Pages - Menu

Saturday, December 29, 2012

Kelemahan Berkomunikasi Menjejaskan Pergaulan Sosialnya......



Syahmi mengalami lewat perkembangan pertuturan tidak seperti anak-anak seusia dengannya. Sehingga umurnya empat tahun, baru kedengaran patah-patah perkataan bermakna keluar dari mulutnya. Perubahan sedikit demi sedikit berlaku hingga boleh bertutur dengan perbendaharaan kata yang kian berkembang. Namun dalam usianya 10 tahun kini, seperti insan-insan autisme yang lain Syahmi masih bergelut untuk memperbaiki kelemahannya dalam berkomunikasi antaranya:


               1.  MENCELAH PERBUALAN
                     
                    Masih kerap berlaku dimana Syahmi sering mencelah perbualan secara tiba-tiba
                    dengan membawa tajuk perbualan yang berada dalam  fikirannya untuk dikongsikan
                    dengan mereka yang sedang berbual. Ini boleh membuatkan perbualan pihak
                    berkenaan terganggu dan menampakkan kurangnya kemahiran Syahmi dalam
                    ketertiban bila berbicara.


Umpamanya.... sebelum memotong kena bagi signal light dulu!




                2.  MENGGUNAKAN TONE SEOLAH-OLAH MEMBACA SKRIP      

                     Masih kedengaran pertuturannya secara tidak bersahaja, namun kekadang seolah-
                     olah sedang membaca skrip. Penggunaan bahasa-bahasa baku, menyebabkan
                     perbualannya menjadi perhatian pihak lain dan ada juga yang berkerut dahi kerana
                     rasa 'pelik'. Syahmi banyak menggunakan perkataan berimbuhan yang kadang
                     kala tidak kena pada tempatnya.

Seolah-olah sedang membuat pengumuman



               3.  TIDAK MEMAHAMI  KIASAN DAN KESESUAIAN PENGGUNAANNYA
                    MENGIKUT MASA ATAU KEADAAN

                    Masih berlaku  dalam keadaan yang tertentu Syahmi menggunakan perkataan yang
                    straight forward tanpa 'berlapik' untuk menyampaikan maksudnya tanpa
                    menghiraukan sensitiviti pihak lain.


Dua makna - Bagi Syahmi hanya gambaran klip-klip baju di ampaian.....
tapi dalam politik  di Malaysia lain pula maknanya....hehehe


                   4.  TIDAK DAPAT MENILAI RIAK MUKA ORANG LAIN

                        Masih sukar menilai riak muka pihak lain, menyebabkan Syahmi sering dibuli
                        juga senang menaikkan kemarahan pihak lain. Keadaan menjadi lebih serius
                        apabila Syahmi juga sukar berkata-kata secara berkesan untuk mempertahankan
                        diri sendiri.



Keliru riak muka antara marah, sedih, main-main......dan sebagainya

                         
Saya percaya, kelemahan ini boleh diminimakan dengan pemantauan keluarga juga pergaulannya bersama rakan sebaya di sekolah. Bagi melalui fasa ini,  bukan perkara mudah untuk kita menagih kefahaman dari pihak luar terhadap kekurangan semulajadi mereka. Inilah konflik yang dialami oleh anak-anak autisme.


Semoga, semakin ramai di kalangan masyarakat yang sedar tentang golongan istimewa ini memandangkan suara autisme juga semakin lantang kedengaran di sana sini. Mungkinkah kelantangan ini disebabkan penyandang autisme yang semakin ramai di negara kita atau ibubapa kini yang lebih berpengetahuan.......Ayuh semua! kita bangun untuk memperjuangkan hak anak-anak autisme yang jumlahnya telah melebihi 47000 orang di Malaysia.


Ayuh! Bersemangat untuk bangun berjuang
bersama Syahmi....

Monday, December 24, 2012

Harapan Kami Pada Cikgu Mariati binti Hussin.....


                     
                        Mendidik anak autisme perlukan kesabaran, pengetahuan yang mendalam serta idea yang kreatif bagi menjamin perkembangan positif mereka. Jika di sekolah, guru-guru Pendidikan Khas yang terlatih dipertanggungjawabkan  mendidik anak-anak  istimewa kita.


                        Bagaimana pula bila guru-guru di aliran perdana diberi tanggungjawab mendidik anak istimewa yang diinklusifkan ke kelas biasa?  Dapatkah guru-guru ini memahami kehendak murid yang fizikalnya nampak normal sedangkan hakikatnya mereka 'berkelainan' dalam banyak aspek.


