Pages - Menu

Saturday, March 30, 2013

Dia Udah Berubah!



                     Dia udah berubah!  Kali ini dia balik ke kampung tanpa lappy dan gadjet miliknya. Bukan dipaksa tapi atas kehendaknya sendiri. Alasannya, nak balik kampung bermain dengan kucing peliharaan Tok dan Opahnya. Terkejut kami dibuatnya, biasa tu si lappy dulu dikemas jika hendak ke mana-mana.


Perjalanan menuju ke Cameron Highlands

Pemandangan Cameron Valley Tea

                     Kali ini balik ke kampung melalui jalan jauh, dari Kuala Terengganu ke Cameron Highlands melalui Tasik Kenyir dan turun ke Ipoh lalu ke destinasi akhir di Kuala Kangsar dimana jarak perjalanan sejauh 450km. Walau agak memenatkan dengan cuaca yang panas tapi perjalanannya sangat adventurous serta sesuai dengan mood cuti sekolah anak-anak.


Syahmi menakluki Ladang Teh Cameron Valley
                   
Menikmati teh asli Cameron Highlands.......asyiknyaaaaaa

Ladang strawberry juga ditawannya....

Jangan pegang-pegang....hanya untuk dipandang! 

                    Syahmi sangat teruja dengan suasana dingin di Cameron Highlands, namun harus ke kampung segera untuk menjenguk Tok dan Opah yang sedang sakit. Dalam usia yang menjangkau 80an, kedua-duanya sedang mengalami sakit tua. Melihat kepada keduanya, airmata bergenang menyaksikan keadaan mereka yang tersangat uzur hingga terpaksa diangkat ke bilik air mahupun ke mana-mana jua. Beberapa hari di kampung,  Syahmi dapat menyaksikan bagaimana  ibunya memandikan Tok dan Opah yang sudah tiada dayanya lagi. Hmmmm......bagaimana hari tua kita nanti???

                   
                     Bila tiba masa untuk balik semula ke Kuala Terengganu, hati tersentuh mengenangkan Tok dan Opah yang terpaksa ditinggalkan. Hanya pada-Mu kami memohon, semoga kedua insan ini diberi perlindungan dari segala mara bahaya. Permudahkanlah segala urusan mereka, berikanlah taufik dan hidayah buat mereka berdua untuk tetap mengingati-Mu. Semoga anak-anak diberi kekuatan menjaga kedua mereka dengan kasih sayang seperti mana mereka jua yang pernah menyayangi kami sepenuh jiwa. Ampunkanlah dosa keduanya.....aamiin.


                     Terima kasih pada adik beradik di kampung kerana melayan Syahmi dengan baik dan memahami  perilaku insan yang istimewa ini. In Shaa Allah jika umur panjang, kami akan melawat lagi Tok dan Opah serta saudara mara di kampung. Semoga kami masih  diberi kesempatan untuk berbakti dan menggembirakan hati keduanya serta bermesra dengan sanak saudara yang lain.


                      Yang pastinya, balik ke kampung kali ini tiada lagi sesi berjam-jam bersama laptop seperti kebiasaannya. Lebih banyak masa Syahmi penuhi dengan senda gurau juga bermain dengan Si Ketot, kucing kesayangan Tok. Buat Tok dan Opah.....tunggu Syahmi balik kampung lagi ya!


Di desa ku......pagi yang masih diliputi kabus!

Monday, March 25, 2013

Seibu Sebapa....Kekadang Tergigit Jua....



Syahmi dan Syawal (2003)
               
                    Mereka hanya dua beradik. Kedua-duanya lelaki. Penampilan yang sedikit berbeza namun ada kala irasnya tetap ada yang menampakkan mereka ada ikatan darah. Enam tahun jarak umur antara keduanya menjadikan mereka tak sekepala dalam sesetengah hal kerana tahap pemikiran yang tak sama.


