Kehadiran mereka di mainstream merupakan kes terpencil, jarang-jarang berlaku. Kebiasaannya kita hanya melihat anak-anak istimewa belajar di sekolah-sekolah pendidikan khas yang dikhususkan kepada permasalahan mereka.
Sekolah dimana Syahmi anak istimewa kami belajar hingga kini |
Banyak cabaran yang harus dilalui oleh si istimewa apabila berada di kalangan mereka yang tipikal. KITA HARUS FAHAM BAHAWA SI ISTIMEWA INI BERADA DI MAINSTREAM BUKAN DISEBABKAN MEREKA TELAH SEMBUH DARI AUTISMENYA. Mereka disyorkan untuk berada di mainstream atas keupayaan mereka menyesuaikan diri bagi mengikuti silibus di mainstream dan bergaul bersama rakan-rakan tipikal.
Namun dalam perlaksanaan program ini, si istimewa akan berhadapan dengan beberapa masalah termasuk :
1. Pihak sekolah sendiri kurang berkeyakinan dengan kemampuan si istimewa untuk bersaing dengan rakan-rakan yang lain. Khususnya kepada sekolah-sekolah yang tidak mempunyai sayap pendidikan khas dan kurang kefahaman tentang masalah autisme.
Kesannya, hari pertama/pendaftaran lagi akan kedengaran rungutan guru-guru untuk 'berhelah' dalam menerima kemasukan anak istimewa sebagai anak didik mereka.
2. Kekangan yang ada pada si istimewa, menyebabkan mereka terkebelakang jika dibandingkan dengan rakan-rakan tipikal yang lain. Contohnya dalam isu pemakaian uniform sekolah, mengena butang, mengikat tali kasut, mengikat tali leher yang masih terkial-kial untuk menyelesaikannya. Begitu juga kelemahan menulis dan aktiviti fine motor juga gross motor yang lain.
Kesannya, aktiviti paku memaku bagi subjek Kemahiran Hidup Bersepadu, aktiviti sukan bagi Pendidikan Jasmani akan berhadapan dengan masalah yang besar bagi mereka untuk menyudahkan tugasannya.
3. Pandangan 'pelik' rakan-rakan terhadap si istimewa ini. Tantrum, anxiety, masalah sensory akan membuatkan si istimewa menzahirkan tingkahlaku yang sangat berbeza dari yang tipikal.
Kesannya, si istimewa akan ditertawakan, dibuli, ditakuti oleh rakan-rakan lain. Mereka akan terpinggir tanpa pembelaan.
4. Kebolehan yang ada terpendam begitu sahaja kerana guru-guru tidak dapat mencungkil kelebihan yang ada pada mereka. Guru-guru biasa tidak terlatih dalam mengendalikan si istimewa.
Suatu ketika, Syahmi sangat aktif dalam menyertai tilawah dan hafazan peringkat sekolah. Sekarang tidak lagi kerana tiada pihak yang dapat mencungkil kelebihan yang ada padanya |
Kesannya, kekuatan yang ada pada mereka dibazirkan. Mereka hanya sekadar menumpang di mainstream, menyaksikan pencapaian rakan-rakan lain dalam pelbagai bidang. Tiada siapa yang berani mengetengahkan kebolehan mereka.
5. Stigma negatif dengan title OKU, menyebabkan masyarakat sekolah tidak memandang mereka sebagai satu 'aset'. Kehadiran mereka lebih kepada 'liability' yang tidak mendatangkan keuntungan kepada sekolah.
Kesannya, si istimewa terpaksa bersaing dengan yang tipikal, meletakkan kekurangan diri ke tepi. Seolah-olah persaingan yang kurang adil bagi insan istimewa ini yang memang lahir dengan kelemahan di suatu sudut berbanding dengan rakan-rakan yang lain.
Inilah pengalaman saya yang mempunyai anak autisme di mainstream. Tidak dinafikan, kebanyakan ibubapa pasti mengimpikan anak autisme masing-masing dapat belajar di mainstream. Harapan kami hanya ingin meihat mereka di sana dapat meningkatkan keupayaan bersosial ketika bersama mereka yang tipikal.
'Untung sabut timbul, untung batu tenggelam', begitulah perumpamaannya bila si istimewa di mainstream. Kerjasama pihak sekolah amat perlu, guru-guru dan masyarakat sekolah harus diberi kefahaman tentang insan istimewa ini kerana merekalah yang berperanan penting dalam memicu kecemerlangan si istimewa di mainstream.
Semoga, masalah ini mendapat perhatian oleh pihak bertanggungjawab. Didengari dan diperhalusi agar program inkusif pelajar istimewa di mainstream mencapai matlamatnya. Mereka juga boleh berjaya jika diberi peluang dan ruang...InshaAllah.
No comments:
Post a Comment