Pages - Menu

Friday, May 31, 2013

Antara Coretan Perjalanan Penuh Harapan Si Anak Autisme.....



Mereka berada di bawah AUTISM SPECTRUM DISORDER. Spektrum, disebabkan keadaan mereka yang berbeza-beza antara satu sama lain. Ada yang severe, ada yang dikategorikan sebagai mild autisme serta sebilangannya pula yang diklasifikasikan sebagai high-function seperti Sindrom Asperger. Namun, insan istimewa ini masih berlindung di bawah naungan yang sama, dipanggil Autisme. Autisme adalah berpunca dari gangguan neurobiologis yang mempengaruhi fungsi otak hingga menjejaskan interaksi sosial serta kemampuan berkomunikasi seseorang.

Mereka Berlindung Di bawah Naungannya
         
Kepelbagaian keadaan yang menyebabkan masyarakat keliru untuk mengenali dan memahami bahawa mereka insan istimewa yang dilahirkan ke dunia sebagai medan ujian sejauh mana kesabaran kita menghadapinya. Namun, izinkan saya menumpukan di sini tentang perjalanan seorang insan mild autisme bernama Muhammad Syahmi Asyaff yang kini berusia 11 tahun. Anak yang bertuah ini merupakan anak kedua/bongsu dalam keluarga kami.


Nama saya Muhammad Syahmi Asyraff
           

Dilahirkan secara pembedahan pada 7hb September 2002, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu disebabkan komplikasi kelahiran (big baby). Lahir sempurna secara lahiriahnya, montel dengan berat 4.4kg. Membesar seperti kebanyakan bayi yang lain, meniarap, menjulur, mengangkat tubuh ke depan dan ke belakang,tanpa mengalami proses merangkak lalu terus maju untuk duduk, berdiri dan seterusnya berjalan seiring dengan peningkatan usianya. Tidak pandai bermain tepuk amai-amai seperti kebanyakan kanak-kanak di awal usia. Si anak juga enggan lagi menyusu ketika usianya 14 bulan. Tidurnya juga sering terganggu dengan bunyi-bunyian yang kuat seperti bunyi mercun, persekitaran yang bising walau hanya dengan hilai tawa ahli keluarga. Sehingga usianya 2 tahun, si anak masih belum mengeluarkan sebarang bunyi seperti da da da, ma ma ma seperti kanak-kanak lain. Namun kelainan ini tidak tidak menjadi masalah pada sangkaan awal kami.


Memekup telinga dengan bunyi yang nyaring

Si anak membesar dengan gembira, sihat malahan lebih comel dari anak-anak yang lain. Dua tahun lebih usianya, dia mula bermain dengan objek pelik secara luar biasa. Menyusun dalam barisan barang-barang yang menjadi minatnya seperti botol-botol air berkarbonat, asyik dengan objek yang berputar seperti tayar juga memekupkan kedua belah telinga apabila mendengar bunyi-bunyi nyaring seperti bunyi dari mesin pengisar dan sebagainya. Ketika usianya 3 tahun, si anak mula mengeluarkan perkataan namun amat sukar difahami seperti 'cheeee' baginya yang bermaksud lori dan lama kelamaan semakin banyak bahasa-bahasa pelik keluar dari mulutnya.


Ketika usianya empat tahun, mula timbul kerisauan di hati ibubapa dan tertanya-tanya, "Kenapa si anak  lambat bercakap?" Namun kami masih tidak terfikir untuk mendapatkan nasihat dari  mereka yang berkepakaran. (mungkin kami masih mengharap agar si anak tidak mengalami sebarang masalah). Akhirnya si anak mula mengeluarkan patah-patah perkataan yang jelas dan kadang-kala hanya mengulangi perkataan yang didengarinya. Walaupun begitu, kami mengakui bahawa kebolehan pertuturannya amat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya. *Highlight bermaksud antara simptom autisme yang ada pada si anak


Kad OKU Syahmi......


