Umpama Sang Gajah dengan Sang Semut |
"Aku orang kecil, engkau orang besar, kau ibarat gajah, ku hanya semut merah". Begitulah hakikatnya asam garam kehidupan manusia, rasa rendah diri apabila kita berada di bawah. Dalam keadaan tertentu, rasa rendah diri itu baik untuk diamalkan. Manakala dalam keadaan yang lain pula, rendah diri boleh meruntuhkan semangat kita. Bagaimana pula Syahmi dengan prinsipnya, lurus tanpa berprasangka. Berani kerana benar!
Beria-ia Syahmi hendak mendapatkan tandatangan Guru Besar sekolahnya yang akan bersara. Dipujuk-pujuk supaya melupakan hasrat untuk mencelah orangramai dalam Majlis Persaraan Puan Melah binti Manap hanya untuk mendapatkan sebuah tandatangan. Dia tidak menghiraukan pujukan saya.
Terus bertemu guru pendampingnya Puan Rosma binti Jani untuk menyatakan hasratnya. Cikgu Rosma bertanya "Ada bawa pen tak?". "Tak ada, cikgu" kata Syahmi. Lalu guru pendampingnya, sudi meminjamkan dari guru lain sebatang pen untuk memuaskan hati anak didiknya. Dalam kesibukan majlis tersebut, sempat juga Syahmi menyelinap mendapatkan tandatangan dan kata-kata dorongan dari Puan Melah binti Manap.
Ternyata dia berpuas hati apabila memperolehi tanda tangan dan kata-kata dorongan dari seorang bekas Guru Besar |
Ibu ayah jadi gerun dengan keberanian Syahmi. Kalau ibu dulu-dulu, hanya menjadi penonton setia di barisan belakang, tersenyum-senyum dari kejauhan meraikan kemeriahan. Kamu memang berbeza.......Ya Allah! lindungilah anak ini dari pandangan kurang baik manusia di luar sana, lahirkanlah rasa belas dan kasih sayang mereka terhadap anak ini...aamiin
Semoga Syahmi menjadi Sang Semut yang berjiwa besar! |
No comments:
Post a Comment