Pages - Menu

Tuesday, August 14, 2012

Pengalaman Lalu Beraya Dengan Anak Istimewa ku.....



Suasana hariraya di kampung bersama sanak saudara amat meriah rasanya. Berebut-rebut bilik air untuk mandi di pagi raya, berebut-rebut seterika untuk menggosok pakaian baru, pokoknya dalam diam kita berlumba-lumba dengan keluarga adik beradik yang lain  untuk menyiapkan makan pakai keluarga masing-masing di pagi raya sebelum ke masjid.

Bagaimana beraya dengan anak istimewa ku? Kalau keluarga lain bersahaja berpakaian, kami berkejar-kejar ke sana ke mari untuk memakaikan si anak dengan  pakaian baru. Kalau  ke studio bergambar kenangan di pagi raya, anak kami amat sensitif dengan kegelapan di studio dan flash dari kamera. Maka beginilah hasilnya gambar-gambar kami sekeluarga ketika si anak di awal usia, semua aksinya sedang bergantung bergayut di tengkuk ayah. Ini cerita lama, semenjak bersekolah dia dah terlebih bijak berposing di hadapan kamera.

Inilah antara aksi kelakar anak istimewa ku bila
berhadapan dengan kamera...penuh dengan ketakutan serta cucuran airmata
   
Sebenarnya, saya amat bertuah kerana anak istimewa saya  tidak sukar untuk mengawalnya. Cuma bila berkunjung ke rumah sanak saudara, kita jangan harus leka dan terlepas pandang. Biasanya si anak boleh menyesuaikan dirinya selagi tidak ada pihak ke tiga yang mengganggunya. Si dia juga boleh menghulurkan salam mesra pada tuan rumah sebagaimana orang lain.


Bukan setakat sampul hijau diterima, didakap dan dicium
 kerana kamu tamu istimewa......
Makan bersila pun tiada halangan baginya......tapi sebekas
 'maruku' jadi hakmiliknya
                       
Bercakap berkenaan sampul hijau, anak syurga ku belum mengerti tentang keperluan duit raya kerana dia belum pandai nak beli itu dan ini. Cuma jika dihulur, dia akan menerimanya dengan senang hati lalu dimasukkan  ke dalam poket. Bila dah banyak terkumpul, barulah diserahkan kepada Puan Akauntan, ibunya.


Tengok tu....si baju hitam sedang memasukkan
 sesuatu ke dalam poketnya.....bijak...bijak

Setelah puas ke sana ke mari menziarah sanak saudara, pasti si anak tak boleh tahan lagi dengan cuaca panas, lagi pun perut dah kenyang, sementara poket melimpah ruah dengan sampul hijau. Tentu  mula merengek-rengek nak balik rumah. Kalau tak dilayan, tantrum pulak mari, haru-biru dibuatnya. Lebih baik beredar bagi dia cool dulu, lagi pun anak syurga kami tak boleh berpisah dengan dunia cybernya lama-lama.

Terima kasih Syahmi, sekurang-kurangnya ibu dan ayah masih dapat berhariraya seperti orang lain. Kami tahu ada keluarga yang berada di dalam keadaan dilema bila nak berhariraya ke rumah sanak saudara sebab dikhuatiri tidak dapat mengawal tingkah laku anak istimewa masing-masing.

Semoga hariraya tahun ini kita dapat beraya dengan gembiranya.........



      

No comments:

Post a Comment