                       Pertamanya, bersangka baiklah terhadap guru yang memikul tanggungjawab tersebut.  Jangan terlalu menaruh harapan yang besar supaya pihak lain dapat memahami 'kelainan' yang ada pada anak istimewa kita. Beralah bukan bererti kalah........Berterima kasihlah pada guru ini yang memikul 'extra' tanggungjawab terhadap anak istimewa kita.  Di sini juga, ingin saya mengucapkan tahniah pada  guru-guru yang pernah menjadi Guru Kelas juga mengajar Syahmi dalam matapelajaran tertentu kerana dapat membuktikan bahawa guru biasa juga mampu memikul tanggungjawab mendidik anak istimewa seperti Syahmi.
                     

Guru Kelas Tahun 1 Al Ghazali (2009)
Ustazah Sabariah binti Jusoh
               

Guru Kelas Tahun 2 Al Ghazali (2010)
Puan Lee Siok Fong


Guru Kelas Tahun 3 Al Ghazali (2011)
Ustazah Sayani 


Guru Kelas Tahun 4 Al Ghazali (2012)
Puan Zahiah binti Othman


                          Alhamdulillah .....sesi perekolahan 2013 nanti Syahmi akan mendapat seorang guru kelas yang lemah lembut perwatakannya. Beliau pernah menjadi guru kelas kepada seorang pelajar autisme yang juga diinklusifkan tiga tahun yang lepas. Dari pengalamannya yang lalu, saya berharap beliau dapat memberi pendidikan yang terbaik buat Syahmi. Beliau ialah Puan Mariati binti Hussin seorang guru yang mengajar matapelajaran Matematik.



Guru Kelas Tahun 5 Al Ghazali (2013) nanti
Puan Mariati binti Hussin

                     
                         Yang pasti, hari pendaftaran persekolahan nanti ada sesuatu yang hendak saya bisikkan pada Cikgu Mariati. "CIKGU KENA PASTIKAN SYAHMI DUDUK DI BARISAN HADAPAN DALAM KELAS" kerana itu routine dia dari Tahun 1 .......kalau tak ditunaikan pasti muka 'masam catung' (simpulan bahasa orang Melayu Terengganu) bermakna masam muka. Cobaannnnnn bermula buat Puan Mariati....semoga kerjasama cikgu dengan kami ibubapa anak istimewa ini berterusan demi kecemerlangan Syahmi.
                     
                     

                     




                        

Wednesday, December 19, 2012

Rangkuman Suka Duka 2012....

     
      
Mungkin terlalu awal, namun hakikatnya  kita kian menghampiri  ke penghujung 2012.  Dengan pelbagai kenangan suka dan duka, inilah rangkuman pengalaman Syahmi sepanjang 2012 dalam usianya 10 tahun. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, pengalaman pahit dan manis bersilih ganti bagi mewarnai perjalanan anak istimewa ini sepanjang 2012.


JANUARI  -  Memulakan persekolahan 2012
 di Kelas 4 Al Ghazali

               
Memulakan langkah ke sekolah untuk mengharungi Tahap II persekolahan di Kelas 4 Al Ghazali. Sangat merisaukan ibubapanya,  kerana  di Tahap II ini banyak perkara baru yang harus diterokai oleh anak ini selain dari syllibus pembelajaran yang lebih mencabar serta  penyertaan dalam kegiatan ko kurikulum, acara sukan balapan, padang juga 'Merentas Desa'. Tiada lagi acara sukaneka seperti di tahun-tahun lalu.


FEBRUARI -  Berjaya menamatkan larian Merentas Desa bersama
 rakan- rakan di aliran perdana dengan jarak 4 km

                         
Mempunyai susuk tubuh yang gempal, telah menghalang banyak aktiviti fizikal dilakukan dengan jayanya. Namun dalam acara Merentas Desa, Syahmi berjaya menamatkan larian seperti mana rakan-rakan di aliran perdana yang lain iaitu merentasi jarak 4 km. Hanya berjaya mendapat tempat ke 32 dari keseluruhan peserta lelaki. Ibu dan ayah tetap berasa bangga kerana pencapaiannya lebih baik dari sesetengah rakan-rakan normal yang tidak dapat menghabiskan larian.



FEBRUARI  -  Menyertai kelas KAFA menjadi cabaran
 besar baginya untuk stay di sekolah  hingga ke petang


Kelas Kafa yang disertai oleh pelajar di aliran perdana berlangsung sebanyak 3 kali dalam seminggu. Ianya berlangsung pada setiap hari Ahad, Isnin dan Rabu dari pukul 2.00pm hingga 3.45pm. Sebagai ibubapa kita memang mengharapkan anak istimewa kita berupaya untuk duduk/berdiri seiringan dengan mereka di aliran perdana.


