|
Syahmi & Syawal |
Alhamdulillah....kedua-duanya mereka adalah penyambung warisan yang kami ada di dunia ini. Walau keduanya lelaki, saya percaya segalanya adalah aturan yang maha Esa. Di hati, memang terdetik untuk mempunyai seorang anak perempuan yang comel...tapi faktor usia rasanya tidak sesuai lagi bagi kami untuk memiliki keluarga yang lebih besar. Rasanya, dengan kehadiran mereka berdua dalam hidup kami sudah memadai untuk dipertanggungjawabkan di sana nanti. Namun kita hanya merancang, jangan lupa bahawa Dia yang di atas sana lebih berkuasa menentukan jodoh, pertemuan. rezeki dan ajal kita sekali pun.
Sekali imbas, wajah tidak banyak berbeza tapi kalau diamati betul-betul menampakkan si abang (Syawal) lebih mirip dengan penampilan ibunya seperti raut wajah dan warna kulitnya yang hitam manis, sementara si adik (Syahmi) memang 'copyright ' dengan penampilan ayah. Kulit agak cerah dan bertahi lalat di bawah bibir sebelah kanan. Sesungguhnya benarlah peribahasa Melayu yang mengatakan 'Bagaiman Acuan Begitulah Kuihnya'. Jarak umur antara keduanya adalah 6 tahun dan kedua-duanya dilahirkan melalui pembedahan disebabkan masalah yang sama 'big baby'. Hingga ke tarikh post ini diterbitkan, si abang (Syawal) berumur 15 tahun manakala si adik (Syahmi) 9 tahun.
|
Si adik (Syahmi) |
|
Si abang (Syawal) |
Namun kita jangan lupa bahawa antara keduanya memegang title berlainan dalam kehidupan di dunia ini kerana si adik (Syahmi) berstatus anak istimewa sedangkan si abang (Syawal) adalah insan normal seperti kita semua. Sesungguhnya kasih sayang kami sebagai ibubapa terhadap keduanya adalah sama, cuma perhatian yang lebih dengan pendekatan yang berbeza harus diberikan untuk si adik (Syahmi) yang disahkan sebagai penghidap autisma ketika usianya 5 tahun.
Kekadang keduanya boleh 'ngam' kekadang pula bercakaran seperti kucing dengan musuh tradisinya. Begitulah resam adik beradik, namun rasa sayang tetap wujud antara keduanya walaupun tidak dinyatakan dimulut tapi di hati ibu dan ayah dapat menghidunya. Hobi keduanya sama, sentiasa bersama laptop masing-masing duduk semeja bersebelahan. Segala ilmu pengkomputeran yang dimiliki si abang (Syawal) akan diserap oleh si adik (Syahmi) secara terus dan rahsia atau 'curi-curi'lah namanya. Hinggakan ibu dan ayah juga terpaksa memohon bantuan keduanya untuk memahirkan diri tentang dunia syber dan selok belok dunia pengkomputeran. Tidak hairanlah jika keduanya memiliki hard disk masing-masing untuk menyimpan maklumat yang dikehendaki. Pen drive sudah tidak mencukupi bagi menampung keperluan 'pakar-pakar' IT kami ini.
|
Syahmi |
Di bidang pelajaran juga, keduanya memiliki prestasi yang sama. Cuma si adik (Syahmi) diberi pendidikan awal di Pra Pendidikan Khas sekolah sementara si abang (Syawal) di sebuah tadika swasta di Kuala Terengganu ini. Namun ibu memainkan peranan sebagai guru tuition keduanya di rumah bagi membimbing anak-anak kami.
|
Syawal |
Bercakap tentang kepayahan dan cabaran dalam mendidik keduanya tentulah memihak kepada si adik (Syahmi) kerana beliau insan istimewa. Walaupun si abang (Syawal) telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan pencapaian 8A dalam PMR yang diumumkan kelmarin (22 Dec 2011), kami tidak akan memisahkan keduanya dengan memasukkan si abang (Syawal) ke sekolah berasrama kerana kedua anak kami ini masih saling memerlukan. Biarlah mereka berada sebumbung buat beberapa tahun lagi sementara menunggu si abang (Syawal) menamatkan pelajaran hingga ke peringkat SPM.
Doa kami sebagai ibubapa semoga keduanya berjaya di dunia dan di akhirat. Tahniah Syawal... kerana kejayaan kelmarin, pastikan usaha dilipatgandakan untuk memastikan kejayaan milik kamu di masa akan datang dan menjadi inspirasi kepada Syahmi untuk menggenggam kejayaan yang lebih cemerlang...InsyaAllah.
Syahmi pun kena belajar sungguh2 ...buat yg lebih baik dr Syawal abangnya..
ReplyDelete