Memasuki usia lima tahun, kami mendaftarkan si anak ke tadika biasa. Hanya seminggu di sana, kami dipanggil untuk bertemu guru serta pengurus tadika tersebut dengan khabaran 'sedih' bahawa si anak dikhuatiri mengalami masalah tertentu melalui pemerhatian dan pengalaman mereka mengendalikan kanak-kanak terdahulu. Lalu mereka mengesyorkan kami untuk membawa si anak ke hospital bagi mendapatkan pandangan dari pihak yang berkepakaran. Maka bermulalah episod perjuangan kami sekeluarga apabila Pakar Psychiatrist dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu mengesahkan bahawa si anak mengalami Mild Autisme. Tindakan seterusnya adalah mendaftarkan si anak ke Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mendapatkan kad Orang Kelainan Upaya (OKU).


Walau pedih dan sedih dengan title OKU yang dipegang oleh si anak, sebagai ibubapa kita harus memikirkan masa depan mereka. Dengan kad tersebut, anak kita akan mendapat pelbagai keistimewaan. Pembelajaran mereka akan dikhaskan bersama-sama dengan rakan senasib dengan asuhan dari guru-guru terlatih. Peruntukan wang elaun sebanyak RM150-00 sebulan bagi tiap-tiap pelajar OKU, di samping kebajikan mereka yang lebih terbela seperti pengecualian bayaran untuk perkhidmatan di hospital kerajaan, peluang melanjutkan pelajaran yang terbuka luas mengikut kuota yang ditetapkan kepada golongan OKU serta berbagai lagi kemudahan lain.


Syahmi (duduk, No 2 dari kiri) semasa menduduki kelas
 Pra Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran
di Sek Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu

Sebagai ibubapa, kita jangan cepat putus asa. Segalanya belum berakhir kerana perjuangan baru di garisan permulaan. Tahun 2008, si anak ditempatkan di Pra Pendidikan Khas bagi menimba ilmu dari guru-guru terlatih. Banyak perubahan terhasil berkat kerjasama guru dan asuhan kita sebagai ibubapa di rumah di samping ilmu dan nasihat yang digunapakai dari temujanji yang dihadiri dengan Pakar Psychiatrist dan Speech Therapist. Si anak mula boleh menguasai 3M (membaca, menulis, mengira) dalam usianya enam tahun.


Syahmi (duduk, paling kanan) bersama murid istimewa yang lain,
di Pendidikan Khas, Sek Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu

Ketika berusia tujuh tahun, si anak telah diletakkan di dalam Kumpulan Pertama di kelas Pendidikan Khas selama 3 bulan. Alhamdulillah...nampaknya si anak bernasib baik kerana dapat menunjukkan prestasi baik dalam pembelajarannya dan menemukan kami dengan sekolah yang mempunyai pengalaman dalam mengendalikan Program Inklusif. Si anak telah ditawarkan untuk menyertai Program Inklusif yang bertujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak Pendidikan Khas yang berpotensi dalam pembelajaran dan boleh mengimbangi tingkah lakunya bersaing secara sihat di aliran perdana bersama-sama murid tipikal yang lain.


Bermula dari March 2009, si anak telah dipindahkan ke aliran perdana secara inklusif di dalam kelas pertama iaitu Kelas 1 Al Ghazali bersama 30 orang lagi murid-murid biasa. Pelbagai cabaran dilalui, namun si anak tampil menyerlah di dalam peperiksaan yang dijalankan. Namun dari segi sosialnya, si anak bergelut dengan persekitaran baru yang dikelilingi dengan rakan tipikal dan guru biasa yang tidak terlatih untuk menangani kehendak anak isitmewa. Ketika ini, peranan ibubapa teramatlah penting untuk membantu si anak yang pastinya mengalami kejutan dengan persekitaran barunya, menjadi jambatan antara guru biasa yang mendidik di sekolah dengan keperluan si anak yang berkelainan. Kerjasama ini dapat diterjemahkan hasilnya melalui peningkatan pencapaian si anak, baik dari segi pembelajarannya mahupun sosialnya.


