai kenangan kerana anak kami di'reject' dari meneruskan pembelajarannya di sana.

Remuk redam hati macam mana sekalipun, kami terpaksa menerima hakikat bahawa anak kami bukan seperti anak-anak yang lain. Dia special, jadi tempatnya bukan di tadika itu. Ada tempat lain yang lebih sesuai lagi untuknya. Anak special autisme 'direject' dari sekolah biasa merupakan cerita berulang yang terjadi pada kebanyakan kami, ibubapa anak autisme.

Maka langkah diteruskan. Mencari-cari tempat lain yang menyediakan pembelajaran kepada anak-anak khas. Uniform pink tidak dipakai lagi. Hanya tersimpan kemas di almari. Sesekali ternampak, airmata tetap jatuh mengenangkannya.

Bila dikhabarkan filem Redha akan ditayangkan di Mesra Mall, Kerteh tahun lalu, maka kami memikirkan cenderamata yang sesuai untuk dihadiahi kepada YM Pengarah Filem Redha, Tunku Mona Riza, sebagai penghargaan. Mungkin anak-anak autisme yang lain berkebolehan dalam lukisan. Maka mereka menghadiahi hasil seni masing-masing sebagai tanda mata buat YM direktor filem tersebut. Bagaimana dengan Syahmi?

Dia hanya ada yang ini.....tiada bakat yang istimewa
sebagaimana teman yang lain

Syahmi hanya ada uniform pink. Tiada lain lagi yang dikira special untuk diberikan kepada tetamu ini. Kini, uniform pink telah membuat kami bahagia. Digantung di tempat yang baik, dimuliakan oleh penerimanya. Diletak dibiliknya sebagai hiasan penuh makna. Terima kasih YM Tunku Mona Riza. Jika SEPULUH tahun dulu uniform pink membawa duka berpanjangan, kini tidak lagi. Kerananya kami sekeluarga rasa bangga dan bahagia.

Sesungguhnya benarlah apa yang dikata, di sebalik kedukaan itu pasti ada sesuatu yang positif menanti. ALLAH KNOWS WHAT IS THE BEST FOR YOU.....Alhamdulillah





Tuesday, January 10, 2017

Genius?



Dia Genius....EINSTEIN, bagaimana dengan autisme
 yang lain???

Bila disebut AUTISME, ramai yang berpendapat golongan ini merupakan mereka yang GENIUS. Tidak semudah itu kita mengadili keupayaan golongan ini hanya dengan melihat paparan di media tentang pencapaian beberapa anak autisme yang cemerlang dalam bidang-bidang tertentu.

Ramai lagi anak-anak autisme dalam masyarakat kita yang mengalami pelbagai keadaan yang amat menguji kesabaran penjaganya. Ramai yang tidak bercakap hingga ke dewasa, ramai juga yang masih mengalami masalah 'stimming' yang bisa membuat mereka di sekelilingnya ketakutan, kepelikan dan sebagainya. Dannnn....jangan lupa masih ada diantara mereka yang belum berupaya menguruskan diri walau dah besar panjang. Masih mengharapkan bantuan ibubapa untuk makan pakainya.

Syahmi? Ooo...Syahmi tidak sama sekali berada dalam kelompok genius. Dia mempunyai tahap IQ yang sederhana seperti ibubapanya juga. Tidak secemerlang mana dalam pembelajaran. Biasa-biasa sahaja. Kena banyakkan usaha jika hendak berjaya. Yang penting kemampuan dia berhadapan dalam masyarakat merupakan aspek yang perlu didahulukan.

Bersyukurlah atas kurniaan-Nya. Walau bukan seorang genius, Syahmi tetap anak kami yang istimewa di mata dan di hati kami. Alhamdulillah....








Sunday, January 1, 2017

Pahit Pun Ditelan Jua...




Suatu ketika di tahun 2018
Bersama-sama kawan di PPKIBP-Sek Keb Seri Budiman 2
Rindu pada saat-saat ini....

Baju baru, kasut, beg sekolah pun semuanya baru. Dia tak pernah mintak. Yang tahun lepas pun masih baik katanya. Cuma kita sebagai ibubapanya, tak sampai hati nak membiarkan dia ke sekolah dengan pakaian lama. Biar dia bersemangat sebagaimana rakan-rakannya.

Tahun ni dia di Tingkatan 3. Umurnya dah masuk 15 tahun. Sepuluh tahun dulu, saya menangis menghantarnya ke sekolah tadika biasa kerana direject oleh pihak sekolah disebabkan kekurangan yang dimilikinya.

Kini, saya bersedih lagi kerana dengan  tiba-tiba dinafikan sekali lagi hak anak saya di sekolah. Baru hari pertama, hari pendaftaran, saya dah dengar suara kurang enak dari seseorang. Walaupun suara itu bukan dari pihak yang sepatutnya bersuara. Kamu mendatangi seorang ibu yang nampak lemah. Hujan lebat turun menyebabkan tiada siapa perasan airmata ibu berderai di pipi. Hina sangat ke anak saya? Mentang-mentang anak ku berstatus OKU, kau pertikaikan kehadirannya di sekolah . Kenapa kamu tidak pertikai kemampuan pelajar lain yang jauh lebih teruk prestasinya? Kenapa?

Tak per....selagi mampu, aku akan berjuang untuk anak aku. Kamu di luar sana tidak tahu susah payah kami membesarkan dia. Moga suatu ketika, kamu semua akan diberi kesedaran betapa sakitnya hati kami ibubapanya bila si anak diperlakukan begitu. Tidak layak lagi kamu dipanggil ustazah, kerana percakapan mu bukan menunjukkan kamu seorang yang bergelar USTAZAH. Adab sopan ku hilang entah ke mana. Namun aku masih mampu menutup aib mu, kerana pertimbangan ku masih ada supaya periuk nasi kamu tidak disimbah pasir.

Ada ubi ada batas, ada hari Allah akan balas....utk menyedarkan kamu. Tidak di sini, tunggulah di sana nanti...Wallahualam