Keengganan Syahmi untuk stay di sekolah hingga ke petang menjadikan proses penerimaannya terhadap keperluan menghadirkan diri ke kelas Kafa agak memakan masa. Semenjak di Tahun 1 hingga di Tahun 3 dia telah terbiasa dengan waktu persekolahan yang tamat hingga pukul 12.45pm tiap-tiap hari, maka untuk menyesuaikan diri dengan routine baru amat menyukarkan. Selama sebulan si ibu terpaksa bertunggu-tangga di sekolah hingga ke petang bagi memujuk Syahmi untuk menyertai kelas Kafa tersebut. Alhamdulillah....akhirnya Syahmi berjaya mengatasi masalah tersebut dan mampu mendisiplinkan diri dengan hadir ke kelas mengikut waktunya. Manakala keputusan ujian juga menunjukkan Syahmi tidak ketinggalan dari yang lain.



 FEBRUARI  -  Bangga ....buat pertama kali
 menyarung uniform Pengakap
                         
   
Cabaran seterusnya bagi membiasakan Syahmi dengan uniform Pengakap serta penglibatan dalam aktiviti badan terebut. Nampaknya tahun ini, Syahmi enggan menyertai aktiviti Pengakap dengan rakan-rakan di aliran perdana. Syahmi lebih selesa untuk bersama rakan di Pendidikan Khas yang amat terbatas kegiatannya. In Sha Allah....tahun depan kami akan berbincang dengan guru-guru bagi memberi peluang kepadanya untuk menyertai rakan Pengakap di aliran perdana yang lebih mencabar dengan pelbagai aktiviti.



FEBRUARI  -   Bercuti bersama keluarga sempena Tahun Baru Cina
 di Tasik Kenyir, Terengganu
               

Bagi meneutralkan mood Syahmi dengan cabaran persekolahan yang agak membebankan bagi anak istimewa sepertinya, berekreasi seisi keluarga menjadi pilihan kami ketika hari minggu mahupun cuti umum. Sempena Tahun Bari Cina yang lalu, kami membawanya ke Tasik Kenyir untuk merasai pengalaman menaiki boat mengelilingi tasik serta menikmati keindahan semulajadi tasik buatan manusia tersebut.


APRIL  -  Autisme Awareness Day di Pulau Kapas, Terengganu
         
             
Jika dulu, kami tidak menghiraukan akan kewujudan Hari Kesedaran Autisme (2 April) untuk diraikan bersama, namun pada tahun 2012 saya berazam untuk memberi penghargaan kepada insan istimewa ini yang menjadi pencetus semangat buat kami sekeluarga. Dirinya perlu dihargai, kerana kehadirannya dalam keluarga sebagai anugerah dari-Nya.  Jangan sesekali kita menyangka bahawa anugerah yang sepertinya hanya membawa 'airmata' kepada kita,  percayalah Allah memberi ujian bersesuaian dengan kemampuan kita. Jika kita berusaha, mereka juga berpeluang untuk membanggakan ibubapanya. In Sha Allah......



MEI  -  Menjadi Qari mewakili sekolah dalam
Tilawah Al Quran Pendidikan Khas peringkat daerah
Kuala Terengganu (Johan)


Tidak disangka-sangka, tahun 2012 membuka lembaran baru bagi si anak ini dimana pihak sekolah telah mencuba untuk mengenengahkannya di khalayak ramai dengan penyertaan dalam Tilawah Al Quran peringkat daerah Kuala Terengganu. Membaca surah A' Basa dengan nasihat si ibu dan guru-gurunya......alhamdulillah gelaran Johan berjaya menjadi miliknya untuk melayakkan diri bagi mewakili daerah Kuala Terengganu ke peringkat negeri.


JUN  -  Dingin di Bukit Bendera, Pulau Pinang
 dengan 'Mak Arab' yang sporting gila!
             

Cuti sekolah datang lagi, kami mengambil peluang untuk berjalan-jalan ke Pulau Pinang bagi melihat tempat orang. Kebiasaannya Syahmi hanya terdedah pada majoriti masyarakat Melayu di Terengganu, namun apabila berada di Pulau Pinang dia tergamam dengan kewujudan masyarakat yang berbilang kaum di sana termasuk pelancong asing yang pelbagai rupa serta budaya. Tidak lupa Syahmi mengambil kesempatan untuk bergambar dengan pelancong Timur Tengah yang duduk di atas sejadahnya bagi menunggu masuk waktu solat.