Antara pencapaian Syahmi dalam matapelajaran Matematik (kiri),
 Bahasa Melayu (tengah), Pendidikan Islam (kanan)

Antara lakaran kejayaan yang dicapai setakat ini : Juara Tilawah Al Quran Pendidikan Khas
Peringkat Daerah (kiri), Tempat Pertama Pertandingan Menulis Esei Pendidikan Khas Peringkat Daerah (tengah),Tempat Ketiga Tilawah Al Quran Pendidikan Khas Peringkat Negeri Terengganu (Kanan)


'Alah bisa, tegal biasa', si anak akhirnya belajar sedikit demi sedikit bersosial melalui rakan-rakannya. Namun tidak dinafikan ada kalanya wujud konflik yang menuntut lelehan airmata samada di pihak si anak mahupun kita ibubapanya. Sangat mudah untuk dihikayatkan tapi pengalaman si anak yang diinklusifkan sangat menguji kesabaran ibubapa. Pihak sekolah juga seharusnya memberi peluang sama rata bagi melahirkan insan istimewa yang berjaya sebagaimana yang dinikmati oleh anak kami di Sek Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu.


Tahun demi tahun diinklusifkan, banyak pendedahan diberikan pada anak ini umpamanya penyertaannya di dalam  Tilawah Al Quran Pendidikan Khas, Pertandingan Penulisan Esei Pendidikan Khas, dilantik menjadi Pengawas Sekolah dan mengetuai bacaan doa semasa perhimpunan mingguan sekolah. Ini membuktikan  keprihatinan pihak sekolah dalam memberikan peluang pendidikan yang sama rata terhadap anak-anak di Pendidikan Khas.


Perlantikan Pengawas sekolah (kiri), penyertaan dalam Tilawah Al Quran (tengah),
 mengetuai bacaan doa semasa perhimpunan mingguan sekolah (kanan)

Namun, tidak dinafikan bahawa peluang yang diperolehi anak ini  tidak dapat dinikmati oleh sebahagian besar anak-anak di Pendidikan Khas. Sebagai ibubapa, teruskan usaha membantu anak masing-masing bersesuaian dengan kemampuan mereka. Perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan cabaran.


Dalam usia si anak yang kini hampir mencecah 11 tahun, harapan kami hanyalah untuk menyaksikan si anak mampu berdikari demi masa depannya. Berjaya dalam kehidupan di dunia juga di akhirat kelak. Lahirnya ke dunia, untuk mengajar kami menjadi ibubapa yang lebih redha dan sabar dengan setiap ketentuan-Nya......Sekian.





Sunday, May 26, 2013

Peluang Buatnya.....



Mengetuai bacaan doa semasa
perhimpunan di sekolah

                    Bukan semua anak istimewa diberi kesempatan yang sebegini. Malahan, ramai antara mereka yang dipandang sepi oleh masyarakat sekelilingnya. Namun Syahmi amat bernasib baik kerana banyak peluang telah diberi oleh pihak sekolah dalam meningkatkan keyakinan dirinya sebagaimana yang diberi kepada murid-murid tipikal yang lain.

                    Syahmi akan naik ke pentas sebanyak 2 kali dalam tempoh sebulan untuk mengetuai bacaan doa semasa perhimpunan di sekolah. Sebenarnya tugas ini dilakukan secara bergilir-gilir oleh pengawas lelaki di sekolahnya. Sebagai ibubapa, kami turut berterima kasih di atas keprihatinan pihak sekolah terhadap peluang yang diberi. Sekurang-kurangnya ada wakil Pendidikan Khas yang diketengahkan untuk terlibat sama dalam aktiviti sekolah.

                   Semoga,  Syahmi dapat mengambil tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya. Jangan dipersia-siakan  peluang yang diberi.....selamat maju jaya Syahmi!





