Pages - Menu

Wednesday, October 21, 2015

Kaedah 'Rawatan' Untuk Autisme....



Bagaimana merawatnya?


Tiada ubat? Kecewa ibubapanya apabila mengetahui bahawa autisme itu dikatakan tiada penawarnya. Tiada kajian yang benar-benar membuktikan autisme boleh dipulihkan sepenuhnya melalui ubat-ubatan. Tiada jalan singkat, namun kombinasi kaedah tertentu amat disyorkan bagi membantu meminimakan permasalahan mereka.


Kombinasi 'rawatan' yang dimaksudkan termasuklah :


A. PENDIDIKAN KHAS

Bermakna anak yang mengalami masalah ini tidak boleh menerima pembelajaran sebagaimana kebanyakan kanak-kanak lain. Masalah yang dihadapai oleh golongan ini dapat dikesan di awal usia lagi sementara dalam kes-kes tertentu pula, hanya boleh dikesan ketika si anak memasuki usia persekolahan. Mereka sebaiknya dimasukkan ke aliran Pendidikan Khas dimana guru-guru terlatih mengendalikan anak-anak istimewa ditempatkan.

Masalah pembelajaran dikenalpasti apabila seseorang individu :

                       - Sukar menyatakan kehendak dan memahami apa yang
                         diperkatakan oleh orang lain.
                       - Masalah membaca, menulis dan mengira atau memahami arahan.
                       - Sukar berkawan
                       - Tidak dapat mengurus diri
                       - Tingkah laku tidak terkawal semasa di sekolah


B. MODIFIKASI TINGKAHLAKU

Seperti yang diketahui, individu autisme mengalami masalah tingkahlaku, umpamanya sukar menunggu giliran, cenderung untuk mencederakan diri sendiri , mengamuk dan lain-lain lagi. Sebagai ibubapa, tingkahlaku anak-anak ini perlu diperbetulkan dari awal supaya tidak berkekalan hingga mereka dewasa.

Melalui Modifikasi Tingkahlaku, beberapa method yang digunapakai oleh pakar dalam mengatasi masalah ini umpamanya seperti Terapi ABA, Count and Mand dan sebagainya. Teknik-teknik ini diperkenalkan bagi menerapkan tingkahlaku positif di kalangan anak-anak istimewa .


C. TERAPI PERTUTURAN DAN  TERAPI CARA KERJA

Mereka dalam pelbagai versi, ada yang non verbal dan ada pula yang verbal. Didapati anak-anak yang non verbal lebih mudah tantrum jika dibandingkan dengan yang verbal. Ibubapa seharusnya membawa anak masing-masing ke bahagian Terapi Pertuturan di hospital bagi mendapatkan khidmat nasihat juga terapi yang berkesan dalam merangsang pertuturan anak-anak.

Manakala, Terapi Cara Kerja pula lebih kepada membantu mereka menguasai kemahiran motor halus dengan lebih baik seperti menulis, menggunting dan sebagainya. Objektif  terapi cara kerja adalah untuk membantu anak-anak bermasalah ini supaya dapat berdikari dalam kehidupan sehariannya.


D. SOCIAL SKILL TRAINING

Seseorang yang mengalami masalah sosial skill seperti individu autisme, memerlukan pendedahan supaya mereka boleh mengatasi kekurangan mereka ketika berhadapan dengan masyarakat. Contohnya masalah 'eye contact', kesukaran mentafsir emosi dan sebagainya.

Namun dikatakan tiada pengkhususan pengajian setakat ini yang melayakkan seseorang disahkan sebagai terapist dalam bidang Kemahiran Sosial. Kita hanya boleh mendapatkan khidmat nasihat dari mereka yang telah biasa mengendalikan kes-kes autisme seperti Terapist Pertuturan, Terapist Cara Kerja juga Pakar Psychologist.


E. UBAT-UBATAN

Menurut kajiannya, tiada ubat yang specifik dapat membantu menyembuhkan autisme. Namun ubat-ubatan yang dimaksudkan ini merupakan ubat yang mendapat kelulusan doktor bagi menangani masalah bersama yang wujud pada individu autisme seperti epilepsi, anxiety dan sebagainya.


Tidak salah untuk kita berikhtiar. Namun sebagai umat Islam, kita harus percaya kepada kekuatan doa sebagai senjata utama orang mukmin. Yakinlah Allah mendengar rintihan hamba-Nya. Sesungguhnya Maha Suci Allah berkuasa atas segalanya....

No comments:

Post a Comment