JUN  -  Saat mesra bersama Tok menjadi kenangan
 ketika bercuti di kampung halaman  


Seperti biasa, cuti sekolah juga kami pasti akan balik ke kampung di Kuala Kangsar, Perak untuk bertemu kedua insan yang tersayang Tok dan Opah. Masih teringat saat-saat mesra si cucu dengan Tok dan Opahnya, sanggup memenuhi permintaan si cucu untuk bergaya dengan cermin mata hitamnya  bagi diabadikan gambar sebagai kenangan.


Kemesraan ini tiada lagi kerana sebulan kemudiannya Tok telah jatuh sakit dan hilang keupayaan untuk melalui masa-masa gembira seumpamanya, malahan Tok telah mula nyanyuk dan hilang keupayaan untuk menguruskan dirinya disebabkan faktor usia (85 tahun).



JUN  -  Luahan rasa kecewa diatas kegagalan di dalam Tilawah Al Quran
peringkat negeri Terengganu, namun sebagai percubaan
pertama ......mendapat Tempat ke 3 sudah memadai


Setelah bercuti panjang, Syahmi sibuk menyambung semula persekolahan dengan persediaan untuk Tilawah Al Quran peringkat negeri Terengganu. Namun tidak segalanya mampu menjadi miliknya dimana di peringkat negeri ini Syahmi hanya mendapat tempat ke 3. Walaupun agak kecewa dengan pencapaiannya, ia juga memberi pengalaman buat Syahmi belajar menerima kekalahan. Sebagai manusia yang lemah, kita tidak sentiasa berada di atas. Hakikat ini harus diterima dengan redha. Tahun depan kita lipatgandakan usaha  untuk lebih berjaya.....

                           
OGOS  -  Sederhana berhariraya di kampug halaman, Kuala Kangsar, Perak
                           

Ramadhan tiba Syahmi berjaya mengharungi ibadah puasa walau dalam keadaan cuaca yang panas terik serta jadual persekolahan yang berjalan seperti biasa. Ada hari-hari tertentu, Syahmi hampir tewas untuk meneruskan ibadah puasanya tapi masih berjaya dipujuk untuk bertahan hingga ke waktu berbuka puasa. Nampaknya kali ini dia  beraya dengan lebih bersemangat kerana dapat berpuasa penuh sebulan Ramadhan. Seperti biasa kami akan beraya di kampung bersama-sama sanak saudara.



SEPTEMBER  -  Menemani si abang di Hospital Sultanah Nur Zahirah,
Kuala Terengganu

Tanpa diduga, tiba-tiba si abang di masukkan ke hospital kerana masalah infeksi di bahagian selaput jantungnya. Lima hari di wad, ke dua beradik ini terpaksa berpisah. Melawat si abang ketika waktu dibenarkan, dan yang paling menyedihkan harilahir Syahmi yang jatuh pada 7hb September terpaksa disambut tanpa si abang yang terlantar di katil hospital. Syukur alhamdulillah, setelah 5 hari di hospital akhirnya si abang dibenarkan pulang ke rumah setelah disahkan sihat sepenuhnnya oleh doktor.



SEPTEMBER  -  Berhariraya bersama keluarga Autisme Malaysia
 di Masjid Putra, Putrajaya
                       

Inilah saat yang ditunggu-tunggu iaitu tanggal 16hb September 2012 dimana perjumpaan hariraya dengan 'saudara mara' Autisme Malaysia di adakan di Masjid Putra, Putrajaya. Bertemu dengan keluarga yang juga mempunyai anak istimewa autisme, bertukar pandangan sambil mengeratkan sillaturrahim. Bila ramai-ramai dapat bertemu sebegini, barulah kita tahu bahawa kita bukan bersendirian dalam menghadapi cubaan ini. Ambil kekuatan dari ibubapa yang telah berjaya membesarkan anak-anak istimewa mereka......jangan mudah berputus asa.



OKTOBER  -   Menerima anugerah Pelajar Cemerlang Pendidikan Khas 2012
                   
                             
Dalam memperkatakan tentang pembelajarannya di sekolah, kerjasama guru dan usaha yang maksimum dari ibubapa di rumah amat perlu untuk menjamin anak-anak istimewa boleh menyaingi rakan-rakan mereka di aliran perdana. Ini disebabkan syillibus pembelajaran sekarang yang amat mencabar serta padat dengan aktiviti sepanjang tahun.


