Inikah Yang Dinamakan Tamak???? |
Orang tamak selalu rugi..... begitulah perumpamaan Melayu lama. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Nauzu billahi min zalik.......Tidak terlintas langsung nak jadi ibubapa yang tamak dalam hal ini.
Anak Istimewa Juga Diberi Kesempatan Menyertai Acara Sebegini Untuk Mempamerkan Kebolehan Masing-Masing |
Tahun lalu, Syahmi hanya mewakili sekolah dalam acara Tilawah Al Quran. Dari pengalaman lalu, tahun ini kami masukkan namanya dalam acara Hafazan juga. Bermakna mahu mencuba nasib dalam 2 acara. Sebenarnya bagi saya Syahmi lebih sesuai dalam Hafazan sebab anak ini mempunyai kemampuan yang lebih baik untuk menghafaz. Namun, guru-gurunya lebih cenderung untuk dia meneruskan cabaran dalam acara tilawah berdasarkan pencapaiannya tahun lalu.
Jadi untuk mengimbangi kedua-dua pendapat, maka namanya dimasukkan dalam ke dua-dua acara. Dalam hati timbul juga kerisauan kerana dikhuatiri anak ini tidak dapat menerima cabaran ini. Tambahan pula komitmen dengan pembelajaran di sekolah yang kian menghimpit. Peperiksaan pertengahan tahun juga akan diadakan pada masa yang sama. Latihan bertubi-tubi dibekalkan oleh guru untuk dibuat di rumah. Mampukah seorang anak istimewa sepertinya menyahut cabaran ini?
Surah Alam Nasyrah Ayat 5 Yang Bermaksud: " Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan" |
Meneliti firman Allah SWT yang bermaksud : " Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan" (Surah Alam Nasyrah Ayat 5). Berpegang pada janji-Nya yang ini, maka kami mesti sentiasa menyokongnya bagi membantu Syahmi mengharungi cabaran. Masa untuk latihan tilawah dan hafazan, masa untuk membuat kerja sekolah, masa untuk membuat latih tubi bagi menghadapi peperiksaan pertengahan tahun di samping mengikuti jadual persekolahan yang padat dari pagi hinggalah ke kelas KAFA di sebelah petangnya. Mesti ada kalanya mood si anak akan menjadi seperti ombak ganas di Pantai Batu Buruk ketika musim tengkujuh. Sungguh menguji kesabaran sebenarnya....
Siapa Tahu Gelora Di hati Si anak Dan Ibubapanya Yang Bermatian Demi Masa DepanYang Lebih Baik ...... |
Inilah dugaan sebagai ibubapa anak istimewa. Mungkin tiada siapa yang dapat menyelami ombak di hati kami. Berpanas dan berhujan, menebalkan muka berhadapan dengan masyarakat, meletakkan ke tepi kata-kata yag boleh melemahkan semangat dan pelbagai dugaan lagi bagi menggapai segunung harapan. Bukan tamak sebenarnya, tapi menggunakan peluang yang terbentang luas di hadapan......
Namun segalanya tetap di tangan Dia yang maha mengetahui. Kita hanya mampu merancang dan berusaha. Semoga apa yang diusahakan membuahkan hasil ....aamiin.
No comments:
Post a Comment