اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Thursday, November 30, 2017

Amanah Dan Toleransi



Minggu ini kita belajar erti menggalas amanah dan bertoleransi Syahmi. Bila terima khabar berita orang kampung di Perak nak datang menziarah kita di Terengganu, alangkah gembiranya kami.

Perkara pertama sekali tindakan kami, mestilah mengemas rumah. Syahmi memang dah lama perasan ibunya akan pegang 'penyapu' dulu bila saudara mara nak datang bertandang. Pegang 'penyapu' membersihkan lantai, membuang habuk, membersihkan sarang lelabah yang bergayutan di syiling rumah, mengemas tilam bantal, yang kurang harum akan cuba diharumkan.

Selain itu, membeli keperluan dapur yang secukupnya bagi menampung keperluan beberapa hari  tetamu bermalam di rumah kami. Semua itu untuk keselesaan tetamu nanti. Cuma rumah kami agak kecil, rumah 3 bilik, 2 bilik air. Fahamlah bagaimana keadaannya nanti bila 10 orang dewasa makan tidur bersama, tentu kurang selesa jadinya.

Syahmi diminta untuk turut membantu, membuang sarang lelabah yang tinggi nun di atas sana. Siapa lagi kalau bukan Syahmi, kerana dia mempunyai ketinggian yang mencukupi untuk menggalas amanah ini. Kemudiannya mengelap cermin tingkap, membuang sampah dan serba serbinya.

Tidak mengecewakan, walau sesekali ibu kena kuatkan suara supaya arahan lebih jelas dan difahaminya. Dia jenis yang  mendengar kata, jarang-jarang sekali berhelah bila diarahkan melakukan sesuatu kerja. Alhamdulillah....ibu dah ada pembantu kini.

Menjadi 'pemandu pelancong' kepada tetamu
dari kampung (Ayah Chor n Wah) iaitu ibu dan bapa saudaranya

Syahmi bersama Cikgu Faiz & Cikgu Maslina (sepupu Syahmi)
serta Fawwaz anak tunggal mereka

Dia belajar bertolak-ansur membenarkan tetamu berada di biliknya selama berada di sini. Dia rela berkongsi bilik dengan ibu dan ayah untuk beberapa malam. Sebelum tetamu sampai, dia dah mengemaskan segala barang-barang kesayangan seperti aeroplane model supaya mengelakkan dari menjadi tarikan pada anak-anak sepupunya nanti.  Dia berfikir ke depan nampaknya dalam hal ini.

Dia menjadi pemandu pelancong tak bertuliah ketika kami berjalan-jalan sekitar Kuala Terengganu. Sebenarnya pengetahuan dia tentang tempat-tempat menarik di sini agak baik. Dia rajin meng'google' untuk mendapatkan maklumat.

Saudara mara yang memahami tentang autisme, sangat membantu mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Seronok kita beramai-ramai bersempit-sempit dalam kediaman yang comel,  makan minum bersama, tidur dalam keadaan tidak cukup tilam bantal dan 'toto'nya, mengajar erti toleransi buat Syahmi.

Lain kali jangan lupa datang lagi ke sini, menjenguk kami yang merantau jauh dari kampung halaman. Sunyi pulak bila kalian telah kembali ke kampung halaman.


Rindu kamu semua....datang lagi ya




0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...