Friday, May 24, 2013

Surat Untuk Cikgu......




                                                                                                             Muhammad Syahmi Asyraff bin
                                                                                                             Samsul Muariff
                                                                                                             No 0001, Lorong Budiman
                                                                                                             Batu Buruk
                                                                                                             20400 Kuala Terengganu
                                                                                                             Terengganu Darul Iman
                                                                                                             24hb Mei 2013



                 Kehadapan Sir Nawi yang sangat dihormati lagi dikasihi, semoga berada di dalam keadaan sihat sejahtera selalu. Saya dan rakan-rakan di 5 Al Ghazali, Sek Keb Seri Budiman II, sihat-sihat belaka serta ceria dengan mood untuk menghadapi cuti sekolah yang agak panjang ini.


                 Sir Nawi,
             

                 Tujuan saya mengutus surat ini walau hanya di alam maya, untuk mengkhabarkan berita gembira tentang keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun yang lalu bagi matapelajaran Matematik. Saya telah memperolehi markah 80%, berkat dari tunjuk ajar cikgu semasa menjalani latihan praktikum di SKSB II yang lalu.


                 In Sha Allah, saya akan belajar dengan lebih kuat lagi bagi memperbaiki kelemahan yang ada  supaya  keputusan yang lebih baik dapat dicapai dalam peperiksaan yang akan datang.  Tunjuk ajar Sir Nawi selama berada di SKSB II, amatlah kami hargai. Semoga suatu masa nanti, Sir Nawi akan menjadi guru yang berwibawa dalam membimbing anak bangsa.


                 Sekian, terima kasih.


                                                                                                               Yang Benar,

                                                                                                              Syahmi Asyraff

                                                                                              (MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF)              






 LAMPIRAN KERTAS JAWAPAN MATEMATIK (THN 5)

         
Jawapan Kertas 1 (33/40)
                               

Muka Depan
Kertas 2  (31/40)
           
Muka Surat 2

Muka Surat 3
Muka Surat 4

Muka Surat 5

Muka Surat 6

Muka Surat 7

Muka Surat 8

Wednesday, May 15, 2013

Hadiah Syahmi Untuk Ibu.....

Selamat hari Lahir......Ibu


                      Hari ini 15hb Mei 2013, harijadi ibu Syahmi yang ke 47 tahun. Tiada yang menarik untuk dikongsikan bersama. Penat menguruskan anak-anak yang sedang menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun. Terkadang, kepentingan dirinya ditolak ke tepi demi kebahagiaan keluarga.


                      Namun hari ini ada sesuatu yang cukup menggembirakan hati si ibu. Berita dari Syahmi tentang keputusan peperiksaan kertas Pendidikan Islam dimana Syahmi satu-satunya murid yang berjaya memperolehi markah penuh 100% dengan meninggalkan rakan sekelas yang lain terdiri dari murid tipikal. Berita ini dimaklumkan oleh Ustazah Aluzza yang mengajar matapelajaran tersebut.


Lampiran Jawapan


Muka Depan


Muka Surat 1


Muka Surat 2


Muka Surat 3


Muka Surat 4


Muka Surat 5


Muka Surat 6


Muka Surat 7


Muka Surat 8


                      Sengaja saya mempamerkan kertas soalan secara menyeluruh bagi matapelajaran Pendidikan Islam j-Qaf  (Tahun 5) ini. Tujuannya hanyalah untuk memberikan berita gembira pada ibubapa lain yang kurang sedar tentang lonjakan positif anak-anak dalam usia 8-11 tahun kini, di mana ramai antara mereka yang telah boleh membaca dan menulis dengan huruf Jawi juga mampu mengenal hukum tajwid berbanding dengan anak-anak sebelum j-Qaf diperkenalkan di sekolah.


                      Inilah hadiah yang lebih bermakna bagi si ibu.......alhamdulillah. Tidak sia-sia ibu memujuk Syahmi bangun seawal 4.30 am untuk mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Semoga prestasi ini dapat dikekalkan hingga Peperiksaan Akhir Tahun nanti, In Shaa Allah...........