Versi Bila Larut Malam...Panca Sitara! (2006)

                        Namun masa begitu cepat berjalan. Keduanya udah besar panjang dan Syawal telah pun berada di Tingkatan Lima,  Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Sementara Syahmi di Tahun Lima, Sekolah Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu. Suatu ketika dulu Syawal pernah tersintak kerana dikhabarkan adiknya telah disingkir secara terhormat dari sekolah tadika yang pernah menjadi tempat dia memulakan era persekolahan selama dua tahun di sana. Mengapa adik nangis di sekolah??? Tanpa mengetahui sebab yang sebenar.


                         Syawal pernah menegur ibunya sebab bercerita pada jiran tetangga tentang kisah si adik yang mengalami autisme. Katanya, "tak payah beritahu orang lain tentang keadaan adik, adik ni biasa aje" katanya  lagi. Mungkin disebabkan Syawal belum memahami ataupun baginya adik Syahmi tiada yang kurang sebab selama ini mereka seperti adik beradik lain, bermain, bergurau senda sama seperti yang lain. Cuma si adik tidak boleh bertutur dengan perkataan yang jelas seperti anak-anak lain yang seusia.


Ala-ala Tarik Upih......Upih tiada, selimut dikerjakan

Senda gurau adik beradik...(2005)

Usik mengusik membawa bahagia,
kekadang tergigit jua.....(2012)

                       Fasa tersebut telah bertahun berlalu, Syawal masih cuba memahami kelainan yang ada pada adik Syahmi. Cuma kekadang angan-angannya terlalu tinggi terhadap si adik. Syawal inginkan si adik yang juga sama sepertinya cergas beraktiviti di sekolah.  Menghadiri perkhemahan-perkhemahan anjuran sekolah, berdikari tanpa perhatian ibubapa. Ohhhhh! mampukah si adik melakukannya?


Abang yang tersangat aktif dengan aktiviti kokurikulumnya...

                       Nampaknya Syawal akan mengakhiri zaman persekolahan di peringkat menengah tahun ini. Ke mana arah seterusnya masih samar-samar. Yang pasti selepas ini nanti dia tiada lagi di bawah pengawasan ibubapa seperti sekarang. Ibu dan ayah berharap kamu akan berpeluang untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kami akan kehilangan kamu, terutamanya si adik yang kebiasaannya ternanti-nanti saat si abang balik dari sekolah untuk adegan usik mengusik yang kekadang membawa bahagia dan adakalanya, tergigit jua....
                   
                       Berusahalah untuk berjaya dalam SPM nanti....In Shaa Allah tiada usaha yang sia-sia!


Adik dan Abang .......Bersama-sama merintis masa  depan
yang gemilang.....aamiin
                       



Saturday, March 23, 2013

Diet Rendah Oxalate....Juga Untuk Autisme!!!


                       Samada dari segi komunikasi, sosial, pembelajaran, tidur hinggakan makan pakainya juga sentiasa menjadi bahan kajian oleh para penyelidik seluruh dunia bagi mengetahui rahsia-Nya yang teristimewa ini. Kebiasaannya kita hanya mendengar tentang Diet GFCF. Namun kali ini kita bincangkan  diet yang juga dicadangkan buat si autisme iaitu Diet Rendah Oxalate (LOD).

Fahami yang mana patut didahulukan......

                      Oxalate kebiasaanya dihubungkaitkan secara langsung dengan masalah batu karang (hyperoxaluria). Ini terjadi disebabkan oxalate iaitu bahan kimia yang boleh mengikat kalsium lalu membentuk kristal (karang). Walau bagaimana pun, terdapat kajian yang  menunjukkan simptom autisme juga dapat DIMINIMUMKAN dengan amalan Diet Rendah Oxalate (LOD). Oxalate adalah bahan kimia yang boleh didapati sedikit dari sumber haiwan, buah-buahan, kebanyakan sayuran hijau seperti bayam, kacang bendi, lobak merah, jenis-jenis kekacang, chocolate, teh serta turut dihasilkan secara semulajadi oleh sistem tubuh manusia.

