A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Thursday, April 21, 2016

Terbaik Belum Tentu Dapat Menarik Perhatian



Filem Redha Arahan Tunku Mona Riza

Sana sini kita baca komen-komen dari mereka yang telah menonton filem ini di panggung. Dari pengkritik filem, pelakon tersohor yang mengatakan bahawa filem ini mempunyai nilai kemanusiaan yang jarang-jarang diketengahkan oleh pendokong industri perfileman tempatan. Syabas kepada penerbit dan pengarahnya yang begitu berani melaburkan modal untuk menghasilkan filem REDHA.


Namun, khabarnya filem ini kurang mendapat sambutan masyarakat negara kita yang rata-ratanya ke panggung hanya sekadar untuk mendapatkan hiburan. Kisah keluarga yang berjuang untuk menerima kehadiran seorang anak autisme dengan redha. Pahit maung ibubapa melawan persepsi negatif masyarakat terhadap golongan istimewa ini. Maka, filem-filem begini kurang mendapat tempat di hati mereka. Tidak hairanlah setiap kali tayangan hanya beberapa kerat sahaja yang datang.


Sedih, kecewa memang ada. Namun sokongan ibubapa anak istimewa autisme seluruh negara nampaknya tidak berbelah bahagi terhadap filem ini. Sampai bila masyarakat kita hendak membuka minda dalam mencari ilmu? Yang 'lagho' kita sanjung, kita agungkan. Yang bermanfaat kita tak pandang sebelah mata.


Menangis keluar airmata darah sekali pun, tidak mampu menyakinkan masyarakat kita untuk menonton karya-karya terbaik begini. Masyarakat kita sukakan hiburan yang mampu mengasyikkan umpama cerita cinta Romeo and Juliet, bisa mentertawakan hingga pecah perut, bisa menyajikan hero dan heroin yang cun melecun, mahupun yang menyeramkan biar pun ianya tahyul semata-mata namun dapat meremangkan bulu romanya.


Tepuk dada tanya selera masing-masing. Semoga mereka yang kurang prihatin ini tidak dipilih oleh-Nya menerima anugerah anak istimewa dalam keluarga kerana sememangnya mereka tidak 'berkelayakan'. Wallahualam


Saya mewakili ibubapa kepada anak istimewa ini
ingin mengucapkan ribuan terima kasih
atas usaha pihak terbabit dalam menghasilkan
sebuah filem yang hebat
- REDHA -











Monday, April 18, 2016

Inklusif Penuh....



Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
sebagaimana rakan-rakan tipikal

INKLUSIF PENUH di sekolah biasa. Bagaimana keadaannya? Bersendirian melalui ranjau dan duri. Seorang pelajar berkeperluan khas, dikelilingi rakan tipikal dengan pembelajaran serta aktiviti persekolahan yang semakin mencabar. Seorang pelajar berkeperluan khas yang akan berhadapan dengan guru-guru biasa yang tidak terdedah dengan keperluan anak istimewa.

Kes-kes sebegini merupakan kes yang terpencil. Kes yang jarang-jarang berlaku menyebabkan ramai yang terlepas pandang. Anak-anak istimewa masalah pembelajaran yang boleh mengikuti pembelajaran sebagaimana pencapaian anak tipikal, akan diinklusifkan ke sekolah-sekolah biasa bersama anak tipikal yang lain.

Ramai ibubapa yang mendambakan anak-anak istimewa masing-masing belajar di aliran perdana. Namun jangan lupa, melangkah sahaja kaki si anak ke sekolah, ibuayah sentiasa berdebar dengan penerimaan masyarakat sekolah terhadap anak istimewa di sana.

Fahamkah guru dengan kehendak si anak istimewa tersebut?
Bolehkah mereka bertolak ansur dengan kekurangan yang ada padanya?
Tidakkah si anak menjadi bahan ejekan rakan-rakan tipikal yang lain?
Mampukah dia seiring dengan rakan-rakan yang lain dalam memenuhi tuntutan silibus pembelajaran yang semakin mendesak?

Bermacam-macam lagi persoalan yang timbul di kepala ibuayahnya. Berdoalah agar anak kita ditemukan dengan guru-guru hebat yang berjiwa 'emas' untuk membantu anak kita. Begitu juga rakan-rakan yang berada di sekelilingnya. Hadirkanlah insan-insan berhati mulia untuk membantu, melindungi serta menghargai kehadirannya.

Pada ibubapa di luar sana yang mempunyai anak istimewa, jangan terlalu bermimpi indah sekiranya si anak belum cukup mantap untuk bersaing dengan rakan-rakan tipikal di aliran perdana. Sebelum kita mengambil keputusan untuk menempatkan mereka di sana, haruslah memantapkan mereka dengan ilmu pengurusan diri juga kemahiran bersosial terlebih dahulu.

Ingat! Bukan bermakna jika si anak mampu menerima pembelajaran, secara automatik mereka layak untuk belajar di aliran perdana. Jangan korbankan jiwa mereka hanya kerana hendak mencapai matlamat kita untuk melihat si anak berada di aliran perdana. Buatlah pertimbangan sewajarnya......

Bukan menakut-nakutkan semua, sekadar berkongsi pengalaman yang ada. Wallahualam










Saturday, April 2, 2016

Autism Awareness 2016






Suatu ketika dulu (tahun 2008), Syahmi sedang dibantu guru ketika sesi terapi renang. Ini merupakan proses intervensi awal bagi kanak-kanak autisme. Banyak lagi sebenarnya aktiviti yang dapat membantu mereka dalam mengatasi kekurangan diri.

