اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, November 17, 2014

Yang Istimewa Dalam Filem/Drama....



Autisme Dalam Filem/Drama....

Beberapa filem/drama bermutu dihasilkan oleh karyawan luar negara yang mengisahkan perjalanan kehidupan insan istimewa autisme mahupun kategori lain yang tergolong dalam masalah perkembangan intelektual. Sesungguhnya, kehidupan golongan istimewa ini  difilemkan bagi menyedarkan masyarakat erti kemanusiaan terhadap kita sesama manusia. Tiada sesiapa yang meminta dilahirkan dengan sebarang kekurangan, namun percayalah setiap kejadian-Nya, tiada yang sia-sia.....


Di sini, disenaraikan beberapa judul filem/drama yang pernah saya tonton untuk dikongsi bersama anda semua. Antaranya termasuklah :


Temple Grandin....

1)   Temple Grandin, filem yang dihasilkan pada tahun 2010, diarahkan oleh Mick Jackson. Pelakon utama yang memegang watak Temple Grandin ialah Claire Danes.

Mengisahkan tentang kehidupan seorang wanita yang mengalami autisme bernama Temple Grandin. Flashback tentang zaman awal kanak-kanaknya yang tidak berkomunikasi, tantrum. Bagaimana ibunya berjuang dalam membesarkan si anak yang dianggap pelik. Seterusnya zaman remaja, dunia kolejnya hingga ke universiti dan berjaya menggenggam ijazah kedoktoran dalam bidang Sains Haiwan.

                                                   
Rain Man.....

2)   Filem ini juga disyorkan untuk ditonton oleh semua terutama pada mereka yang ingin mendalami tentang kehidupan seorang yang mengalami autisme.  Rain Man yang dilakonkan oleh bintang utama Dustin Hoffman sebagai Raymond (an autistic savant) dan Tom Cruise sebagai Charlie Babbitt. Filem Amerika yang ini dihasilkan pada tahun 1988 dan diarahkan oleh Barry Levinson.

Cerita berkisarkan, Charlie yang baru mengetahui mempunyai saudara kandung yang bernama Raymond setelah harta warisan bapanya diwariskan sepenuhnya kepada anak yang mengalami autisme ini. Perjalanan kehidupan dua beradik ini bermula sehingga akhirnya mengubah persepsi Charlie terhadap abangnya seorang insan yang menderitai autisme.

Pernah menggondol beberapa anugerah Oscars semasa Academy Awards ke 61 (1989) antaranya Best Actor yang dimenangi oleh Hoffman.


Hikari to Tomo Ni.....

3)   Hikari to Tomo Ni (With The Light : Raising An Autistic Child), sebuah drama bersiri Jepun yang sesuai ditonton oleh ibubapa yang baru menyedari/mencurigai tentang keadaan si anak yang mengalami autisme.

Drama ini mengisahkan tentang Sachiko Azuma, seorang ibu muda yang melahirkan seorang bayi lelaki lalu diberi nama Hikaru. Hikaru membesar agak berbeza dari anak-anak yang sebaya, lewat bertutur, tidak suka pada bunyi-bunyi yang melampau serta sukar berubah dari rutin.

Suaminya Masato Azuma, pada peringkat awalnya enggan menerima 'kelainan' yang ada pada si anak. Malahan sering menyalahkan isterinya, begitu juga masyarakat sekeliling yang sering prejudis terhadap kanak-kanak yang sepertinya. Saksikan bagaimana perjuangan kental seorang ibu menghadapi situasi ini.


I am Sam.....
     
4)   Filem tahun 2001 bertajuk I Am Sam, diarahkan oleh Jessie Nelson. Dibintangi oleh  aktor Sean Penn yang melakonkan watak seorang bapa tunggal yang mengalami masalah perkembangan intelektual, Sam Dawson. Beliau mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Lucy (watak dilakonkan oleh Dakota Fanning).

