Pages - Menu

Tuesday, March 4, 2014

Majlis Kenduri Sambut Menantu Di Kampung - Kuala Kangsar, Perak


Panas terik ditempuhi sepanjang perjalanan balik dari Kuala Terengganu ke kampung di Kuala Kangsar. Kiri dan kanan jalanraya merentasi negeri Terengganu, Kelantan dan Perak sepanjang 370km benar-benar panas dan kering dengan rumput-rampai yang kekuningan. Terdapat juga bekasan rumput dan pokok-pokok telah menjadi arang kerana terbakar manakala kawasan tertentu ada yang masih berasap menandakan kebakaran masih belum reda.


Lokasi : Kpg Guntong Luar, Setiu, Terengganu . Musim panas dan kering begini,
siapa yang tidak teringin untuk berendam?

Sesekali melalui sungai-sungai yang bersih lagi jernih airnya, menimbulkan keinginan untuk berendam bagi menyejukkankan badan. Namun masa yang singkat menyebabkan kami terkejar-kejar merebut masa untuk sampai ke destinasi memandangkan majlis diadakan bukan musim cuti sekolah. Majlis perkahwinan anak saudara, Kamal & Hanis diadakan di kampung pada 1hb Mac 2014 bertujuan untuk memudahkan sanak saudara bertemu samada yang jauh mahupun yang dekat.


Suasana di kampung kembali ceria.....

Hiasan majlis perkahwinan  yang menyerikan suasana....

Pelbagai acara diadakan termasuk majlis doa selamat, marhaban, acara berendui, majlis cukur rambut cicit-cicit Allahyarham Tok Yan, menjadikan majlis tersebut bertambah meriah.


Majlis Berendui dengan diringi kumpulan Marhaban (cicit-cicit yang dijadualkan untuk berbuai
belum bersedia lagi semasa gambar ini diambil)


Majlis Cukur Rambut Cicit Arwah Tok Yan

Tidak lengkap rasanya jika tidak dijemput anak-anak tahfiz sekolah agama yang berdekatan untuk sama-sama membaca Yassin dan doa selamat disamping menjamu selera. Yang pergi tidak dilupakan, semoga roh mereka dicucuri rahmat-Nya...aamiin.


Tetamu istimewa anak-anak tahfiz dari sekolah berdekatan...

Pengantin tiba dengan bertandu, bagi mewujudkan kelainan disamping mengembalikan sejarah lampau orang kita. Senyum lebar si pengantin diusung tinggi. Namun di hati keduanya siapa yang tahu, mungkin rasa gayat tetap menguji. Yang mengusung diberikan tugas kepada sepupu si pengantin lelaki untuk membuktikan semangat  setiakawan mereka yang dipupuk semenjak dari kecil. Muafakat membawa berkat....akhirnya pasangan pengantin selamat mendarat....alhamdulillah.


Pengantin tiba dengan bertandu (diusung)...
                 
Yang diusung tersenyum lebar, yang mengusung senyum dalam tangisan....beratttt

Ahli baru dalam keluarga kami.....Hanis Amirah

Selamat Pengantin Baru Kamal & Hanis.....semoga bahagia hingga ke jannah

Bermukim sekian lama di Kuala Terengganu menyebabkan kami banyak terlepas dari menyertai acara-acara keraian sebegini di kampung. Jarak yang dianggarkan kira-kira 370km dari Kuala Terengganu ke Kuala Kangsar melalui jalanraya biasa, bukan perjalanan  mudah kerana  memerlukan perancangan terbaik seperti penyelenggaraan kenderaan, cuti, persekolahan anak-anak dan yang terpenting kewangan yang stabil.


Tidak lupa juga bercerita tentang si anak istimewa saya yang gembira apabila berada di kampung. Syahmi juga turut menyumbang tenaga terhadap majlis ini walaupun hanya sekelumit. Syahmi membantu mengisi telur-telur juga gula-gula ke dalam bekas-bekas cenderahati. Bukan mudah untuk memfokuskannya dalam melaksanakan sesuatu tugasan....tahniah Syahmi!


Sibuk nampaknya Syahmi menghadap sedulang gula-gula juga berpapan-papan telur
yang siap direbus untuk diagihkan ke dalam bekas-bekas cenderahati....

Alhamdulillah....akhirnya majlis usai dengan meriahnya. Kami bertolak balik ke Kuala Terengganu keesokkan paginya. Rasa rindu terubat jua walau pertemuan hanya seketika. Cuma hati merintih meninggalkan ibu yang telah uzur di kampung.....Makkkkk juga kenangan bersama arwah Apak yang telah pergi meninggalkan kami kira-kira 8 bulan yang lalu.....Al fatihah          


Makkk.....
 
Pusara mu ayahanda (Apak)....Al Fatihah

No comments:

Post a Comment