Oleh itu ibubapa jangan terus leka dalam penafian. Cepat bertindak. Mereka boleh diminimakan permasalahan yang dihadapi. Tiada bukti kukuh yang menujukkan mereka boleh disembuhkan sepenuhnya. Namun kita jangan putus asa.

Berusaha dan serahkan pada-Nya, kerana sesungguhnya Dia pengatur kehidupan hambanya....Inshaallah

Saturday, March 5, 2016

21 Tahun Sudah....



Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik  buat kami berdua meneruskan perjalanan di dunia ini, bersama memperbaiki kesilapan diri, memperbetulkan kekhilafan lalu. Yang pasti, masa makin dekat. Tiada siapa yang mampu lari dari ketentuan-Nya.

Semoga dikurniakan juga kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kesabaran menghadapi ujian, anak-anak yang soleh agar bisa membantu kami ketika di sana nanti. Aamiin....



HAPPY ANNIVERSARY
-5.3.1995 - 5.3.2016-

Sunday, February 28, 2016

Raikan usaha mereka.......



Syahmi dengan algebranya.....


Tahun lepas, dia di Tingkatan 1. Mula diperkenalkan topik algebra untuk subjek Matematik. Tahun ini dia telah berada di Tingkatan 2. Algebra datang lagi dengan penyelesaian yang lebih rumit. Setakat ini dia boleh faham dengan pengajaran guru di sekolah.

Bila buat kerja sekolah di rumah, dia akan berbincang dengan ibu penyelesaian ungkapan algebra. Ibu hanya angguk kepala tanda setuju walau sebenarnya ibu tak faham sikit habuk pun topik tu. Ibu dari zaman sekolah lagi kurang berminat dengan Matematik.

Namun, ibu tetap meraikan anak ibu. Tunjukkan kecaknaan ibu dalam menyokong usaha si anak menguruskan pembelajarannya. Berlakonlah demi menyenangkan hati si anak. Hargai kemahuannya, barulah terbit keyakinan diri. Kalau bukan kita ibubapanya, siapa lagi?

Tapi, ibu bangga dengan pencapaian si anak dalam subjek Matematik. Jauh lebih baik dari ibu dulu-dulu....good job Syahmi.



Friday, February 19, 2016

Subhanallah....






Subhanallah.....mereka dilahirkan berbeza. Kita melabelkan mereka sebagai 'kecacatan', sedangkan mereka makhluk ciptaan-Nya dengan pelbagai kelebihan. Cuma kita tidak berusaha mencari kekuatan yang ada pada golongan ini. Lalu mereka dipandang rendah, mereka dipandang sepi dalam masyarakat.


Sesungguhnya, segala ciptaan-Nya tiada yang sia-sia. Marilah kita sama-sama menyantuni insan-insan istimewa ini. Yang kurang dibantu sementara kelebihannya dicari untuk dimanfaatkan. InshaAllah...janji Allah itu pasti.


Sunday, February 7, 2016

Jangan Kasi Muka Pada Aedes....


Nyamuk, walaupun kecil tapi kesannya boleh menjadi kes serius apabila menggigit manusia. Ada yang gatal-gatal dibuatnya, ada pulak yang dalam diam menggigit, tahu-tahu demam panas kemudiannya, hilang selera makan hingga  ada yang meragut maut. Sekarang kami di Terengganu berjaga-jaga dengan wabak denggi. Beberapa kes kematian dilaporkan (7 kes kematian setakat ini) akibat dari demam denggi dalam tahun 2016 ini sahaja. Maksudnya, pembawa wabak ini perlu diperangi secara besar-besaran, iaitu nyamuk aedes.

2 jenis nyamuk Aedes yang menjadi pembawa virus denggi dimana wabak ini masih tiada lagi penawarnya hingga kini. Ciri-ciri tertentu dapat membezakan antara Aedes Aegypti dan Aedes Albopictus iaitu di bahagian kepalanya :

Perbezaan ketara di bahagian kepala kedua-dua jenis nyamuk ini

1. AEDES AEGYPTI (nyamuk rumah) - berwarna coklat gelap ke hitam, tanda putih-perak berbentuk kecapi di kepala, berbelang-belang seluruh badan , berterbangan di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah. Bertelur dan membiak dalam bekas-bekas buatan di dalam dan di luar rumah.


Nyamuk Aedes Aegypti

2. AEDES ALBOPICTUS (nyamuk kebun) - terdapat garisan putih-perak di sepanjang pertengahan kepala dan badan. Terdapat di kawasan perumahan, kebun dan di hutan. Membiak di bekas alamiah seperti lubang di pokok, tunggul pokok, buluh, ketiak daun seperti daun pandan, nenas dan sebagainya.


Nyamuk Aedes Albopictus

Nyamuk aedes membiak di dalam takungan air jernih samada di dalam mahupun di luar rumah. Tidak boleh membiak di dalam air yang kotor. Piring alas pasu bunga, tadahan air seperti kolah dan baldi merupakan lokasi yang perlu diambil perhatian supaya aedes tidak membiak di sana.

Jom pakat-pakat jaga kebersihan sekitar rumah masing-masing. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...