Pages - Menu

Friday, January 11, 2013

Bukan Senang Hidup Menumpang.....


                       
Pokok menumpang - Tanduk Rusa
       
                         
Kenapa istilah 'menumpang' yang saya cuba bincangkan kali ini? Bukan kerana istilah ini nampak negatif, saya mengambilnya secara positif  supaya menjadi penyuntik semangat ibubapa anak istimewa yang mengikuti program inklusif di mainstream untuk bersaing bagi mencapai prestasi gemilang. Istilah ini sebenarnya bukan lahir dari saya tapi secara kebetulan dari seorang guru yang hanya bertujuan memahamkan ibubapa tentang konsep 'menumpang' bagi pelajar yang diinklusifkan.


Program inklusif sebenarnya hanya melibatkan pelajar-pelajar istimewa yang disyorkan menjalani pembelajarannya bersama-sama anak normal di mainstream. Namun harus diingat bahawa pelajar inklusif hanya 'menumpang' belajar di sana manakala urusan lain masih dibawah seliaan Pendidikan Khas seperti urusan pendaftaran masuk tiap-tiap sesi persekolahan, pembayaran yuran hinggakan kehadiran anak-anak inklusif ke sekolah juga adalah di bawah pemantauan mereka di Pendidikan Khas.


Memandangkan pelajar yang terlibat dalam program inklusif ini merupakan kes-kes yang terpencil, maka banyaklah kekeliruan timbul di sana sini. Guru-guru di mainstream juga kekadang terkeliru dan tiada tempat bertanya jika berhadapan sesuatu kes yang perlukan penyelesaian segera. Sebagai ibubapa kita harus benar-benar rasional menerima keadaan ini. Elakkan dari cepat melenting supaya keadaan tidak menjadi kusut kerana perjalanan anak kita di sekolah masih jauh.

           

Kekadang hati ku retak jua!


Sebagai ibubapa pernah juga terjadi episode 'hati ku retak'. Suatu ketika semasa Syahmi di Tahun 1 (akhir tahun), dimana penyerahan semula buku teks Tahun 1 dan penerimaan buku teks Tahun 2 dijalankan. Sedang kawan-kawan lain menggendong buku-buku pinjaman Tahun 2 dengan gembiranya, Syahmi pula hanya berlenggang dengan tangan kosongnya serta kecewa kenapa dia tidak turut menerima buku teks yang baru seperti kawan-kawan yang lain. Meruap-ruap darah naik ke ubun-ubun rasanya bila anak saya bertanya saya kenapa dia tidak diberikan  buku teks seperti yang lain.  Bila dikemukakan pada pihak sekolah, jawapannya disebabkan tiada 'hitam putih' dari pihak atasan sama ada anak saya layak/tidak layak untuk menerima bantuan buku teks....huhuhu.


Perkara seperti ini amat remeh bagi sesiapa yang tidak 'terkena', tapi bagi kami ibubapanya ia amat 'menyentap' rasa. Namun saya masih boleh mengawal emosi supaya anak saya tidak menjadi mangsa keadaan. Alhamdulillah ....tahun-tahun yang seterusnya tiada lagi perkara yang seumpamanya berulang. Mungkin guru-guru yang menguruskan pengagihan buku teks masih belum biasa dengan procedure yang harus dibuat memandangkan pelajar inklusif hanyalah kes-kes yang terpecil.


Menjadi hiasan di laman-laman rumah dan taman

       
Saya berharap suatu hari nanti biarlah anak inklusif menjadi seperti Si Tanduk Rusa yang tidak lagi menumpang di pokok-pokok hutan. Biarlah anugerah ini menjadi penghias taman juga di laman-laman rumah berlandskap menarik.


Tinggallah Si Tanduk Rusa di tempat yang lebih baik kerana kehidupan 'menumpang' biasanya tidak dipandang orang. Bukan maksud saya hendak menakutkan ibubapa lain yang mempunyai anak yang diinklusifkan....cuma memberi peringatan supaya kita lebih bersedia menghadapi rintangan.
                     
                       
                     
                     
                     
                     
                     
                                   

No comments:

Post a Comment