Kalsium Oxalate..... kristal dalam urine

                      Kajian yang dipelopori oleh Susan Owens seorang pengkaji autisme sekitar awal 2005, mendapati kandungan oxalate yang tinggi di dalam urine kanak-kanak autisme jika dibandingkan dengan kanak-kanak tipikal melalui creatinine yang diperolehi dari urine apabila darah disaring oleh buah pinggang. Perangkaan yang diperolehi didapati 36% dari ASD mengalamai paras creatinine dalam urine melebihi 90 mmol/mol yang dikatakan bersamaan  dengan perangkaan paras konsistent mereka yang didiagnose sebagai penghidap batu karang genetik (hyperoxaluria), manakala paras creatinine yang setinggi ini tidak berlaku di kalangan kanak-kanak tipikal. Tiada terdapatnya asid organik lain yang berkaitan dengan permasalahan metabolisma oxalate (genetik) pada kanak-kanak ASD yang menguatkan fakta bahawa paras oxalate yang tinggi tersebut disebabkan oleh  sumber dari luar.


Ref : Great Plains Lab

           
                       METABOLISMA OXALATE MENURUT SUSAN OWENS
                   

                       Memakan makanan yang mengandungi kadar oxalate yang tinggi bukanlah satu-satunya jalan untuk mendapatkan bekalan oxalate yang sistematik. Sebenarnya sistem tubuh manusia juga mampu menghasilkan oxalate secara semulajadi contohnya vitamin C adalah bahan yang ditukarkan ke oxalate oleh sel-sel tubuh kita secara rutin. Kebiasaannya, apabila oxalate telah berada di usus individu ia boleh bertindak ke atas spesies bakteria-bakteria tertentu lalu mengubah ke bentuk yang menimbulkan keradangan. Sistem 'microbial digestion' inilah yang menyebabkan lebihan oxalate dalam usus manusia.


                        Dalam kes tertentu umpamanya Lactobacillus Acidophilus yang berperanan sebagai spesies yang memakan oxalate juga akan dapat ditewaskan apabila oxalate dalam keadaan berlebihan di usus. Sementara, mikrob lain yang diperlukan untuk mencerna oxalate juga ada yang tewas disebabkan pengambilan antibiotik atau masih belum bertapak di kalangan kanak-kanak di awal usia dimana ia hanya cenderung diperolehi dari pendedahan ke persekitaran.
                     

Kajian menunjukkan metabolisme Oxalate turut menyumbang
 kepada permasalahan neurologi


                       KENAPA OXALATE TINGGI KANDUNGANNYA DI KALANGAN
                       AUTISME?

                       a)  Keradangan usus yang membawa kepada penyerapan oxalate secara
                            berlebihan.
                       b)  Kebocoran usus membawa kepada pengangkutan paracelular
                       c)  Lemah dalam pencernaan lemak (Steatorrhea) yang mengakibatkan lemak
                            mengikat kalsium yang kebiasaanya terikat juga bersama oxalate dari
                            diserap

                     
                       KENAPA OXALATE JUGA BERLEBIHAN DALAM BADAN?

                       a)  Kekurangan Vitamin B6
                       b)  Kekurangan Thiamine
                       c)  Kekurangan Panthothenic asid atau CoA
                       d)  Lebihan Lycine
                       e)  Lebihan Vitamin C
                     

                        Mungkin sebagai ibubapa kepada anak autisme, perasaan keliru, bercelaru dan sukar memilih cara yang betul-betul bersesuaian untuk dilaksanakan dalam membantu menangani kekurangan anak istimewa masing-masing. Seboleh-bolehnya kita mahukan jalan yang cepat menampakkan hasil, namun harus kita fahami bahawa autisme bukanlah sejenis penyakit yang memerlukan  ubat-ubatan untuk mengatasinya.


                         Selain intervensi awal, harus juga kita berikhtiar umpamanya  melalui diet sehariannya kerana autisme biasanya amat sinonim dengan permasalah usus. Tidak hairanlah ada pernyataan yang mengatakan bahawa usus merupakan otak ke dua manusia kerana keadaan tubuh dan daya tahan tubuh yang bergantung pada kesihatan usus. Jom kita amalkan diet yang terbaik buat anak-anak autisme kita......
                                                 

Katakan Tidak Pada Kacang!




























Saturday, March 16, 2013

Kembali berkolabrasi....Cikgu Rosma + Syahmi....