Syahmi masih mengekalkan di kedudukan top 10 dalam keseluruhan pelajar Tahun 4 di Sek Keb Seri Budiman II. Yang paling menyerlah adalah penguasaannya dalam matapelajaran Matematik dimana berada di kalangan yang terbaik bagi keseluruhan pelajar sementara matapelajaran Bahasa Melayu perlu dilipatgandakan usaha samada di sekolah juga di rumah bagi memperbaiki kelemahan terutama kertas Bahasa Melayu I.



NOVEMBER  -  Pengalaman berkhatan yang
mendebarkan!


Hujung tahun ketika cuti panjang persekolahan adalah masa yang terbaik untuk melangsaikan tanggungjawab ibubapa terhadap kewajiban keatas anak lelakinya iaitu berkhatan. Memang mendebarkan pengalaman ini, namun atas nasihat doktor segalanya berjalan lancar. Hilang sudah kerisauan yang membelenggu Syahmi semejak dia mula memahami yang dirinya mesti melalui proses berkhatan bagi memastikan  kebersihan diri seperti yang dituntut agama.  Dua minggu melalui tempoh berpantang, akhirnya Syahmi sihat sepenuhnya.



NOVEMBER  -  Syahmi dah pandai beraksi dengan selebriti....


Kembali bergembira dengan nikmat cuti sekolah, apa salahnya berjalan-jalan   menyaksikan kemeriahan aktiviti-aktiviti hujung tahun yang diadakan di Kuala Terengganu seperti menyaksikan Karnival Bananana Land di Pulau Duyung bersempena dengan kemeriahan acara Monsoon Cup di sana.  
 

Syahmi denganTeacher Ling

   
Sementara beberapa hari lagi saki baki cuti sekolah, ayuh kita jumpa seseorang yang sangat berjasa membimbing Syahmi ketika mula-mula diinklusifkan  ke aliran perdana empat tahun lalu. Teacher Ling ....mesra, ramah dan senyum sokmo!


Kedatangan 2013 diharapkan dapat membawa sejuta harapan buat anak istimewa ini bagi menyerlahkan kecemerlangan diri juga dipermudahkan laluan oleh-Nya dalam menempuhi cabaran mendatang....aamiin


                           
Syahmi  Boleh!

Tuesday, December 11, 2012

Autisme: Beanbag Chair dan Kegunaannya




Beanbag chair adalah bahan terapi yang mampu dimiliki oleh kebanyakan kita. Ianya amat menarik dengan penawaran yang ada di pasaran dalam pelbagai bentuk dan warna. Bagi yang mengalami autisme,  terapi tertentu dapat dilakukan dengan menggunakan beanbag chair.


Beanbag Chair.......selesa


              1.     KESELESAAN JUGA TERAPI MENAHAN BEBANAN (WEIGHT- BEARING)


                     Kebanyakan anak-anak autisme mengalami masalah hypotonia (lemah otot) dan
                     ada antara mereka yang tidak selesa duduk di atas kerusi yang tidak fleksible. Maka,
                     jalan penyelesaian bagi anak-anak autisme yang bermasalah sedemikian samada di
                     rumah, sekolah mahupun di pusat terapi bagi memberi mereka keselesaan dan
                     ketenangan. Kelebihannya kerusi ini dapat mengikut bentuk badan mereka ketika
                     duduk berbanding dengan kerusi lain yang konstant dengan bentuknya.

                     Disebabkan beanbag chair ini ringan, kanak-kanak dapat melatih otot-otot kaki dan
                     lengan mereka seperti memindahkannya dari satu tempat ke tempat yang lain atau
                     dipanggil juga sebagat terapi menahan bebanan.


Menarik dengan warna terang!



              2.     TERAPI DEEP PRESSURE

                      Beanbag chair adalah alat yang sesuai  untuk 'terapi deep pressure'. Butiran
                      styrofoam yang ringan di bahagian dalam beanbag chair, memberi keselesaan
                      kerana mampu menyesuaikan mengikut bentuk tubuh kanak-kanak ketika
                      tekanan dilakukan di tubuh mereka.

                      Kebanyakan mereka sangat selesa sekiranya didudukkan di atas beanbag chair
                      serta dikelilingi oleh bantal beanbag dengan tekanan-tekanan lembut. Proses ini
                      memberi timbal balik sensori yang konstant dari rasa tenang dan santai serta
                      mampu mengawal emosi dan fikiran mereka.


Styrofoam Balls....


             3.   TEMPAT YANG SELAMAT

                   Pastikan saiz beanbag chair yang bersesuaian dengan usia anak-anak kita supaya
                   mudah diangkat ubah atau disusun oleh mereka. Pelbagai warna dan bentuk dapat
                   menarik perhatian anak-anak untuk melakukan sebarang aktiviti seperti bermain,
                   belajar dengan selamat dan ceria.

