Mungkin terlalu awal, namun hakikatnya kita kian menghampiri ke penghujung 2012. Dengan pelbagai kenangan suka dan duka, inilah rangkuman pengalaman Syahmi sepanjang 2012 dalam usianya 10 tahun. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, pengalaman pahit dan manis bersilih ganti bagi mewarnai perjalanan anak istimewa ini sepanjang 2012.
JANUARI - Memulakan persekolahan 2012 di Kelas 4 Al Ghazali |
Memulakan langkah ke sekolah untuk mengharungi Tahap II persekolahan di Kelas 4 Al Ghazali. Sangat merisaukan ibubapanya, kerana di Tahap II ini banyak perkara baru yang harus diterokai oleh anak ini selain dari syllibus pembelajaran yang lebih mencabar serta penyertaan dalam kegiatan ko kurikulum, acara sukan balapan, padang juga 'Merentas Desa'. Tiada lagi acara sukaneka seperti di tahun-tahun lalu.
FEBRUARI - Berjaya menamatkan larian Merentas Desa bersama rakan- rakan di aliran perdana dengan jarak 4 km |
Mempunyai susuk tubuh yang gempal, telah menghalang banyak aktiviti fizikal dilakukan dengan jayanya. Namun dalam acara Merentas Desa, Syahmi berjaya menamatkan larian seperti mana rakan-rakan di aliran perdana yang lain iaitu merentasi jarak 4 km. Hanya berjaya mendapat tempat ke 32 dari keseluruhan peserta lelaki. Ibu dan ayah tetap berasa bangga kerana pencapaiannya lebih baik dari sesetengah rakan-rakan normal yang tidak dapat menghabiskan larian.
FEBRUARI - Menyertai kelas KAFA menjadi cabaran besar baginya untuk stay di sekolah hingga ke petang |
Kelas Kafa yang disertai oleh pelajar di aliran perdana berlangsung sebanyak 3 kali dalam seminggu. Ianya berlangsung pada setiap hari Ahad, Isnin dan Rabu dari pukul 2.00pm hingga 3.45pm. Sebagai ibubapa kita memang mengharapkan anak istimewa kita berupaya untuk duduk/berdiri seiringan dengan mereka di aliran perdana.
Keengganan Syahmi untuk stay di sekolah hingga ke petang menjadikan proses penerimaannya terhadap keperluan menghadirkan diri ke kelas Kafa agak memakan masa. Semenjak di Tahun 1 hingga di Tahun 3 dia telah terbiasa dengan waktu persekolahan yang tamat hingga pukul 12.45pm tiap-tiap hari, maka untuk menyesuaikan diri dengan routine baru amat menyukarkan. Selama sebulan si ibu terpaksa bertunggu-tangga di sekolah hingga ke petang bagi memujuk Syahmi untuk menyertai kelas Kafa tersebut. Alhamdulillah....akhirnya Syahmi berjaya mengatasi masalah tersebut dan mampu mendisiplinkan diri dengan hadir ke kelas mengikut waktunya. Manakala keputusan ujian juga menunjukkan Syahmi tidak ketinggalan dari yang lain.
FEBRUARI - Bangga ....buat pertama kali menyarung uniform Pengakap |
Cabaran seterusnya bagi membiasakan Syahmi dengan uniform Pengakap serta penglibatan dalam aktiviti badan terebut. Nampaknya tahun ini, Syahmi enggan menyertai aktiviti Pengakap dengan rakan-rakan di aliran perdana. Syahmi lebih selesa untuk bersama rakan di Pendidikan Khas yang amat terbatas kegiatannya. In Sha Allah....tahun depan kami akan berbincang dengan guru-guru bagi memberi peluang kepadanya untuk menyertai rakan Pengakap di aliran perdana yang lebih mencabar dengan pelbagai aktiviti.
FEBRUARI - Bercuti bersama keluarga sempena Tahun Baru Cina di Tasik Kenyir, Terengganu |
Bagi meneutralkan mood Syahmi dengan cabaran persekolahan yang agak membebankan bagi anak istimewa sepertinya, berekreasi seisi keluarga menjadi pilihan kami ketika hari minggu mahupun cuti umum. Sempena Tahun Bari Cina yang lalu, kami membawanya ke Tasik Kenyir untuk merasai pengalaman menaiki boat mengelilingi tasik serta menikmati keindahan semulajadi tasik buatan manusia tersebut.