Saturday, May 11, 2013

Hasil Imbasan Yang Luarbiasa....Temple Grandin



Beliau dilahirkan di Boston, pada hari Jumaat, 29hb August, 1947. Mula bercakap ketika usianya 4 tahun. Kerap diejek oleh rakan-rakan sebagai 'tape recorder' disebabkan suka melakukan sesuatu hal secara berulang-ulang. Seperti biasalah....sejarahnya lebih kurang sama dengan insan-insan autisme yang lain. Namun, kecekalan ibubapanya telah membuahkan hasil hingga melahirkan insan istimewa yang berjaya berada di puncak dengan menggenggam PhD pada tahun 1989 dalam jurusan pengetahuan binatang dari University Of Illinois. Pernah berkarya dan menjadi rujukan dunia kedoktoran dalam membantu menangani anak-anak autisme. Antara karya beliau adalah "Journal Of Autism And Developmental Disorders" serta " Emergence: Labelled Autistic". Beliau ialah TEMPLE GRANDIN, idola autisme yang menjadi rujukan penyelidik di bidang perubatan.


Imbasan  :  Struktur neural antara yang normal (atas) dan Grandin (bawah)
Lateral Ventrikel (rongga)  bahagian kiri yang berbeza dibandingkan
dengan bahagian kanan (imej di bawah)


Diffusion Tensor Imaging (DTI) :  Imej Luarbiasa Yang Terhasil Dari
 Imbasan Otak....Temple Grandin


Membicarakan tentang Temple Grandin manusia autisme yang terkenal di dunia, maka keunikan yang ada pada beliau sentiasa menjadi bahan buruan untuk dilakukan kajian terhadapnya. Para penyelidik telah menjalankan ujian imbasan terhadap struktur neural Grandin yang didapati amat menarik jika dibandingkan dengan neural  tipikal. Inilah antara hasil kajian yang ditemui oleh siswazah dari Janet Lainhart's Lab di University of Utah, bernama  Jason Cooperrider.


Antara kelebihan luarbiasa yang dimiliki Grandin adalah volume otak yang jauh lebih besar dan setara dengan kajian yang membuktikan bahawa ukuran kepala kanak-kanak autisme sememangnya lebih besar dari kanak-kanak tipikal. Manakala bahagian yang melindungi cecair serebrospinal juga lebih condong  dan membolehkan yang di sebelah kiri lebih luas dari yang sebelah kanan.

Hanya ilustrasi bagi menunjukkan
kedudukan Amygdala

Selain dari itu, kedua-dua belah bahagian otaknya pula mempunyai bahagian amygdala (seperti biji almond) yang luar biasa besar saiznya. Amygdala merupakan bahagian otak yang mengawal fungsi emosi individu. Begitu juga dengan jaringan putih (white matter) yang terdiri dari serabut saraf yang berhubung dengan komponen lain juga  didapati mempunyai volume yang juga lebih besar di bahagian otak kirinya.


Ilustrasi bagi menunjukkan
kedudukan Precuneus

Dengan menggunakan kaedah Diffusion Tensor Imaging (DTI), pengkaji dapat mengesan perhubungan aktif dalam jaringan putih (white matter) di bahagian otak Grandin. Malahan pengkaji juga mendapati berlakunya perhubungan yang lebih giat dari biasa ini terutamanya berlaku di bahagian kiri precuneus menerusi perincian yang lebih detail dari anisotrophi, integriti fiber tersebut. Kiri precuneus merupakan bahagian otak yang melibatkan fungsi episodic memory (mengingati detik kenangan silam seperti hari  pertama memasuki alam persekolahan) juga proses visuospatial (kemampuan berfikir dalam bentuk visual).