                   Permukaannya yang empuk dan lembut dapat menyediakan lingkungan yang lebih
                   selamat untuk anak-anak melakukan pergerakan seperti berguling, melompat dan
                   sebagainya.

Melompat, berguling dan sebagainya.....
                   

Sebagai ibubapa yang bijak, tidak salah rasanya jika kita bukan saja menitikberatkan hiasan dalaman rumah  malahan mengadakan beanbag chair di rumah  sebagai bahan terapi untuk anak-anak kita. Jangan lupa ia juga sesuai untuk seisi keluarga....untuk semua!


                             
Giant Beanbag :  Antara perabut yang memberi keselesaan pada  semua
                             

Friday, December 7, 2012

Sotong /Ikan Celup Tepung.......


                       Kalau sebelah petang dengan musim hujan gini.....alangkah baiknya Sotong/Ikan Celup Tepung menjadi santapan seisi keluarga. Krup krup krup.... kerangupannya ditambah pula dengan kemanisan  sotong/ikan segar  terbaik dari laut.

 Pilih yang mana satu menjadi bahan utama......

                 
                       Mudah saja penyediaannya, cuma bagi yang belum mencuba resepi ini saya kongsikan resepi yang saya perolehi dari mereka yang pakar (Orang Ganu Kita) dalam penyediaan  menu ini.


                    Bahan-bahannya (untuk 4 orang)
             
                     4 ekor sotong/ikan kembung segar (besar)
                     4 camca besar tepung beras
                     1 camca teh serbuk kunyit
                     Sedikit kapur
                     Garam secukup rasa
                     Air bancuhan
                     1 biji telur ayam
                     Minyak untuk menggoreng (deep fry)


                     Cara-cara Penyediaannya:

                     Sotong/Ikan dibersih lalu ditoskan. (Jika Sotong, ia perlu dipotong 3 bahagian). Petua supaya dapat mengelakkan sotong meletup-letup apabila digoreng, hendaklah direbus sebentar sotong berkenaan kemudian ditoskan. Masukkan kapur yang dicairkan, serbuk kunyit, telur,garam secukup rasa serta tepung beras lalu dikacau sehingga sebati dengan menggunakan air yang secukupnya. Pastikan hasilnya  tidak menjadi terlalu cair atau pekat. Celupkan sotong/ikan tadi ke dalam bancuhan yang menjadi seperti pes tadi.  Panaskan kuali dengan minyak yang banyak serta api yang sederhana. Mulakan menggoreng sotong/ikan tadi hingga kuning keemasan. Apabila selesai, boleh dihidangkan dengan sos cili.
                     

Beginilah hasilnya......rangup, manis hingga tak terkata

Sunday, December 2, 2012

Autisme : Fesyen Unik......Bean Bag Clothing


                        Saya bukan kisah dengan dunia fesyen. Apatah lagi perkembangan fesyen di luar negara. Cuma saya  berminat apabila di google wujudnya firma yang merekacipta fesyen untuk si Autisme. Di kota Amsterdam, Erik Nap Art Direction & Design iaitu sebuah firma reka bentuk yang mengkhusus dalam pembangunan identiti jenama, seni, fesyen dan sebagainya, dimana mereka telah mencipta fesyen untuk kanak-kanak istimewa ini.


                       Menurut  laman webnya  " The clothes apply pressure to the body of the child and provide a space to regulate sensory overload". Katanya lagi, "These items are soft, comfortable, and are able to apply equal press across your child whole body. This can help to calm a child down when they begin to show signs of aggression or may consider harming them self or others".


                       Nampak luarbiasa ....hasil seni memang pelik namun harus dihargai. Mungkin ada kebenaran di sebalik rekaan ini. Sekurang-kurangnya ada pihak yang berkesedaran  tentang keperluan kanak-kanak autisme. Sharing is caring..........


Ciptaan yang unik.......


Calm down dear....

                           

Saturday, December 1, 2012

Bean Bags : Murah Dan Selamat Untuk Kanak-kanak


Sifat semulajadi kanak-kanak adalah suka bergerak. Pergerakan boleh didefinasikan sebagai bentuk gerak (movement) yang dilakukan seseorang dimana ia menyebabkan berubahnya kedudukan (pergerakan lokomotor) ataupun kekal di tempat tersebut (bukan lokomotor).