APRIL - Autisme Awareness Day di Pulau Kapas, Terengganu |
Jika dulu, kami tidak menghiraukan akan kewujudan Hari Kesedaran Autisme (2 April) untuk diraikan bersama, namun pada tahun 2012 saya berazam untuk memberi penghargaan kepada insan istimewa ini yang menjadi pencetus semangat buat kami sekeluarga. Dirinya perlu dihargai, kerana kehadirannya dalam keluarga sebagai anugerah dari-Nya. Jangan sesekali kita menyangka bahawa anugerah yang sepertinya hanya membawa 'airmata' kepada kita, percayalah Allah memberi ujian bersesuaian dengan kemampuan kita. Jika kita berusaha, mereka juga berpeluang untuk membanggakan ibubapanya. In Sha Allah......
MEI - Menjadi Qari mewakili sekolah dalam Tilawah Al Quran Pendidikan Khas peringkat daerah Kuala Terengganu (Johan) |
Tidak disangka-sangka, tahun 2012 membuka lembaran baru bagi si anak ini dimana pihak sekolah telah mencuba untuk mengenengahkannya di khalayak ramai dengan penyertaan dalam Tilawah Al Quran peringkat daerah Kuala Terengganu. Membaca surah A' Basa dengan nasihat si ibu dan guru-gurunya......alhamdulillah gelaran Johan berjaya menjadi miliknya untuk melayakkan diri bagi mewakili daerah Kuala Terengganu ke peringkat negeri.
JUN - Dingin di Bukit Bendera, Pulau Pinang dengan 'Mak Arab' yang sporting gila! |
Cuti sekolah datang lagi, kami mengambil peluang untuk berjalan-jalan ke Pulau Pinang bagi melihat tempat orang. Kebiasaannya Syahmi hanya terdedah pada majoriti masyarakat Melayu di Terengganu, namun apabila berada di Pulau Pinang dia tergamam dengan kewujudan masyarakat yang berbilang kaum di sana termasuk pelancong asing yang pelbagai rupa serta budaya. Tidak lupa Syahmi mengambil kesempatan untuk bergambar dengan pelancong Timur Tengah yang duduk di atas sejadahnya bagi menunggu masuk waktu solat.
JUN - Saat mesra bersama Tok menjadi kenangan ketika bercuti di kampung halaman |
Seperti biasa, cuti sekolah juga kami pasti akan balik ke kampung di Kuala Kangsar, Perak untuk bertemu kedua insan yang tersayang Tok dan Opah. Masih teringat saat-saat mesra si cucu dengan Tok dan Opahnya, sanggup memenuhi permintaan si cucu untuk bergaya dengan cermin mata hitamnya bagi diabadikan gambar sebagai kenangan.
Kemesraan ini tiada lagi kerana sebulan kemudiannya Tok telah jatuh sakit dan hilang keupayaan untuk melalui masa-masa gembira seumpamanya, malahan Tok telah mula nyanyuk dan hilang keupayaan untuk menguruskan dirinya disebabkan faktor usia (85 tahun).
JUN - Luahan rasa kecewa diatas kegagalan di dalam Tilawah Al Quran peringkat negeri Terengganu, namun sebagai percubaan pertama ......mendapat Tempat ke 3 sudah memadai |
Setelah bercuti panjang, Syahmi sibuk menyambung semula persekolahan dengan persediaan untuk Tilawah Al Quran peringkat negeri Terengganu. Namun tidak segalanya mampu menjadi miliknya dimana di peringkat negeri ini Syahmi hanya mendapat tempat ke 3. Walaupun agak kecewa dengan pencapaiannya, ia juga memberi pengalaman buat Syahmi belajar menerima kekalahan. Sebagai manusia yang lemah, kita tidak sentiasa berada di atas. Hakikat ini harus diterima dengan redha. Tahun depan kita lipatgandakan usaha untuk lebih berjaya.....
OGOS - Sederhana berhariraya di kampug halaman, Kuala Kangsar, Perak |
Ramadhan tiba Syahmi berjaya mengharungi ibadah puasa walau dalam keadaan cuaca yang panas terik serta jadual persekolahan yang berjalan seperti biasa. Ada hari-hari tertentu, Syahmi hampir tewas untuk meneruskan ibadah puasanya tapi masih berjaya dipujuk untuk bertahan hingga ke waktu berbuka puasa. Nampaknya kali ini dia beraya dengan lebih bersemangat kerana dapat berpuasa penuh sebulan Ramadhan. Seperti biasa kami akan beraya di kampung bersama-sama sanak saudara.