Ilustrasi bagi menunjukkan
kedudukan Occipital Lobus



Para pengkaji mendapati terdapatnya perhubungan yang lebih giat juga dalam jaringan putih (white matter) di bahagian kiri inferior fronto-occipital fasciculus dimana ia berurusan dengan bahagian frontal dan lobus occipital yang menjelaskan lagi kecenderungan beliau  kepada sesuatu secara visual.

           
Ilustrasi bahagian yang dinamakan inferior
frontal-gyrus
Ilustrasi bahagian yang dinamakan
inferior frontal-gyrus

Manakala ilustrasi ini menunjukkan kedudukan
bahagian yang dinamakan Broca


Namun, didapati kelemahan yang jelas di kiri inferior frontal-gyrus dimana menunjukkan kurangnya integriti gentian termasuklah ke bahagian Broca yang dikenali sebagai kilang pemprosesan bahasa. (Sebagai melebarkan lagi pengetahuan kita, Broca diambil dari nama seorang pakar bedah, anatomi dan ahli antropologi Peranchis Pierre Paul Broca (1824-1880) yang memulakan penerokaan penyelidikan bahagian otak yang berkenaan). Selain dari itu, perhubungan yang lemah juga jelas berlaku di bahagian kanan fusiform gyrus dimana bahagian ini berfungsi sebagai penterjemah riak muka.



Contoh Ujian Raven's Coloured Progressive Matrices


Paling menarik, Grandin menerima markah yang tinggi dalam penilaian psychologi termasuk ujian Spatial Reasoning, mengeja dan membaca. Memperolehi markah penuh dalam Ujian Raven's Coloured Progressive Matrices dimana ia menguji kecerdasan nonverbal. Beliau hanya lemah dalam kemahiran ingatan kerja lisan.
       

Berdasarkan penemuan di atas, maka para penyelidik berkenaan amat bersetuju dengan cerminan diri Grandin dan keupayaan yang ada padanya. Seperti yang ditulisnya dalam sebuah buku bertajuk 'Thinking in Pictures' yang mengatakan bahawa "When somebody speaks to me, his words are instantly translated into pictures".


Istilah sains sebenarnya amat sukar untuk diMelayukan. Semoga  usaha saya dalam memberi kefahaman tentang keunikan struktur neural insan istimewa Temple Grandin ini tidak sia-sia. Kesilapan di sana sini adalah datangnya dari kemampuan saya yang terbatas.

                     Wallahualam.....

                 
                      

Friday, May 10, 2013

Sejauh Mana Kesabaran Kita??






              Minggu depan bermulanya Peperiksaan Pertengahan Tahun bagi murid-murid sekolah rendah di Terengganu. Syahmi akan menghadapi peperiksaan bagi semua matapelajaran, tiada yang terkecuali termasuk Pendidikan Muzik, Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan, Pendidikan Sivik dan lain-lainnya.  Sangat padat hingga mencabar kesabaran kita ibubapanya untuk bersama-sama turun padang mengajak si anak mengulangkaji pelajaran.


Seminggu Memerah Otak Si Anak


               Hari ini Jumaat, 10hb Mei 2013. Saya memulakan ulangkaji pelajaran dengan Syahmi di awal pagi yang mulia ini dengan Kertas Pendidikan Islam (hari Ahad nanti, ada peperiksaan Pendidikan Islam). Belek punya belek mukasurat buku teks Tahun Lima, saya berbincang dengan si anak tentang nama Allah Al- Subur yang bermakna Allah SWT Maha Sabar dan tidak terburu-buru.


              Maka terpandanglah mukasurat 19, bercerita tentang kisah pengemis Yahudi yang buta dan sering memfitnah serta menghasut orang ramai memulaukan Nabi Muhammad SAW. Sedangkan tanpa disedarinya bahawa Rasulullah yang menyuapkan makanan kepadanya setiap pagi hinggalah kewafatan-Nya. Namun kesudahan cerita ini, Si pengemis Yahudi memeluk Islam kerana insaf apabila dikhabarkan oleh Saidina Abu Bakar bahawa orang yang menyuapkan makanan kepadanya selama ini ialah Baginda Rasulullah SAW. Si pengemis ini juga dapat membezakan suapan makanan dari manusia yang bergelar kekasih Allah dengan suapan oleh Saidina Abu Bakar.  Maka menangislah si pengemis dek kerana kesombongannya selama ini dengan menaburkan fitnah terhadap insan yang semulia Nabi Muhammad SAW.