Perjuangan seorang ayah bagi mengembalikan hak penjagaan anak kesayangannya yang pasti menyentuh hati penonton pastinya. Sean Penn telah dicalonkan dalam Academy Awards ke 74 (2002) bagi kategori Best Actor melalui filem ini.


Main Aisa Hi Hoon.....
           
5)   Main Aisa Hi Hoon (dalam Bahasa Inggeris I Am Like This) merupakan filem Hindi tahun 2002 yang merupakan 'remake' kepada filem I Am Sam. Dibintangi oleh Ajay Devgan, pelakon utama yang membawa watak sebagai Indraneel Thakur seorang bapa tunggal yang mengalami masalah perkembangan intelektual. Beliau membesarkan seorang anak perempuan yang bernama Gungun (Rucha Vaidya).


Deiva Thirumagal......
           
6)   Sementara sebuah filem Tamil yang juga merupakan 'remake' kepada I Am Sam, diberi judul Deiva Thirumagal (dalam Bahasa Inggeris God's Daughter). Filem dihasilkan pada tahun 2011 di mana pelakon utamanya ialah aktor Vikram Kennedy yang membawa peranan sebagai Krishna seorang bapa tunggal yang mengalami masalah intelektual. Krishna membesarkan seorang anak perempuan bernama Nila. Filem ini mempunyai asas plot yang diinspirasikan dari filem I Am Sam.


My Nam Is Khan....

7)   My Name is Khan, merupakan filem yang diarahkan oleh Karan Johar pada tahun 2010. Dibintangi oleh pelakon-pelakon ternama, Shah Rukh Khan dan Kajol yang juga dikenali sebagai 'Golden Pair' filem-filem Hindi setelah filem terakhir mereka Kabhi Khushi Khabie Gham dalam tahun 2001.

Mengisahkan tentang Rizwan Khan (watak yang dipegang oleh Shah Rukh Khan) dari keluarga Muslim di Mumbai, didiagnose mengalami Asperger Syndrome (berada di bawah autisme spektrum). Kemudian menetap di San Francisco bersama abangnya setelah kematian ibu. Di sana Rizwan bertemu dengan Mandira (watak dipegang oleh Kajol), seorang ibu tunggal beragama Hindu yang mempunyai seorang anak lelaki dari perkahwinan terdahulu. Mereka akhirnya berkahwin, namun konflik melanda akibat dari prejudis masyarakat barat terhadap masyarakat Islam di sana.


Koi....Mil Gaya......
       
8)   Sementara filem Hindi yang ini pula, Koi....Mil Gaya merupakan filem sains fiksyen yang diarahkan oleh Rakesh Roshan pada tahun 2003. Pelakon utama aktor Hrithik Roshan yang memegang watak sebagai Rohit anak kepada seorang saintist, Sanjay Mehra (watak dibawa oleh Rakesh Roshan). Setelah kematian bapanya, Rohit dilahirkan dengan masalah perkembangan intelektual serta tingkah lakunya yang  kebudak-budakan. Manakala heroin filem ini dipegang oleh aktress Pretty Zinta sebagai Nisha iaitu teman baik Rohit.

Watak alien yang diberi nama Jadoo sering membantu Rohit menggunakan 'special power'nya untuk meningkatkan daya pemikiran Rohit agar tidak mudah dibuli oleh masyarakat sekeliling. Filem ini pernah meraih beberapa anugerah dalam pesta filem di India, termasuklah Best Actor dan Best Movie, Best Director dalam Filmfare Awards.

       
Taare Zameen Par....
             
9)   Sebuah lagi filem Hindi tahun 2007, yang sangat menyentuh hati para penonton. Taare Par Zameen  (dalam Bahasa Inggeris Like Stars On Earth). Diarah oleh aktor terkenal Aamir Khan. Filem ini berkisarkan seorang kanak-kanak berusia 8 tahun yang mengalami Dyslexia bernama Ishaan Nandkishore Awasthi (dilakonkan oleh Darsheel Safary). Dyslexia merupakan masalah gangguan pembelajaran termasuk membaca, mengira, menulis dan mengeja.