Maka untuk menyesuaikan dengan sifat semulajadi kanak-kanak ini, maka konsep belajar sambil bermain telah diperkenalkan samada secara formal mahupun tidak formal. Konsep ini lebih mudah difahami oleh kanak-kanak bagi membina kemahiran motor kasar mereka. KEMAHIRAN MOTOR KASAR adalah kawalan pada tingkah laku yang memerlukan banyak otot dan membolehkan kanak-kanak bergerak balas dengan persekitarannya. Ini melibatkan kemahiran mereka berjalan, berlari, melompat dan sebagainya.


Murah, mudah diperolehi serta selamat


Oleh itu bagaimanakah fungsi bean bags dalam permainan kanak-kanak? Dengan pelbagai pilihan warna dan bentuk serta strukturnya yang lembut, pastinya tidak membahayakan dan amat sesuai untuk kanak-kanak bermain. Sementara guru atau ibubapa harus berperanan untuk menunjuk ajar pergerakan supaya dapat diikuti oleh mereka samada cara berkumpulan mahupun individu. Pergerakan tertentu dalam permainan tidak secara langsung dapat membina daya imbangan, fleksibliti serta keupayaan mengkoordinasi pergerakan.


Lambung dan sambut

Imbangan disamping meningkatkan daya fokus anak-anak


Bean bags toss........menggunakan bahan kitar semula (tayar terpakai)


Another bean bags toss game


Bean bags target


Bean bags toss.......idea yang sangat menarik


Fakta dari kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang gagal menyambut dan membaling bola dengan baik, cukup membuktikan mereka mempunyai kelemahan dalam kemahiran motor kasar. Bagi memastikan tumbesar kanak-kanak seimbang,  maka seharusnyalah kita memastikan mereka dapat menguasai kemahiran asas supaya dapat  melahirkan generasi yang berkebolehan dan berupaya menyerlahkan bakat terpendam masing-masing.

Jika kegiatan 'indoor' seperti permainan playstation mendorong kanak-kanak dengan sikap individualistik serta kurang bersosial, apa kata kita ke taman permainan bagi mendedahkan mereka kepada konsep permainan secara berkumpulan supaya akhirnya dapat  menerapkan nilai sosial yang lebih baik.

Friday, November 30, 2012

Jari Manis dan Jari Telunjuk.....Ada Rahsia Di Sebaliknya




Yang di kiri atau di kanan?


                           Kali ini jangan pusing-pusing tentang post ini.  Hanya bertujuan berkongsi maklumat yang membuat kita berteka-teki. Kebenarannya.... saya pun kurang pasti. Cuma banyak blog-blog dari 'rekan' di Indonesia yang mengutarakannya.  Mentelahkan informasi kini hanya di hujung jari ......ayuh kita sama-sama amati jari masing-masing terlebih dahulu.

                          Menurut blog-blog tersebut, untuk mengetahui penyakit juga boleh dilihat melalui jari tangan kita.  Banyak penelitian dibuat oleh pihak-pihak tertentu tentang kaedah ini seperti British Journal Of Cancer yang mendapati bahawa ukuran jari telunjuk yang panjang  mengurangkan risiko cancer prostat. Teori yang menyokong fakta tersebut, disebabkan panjang jari jemari kita ditentukan semenjak janin lagi di mana hormon testosteron (lelaki) mempengaruhi jari manis sementara hormon estrogen (wanita) mempengaruhi jari telunjuk seseorang.


                          Antara penyakit yang mungkin timbul dari situasi dimana JARI MANIS LEBIH PANJANG DARI JARI TELUNJUK adalah:

                          1. OSTEOARTHRITIS - Penelitian dari Universiti Nottingham yang mengukur jari 2000
                              orang responden mendapati golongan ini menghadapi 2 kali ganda risiko
                              mendapat penyakit osteoarthritis di bahagian lutut.

                          2.  ANOREKSIA - Menurut Ahli Biologi John Manning, golongan ini juga ramai yang
                               mengalamai penyakit  anoreksia dimana ia melibatkan gangguan pola
                               pemakanan penderitanya.

                          3.  FLU - Manning juga membuat penelitian terhadap 200 orang di Liverpool
                               yang mendapati bahawa golongan ini mudah terkena flu kerana hormon
                               testosteronmempengaruhi sistem immune badan yang menyebabkan
                               seseorang itu lebih mudah terkena infeksi.

                           4. AUTISME - Golongan ini juga sangat berisiko untuk gangguan autisme atau
                               ADHA. Malangnya tidak diperhalusi kenapa dan mengapa.


                            Namun terdapat juga berita gembira bagi golongan berjari manis lebih panjang dari telunjuk kerana cenderung tidak merokok. Ini disebabkan hormon testosteron berkaitan rapat dengan kumpulan manusia 'ekstrovert'. Manakala kebiasaan merokok adalah dari kumpulan manusia 'introvert' menurut Manning lagi.