               
                    Sudah lama saya menyimpan hasrat nun jauh di sudut hati, enggan lantang bersuara kerana dikhuatiri kami ibubapanya dianggap 'very demanding' oleh pihak-pihak tertentu.  Namun tahun 2013 ini, telah dibuka jalan oleh-Nya bagi pihak sekolah melantik seorang guru Pendidikan Khas bagi memantau perkembangan anak yang diinklusifkan seperti Syahmi di aliran perdana. Mungkin inilah yang dinamakan 'Guru Pendamping' walau bukan 100% seperti yang dilaksanakan oleh NASOM. (Kita juga harus rasional dalam membuat perbandingan antara perkhidmatan yang berbayar dengan perkhidmatan percuma).

                 
Cikgu Rosma + Syahmi...kolabrasi yang ditunggu-tunggu

                     Sebenarnya Guru Pendamping amat diperlukan bagi perkembangan positif anak autisme. Penampilan fizikal anak autisme yang tiada bezanya jika dibandingkan dengan anak-anak tipikal menjadikan persepsi masyarakat terhadap mereka adalah tersasar. Hakikat sebenar bahawa mereka terkebelakang dari segi pergaulan sosial, komunikasi serta pendekatan yang berbeza dalam pembelajaran menjadikan golongan ini sukar difahami oleh masyarakat umum. Guru Pendamping dianggap sebagai tempat mereka mengadu dan membantu memperbaiki kelemahan yang ada sepanjang pembelajaran mereka di aliran perdana. Guru ini juga lebih berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan sektor pendidikan khas dengan aliran perdana dalam menangani perkembangan anak-anak di program inklusif.

                   
                      Alhamdulillah, tahun 2013 Cikgu Rosma binti Jasni telah diamanahkan oleh pihak sekolah menjadi Guru Pendamping Syahmi. Cikgu Rosma merupakan bekas guru yang mengajar Syahmi semasa di Pra Pendidikan Khas tahun 2008. Kini, beliau memikul tugas yang semakin berat iaitu dengan tugas asalnya sebagai guru di Pra PPKIBP juga guru yang memantau perkembangan murid inklusif di aliran perdana.


                     Bagaikan 'orang mengantuk yang disurung bantal'.  Begitulah perasaan kami sebagai ibubapanya. Memandangkan progam inklusif ini boleh diumpamakan seperti kes terpencil, maka kelemahan di sana-sini memang tidak dinafikan wujud. Namun kami amat  berbangga kerana pihak sekolah telah mengambil tindakan terbaik bagi memperbaiki kelemahan tersebut dengan menempatkan guru tertentu bagi memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak inklusif.


                       Semoga, ia menjadi titik tolak buat Syahmi lebih menyerlahkan kebolehan yang ada. Selamat kembali berkolabrasi antara Cikgu Rosma dan Syahmi. Komitmen guru ini terhadap tugasnya telah terbukti sejak dari dulu dan amatlah kami hargai.....


Besarnya pengorbanan guru.....terima kasih cikgu!
                      

Sunday, March 10, 2013

Sembelit (Constipation)


Hakikat yang menyakitkan....sembelit

Sembelit merupakan proses pengosongan usus yang jarang berlaku lalu menjadikan tinja keras dan sukar untuk dikumuhkan. Sembelit kerap terjadi pada kanak-kanak juga pada orang dewasa disebabkan kurangnya pengambilan air, kurang serat dalam pemakanan juga kurang melakukan senaman.


Namun terdapat juga faktor sampingan lain yang boleh menyebabkan sembelit di kalangan kanak-kanak seperti kelekaan mereka bermain hingga tidak menghiraukan keperluan untuk membuang air besar, keengganan menggunakan tandas selain dari tandas yang ada di rumah (tandas awam umpamanya) atau kurang mahir menguruskan diri ke tandas tanpa bantuan penjaga.


Kurang aktiviti fizikal 
Sembelit di kalangan autisme khususnya, dikaitkan dengan masalah pencernaan yang lebih kompleks jika dibandingkan dengan kanak-kanak tipikal. Sistem pencernaan golongan ini mengalami ketidakseimbangan mikroflora dimana bakteria patogen (membawa penyakit) mendominasi sistem usus dibandingkan dengan bakteria yang membawa munafaat. Situasi ini boleh menyebabkan radang pada dinding usus sehingga lapisan usus tersebut boleh mengalami 'kebocoran'.