Speechless......
       

                           Di manakah agaknya tahap kesabaran kita sebagai hamba-Nya?
                                  Kerdilnya aku dibanding dengan-Mu wahai 'Kekasih Allah'!
                                                           

Friday, May 3, 2013

Tamak Ke Namanya???......


       
Inikah Yang Dinamakan Tamak????

           Orang tamak selalu rugi..... begitulah perumpamaan Melayu lama. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Nauzu billahi min zalik.......Tidak terlintas langsung nak jadi ibubapa yang tamak dalam hal ini.


Anak Istimewa Juga Diberi Kesempatan Menyertai
Acara Sebegini Untuk  Mempamerkan  Kebolehan Masing-Masing

            Tahun lalu, Syahmi hanya mewakili sekolah dalam acara Tilawah Al Quran. Dari pengalaman lalu, tahun ini kami masukkan namanya dalam acara Hafazan juga. Bermakna mahu mencuba nasib dalam 2 acara. Sebenarnya bagi saya Syahmi lebih sesuai dalam Hafazan sebab anak ini mempunyai kemampuan yang lebih baik untuk menghafaz. Namun, guru-gurunya lebih cenderung untuk dia meneruskan cabaran dalam acara tilawah berdasarkan pencapaiannya tahun lalu.


            Jadi untuk mengimbangi kedua-dua pendapat, maka namanya dimasukkan dalam ke dua-dua acara. Dalam hati timbul juga kerisauan kerana dikhuatiri anak ini tidak dapat menerima cabaran ini. Tambahan pula komitmen dengan pembelajaran di sekolah yang kian menghimpit. Peperiksaan pertengahan tahun juga akan diadakan pada masa yang sama. Latihan bertubi-tubi dibekalkan oleh guru untuk dibuat di rumah. Mampukah seorang anak istimewa sepertinya menyahut cabaran ini?

Surah Alam Nasyrah Ayat 5 Yang Bermaksud:
" Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan"

             Meneliti firman Allah SWT yang bermaksud : " Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan" (Surah Alam Nasyrah Ayat 5). Berpegang pada janji-Nya yang ini, maka kami mesti sentiasa menyokongnya bagi membantu Syahmi mengharungi cabaran. Masa untuk latihan tilawah dan hafazan, masa untuk membuat kerja sekolah, masa untuk membuat latih tubi bagi menghadapi peperiksaan pertengahan tahun di samping mengikuti jadual persekolahan yang padat dari pagi hinggalah ke kelas KAFA di sebelah petangnya. Mesti ada kalanya mood si anak akan menjadi seperti ombak ganas di Pantai Batu Buruk ketika musim tengkujuh. Sungguh menguji kesabaran sebenarnya....

         
Siapa Tahu Gelora Di hati Si anak Dan Ibubapanya Yang Bermatian
Demi Masa DepanYang Lebih Baik ......

             Inilah dugaan sebagai ibubapa anak istimewa. Mungkin tiada siapa yang dapat menyelami ombak di hati kami. Berpanas dan berhujan, menebalkan muka berhadapan dengan masyarakat, meletakkan ke tepi kata-kata yag boleh melemahkan semangat dan pelbagai dugaan lagi bagi menggapai segunung harapan. Bukan tamak sebenarnya, tapi menggunakan peluang yang terbentang luas di  hadapan......


             Namun segalanya tetap di tangan Dia yang maha mengetahui. Kita hanya mampu merancang dan berusaha. Semoga apa yang diusahakan membuahkan hasil ....aamiin.