Hanya Tuhan yang maha mengetahui segala apa yang berlaku. Sebagai hamba, kita harus redha dengan segala ketentuanNya. Menerusi pengalaman saya yang dianugerahkan anak istimewa ini, tidak dinafikan pada peringkat permulaan kami suami isteri menghadapi tekanan kerana tidak dapat menerima ketentuan bahawa si comel kami anak autisme. Malahan, sebelum ini kami tidak mempunyai pengetahuan walau sekelumit tentangnya.
Syahmi di awal usianya |
Namun berkat kesabaran dan nasihat dari mereka yang pakar, segalanya dapat diterima dan tidak melemahkan semangat kami suami isteri untuk menerima hakikat yang telah tertulis ini. Tiada siapa dapat membantu mereka melainkan ahli keluarganya yang terdekat iaitu ibu, bapa, adik beradiknya juga melalui bantuan pihak-pihak yang mempunyai kefahaman tentang autisme.
Ingin saya berkongsi pengalaman saya yang mempunyai seorang cahayamata istimewa bernama Muhammad Syahmi Asyraff. Semenjak kelahirannya pada 7hb September 2002, tiada siapa menyangka anak ini seorang anak istimewa. Pada peringkat permulaannya anak ini telah melalui proses perkembangan sihat seperti bayi-bayi lain bersesuaian dengan usianya.
Namun apabila umurnya menjangkau 2 tahun, beberapa kelainan mula dikesan yang menjadi tandatanya kepada kami sebagai ibu bapanya. Mengapa anak ini tidak memberi respond apabila namanya dipanggil, mengapa si comel tidak boleh bermain tepuk 'amai-amai' seperti anak-anak yang lain walaupun berkali-kali di ajar, mengapa tiada perkataan yang jelas lahir dari mulutnya walaupun memanggil ibu dan ayah dan mengapakah 'eye contact'nya sangat lemah dimana ia cuba mengelakkan matanya dari memandang ke arah kita bila berbicara? Mengapa dan mengapa persoalan yang hanya berlegar di benak fikiran kami tanpa cuba mendapatkan nasihat dari pihak yang sepatutnya.
Menutup ke dua belah telinga |
Keadaan berlarutan dengan kelainan yang nyata berlaku kepada perkembangan Syahmi dimana ia amat berbeza dari kanak-kanak yang lain. Ada kalanya, saya tertanya-tanya mengapakah Syahmi tidak berminat untuk bermain dengan alatan permainan seperti kebiasaan kanak-kanak lain? Syahmi lebih cenderung untuk melihat kepada tayar-tayar kereta mainannya yang sedang berpusing dari bermain dengan kereta mainannya. Menyusun objek-objek dalam satu barisan juga adalah minatnya yang tidak boleh dikacau ganggu. Dan yang paling ketara, Syahmi akan menutup kedua belah telinganya, dengan degupan jantung yang kencang serta menunjukkan reaksi mukanya yang seolah-olah berada dalam ketakutan yang teramat sangat apabila mendengar bunyi-bunyi yang kuat seperti letupan bunga api, dentuman guruh, blender yang sedang digunakan mahupun bunyi yang melampau dari aktiviti pembinaan.
Namun perbezaan gaya hidup Syahmi ini kami anggap hanya perkara biasa sehinggalah umurnya menjangkau hampir 5 tahun dimana Syahmi baru mula belajar menuturkan kata-kata yang jelas difahami sedikit demi sedikit namun sering kali dengan susunan ayat yang 'tonggang-langgang' serta suka mengajuk atau mengulangi soalan yang kita tanyakan kepadanya tanpa menjawab apa yang kita soalkan.
Akhirnya kami mengambil keputusan untuk bertemu dengan doktor pakar bagi mendapatkan pandangannya. Bermula dari bulan January hingga August 2006, Syahmi telah menghadiri beberapa sessi perbincangan dan pemerhatian oleh beberapa doktor pakar maka akhirnya suatu kesimpulan telah diputuskan bahawa anak kami Syahmi telah disahkan bahawa dia adalah penghidap autisma ringan. Harus diingat bahawa setiap penghidap autisma mempunyai tahap yang berbeza antara satu sama lain, jadi dalam kes Syahmi doktor pakar terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan memandangkan Syahmi hanya menunjukkan ciri-ciri autistic yang sangat minima.
Kesedihan, kekecewaan amat dirasai, tiada tempat untuk meluahkan rasa cuma Tuhan saja tempat mengadu. Kami mula berjinak-jinak dengan dunia syber untuk mendapatkan maklumat dari laman-laman berkaitan dan mendapatkan juga nasihat dari ibubapa lain yang senasib dengan kami. Langkah-langkah proaktif harus dilakukan kerana golongan ini harus diberi pendidikan awal oleh pihak-pihak yang terlatih kerana masih ada harapan untuk mereka hidup berdikari dan ada juga yang menjadi insan berjaya dalam kehidupan masing-masing seperti Albert Einstein, Bill Gates dan actor Tom Cruise.
Harapan ibu dan ayah |
kalau boleh menuturkan kata-kata pun dah dikira nikmat yg besar bagi seorg penghidap autisma...sbb ada kes-kes tertentu dimana mereka langsung tidak boleh bercakap
ReplyDelete