                             Antara penyakit yang mungkin timbul dari situasi dimana JARI TELUNJUK LEBIH PANJANG DARI JARI MANIS adalah:

                             1.  KANSER PAYUDARA/SERVIKS - Risiko kepada penyakit ini terhadap
                                  penghidapnya yang berusia 35-75 tahun biasanya memiliki jari telunjuk lebih
                                  panjnag dari jari manis. Ia dikaitkan dengan hormon estrogen yang diketahui
                                  berhubung rapat dengan kanser payudara.

                             2.  PENYAKIT JANTUNG - Menurut Manning, semakin panjang ukuran jari
                                  manis maka makin kuranglah risiko terkena serangan jantung di usia muda.
                                  Ia juga berpendapat hormon testosteron sangat bermanafaat untuk
                                  melindungi jantung.

                             3.  BULIMIA - Wanita adalah lebih cenderung dengan jenis penyakit ini kerana
                                  ia berhubung dengan hormon estrogen. Selain dari itu penyakit asma dan
                                  allergi juga berisiko terhadap golongan ini.


                             Walaupun ketepatan fakta diberi ada pro dan kontranya, sekurang-kurangnya saya dapat ilmu bahawa jari jemari manusia mempunyai kedudukan panjang dan pendik antaranya berlainan sesama kita. Begitulah kehebatan Dia yang maha Esa. Lupakan cerita tentang jari anda, jagalah pemakanan  kerana itulah kunci utama kesihatan kita. Wallah'ualam.......
                           


Piramid Makanan ..... penyelesaian kepada kebanyakan penyakit
                       
                               

                           



Wednesday, November 28, 2012

Tanda-tanda Autisme Di Awal Usia


Red Light!


Zaman telah berubah....sebagai ibubapa alaf baru marilah kita memperlengkapkan ilmu supaya  jika berlakunya kelainan  pada bayi kita maka bersegeralah mendapatkan khidmat mereka yang berkepakaran untuk dikesan sebarang permasalahan di peringkat awal. Terdapat  tanda-tanda awal autisme khususnya yang perlu diberi perhatian oleh ibubapa seperti :


 Umur 2-3 bulan    :   Tiada eye- contact
 Umur 3 bulan       :   Tidak senyum jika diajak 'bermain' atau mendengar suara pengasuhnya                             
 Umur 6 bulan       :   Tidak tertawa atau ekspresi gembira yang lainnya
 Umur 8 bulan       :   Tidak  mengikuti pandangan mata apabila orang yang menatapnya
                                   memandang ke arah lain                                        
 Umur 9 bulan       :   Tidak mahu babbling
 Umur 1 tahun       :   Tidak konsistent menoleh ketika namanya dipanggil namun sangat peka
                                   terhadap bunyi persekitarannya                    
                                  Tidak melambai-lambaikan tangannya
                                  Tidak dapat mengikuti atau melihat ke arah yg ditunjuk                                                         
 Umur 16 bulan     :   Tidak bertutur apa-apa perkataan
 Umur 18 bulan     :   Tidak nampak memiliki hal-hal yang menarik perhatiannya
 Umur 24 bulan     :   Tidak boleh bertutur dalam dua patah perkataan bermakna
 
                             *  Bayi juga setiap saat akan kehilangan  kemahiran yang  sebelumnya pernah
                               dikuasainya.                        

Bukan menakutkan para  ibubapa semua, sekadar memberi peringatan supaya kita lebih berwaspada dengan perkembangan pertuturan, sosial dan emosi bayi comel kita kerana bagi penyandang AUTISME - EARLY INTERVENTION SHAPING FUTURES.......Insh-Allah


   
                         

Monday, November 26, 2012

Syahmi Bakal 'Pengawas Sekolah'......



                              Persekolahan 2013 dengan 2012 akan ada sedikit perbezaan. Kalau dulu pakai uniform kanak-kanak biasa ke sekolah.....nanti tidak lagi. Kena belikan uniform Pengawas Sekolah untuk Syahmi, baju biru berlengan panjang, vest serta seluar panjang biru gelap dan  berkasut hitam. Tercapai jua impiannya untuk berpakaian 'smart' ke sekolah katanya.....


                               
2013.......Ada gaya tak?
             

                             Bukan 'syiok sendiri' tau.....cuma bila angan-angan hampir menjadi kenyataan rasa gembira sukar diselindung lagi. Budak-budaklah katakan, ibu ayah tumpang gembira......sambil melayan kerenah anak-anak.