SEPTEMBER - Menemani si abang di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu |
Tanpa diduga, tiba-tiba si abang di masukkan ke hospital kerana masalah infeksi di bahagian selaput jantungnya. Lima hari di wad, ke dua beradik ini terpaksa berpisah. Melawat si abang ketika waktu dibenarkan, dan yang paling menyedihkan harilahir Syahmi yang jatuh pada 7hb September terpaksa disambut tanpa si abang yang terlantar di katil hospital. Syukur alhamdulillah, setelah 5 hari di hospital akhirnya si abang dibenarkan pulang ke rumah setelah disahkan sihat sepenuhnnya oleh doktor.
SEPTEMBER - Berhariraya bersama keluarga Autisme Malaysia di Masjid Putra, Putrajaya |
Inilah saat yang ditunggu-tunggu iaitu tanggal 16hb September 2012 dimana perjumpaan hariraya dengan 'saudara mara' Autisme Malaysia di adakan di Masjid Putra, Putrajaya. Bertemu dengan keluarga yang juga mempunyai anak istimewa autisme, bertukar pandangan sambil mengeratkan sillaturrahim. Bila ramai-ramai dapat bertemu sebegini, barulah kita tahu bahawa kita bukan bersendirian dalam menghadapi cubaan ini. Ambil kekuatan dari ibubapa yang telah berjaya membesarkan anak-anak istimewa mereka......jangan mudah berputus asa.
OKTOBER - Menerima anugerah Pelajar Cemerlang Pendidikan Khas 2012 |
Dalam memperkatakan tentang pembelajarannya di sekolah, kerjasama guru dan usaha yang maksimum dari ibubapa di rumah amat perlu untuk menjamin anak-anak istimewa boleh menyaingi rakan-rakan mereka di aliran perdana. Ini disebabkan syillibus pembelajaran sekarang yang amat mencabar serta padat dengan aktiviti sepanjang tahun.
Syahmi masih mengekalkan di kedudukan top 10 dalam keseluruhan pelajar Tahun 4 di Sek Keb Seri Budiman II. Yang paling menyerlah adalah penguasaannya dalam matapelajaran Matematik dimana berada di kalangan yang terbaik bagi keseluruhan pelajar sementara matapelajaran Bahasa Melayu perlu dilipatgandakan usaha samada di sekolah juga di rumah bagi memperbaiki kelemahan terutama kertas Bahasa Melayu I.
Syahmi masih mengekalkan di kedudukan top 10 dalam keseluruhan pelajar Tahun 4 di Sek Keb Seri Budiman II. Yang paling menyerlah adalah penguasaannya dalam matapelajaran Matematik dimana berada di kalangan yang terbaik bagi keseluruhan pelajar sementara matapelajaran Bahasa Melayu perlu dilipatgandakan usaha samada di sekolah juga di rumah bagi memperbaiki kelemahan terutama kertas Bahasa Melayu I.
Hujung tahun ketika cuti panjang persekolahan adalah masa yang terbaik untuk melangsaikan tanggungjawab ibubapa terhadap kewajiban keatas anak lelakinya iaitu berkhatan. Memang mendebarkan pengalaman ini, namun atas nasihat doktor segalanya berjalan lancar. Hilang sudah kerisauan yang membelenggu Syahmi semejak dia mula memahami yang dirinya mesti melalui proses berkhatan bagi memastikan kebersihan diri seperti yang dituntut agama. Dua minggu melalui tempoh berpantang, akhirnya Syahmi sihat sepenuhnya.
NOVEMBER - Syahmi dah pandai beraksi dengan selebriti.... |
Kembali bergembira dengan nikmat cuti sekolah, apa salahnya berjalan-jalan menyaksikan kemeriahan aktiviti-aktiviti hujung tahun yang diadakan di Kuala Terengganu seperti menyaksikan Karnival Bananana Land di Pulau Duyung bersempena dengan kemeriahan acara Monsoon Cup di sana.
Syahmi denganTeacher Ling |
Sementara beberapa hari lagi saki baki cuti sekolah, ayuh kita jumpa seseorang yang sangat berjasa membimbing Syahmi ketika mula-mula diinklusifkan ke aliran perdana empat tahun lalu. Teacher Ling ....mesra, ramah dan senyum sokmo!
Kedatangan 2013 diharapkan dapat membawa sejuta harapan buat anak istimewa ini bagi menyerlahkan kecemerlangan diri juga dipermudahkan laluan oleh-Nya dalam menempuhi cabaran mendatang....aamiin
Syahmi Boleh! |
No comments:
Post a Comment