Filem ini dibintangi oleh Aamir Khan yang melakonkan watak Ram Shankar Nikumbh seorang guru seni yang juga seorang instruktor kepada sebuah sekolah pendidikan kanak-kanak lewat perkembangan. Beliau berjaya menyedarkan sepasang suami isteri tentang masalah yang dihadapi oleh anak mereka dan memberi harapan baru pada keluarga tersebut. Taare Zameen Par banyak menerima award samada di India mahupun di Academy Awards pada tahun 2009 dimana telah dinobatkan sebagai Best Foreign Film.


After Thomas....
   
10)   Biasanya kita banyak menonton filem/drama dari Amerika. Namun kali ini sebuah drama keluaran British After Thomas yang dihasilkan pada tahun 2006, merupakan kisah benar yang berkisarkan cerita sebuah keluarga dengan cabaran mendidik seorang anak autisme. Kisah diadaptasi dari sebuah buku bertajuk ' A Friend Like Henry' oleh Nuala Gardner.

Kyle Graham (dilakonkan oleh Andrew Byrne) seorang anak autisme kepada sepasang suami isteri Rob (yang dilakonkan oleh Ben Miles) serta Nicola (watak dipegang oleh Keeley Hawes). Kyle lebih suka hidup dengan dunianya yang bersendirian bersama simptom-simptom autisme yang lain. Nicola hampir melalui jalan buntu untuk membantu Kyle, hinggalah hadirnya seekor anjing yang diberi nama 'Thomas' bersempena dengan karakter pujaan Kyle 'Thomas The Tank Engine'.

Akhirnya Kyle mula mengalami perubahan positif, berinteraksi dua hala, memahami perasaan 'Thomas' binatang peliharaan kesayangannya.


Mercury Rising....
11)   Filem Mercury Rising merupakan sebuah lagi kisah adaptasi dari novel Simple Simon. Filem aksi thriller ini dibintangi oleh Bruce Willis. Beliau memegang watak Art Jeffries seorang agen FBI yang melindungi Simon Lynch (lakonan Miko Hughes) berumur 9 tahun, iaitu seorang kanak-kanak autisme.

Simon dipercayai telah berjaya memecahkan kod cryphtographic rahsia NSA (National Security Agency) yang dinamakan 'Mercury'.Kebolehannya memaksa pihak terbabit untuk membunuh kedua ibubapa dan anak berkenaan. Jeffries cuba menyelamatkan Simon.


Good Doctor.....drama Korea

12)   Drama bersiri Korea bertajuk Good Doctor yang dikeluarkan pada tahun 2013. Dibintangi oleh Joo Won, Moon Chae-Won, Joo Sang-wook dan lain-lain. Joo Won memainkan peranan seorang autisme savant yang akhirnya menjadi seorang Peadatric Surgeon.

Park Shi-On (Joo Won), di waktu kecilnya berhadapan dengan seorang bapa yang panas baran. Shi-On memiliki seorang abang yang sangat ambil berat tentang dirinya. Namun si abang telah meninggal dunia akibat kemalangan kerana membela adiknya yang sering dibuli.

Saksikan drama perubatan yang mengisahkan perjuangan seorang autisme yang berusaha membuktikan dirinya mampu menjadi seorang doktor yang berkebolehan.


Diharap karyawan filem kita juga berupaya menghasilkan filem-filem bermutu yang mampu untuk menarik bilangan penonton ke panggung. Namun filem-filem yang sedemikian memerlukan kajian yang mendalam sebelum diterjemahkan dalam bentuk lakonan, bukan dibuat hanya seperti melepaskan batuk di tangga. Semoga menjadi kenyataan.....

0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...