Pelbagai jenis ubat-ubatan yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah sembelit seperti enema (sejumlah cecair yang diinfusikan ke dalam rektum) atau julap bagi melembutkan najis. Ubat pelawas seperti laksatif juga boleh digunakan namun ia merbahaya kepada kanak-kanak dan seharusnya mendapat kebenaran doktor. Walaupun demikian, ubat-ubatan ini hanya bersifat sementara dan ada yang boleh menimbulkan kesan negatif jika diambil secara berterusan.

Probiotik - Lactobacillus Acidophilus

Adalah dicadangkan supaya kanak-kanak autisme mengambil probiotik tertentu seperti yang disyorkan oleh doktor dimana terbukti mampu memperbaiki sistem pencernaan manusia. Peranannya bagi mengelakkan pertumbuhan mikro organisma yang tidak diingini serta meningkatkan sistem imun seseorang. Pastikan juga kanak-kanak mengambil makanan yang kaya dengan serat juga pengambilan air dalam kadar yang secukupnya. Lakukan senaman ringan secara berterusan.


Sebagai manusia biasa, kita hanya  mampu berikhtiar tanpa jemu demi perkembangan positif anak autisme kita.  Lebih baik terus merangkak, biarkan kita terus mengesut dari terhenti berlari di pertengahan jalan....begitulah umpamanya perit jerih kami ibubapa terpilih oleh-Nya untuk menerima anugerah ini. Semoga tiada yang menoleh ke belakang lagi.......
                       


                       

Friday, March 8, 2013

Mungkinkah Kerana Mu SUTTERELLA?


Berpeluh dibuatnya bila bermasalah
dalam pencernaan!!!
           
Sering kali kita mendengar rungutan ibubapa, tentang si anak autisme yang kerap mengalami masalah sembelit, cirit-birit, kembung perut dan masalah lain yang juga berkaitan dengan gangguan usus. Walaupun pengambilan makanan seimbang telah diberi keutamaan namun jika sistem pencernaan tidak berfungsi dengan baik, maka makanan yang baik tadi masih tidak dapat dikonsum dengan berkesan. Ini akan menyebabkan kita kekurangan nutrisi-nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan lalu menimbulkan gangguan seperti alahan pada kulit, asthma dan sebagainya.


Sutterella!

Sebenarnya, autisme sangat sinonim dengan masalah sistem pencernaan malahan ianya sering diperbincangkan oleh para pengkaji barat. Menurut Brent Williams dan rakan dari Mailman School Of Public Health Columbia University mendapati hasil kajian yang dilakukan, menunjukkan bahawa anak-anak autisme mempunyai populasi bakteria tertentu di usus yang tidak terdapat pada anak-anak bukan autisme. Bakteria tersebut bernama SUTTERELLA.


Namun  menurut Jorge Benach, Chairman of the Department of Microbiology at Stony Brook University, bakteria ini berhubung kait dengan penyakit gastrousus di bawah diafragma serta masih belum terbukti samada ia di dalam kelompok patogen (membawa penyakit) kepada manusia serta ia juga bukan sejenis bakteria yang amat dikenali. Walaupun demikian fakta ini menarik minat para pengkaji untuk menyelongkar lebih mendalam kaitan kewujudan bakteria ini di dalam usus kanak-kanak autisme dengan gangguan autisme (ASD) itu sendiri.


Oleh Dr Natasha Campbell-McBride

Dr Natasha Campbell-McBride dalam bukunya 'Gut And Psychology Syndrome' menjelaskan secara terperinci tentang ketidakseimbangan mikroflora di bahagian pencernaan yang akan menghasilkan toksin serta mendatangkan kesan buruk kepada saluran gastrousus. Untuk pengetahuan semua, 80% dari sistem imunisasi tubuh manusia bermula dari bahagian usus. Oleh itu jika seseorang individu mengalami permasalahan di bahagian tersebut, maka ia boleh membawa kepada kegagalan fungsi darah dan tentunya juga menjejaskan bahagian otak.


Pelbagai fakta lagi dari pengkaji-pengkaji barat yang menarik untuk diperbincangkan dalam mencari rahsia autisme. Bagi kita ibubapa yang mempunyai anak autisme, pada peringkat permulaannya pasti akan tercari-cari jua apakah penyebab terjadinya autisme ke atas zuriat yang amat kita sayangi.


Namun, sebagai seorang mukmin sejati, percayalah pada Qadha' dan Qadar-Nya. Kasih sayang kita pada anak-anak tidak dapat menandingi kasih sayang Allah pada hamba-Nya. Sesungguhnya Dia yang lebih mengetahui......




                         


                         


                       




                         
                         
     


Wednesday, March 6, 2013

Hari Penyampaian Watikah Pengawas Sekolah (SKSB II) 2013



                        Kelmarin, terbukti sudah peluang yang sama rata diberikan kepada anak-anak Pendidikan Khas (Program Inklusif) untuk menyerlahkan potensi selagi mereka menunjukkan prestasi yang baik semasa di sekolah. Kelmarin, Syahmi (barisan paling belakang, No 3 dari kiri) telah menerima watikah perlantikan sebagai seorang Pengawas Sekolah Keb.Seri Budiman II (2013). Semoga anak ini dapat memikul tanggungjawab dengan baik dan berkesan.

                        Tahniah pada pihak sekolah kerana prihatin dan tidak memandang sebelah mata dengan kemampuan anak istimewa. Alhamdulillah......

Barisan Pengawas Sek Keb Seri Budiman II (2013)
Syahmi No 3 dari kiri (barisan paling belakang)

Menunggu giliran untuk naik ke pentas
Syahmi menerima watikah perlantikan
'Saya' berikrar akan  menjalankan tugas dengan penuh dedikasi!

Tuesday, March 5, 2013

Kompang dipalu ....18 tahun sudah!



Inilah kad jemputan kahwin yang masih tersimpan hingga kini
-5hb March 1995....tarikh bersejarah-

Bila kompang dipalu!

"Aku terima nikahnya......."

Betukar cincin mengikut tradisi
Pengantin 90an.........sekadar mengingat kenangan lama



Saturday, March 2, 2013

Sudut-Sudut Indah Di Negeri Terengganu...

                   

                 Aktiviti fotografi menjadi hobi kami sekeluarga. Inilah antara hasil-hasil yang hendak dikongsikan bersama para pengunjung blog yang budiman. Terengganu Darul Iman negeri yang cantik, memudahkan tugas fotographer kelas bawahan seperti saya untuk mendapatkan sudut-sudut yang dikira menarik!


Pulau Kapas, Terengganu Darul Iman

Tasik Kenyir, Terengganu Darul Iman
Bukit Tumbuh,  Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Pantai Penarik, Terengganu Darul Iman

Marang, Terengganu Darul Iman
Pantai Kuala Dungun, Terengganu Darul Iman
Pantai Pandak, Chendering, Terengganu Darul Iman
Pantai Kuala Dungun, Terengganu Darul Iman
Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu
Pantai  Kemasik, Terengganu Darul Iman
Pantai Kemasik, Terengganu Darul Iman
Pantai Pandak, Chendering, Terengganu Darul Iman
Pulau Kapas, Terengganu Darul Iman
Masjid Sultan Ismail, Chendering, Terengganu Darul Iman
Marang, Terengganu Darul Iman
Kampung Telaga Batin, Terengganu Darul Iman

Batu, Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Tasik Kenyir, Terengganu Darul Iman
Kuala Ibai, Chendering, Terengganu Darul Iman
Empangan Pelana, Tasik Kenyir, Terengganu Darul Iman
Pantai Teluk Ketapang, Terengganu Darul Iman
Masjid Terapung, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Lagoon Kuala Ibai, Terengganu Darul Iman
Pulau Kapas, Terengganu Darul Iman
Pulau Kapas, Terengganu Darul Iman


                                                                     -  SEKIAN  -